Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,179
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 25

Bab 25

Aku yang merengkok dalam kelam, mengerekot menahan sejuk, menahan sedih, menahan luka lara. Sesungguhnya aku manusia yang terlupa, aku menindas tanpa mengerti erti ditindas. Aku menyakiti tanpa mendalami hati yang mereka yang kusakiti.

Kini aku sedari, maya akan selalu berputar pada kitarannya. Hari ini kita menyakiti, esok kita disakiti semula. Hari ini kita mengkhianati, esok kita pula akan dikhianati. ALLAH itu Maha Adil.

Persoalannya, apabila kita tersedar khilaf yang dulu, adakah ada ruang untuk kita membetulkannya?

Yang berdanuk dengan lumpur, dengan debu, tak mungkin dijernihkan kepada bentuknya yang asal. Hati manusia tak mampu disuling bersih seperti air. Memori hitam akan terus mengocak dalam ruangan ingatan, meninggalkan bekas yang berparut dendam. Ya, penyesalanku hari ini mungkin tak ada ertinya lagi.

“Abang, ampunkan aku, bang! Abang!” teriak Mirah sambil menatap wajahnya yang hodoh di depan cermin retak.

Tubuhnya dibaringkan atas lantai yang berdebu. Pehanya dipeluk rapat ke dada. Cuma jasadnya ada di situ. Fikirannya melayang jauh.

“Ya ALLAH, apa aku dah buat?” luah Mirah sambil menarik rambutnya yang kusut masai.

“Apa aku dah buat?!” teriaknya.

Ingatannya terbang tinggi, mengenangkan detik pertemuannya dengan Daeng bertahun yang dulu, ketika arwah suaminya masih hidup.

“Mirah sanggup terima kekurangan abang. Mirah sayangkan abang. Mirah tak peduli. Biarlah kalau satu dunia nak pandang rendah pada abang. Bagi Mirah, abang sempurna. Abang jujur sayangkan Mirah,” luahnya pada si pekak, si bisu yang dinikahinya selama tujuh tahun sebelum dizaliminya sehingga menghembuskan nafas yang terakhir.

“Abang, ampunkan aku. Ampunkan aku,” tangis Mirah.

Jari-jemari Mirah berlari atas kulit mukanya yang perit dimamah cuka getah. Luka-luka di mukanya belumpun sembuh sepenuhnya. Sebahagian darinya sudah terkena infeksi, memuntahkan cecair likat keputihan. Mirah mengupilnya dengan kuku sambil menyanyi lagu-lagu lama yang diingatinya.

Kemudian, dia bangun duduk semula, menghadap cermin tua itu lagi. Mirah menunjukkan riak terkejut melihat rupanya sendiri. Seakan-akan ia kali pertama dia memandang refleksinya. Padahal dia sudah melihat rupanya tadi.

Mirah menjerit tidak keruan, bagaikan orang yang terkena hysteria. Kakinya yang dirantai dengan gelang besi menendang-nendang angin. Dia menjerit nama Irman dan Aneeta berulang-kali.

“Aku bunuh kau, Irman! Aku bunuh kau! Berani kau bunuh anak aku! Berani kau!” jerit Mirah.

Daun pintu setor lama itu terbuka. Irman melangkah masuk dengan but hitamnya. Keras langkahnya. Angkuh riak wajahnya.

Mirah berlari, cuba mendekati Irman. Tetapi dia terlupa yang kakinya diikat dengan rantai. Dia jatuh tersembam. Dari lubang hidungnya mengalir cecair likat berwarna merah. Teriakannya kedengaran lagi, bergema di dalam setor.

“Diam!” jerit Irman.

“Aku tak mahu diam! Aku tak mahu diam! Aku bunuh kau, Irman! Aku bunuh kau!” jerit Mirah.

Fikiran Irman kacau. Mendengar suara sumpah seranah dan ugutan Mirah bagaikan satu malapetaka baginya. Telinganya bingit. Tika dan saat itu, suara Mirah menimbulkan rasa amarah dan benci yang teramat sangat. Irman terlupa pada tubuh yang pernah digilainya suatu masa dulu. Hatinya ditaufan benci. Suara yang pernah menggodanya kini kedengaran bagaikan bunyi gagak.

“Diam!” jerkah Irman.

“Jantan tak guna! Pergi mampus kau!” jerit Mirah.

“Kau pergi mampus dulu. Lain kali aku ikut kau. Nyawa aku masih panjang,” luah Irman sambil mengukir senyuman. Dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya ke dahi Mirah.

“Irman!” jerit Aneeta yang baru masuk.

Bunyi satu das tembakan kedengaran kuat. Burung-burung yang singgah atas bumbung gudang lama itu berterbangan di udara. Otak yang ditembak dengan dengan muncung pistol Irman bersepai. Serpihannya melekat pada baju Aneeta.

Aneeta menjerit nyaring, ketakutan.

Gema suara Aneeta dibias sampai ke kawasan luar yang dipenuhi belukar. Dia terus berlari keluar, meninggalkan Irman dan Mirah. Kakinya dilarikan selaju-lajunya dan dimatikan di sebelah jip Irman.

Tangan Aneeta terketar-ketar, meraba dalam beg tangannya untuk mencari kotak rokok. Sepuntung Dunhill methol dikeluarkan dan dikepitkan antara bibir. Dia meraba dalam beg lagi, mencari lighter. Rokok tadi dinyalakan dengan tangan yang terketar-ketar. Dia terus terduduk, melutut atas lalang.

