Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,201
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 18

Bab 18

Dua belas jam berlalu. Dia duduk di situ, membilang masa dari saat, ke minit dan kemudian ke jam. Matanya membulat, memandang dinding hospital yang kosong. Mamanya sudah pulang bersama Uncle Hashim setelah membuat laporan polis.

Seorang anggota polis berpangkat sarjan menunggu di sana. Menurut Uncle Hashim, dia disuruh mengawal kalau-kalau ada seseorang cuba mencederakan wanita yang diselamatkan Zuhayr. Mungkin pembunuhnya masih memerhatikan tindak-tanduk mereka tika itu, menunggu masa untuk bertindak. Mereka perlu berwaspada.

Inspektor Heidir, pegawai yang menyiasat kes itu memaklumkan maklumat peribadi mangsa kepadanya. Menurutnya, nama mangsa adalah Elina Daeng. Bapanya sudah lama meninggal dunia. Ibunya menghilangkan diri, tidak dapat dihubungi sehingga sekarang. Dia dibesarkan oleh bapa saudaranya yang kini sedang merengkok dalam penjara.

Tak siapa tahu bagaimana Elina boleh berada di situ. Alamat terakhirnya terletak di Tawau, Sabah. Dia baru pertama kali menjejakkan kaki ke Semenanjung untuk kali pertama kira-kira dua hari yang lepas.

Sofia tampak trauma setiba di hospital tadi. Dia bimbang kalau-kalau penjenayah yang cuba membunuh Elina kembali dan mencederakan Zuhayr. Sejak tadi Sofia menyuruh Zuhayr pulang berehat di rumah, memberi alasan itu dan ini supaya Zuhayr meninggalkan hospital.

Anehnya, meskipun sudah berkali-kali ibunya memujuk, Zuhayr masih tetap jua terpaku di situ. Semangat ingin tahunya menebal. Mujurlah Hashim berjaya meyakinkan Sofia agar membenarkan Zuhayr menunggu di sana. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Pasukan polis ada memantau di sekitar kawasan hospital dan beberapa orang sarjan kelihatan sedang mundar-mandir di luar wad, tidak berganjak sejak tadi.

Zuhayr masih ingat perbualannya dengan mama malam semalam, sewaktu mama baru tiba di hospital. Mama menyelongkar beg yang ditemui Zuhayr. Manakala bapa saudaranya, Hashim sibuk menghubungi rakan-rakannya dalam unit siasatan jenayah. Hashim adalah adik tunggal kepada ayah Zuhayr, Zulkifli. Bapa saudaranya itu merupakan seorang pegawai polis dalam unit narkotik.

“She’s a bright student,” luah Sofia sewaktu menjumpai surat tawaran dari University of Reading di dalam beg Elina.

“Tak faham kenapa dia pakai kain batik yang dah terlondeh kat kawasan hutan tebal macam tu...” ujar Zuhayr.

Sofia menjongket bahu.

“Are you sure she is not a prostitute?” soal Zuhayr.

Sofia menggelengkan kepala.

“Obviously, someone dump her body there, Hayr. Mama tak rasa budak ni perempuan jahat. Tapi, kemungkinan besar dia mangsa rogol. Sebab siapa nak pakai macam tu dekat kawasan yang Hayr jumpa dia,” balas Sofia.

“Doktor cakap keadaan dia kritikal sebelum masuk bilik pembedahan. Mungkin dah tak ada harapan lagi. Banyak darah dia yang hilang, ma. Tabung darah hospital pun tak cukup,” cerita Zuhayr.

“Habis macam mana?” soal Sofia, risau.

“Hayr pun ada derma darah sikit,” luah Zuhayr sambil menunjukkan lengan yang ditempek dengan plaster dan kapas.

“Dia darah O, sama macam Hayr?” soal Hashim.

Zuhayr mengangguk. Dia dari kumpulan darah yang sama. Pemilik jenis darah O boleh menderma kepada orang yang mempunyai darah jenis yang lain. Tetapi, orang mempunyai darah O hanya boleh menerima darah dari jenis O saja.

“Kebetulan...” luah Sofia, agak terkejut.

Kebetulan Zuhayr mengikut jalan pintas itu untuk pulang ke rumah. Sofia tahu Zuhayr bencikan jalan gelap yang bersimpang-siur itu. Kebetulan juga untuk Zuhayr terlanggar beg Elina sehingga memaksa dia memberhentikan kereta. Satu lagi kebetulan apabila jenis darah Elina sama dengan anaknya.

Terlalu banyak kebetulan yang bersimpul sehinggakan Sofia tertanya, benarkah ia satu kebetulan. Barangkali Zuhayr memang ditakdirkan untuk menemui Elina. Barangkali Tuhan ada perancangan lain untuk mereka.

“Tunggu kejap! Apa Hayr cakap tadi? Dia kena bedah. Tapi, bukan kena dapatkan consent keluarga dulu. Keluarga Elina tak di sini... Hayr, did you sign anything?” luah Sofia, bertemankan curiga.

Dahi Zuhayr berkerut.

“Yes, ma. Saya tanda tangan surat kebenaran. Saya beritahu mereka yang perempuan tu isteri saya,” akui Zuhayr.

Semuanya berlaku secara pantas. Dia bimbang kalau pembedahan itu dilewatkan, barangkali wanita yang diselamatkannya akan maut. Sia-sialah usahanya kalau Elina maut dek kerana lambat mendapat rawatan. Dia tak mahu Elina menerima nasib yang sama dengan kakaknya, Suri.

“You shouldn’t, Hayr! Hayr tak ada kuasa nak buat macam tu. Kalau perempuan mati dalam pembedahan macam mana? Siapa yang nak bertanggungjawab? Hayr ada fikir dulu tak sebelum buat keputusan macam tu?” soal Sofia, geram.

