Bab 16
Mungkin mereka menyangka aku lelaki gila. Sememangnya aku gila. Tak gilakah kalian kalau kalian kehilangan orang yang teramat kalian sayangi? Tak terjejak di mana hilangnya. Mencari tanpa arah, tanpa jejak yang tertinggal.
Aku bagaikan si dungu. Hendak menapak ke depan, aku tak tahu arah yang mana satu. Hendak berundur, aku tetap enggan beralah. Aku mahu terus berjuang untuk melindungi insan yang aku sayang.
Menyerah tidak pernah ada dalam kamus hidupku sejak kecil. Tetapi, sekarang aku rasa tertewas. Aku seakan-akan sedang berperang dengan tentera halimunan. Aku tidak nampak. Aku tidak kenal. Jadi, arah mana patut kuserang? Aku tidak tahu!
Ya TUHAN, kau tunjukkanlah jalan yang benar untuk kujejak. Bagaimana aku ingin berjuang dalam peperangan ini kalau aku tidak tahu siapa musuhku? Dari arah mana patut kuserang?
Elina. Di mana kau? Cetus hati Adi. Air matanya merembes keluar. Air mata seorang lelaki tidak akan menitis mudah. Ia dipagar dengan ego, mengawal rapi maruah yang takut dicalar. Dirantai dengan malu, takut dituduh lembik, dayus.
Tertitisnya air mata itu tanpa suara mengesak. Tanpa perlu tersedu-sedu. Ia mengalir sendiri tanpa kerelaan hatinya. Ya, dia malu kerana menitiskan air mata untuk seorang perempuan. Tetapi malu itu tidak cukup kuat untuk menangkis rasa risaunya, rasa takutnya kalau dia kehilangan Elina.
“Kak, akak nampak tak perempuan ni?” soal Adi sambil menunjukkan gambar Elina pada seorang pejalan kaki yang melintas di depannya. Dia memandang tepat ke wajah wanita itu, mengharap.
Wanita itu menggelengkan kepala.
“Maaf, dik. Tak ada,” balasnya.
Semalaman Adi mencari. Dia sudah membuat laporan polis. Sudah 24 jam dia tidak tidur, tidak makan, hanya minum air mineral yang dibelinya di kaki lima. Dia menaiki motorsikal kapchai kawannya yang dipinjam ke sana sini, mencari Elina.
Merata dia singgah, menunjukkan gambar Elina pada orang ramai yang lalu-lalang, pada pekerja kedai yang beroperasi 24 jam. Meskipun dia tahu harapannya setipis kertas. Mana mungkin dia terserempak dengan Elina di khalayak yang beribu itu. Kalaupun ada orang yang ditanyanya pernah terserempak dengan Elina, barangkali mereka tidak ingat.
“Adi!” panggil seorang lelaki yang baru tiba dengan motorsikal di kawasan Chow Kit bersama tiga orang rakan mereka yang lain. Masing-masing menaiki motorsikal berkuasa tinggi. Motorsikal yang tak pernah dibonceng Adi seumur hidupnya.
Lelaki yang memanggil Adi tadi menanggalkan helmet sebelum membetulkan fringe depan rambutnya.
Adi tidak menjawab. Dia duduk mencangkung. Matanya rasa berpinar. Kepalanya terasa pening, bagaikan hendak pitam.
“Nah,” ucapnya sahabatnya sambil menghulurkan air milo dalam plastik yang ditapau dari kedai mamak.
Adi mengambilnya, meneguk sedikit, mengisi perutnya yang kosong. Kemudian, dia bangun semula. Dia mahu meneruskan pencariannya, meneruskan ikhtiar meskipun tak ada satu pun usahanya yang berhasil setakat ini. Dia tak boleh duduk diam apabila memikirkan yang nyawa sahabatnya dalam bahaya.
“Kau nak pergi mana?” soal kawannya, Qalif.
“Cari Elina,” jawab Adi lemah.
Air matanya dikesat.
“Aku tau korang ingat aku gila. Memang aku gila. Aku tau keberangkalian nak jumpa dia rendah. Tapi, kalau aku tak buat apa-apa, aku akan jadi lagi gila,” luah Adi.
Air mata Adi tertumpah lagi dan lagi. Kehilangan itu dirasakan begitu hampir. Jiwanya dirasakan kosong, tidak berisi apabila Elina tidak ada di depannya sekarang. Dia mahu meneruskan pencarian.
“Nangis pulak. Ni yang aku lemah ni,” sindir salah seorang rakan mereka yang ada atas motorsikal.
Adi terus berpaling, mahu melangkah meninggalkan kawan-kawan kampusnya itu. Dia tahu, tak siapa akan mengerti perasaannya sekarang. Elina bukan saudara. Bukan jua kekasih. Tetapi, hidupnya tanpa Elina bagaikan pensil yang patah, ‘pointless’. Elina mempunyai tempat istimewa di hatinya.
“Erol, yang kau usik dia apahal? Kau ni suka cari pasallah. Member kita ni kan tengah ada problem. Bangang betul kau ni!” cetus Qalif sambil menolak bahu rakannya yang mengusik Adi tadi.
