Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,195
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

Bab 9

“Kau janji dengan aku,” ungkit Elina sambil berteriak-tangis.

“Kau janji dengan aku, kau takkan minum lagi. Kau tau arak itu minuman syaitan. Sebelum ni kau janji dengan aku sungguh-sungguh yang kau nak berubah!” luah Elina sambil mengesat air matanya dengan lengan baju.

“El, perkara dah jadi,” pujuk Adi.

Tidak ada sepatah bicara yang diluahkan Benson. Air matanya turut merembes sama, bersama sejuta penyesalan yang sudah tidak ada faedahnya. Lelaki yang dilanggarnya sudah disahkan doktor meninggal dunia tiga puluh minit yang lepas. Nasi sudahpun menjadi bubur sekarang.

Orang yang mati takkan mampu dihidupkan kembali. Tak perlu disogok dengan wang. Tak perlu ditabur dengan emas dan platinum. Orang yang mati tetap mati, sudah sampai ke barzakh. Tak ada jalan lain untuk Benson membetulkan kesilapannya yang satu ini. Ini bukan filem Hollywood yang memungkinkan apa saja.

Mangsa Benson bukan orang asing di kawasan ladang mereka. Namanya Idrus, seorang ustaz, seorang suami dan bapa yang cukup penyayang, seorang yang disegani kerana ketulusan peribadinya. Arwah sanggup berpindah dari Semenanjung ke Tawau untuk berdakwah, untuk mengajak Benson dan teman-temannya bertaubat ke jalan yang benar. Jalan yang diredhai.

Namun, Benson berdegil. Sudah beratus kali dia bertekak dengan Idrus sewaktu lelaki itu mengingatkan dia tentang solat dan puasa. Idrus tak pernah marah. Tak pernah jua mengenal erti putus asa. Dia tetap berdegil untuk menyebarkan dakwah di kawasan pendalaman yang jarangkali diterokai orang bandar.

Idrus baru sudah mengimamkan solat Isyak berjemaah dan dalam perjalanan pulang ke rumah sewaktu dia dirempuh van buruk Benson. Dia dibawa ke hospital oleh beberapa pekerja Frederick. Benson cuba melarikan diri ke dalam ladang selepas kejadian itu tetapi berjaya diburu pihak polis.

Memang mudah menyuarakan penyesalan. Tetapi, insiden yang berlaku bukannya pita video yang boleh dianjak ke depan dan belakang. Ia tak mampu diubah walau dengan sejuta air mata darah sekalipun.

Idrus sudah pergi buat selamanya dari dunia persinggahan ini. Datangnya ke situ dengan nawaitu untuk merubah sifat mereka. Tetapi, dia sendiri terhukum dengan dosa mereka, menjadi mangsa keadaan sedangkan dia tidak pernah meneguk barang setitis air syaitan itu.

“Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa? Bapak dah tinggalkan aku! Mak dah tinggalkan aku! Aku dah tak ada orang lain! Kenapa kau buat aku macam ni?” cetus Elina berulang-kali sambil menumbuk lengan Benson. Geram dan kecewa berkecamuk dalam hatinya.

“El, aku minta maaf. Aku minta maaf. Jangan bencikan aku. Kau kena tolong aku keluar dari sini, El. Aku tak mau masuk penjara. Bunuh saja aku. Aku tak mau masuk penjara,” rayu Benson.

Elina mengesat air mata sekali lagi. Tetapi, tiap kali dia mengesat, air mata yang baru terus tertumpah ke pipi.

“Aku tak mau masuk penjara. Aku tak mau tidur dalam lokap Tolong aku, El,” rayu Benson lagi.

“Aku sudah cuba telefon Uncle Frederick. Dia tak ada. Dia ke Indonesia. Aku minta tolong orang yang lain. Semua tak mahu tolong kau. Aku tak tau nak buat apa lagi. Kita perlukan dua ribu untuk ikat jamin. Dan kita perlukan duit untuk peguam,” luah Elina yang kebingungan.

“Aku ada sikit duit simpanan dari biasiswa. Cukup kalau nak buat duit ikat jamin Uncle Benson. Kau guna duit aku dulu, El,” tawar Adi.