“Macam mana kalau dia mati sebab tak sempat dibedah? Nak biarkan dia mati? Sia-sia bawak dia ke hospital kalau dia mati sebab lambat dapat rawatan. Baik Hayr buat-buat tak nampak aje tadi, tak payah bawak dia ke hospital,” balas Zuhayr, berdegil mempertahankan keputusannya.

Sofia menggelengkan kepala. Kecewa dengan tindakan anaknya. Zuhayr patut bertanya pendapat dia dan Hashim terlebih dahulu.

“Takkan nak biar dia mati macam Suri?” balas Zuhayr kembali, cuba meyakinkan mama yang dia telah mengambil keputusan yang tepat.

“Hayr!”

Mata Sofia berpinar sewaktu nama arwah anak sulungnya disebut. Dadanya merasa sebak. Suri tak ada kena mengena dengan perempuan yang bernama Elina itu. Zuhayr tidak patut mengungkit perihal Suri.

Hashim ke depan sedikit. Cuba mengawal keadaan.

“Tu satu keputusan yang berani, Hayr. I’m proud of you. Tapi, uncle rasa Hayr dah letakkan posisi Hayr dalam bahaya. Biar uncle check dengan kawan uncle dulu, tengok apa yang dia boleh tolong,” ucap Hashim.

“Jangan nak galakkan dia buat macam tu, Hashim,” tegur Sofia sambil menjeling ke arah adik iparnya, Hashim.

“Apa Hayr nak buat sekarang?” soal Zuhayr.

“Tunggulah bini kau punya operation. Mama dengan Uncle Hashim kena uruskan all the legal matters.” luah Sofia, menunjukkan muka garang meskipun sebenarnya dia berbangga kerana anaknya telah menyelamatkan satu nyawa. Dia tak mahu Zuhayr menganggap dia menggalakkan anaknya. Tetapi, dalam masa yang sama dia kagum dengan keberanian Zuhayr menangani situasi yang mencemaskan itu.

Zuhayr yang dikenalinya selama ini mempunyai karektor angkuh dan pentingkan diri. Dia jarang untuk menawarkan diri untuk membantu kalau tidak dipinta berkali-kali atau dipaksa untuk menolong seseorang yang bukan ahli keluarganya. Sofia tahu bukan mudah untuk lelaki dengan karektor seperti Zuhayr untuk mengambil berat perihal orang lain. Apatah lagi untuk melawan hemofobianya.

Daun pintu bilik pembedahan terkuak. Seorang pakar bedah melangkah keluar, menuju ke arah Zuhayr.

“Kami dah keluar kebanyakan darah beku yang ada dalam otak dia. Tapi, masih ada blockage.”

“Jadi, macam mana?”

“Saya tak berani cakap apa-apa buat masa ni. Kita kena tunggu dua puluh empat jam lagi untuk tengok sama ada keadaan dia stable atau tidak. Kaki dia patah dan tulang peha retak. Kami dah masukkan plat besi pada tulang dia yang retak. Kalaupun dia selamat, kami takut ada banyak komplikasi lain,” ucap doktor tadi.

“Apa maksud doktor komplikasi lain?” soal Sofia.

“Dia dah alami trauma kuat pada bahagian kepala. Buat masa ini, kami belum dapat pastikan kesannya pada daya ingatan pesakit. Ada kemungkinan dia akan kehilangan memorinya,” jelas doktor tadi.

Zuhayr mengeluh, menongkat kepala sekejap.

“Terima kasih, doktor,” balasnya.

Doktor tadi mengangguk sebelum beredar.

“Mama dan uncle pergi dulu. Kami perlu dapatkan nasihat guaman untuk hal ni. Uncle pun kena balik ke balai. Kami akan hubungi Hayr nanti dan beritahu progress kes ni,” ucap Hashim sambil memerhatikan ke muka jam tangan.

“I’m not leaving him here. Hayr kena balik. Nanti kalau pembunuh tu datang sini macam mana?” luah Sofia, bimbang.

“Nothing will happen, Kak Fia. Inspektor Heidir dah tinggalkan Sarjan Musa dan Sarjan Irwan di sini untuk awasi keadaan di hospital. Kalau Hayr ada apa-apa masalah di sini atau jumpa orang yang mencurigakan, dia boleh beritahu mereka,” luah Hashim.

“No. Lagi better kalau dia balik rehat. Dia pun mesti dah letih. Kak Fia tak nak dia duduk kat sini seorang,” balas Sofia. Setegas manapun dia, jiwanya masih jiwa rapuh seorang ibu. Dia tak mahu apa-apa yang buruk menimpa anaknya. Zuhayr mungkin berani tetapi dia tidaklah sekuat mana.

“Dia akan okay. Jangan risau sangat. Mereka dah letak polis sana sini. Sebelum pembunuh tu sampai pada Elina, dia akan ditahan dulu. Tak siapa boleh sentuh dia ataupun Hayr,” balas Hashim, memberi jaminan.

“I’ll be fine, ma. Janganlah risau,” balas Zuhayr, memujuk.

“Hayr sure?” soal Sofia.

Zuhayr mengangguk.

“Okay, ma. Nanti sebelum Hayr balik, Hayr akan call mama dulu,” balasnya.

“Take care. Don’t do anything stupid,” ucap Sofia sebelum menyusun langkah meninggalkan Zuhayr.

Selepas kelibat mamanya dan Hashim menghilang, dia terus terduduk di bangku semula, memikirkan apa yang seharusnya dilakukan tika itu. Dia buntu. Sejam berlalu. Setiap lima belas minit, dia menghubungi mama, bertanya kalau ada maklumat baru dari siasatan polis.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.