“Adi, relakslah kejap. Janganlah emo sangat. Kami datang ni sebenarnya nak tolong. Si samdol ni aje yang tak reti bahasa. Kami faham. Kami pun ada girlfriend juga, ada adik-adik perempuan. Kalau dah sayang, dia hilang, mestilah risau,” balas Ameer yang turut turun dari motorsikalnya.
Langkah Adi terhenti. Dia menoleh ke arah mereka semula. Dia memandang dari satu wajah ke wajah yang lain.
“Adi, kau ingat tak gambar si Elina yang kau frame cantik-cantik dalam bilik kau tu?” soal Ameer.
“Kenapa?” soal Adi.
“Gambar tu aku dah scan pakai scanner si Erol. Kitaorang dah suruh semua geng-geng kita letak gambar si Elina kat facebook masing dan letak status missing person. Lepas tu, si Qalif dah buli abang dia yang kerja kat kedai printing tu print kan gambar si Elina kau…” jelas Ameer.
“Serius?” soal Adi, sukar untuk percaya.
Erol mengangkat bungkusan tebal yang mengandungi kertas-kertas bercetak gambar Elina dengan title missing person. Mereka juga ada memasukkan nombor telefon mereka termasuk Adi di bawah gambar.
“Aku pun dah whatapps gambar si Elina pada semua girlfriends…Err..maksud aku kawan-kawan perempuan aku,” tambah Erol.
“Aku pun,” akui Ameer pula.
Adi terkebil-kebil. Dia berperang dengan rasa gelisah, takut dan buntu. Wajah-wajah sahabatnya diperhatikan satu-persatu.
“Whatapps tu apa?” soal Adi selamba.
Ameer menepuk dahi.
“Lupa pula kawan kita buta teknologi. Handphone dia bukan android pun,” luah Ameer sambil mengeluh.
“Whatapps tu macam ym sengal, application on smartphone,” sampuk Ameer.
“Slow kau ni,” cetus Erol.
Adi mengesat sisa air matanya dengan lengan baju. Hatinya terhibur sedikit dengan kedatangan kawan-kawannya itu.
* * * * * *
“Ya ALLAH, sesungguhnya aku manusia yang jahil. Aku manusia yang mudah benar terlupa pada qada qadarMU. Ampunilah aku, Ya ALLAH. Kerana kejahilanku, aku gagal mendidik adikku Mirah agar menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Aku gagal melindungi adik iparku, Daeng. Aku gagal menjaga anak saudaraku, Elina. Dan aku menjadi pembunuh, pada seorang lelaki yang tak pernah penat menasihatiku, mengajak aku bertaubat, Idrus. Ampunilah aku, Ya ALLAH,” doa Benson sambil menadah tangannya.
Air matanya menitis. Matanya memandang ke batang-batang besi penjara yang menempatkan dia. Kemudian, dia memandang pula banduan lain yang sedang duduk kebingungan. Di tempat dia bersujud, terasa bahang panas dari lantai simen. Tak ada penyaman udara mahupun puputan angin luar. Untuk melihat ke langit malam pun jauh sekali.
Lambat sungguh dia tersedar tentang khilafnya. Mudah benar, dia menuding jari menyalahkan orang lain di atas kesilapannya selama ini. Buta sungguh matanya untuk memandang yang benar. Pekak sungguh telinganya untuk mendengar yang sahih. Dungu sungguh otaknya untuk menilai dan mentafsir segala kejadian yang berlaku disekelilingnya. Hidayah ALLAH ada di mana-mana. Cuma dia yang tak mahu melihat.
As long as you can breathe, you can still fight. Itu kata-kata yang terukir di dinding pusat komuniti yang dijadikan tempat latihan kelab tinju yang disertainya semasa muda. Baginya, itu sumber kekuatan untuk berlawan di arena tinju. Tetapi, sebenarnya dia tidak mengerti.
Lawan yang dimengertikannya berbeza dengan konsep yang asal. Berlawan yang dimaksudkan quote itu bukan menghunus pedang, mengacukan penumbuk ataupun menarik picu pistol. Berlawan yang dimaksudkan itu berjuang. Ia lebih simbolik. Ia punya metafora sendiri. Buat sekarang, dia mendefinasikan ungkapan itu sebagai perjuangan dalam hidup selagi masih ada nyawa.
Meskipun kini dia hidup terpenjara, Benson mahu berubah. Dia masih mahu terus berjuang selagi ada nyawanya. Dia mahu pulang sebagai orang baru. Bukan Benson dulu yang hanya kuat dari segi fizikal tetapi lemah dari segi mental, dari segi emosi. Ya, selagi ada nyawanya, dia akan terus berjuang. Dia takkan mengalah pada godaan dunia seperti dulu. InsyaALLAH.
“Ampunkanlah aku, Ya ALLAH. Ampuni segala dosa-dosaku. Lindungilah Elina, Ya ALLAH. Dia kekuatanku. Dia semangatku. Lindungilah dia, berikanlah kebahagiaan yang didambakan selama ini. Temukanlah dia dengan seseorang yang baik, yang mampu menjaga dan melindunginya sepanjang ketiadaanku.”