Elina menggeleng. Dia tahu Adi akan memperuntukkan duit itu kemudian. Adi pernah memberitahunya yang dia mahu membeli sebuah kereta di Semenanjung. Adi sendiri bukannya orang senang, bukannya banyak harta yang boleh dicagarkan ketika sesak. Adi sama susah dengannya.

“Ini lagi penting,” gesa Adi.

“Mungkin duit simpanan kau cukup untuk ikat jamin Uncle Benson. Tapi, duit peguam macam mana? Ini bukan perkara main-main, Adi. Kita sendiri tak tau apa lagi yang akan jadi lepas ni,” ungkit Elina.

Adi terdiam. Kalaupun dia ada wang untuk menjamin Benson, simpanannya takkan cukup untuk membayar yuran guaman. Fikiran Adi ligat berputar, mencari resolusi kepada masalah Elina. Apa pun jua yang bakal terjadi, dia tahu dia takkan meninggalkan Elina dalam keadaan segenting sekarang.

“Mana aku nak cari duit sebanyak tu? Kita semua bukan orang senang,” luah Elina sambil mengesak.

Otak Benson ligat berputar.

“Mirah. Mungkin Mirah ada wang untuk bantu kita, Elina. Ya, dia pasti ada,” luah Benson secara tiba-tiba.

Sungguhpun Benson masih marah dan egonya tebal, tetapi dalam keadaan terdesak itu, dia sudah tidak segan untuk meminta pertolongan adiknya itu. Dia tak mahu hidup dalam lokap. Buat seumur hidupnya, itulah kali pertama dia berasa takut sehinggakan terasa seperti mahu membuang air di situ jua.

Mungkin dia seringkali menunjukkan lagak gangster depan rakan-rakannya. Tetapi seumur hidupnya, Benson tidak pernah dihadapkan ke muka pengadilan. Dia tidak pernah digari, terperangkap dalam sangkar besi seperti sekarang. Silapnya selama ini bukanlah silap yang boleh membawanya ke penjara dunia.

Benson takut dengan nasibnya, masa depannya. Dia sudah tua. Dia tidak mahu mati di dalam penjara.

“Tak boleh! Aku tak mahu jumpa perempuan tu lagi,” luah Elina, menghalang sekeras-kerasnya.

“El, tolonglah aku. Dia adik aku, El. Dia pasti tolong aku kalau dia ada wang. Kau beritahu Mirah, El. Kau hubungi dia. Aku yakin yang dia akan berikhtiar untuk tolong aku,” pinta Benson.

“Aku tak mau!” balas Elina.

“Tolong, El. Aku rayu pada kau. Tolonglah hubungi Mirah. Aku yakin dia akan tolong aku kalau dia ada duit. Dia adik aku. Dia takkan biarkan aku begini,” ucap Benson, bersungguh.

“Dia tinggalkan kita dulu? Apa buat kau fikir dia nak tolong kita sekarang?” duga Elina, mengungkit.

“Dia dah berubah...” luah Benson.

“Tak salah cuba kan?” celah Adi.

Elina menongkat kepala, kebuntuan. Ya Tuhan. Sudah bertahun dia tidak bertemu dengan ibu kandungnya Mirah. Mendengar suaranya sendiri umpama satu sumpahan. Bagaikan tedung yang mematuk.

“Tolong, El,” pinta Benson.

“Aku tak mau,” tolak Elina, bertemankan ego yang masih bersisa.

“Dia emak kau, Elina. Dunia dan akhirat, dia tetap emak kau. Kau tak boleh menidakkan yang zahir. Sedangkan kau di liang lahad nanti akan berbintikan dia. Syurga kau di bawah telapak kaki dia.”

“Dia tak pernah berikan aku syurga,” luah Elina sambil menahan sebak.

“Tolonglah, El... Untuk kali ini, tolong aku. Aku yang besarkan kau, pelihara kau sejak kecil,” ungkit Benson.

Tak ada jawapan yang meniti di bibir Elina. Dia mengesat air matanya yang tertumpah. Hatinya terperangkap. Dia tersepit antara kemahuan hati dan permintaan lelaki yang terlalu disayanginya itu.

Lantas, dia terus bangun, meninggalkan Benson. Adi yang mengiringi langkahnya tadi mengejar dari belakang.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.