Bab 8
Bunyi ketukan pintu bertalu-talu mengejutkan Elina. Dia terjaga dari lena singkatnya. Baru setengah jam dia lelap selepas berjam-jam cuba untuk tidur. Belum hilang lelahnya, dia dikejutkan dengan bunyi pintu dan suara orang melaungkan namanya berulang-kali.
Elina menarik daun pintu.
“El, Uncle Benson…” luah Adi yang termengah-mengah.
Adi masih semput akibat berlari tadi, bergegas dari rumahnya untuk membawa perkhabaran itu kepada Elina.
“Uncle Benson… Uncle Benson…”
“Apa, Adi?” soal Elina.
“Uncle Benson kemalangan,” jawab Adi.
Elina terduduk depan pintu, terkejut. Lidahnya kelu, gamam untuk bersuara walau sepatah. Air matanya merembes keluar. Adi mencangkung di depannya, cuba mententeramkan sahabatnya itu.
“Tenang, El. Tenang. Aku belum habis cerita ni. Kau sabar dulu, dengar cerita aku,” pujuk Adi.
“Uncle aku selamat kan, Adi? Dia masih hidup kan? Dia okay kan?” soal Elina ketakutan.
Adi mengangguk.
“Ya, El. Uncle Benson selamat,” luah Adi.
Elina memanjatkan rasa kesyukuran.
“Tapi...” Suara Adi bergetar.
“Tapi apa?”
“Aku tak tau macam mana nak ceritakan pada kau. Uncle kau...”
“Kenapa dengan uncle aku?”
“Dia... Tadi, dia minum arak dalam ladang Uncle Fred. Dia marah sangat entah sebab apa. Orang ladang cakap Benson dah naik minyak. Dalam perjalanan pulang, dia terlanggar orang, El. Dia cedera ringan saja...”
“Habis?”
“Memang dia okay tapi... orang yang dilanggar itu parah di hospital. Uncle kau ditahan polis. Kes ini sudah jadi kes bunuh, El,” jelas Adi.
“Apa?” luah Elina.
Secara drastik Elina berhenti menangis. Dia terus bergegas keluar, menyarungkan seliparnya sebelum berlari ke arah motorsikal.
“Nak ke mana kau?” soal Adi.
“Balai polis,” jawab Elina.
“Apa kau nak buat?” soal Adi lagi, bagaikan orang dungu.
“Aku tak tahu. Aku mesti jumpa Uncle Benson. Dia jadi macam tu sebab aku. Aku yang buat dia marah. Kau tahu uncle aku memang kuat melenting. Aku tak patut buat dia marah,” balas Elina.
“El, Benson dah lama bencikan lelaki yang dia langgar itu. Ramai orang jadi saksi yang mereka pernah bergaduh sebelum. Polis fikir ini kes balas dendam, El,” luah Adi, menimbulkan persoalan.
Elina menggelengkan kepala.
“Uncle aku bukan jahat, Di. Dia takkan bunuh orang,” balas Elina dengan penuh keyakinan.
“Ini kemalangan. Kemalangan sebab aku,” tambahnya.
“Aku bawa kau ke balai, El,” pelawa Adi sambil menyuakan tangannya, meminta kunci motorsikal buruk Elina.
“Tak payah, Adi. Biar aku pergi seorang saja. Kau balik dulu. Nanti abah kau risau,” pinta Elina.
“Tak apa. Kau dan Uncle Benson macam saudara aku. Kalau aku balik pun, aku tak tenang,” jawab Adi.
Dalam keadaan serba-salah, Elina menyerahkan kunci motorsikalnya. Adi menghidupkan enjin motorsikal. Elina membonceng di belakang. Bunyi enjin tua motorsikal itu memecahkan keheningan malam.
Angin malam mendodoi. Namun, tak mampu mendinginkan hatinya yang resah. Matanya jatuh pada pandangan belakang tubuh kurus Adi. Di tubuh itu dia selalu bersandar sewaktu di alam persekolahan, menangis dan merungut tentang apa saja yang tidak disukainya tentang hidup. Cuma, sekarang dia sudah tidak dapat berbuat begitu lagi. Mereka sudah mencapai akil baligh. Hubungan mereka punya banyak batasannya sekarang.
Namun, Adi akan selalu ada, memujuk dan mententeramkan dirinya seperti dulu. Dia tak pernah merasa selamat dengan mana-mana lelaki seperti dia berasa selamat ketika bersama Adi. Dia tahu Adi akan selalu menjaganya. Meskipun lelaki itu jauh, Elina selalu merasa dekat dengan Adi.
Adi bukan kekasih. Bukan juga sahabat biasa. Adi lebih dari itu, seolah-olah Superhero dalam hidupnya.
“Sabar, El. Sekejap lagi kita sampai,” luah Adi, lembut.
“Macam mana aku nak tenang, Adi? Kenapa hidup aku macam ni?” tangis Elina. Air matanya gugur atas baju Adi.
“TUHAN sayang kau, El. DIA ada banyak perancangan lain untuk kau. DIA tau kau kuat,” pujuk Adi.
“Aku dah penat nak lalui semua ni, Adi. Hidup ni kejam sangat pada aku. Aku letih hidup macam ni...”keluh Elina.
“El, benda nak jadi akan tetap jadi. Semua ni dah takdir. Kau redhalah dengan ketentuan Allah. Kau yakin dengan pertolongan DIA. InsyaALLAH, nanti keadaan akan bertambah baik...” pujuk Adi.
Air mata Elina merembes ke pipi.