Bab 22
“Elina,” panggil
Zuhayr.
Kelibat pegawai
polis yang menanti di luar bilik Elina tidak kelihatan di mana-mana. Daun pintu
bilik Elina dikuak Zuhayr perlahan-lahan. Matanya mengintai ke dalam. Bilik itu
kosong. Tak ada sesiapa dalam bilik itu. Jantung Zuhayr terasa bagaikan ia mahu
berhenti berdegup. Dia disampuk risau. Lantas Zuhayr terus berlari keluar
semula, menuju ke arah salah seorang jururawat yang berada dekat dengan bilik.
“Mana
pesakit dalam bilik tu?” soal Zuhayr.
“Keadaan
dia kritikal semula. Dia terpaksa jalani pembedahan kedua. Sekarang, dia di
bilik pembedahan,” jawab jururawat.
Zuhayr
berlari lagi, menuju ke lift. Dia menekan butang tujuh pada dinding lif.
Hatinya diserang risau. Drama itu menjerat Zuhayr. Lakonan singkatnya memakan
diri. Dia berilusi bagaikan si gadis yang diselamatkannya itu benar-benar
isterinya. Hatinya berdegup takut, enggan kehilangan gadis itu.
“Adi!”
panggil Zuhayr sewaktu melihat Adi sedang duduk di sebelah Hashim dan seorang
lagi anggota polis.
“Elina
macam mana?” soal Zuhayr.
“Masih
ada blockage dalam otak dia. Tiba-tiba tadi dia menjerit sakit. Lepas tu, dia
berhenti bernafas sekejap. Doktor terpaksa buat pembedahan kedua. Dah lama
doktor kat dalam, sampai sekarang belum keluar,” jelas Adi.
“Tadi,
kau call… sebab pembedahan ni?”
Adi
menggelengkan kepala. Sulit untuk diperjelaskan sekarang dengan hati yang
dibuai risau. Fikirannya masih kacau, masih kalut, masih tak dapat berfikir
dengan baik. Sungguh, Adi tak pernah setakut itu seumur hidupnya.
Entah macam mana
hendak diterangkan perkara itu kepada Zuhayr. Sebenarnya, dia hanya memerlukan
teman untuk berbicara. Dia takut kalau Elina akan menghilang dari alam fana.
Dia takut kalau telinganya tak dapat menangkap suara bicara Elina lagi. Dia
takut kalau matanya takkan dapat menatap senyuman Elina lagi.
Adi ketakutan.
“Adi,”
panggil Zuhayr, menuntut penjelasan.
“Elina
tak nak aku dekat dengan dia. Dia tak percayakan aku. Aku call kau tadi, suruh
kau datang dan beritahu Elina yang aku kawan baik dia dari kecil, aku nak minta
tolong kau yakinkan dia. Bagi dia, kau suami dia, Hayr dan aku orang asing.”
Zuhayr
mengeluh.
“Walaupun
aku nampak mature. Aku ni baru lapan belas tahun, Adi. Lebih muda dari Elina
sendiri. Aku belum mampu jadi suami orang. Seluar dalam aku pun mama aku yang
beli,” luah Zuhayr lemah.
Fikiran
Adi yang tadi kalut memikirkan Elina bertukar paksi. Kini, dia terpaksa pula
menahan tawa.
Hashim
dan pegawai polis yang lain turut mengalihkan perhatian pada Zuhayr, tidak
menyangka yang kata-kata itu akan meniti di bibir Zuhayr dalam suasana segenting
sekarang. Dalam banyak-banyak perkara dalam dunia, kenapa soal seluar dalam
yang diungkitkan Zuhayr?
“Ini
bukan masa yang sesuai untuk buat lawak, Hayr. Ni bukan hal main-main. Cuba
serius sikit, Hayr,” tegur Hashim.
Zuhayr
mengeluh.
“Hayr
bukannya tengah buat lawak.”
Hashim
mengerutkan dahi.
“Tak
siapa berminat nak tahu soal seluar dalam kau,” ngomel Hashim perlahan.
Muka
Zuhayr merah padam.
“Oh,”
ucap Zuhayr sepatah. Dia baru mengerti apa yang Hashim maksudkan tentang
membuat lawak.
Tak
ada seorang yang memberikan reaksi kepada Zuhayr. Fikiran masing-masing
memfokus pada Elina semula. Gadis itu masih di dalam, bertarung nyawa untuk
terus hidup. Masing-masing berendam dalam simpati, bertafakur dengan iringan
doa-doa.
* * * * * *
48 jam kemudian...
“Hai,
sayang,” luah Zuhayr apabila Elina membuka mata, memandangnya dengan penuh rasa
celaru, keliru.
“Awak
pergi mana, Hayr? Saya takut,” luah Elina sambil air matanya merembes dari
kolam mata.
Zuhayr
tersenyum.
“Balik
rumah kejap, sayang. Saya minta maaf. Saya tertidur. Tapi, awak jangan risau
lagi ya. Doktor cakap pembedahan awak berjaya. Keadaan awak dah stabil
sekarang, Elina,” luahnya.
Buat
seketika, dia merasakan dirinya pelakon handalan yang berjaya menawan
Hollywood. Dia berdiri di pentas global, memegang award pertamanya sambil
mengangkat tangan sebagai ucapan terima kasih kepada para peminat yang
bersorak. Di tubuhnya tersarung suit Tom Cruise yang berharga ribuan US dollar.
Kembang kempis hidungnya menahan rasa riak. Walhal dia tahu, dia bukan saja
tidak layak ke Hollywood, ke Layar Perak sendiri belum tentu.