Fikiran Aneeta terbang jauh. Dia terimbas rupa naifnya ketika baru tiba di Kuala Lumpur daripada kampungnya di Terengganu. Aneeta cuba membebaskan diri dari belenggu kemiskinan yang menghimpit. Dia datang dengan nawaitu suci, mahu mencari rezeki yang halal.

Aneeta ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja untuk menyara dirinya yang sebatang kara. Selepas kematian ibunya, dia berhasrat untuk meninggalkan perusahaan tani yang tidak membuahkan hasil yang lumayan. Dia ke kota untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Tak pernah terdetik dalam fikirannya yang dia akan terjerat dengan janji-janji palsu Mirah. Dia tertipu dengan Mirah dan Irman.

Sewaktu kali pertama bertemu Mirah di bus stop di kawasan Pudu, dia menyangkakan wanita itu wanita yang baik, yang elok sifat melalui kemanisan bicaranya. Mirah menjanjikan dia pekerjaan dan tempat tinggal.

Pada mulanya, Mirah menamburkan wang ringgit untuk menjeratnya. Kemudian, disogok dengan dadah. Apabila dia gagal mencari wang untuk melepaskan gian, Mirah mengajak dia menyertai perniagaan haram Irman, memperdagangkan tubuhnya, melayani klien-klien kerepot yang tidak sedar diri. Dia terjerumus ke lembah hina itu kerana Mirah. Kerana itulah, dia berdendam.

Mangsa hari ini barangkali akan menjadi pemangsa di hari esok. Mungkin kerana penganiayaan yang berlaku ke atas dirinya dulu, Aneeta hilang simpati, hilang sifat perikemanusiaan. Dia tidak berasa apa-apa sewaktu berkomplot dengan Irman untuk mempergunakan Elina. Hatinya sekeras batu.

Tetapi, entah mengapa, imej Elina yang terdampar atas lantai berlumuran darah tempoh hari kerap menghantui mimpinya. Aneeta tak lagi dapat tidur lena meskipun pada malam itu dia pura-pura tenang.

Hakikatnya, Aneeta takut. Kini, ketakutannya bertambah apabila melihat nyawa Mirah ditamatkan Irman. Dia tahu gilirannya akan sampai kelak. Apabila dia sudah tidak secantik sekarang, barangkali Irman akan menyingkirkan dirinya pula.

“Aaah!” jerit Aneeta sewaktu melihat gumpalan kecil berwarna merah di atas pakaiannya.

Putung rokok yang dipegang terlepas dari tangannya. Dia mengibas baju, cuba menjatuhkan sisa darah dan daging yang melekat pada bajunya.

Gambaran Mirah muncul dalam fikirannya. Dia terus termuntah, tak mampu menahan rasa geli, jijik. Tangan kanannya melurut-lurut dada, cuba mengawal diri. Tetapi, dia tidak mampu. Dia memuntahkan apa jua yang ada dalam anak tekak tika itu. Matanya berair. Dia menangis semahu-mahunya.

“Aneeta,” panggil Irman.

“Aku dah tak boleh hidup macam ni! Aku tak boleh! Aku nak menyerah, Irman! Aku tak sanggup lagi nak hidup dengan dosa ni!” teriak Aneeta.

“Jangan mengarut, Aneeta! Kau dah pilih jalan ni. Dah tak ada jalan keluar,” luah Irman, tenang.

Aneeta menggelengkan kepala.

“Aku tak mahu. Aku dah tak sanggup,” luah Aneeta. Dia terus menyeluk ke dalam beg tangannya, mengeluarkan kunci kereta.

“Kau nak ke mana?” soal Irman.

“Balai polis,” jawab Aneeta sambil mengesat air matanya.

“Jangan jadi bodoh!” marah Irman.

“Aku tak nak hidup dalam rasa bersalah lagi. Mirah aniaya aku. Aku aniaya anak dia. Semua ni karma...” luah Aneeta dalam nada lemah.

Belum sempat dia menarik daun pintu kereta, suara tembakan bergema lagi. Aneeta menempatkan tangan atas dada. Darah likat meleleh keluar, membanjiri telapak tangannya. Matanya tidak berkelip, memandang Irman.

“Irman?” Aneeta rebah ke tanah. Air matanya meleleh lagi.

Mata Irman tidak berkelip, memandangnya dengan pandangan kosong. Aneeta sedar yang dirinya tertipu lagi.

“Kau cakap kau sayangkan aku...”

“Perempuan,” cetus Irman, sambil berundur sewaktu Aneeta mahu menyentuh tubuhnya.

Irman tak mahu darah Aneeta mengotori bajunya. Pistol di tangannya diselitkan di belakang seluar. Dia mengeluar sebatang rokok dari kocek dan membakar hujungnya. Pandangannya jatuh pada Aneeta yang kelihatan sukar untuk bernafas.

Tak ada secuit simpati yang diberikan sewaktu melihat Aneeta menghulurkan tangan, merayu bantuan. Dia menghebuskan kepulan asap rokok.

“Aku tak sayangkan sesiapa kecuali diri aku, bodoh!” luah Irman.

“Sampai hati kau...” luah Aneeta. Tangannya ditempatkan atas dada, cuba memberhentikan aliran darah.

* * * * * *

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.