“Hayr,”
panggil Elina.
Lamunan
Zuhayr mati. Dia tunduk, memandang mata kuyu itu. Rasa riak tadi terus terbang.
Hanya Elina di depannya sekarang. Hanya Elina dalam fikirannya yang sedang
berputar. Hebat benar penangan mata kuyu itu.
“Do
you love me?” soal Elina.
Zuhayr
tergamam.
“I
know I’m ugly and I’m sick. Saya tahu awak lelaki yang kacak. Awak boleh dapat
mana-mana perempuan awak nak dengan senang. Jadi, buat apa awak nak tunggu saya
yang sakit ni,” ucap Elina.
Aku
kacak? Wow! Cetus hati Zuhayr. Wanita di depannya menyuarakan pujian secara
terang-terangan. Semakin tinggi Zuhayr melayang, bagaikan kaki tak lagi
menjejak bumi. Bunyi tawa Zuhayr bergema di dalam bilik. Dia menepuk dahinya
sebelum memandang wajah Elina. Hebat sungguh sandiwara itu.
Apa yang perlu
dijawabnya? Apa? Dia cuba berpura-pura tenang walhal hatinya kalut. Padanlah
dengan mukanya sekarang. Nak berlagak jadi pelakon handalan Hollywood konon.
Tak ada walau sebaris pun skrip filem cinta romantic Hollywood yang
diingatinya, yang boleh digunakan sekarang.
“I
love you. Elina, awak perempuan yang paling cantik dalam dunia ni. Awak akan
jadi yang pertama, yang terakhir dan yang satu-satunya untuk saya,” luah Zuhayr
sambil memandang tepat ke mata Elina.
Elina
tersenyum. Air matanya gugur lagi, sebak.
“Dan
kalau saya tak boleh jalan?” soal Elina.
“Saya
dukung,” jawab Zuhayr.
“Saya
berat,” balas Elina meskipun tubuhnya kurus melidi.
“Lepas
ni juga saya pergi gym,” gurau Zuhayr.
“Saya
tak ingat awak,” luah Elina.
“Tak
apa, Elina. Awak tak payah risau. Saya akan pastikan awak tak pernah lupakan
saya lepas ni,” balas Zuhayr.
“Macam
mana kita kenal?” soal Elina.
Zuhayr
menelan air liur. Dia memandang siling dan kemudian dinding, mencari ilham.
Seakan-akan ada tertulis sesuatu di sana.
“Saya
suka main gitar kat Chow Kit. Awak akan pergi sana, duduk kat atas bangku
panjang, melukis potret orang. Awak paling suka lukis potret manusia. Kemudian,
sekali ni...tak ada pelanggan...Awak lukiskan potret saya dan masukkan dalam
guitar case saya...” bohong Zuhayr.
“Saya
pelukis?” soal Elina, pelik.
Zuhayr
tersengih sambil mengangguk.
Penipu! Bukankah
Elina menyukai nombor? Zuhayr baru teringat yang Elina menerima tawaran dalam
jurusan Actuarial Science di University of Reading. Baru kini dia merasakan
yang Elina tak tahu melukis.
“Betulkah
saya boleh melukis?” soal Elina, was-was.
Zuhayr
tersengih sambil mengangguk-angguk. Sudah terlambat untuk dia menukarkan
ceritanya sekarang.
“Macam
mana kalau tangan saya tak boleh melukis lagi lepas ni?” soal Elina sambil
memandang tangannya yang berbalut.
“Saya
boleh lukiskan untuk awak,” balas Zuhayr.
Zuhayr
membayangkan lukisan orang lidi yang dilukisnya sewaktu di sekolah rendah.
Hanya itu mampu dilukisnya. Zuhayr tak punya bakat dalam seni lukis. Lukisan
itu sudah cukup membuatkan dia bangga walaupun gurunya hanya menghadiahkan D
plus dengan pen merah di belakang kertas lukisannya.
“Betulkah awak
pandai lukis?” soal Elina.
Zuhayr
tersengih.
“Mestilah,”
balasnya.
“Awak selalu
lukis apa?” soal Elina.
Zuhayr berdehem.
Ligat kepalanya berfikir.
“Saya tak adalah
sehebat awak. Tapi, kalau setakat nak lukis potret hitam putih pakai pensel
arang, small matter. Ramai yang selalu puji lukisan saya,” luah Zuhayr, penuh
dengan unsur-unsur riak.
“Wah, kagumnya
saya!” balas Elina.
“Tapi tak macam
awak...” sambung Zuhayr. “Awak pandai lukis pemandangan yang indah-indah.”
“Tadi, awak
cakap saya pelukis potret?” duga Elina.
Zuhayr ketawa.
“Semua pun awak
boleh lukis. Saya paling suka bila awak lukis Doraemon,” sambung Zuhayr lagi,
mula melalut.
Elina
tercengang.
“Hah? Doraemon?”
ucap Elina, terkejut.
“Awak
tidur dulu ya. Awak mesti dah letih,” luah Zuhayr, cuba mengubah topik
perbualan mereka, takut disuruh melukiskan sesuatu Elina.
“Saya
takut nak tidur,” ucap Elina. Dia menarik nafas perlahan-lahan.
“Kenapa?” soal
Zuhayr.
“Saya takut
kalau saya tidur, saya takkan bangun lagi.”
“Jangan
takut,” pujuk Zuhayr. “Saya akan ada kat sini. Saya janji, lepas awak bangun,
saya akan ada depan awak. Awak tidur ya.”
Elina
senyum.