Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,192
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

Bab 5

Elina melalui pohon-pohon Wakuba yang baru ditanam dalam deretan. Dia membesar dengan benih Wakuba, dengan daun yang merimbun, dengan tanah berbaja. Dia mengenal erti hidup dengan tiap peluh Daeng dan Benson yang mengalir.

Di tubuhnya bukan persalinan yang indah-indah seperti remaja kota. Di kakinya tersarung boot ala-ala Phua Chu Kang versi hitam. Di badannya tersarung kemeja buruk dan seluar Camel yang sudah rabak. Di kepalanya tersarung topi jerami. Di tengkuknya tergantung tuala putih.

“Ning!” laung Elina sambil melompat turun tanpa mematikan enjin motorsikal tua Benson yang dibawa ke hulu hilir.

“Laa..Ning, janganlah merajuk!” keluh Elina sewaktu Ning memalingkan muka, tak mau memandangnya.

“Ning, aku pergi tak lama.Tiga tahun saja. Nanti aku balik, kita juga yang senang kan? Kau tak mau hidup senang dengan aku?” pujuk Elina.

Ning tidak bersuara. Dia memalingkan mukanya ke arah lain pula sewaktu Elina berdiri menghadapnya. Elina mengacah dari depan sewaktu Ning mahu melangkah meninggalkannya.

“Kau tak percayakan aku, Ning?” soal Elina. Dia duduk mencangkung, mendagu depan muka Ning.

“Sampai hati kau, Ning. Aku sayangkan kau. Sayang sangat-sangat. Sampai hati kau tak percayakan aku.”

“Elina, bila kau nak dewasa ni?” soal suatu suara.

Elina menoleh, memandang lelaki bermuka bujur dan berambut belah tepi. Hidungnya penuh dengan peluh.

“Cuba berhenti cakap dengan kambing! Kau ingat Ning ni faham apa kau cakap?” tegur lelaki tadi.

“Eh, Adi! Cuba jangan bising. Suka hati akulah nak cakap dengan siapa pun. Setidak-tidaknya, aku tak cakap dengan semut,” balas Elina.

Adi menepuk dahi.

“Ala, Elina.. Kau ni kan. Tu kan zaman sekolah rendah. Kenapa kau nak ungkit sampai sekarang? Sekarang aku tak cakap dengan semut lagi kan,” ujar Adi sambil tertawa kecil, menahan malu.

“Eh, terasa?” sindir Elina.

Elina mencebik, mengejek Adi sebelum berlari ke motorsikal yang ditinggalkan tadi semula.

Adi mengejar.

“El, nanti!” pinta Adi.

“Malas tunggu kau. Lembab!” cetus Elina, sengaja cari pasal.

“Amboi, bukan main berlagak sekarang. Ni mesti sudah dapat surat tawaran yang kau tunggu-tunggu,” teka Adi.

Elina mengangguk.

“Dah dapat,” jawabnya.

“Jadi orang UK kau nanti. Terus nanti kau tak ingat jalan balik ke sini,” usik Adi meskipun di hatinya dikelar risau, takut kalau-kalau ada sesuatu yang buruk menimpa Elina di perantauan nanti.

Selepas Elina berangkat ke UK, mereka akan hidup berjauhan. Baik Benson mahupun dirinya sendiri takkan mampu menghulurkan bantuan kepada Elina. Tambahan pula Adi bukan internet savvy seperti rakan-rakannya yang lain. Dia masih jakun untuk menggunakan Skype dan Whatapps.

“Tiga tahun, tak lama,” balas Elina.

Elina menguntum senyuman, memandang Adi yang tak pernah berubah dari dulu, masih setia dengan kemeja kotak-kotak masamnya dan boot hitam. Cuma kini Adi sudah memakai braces.

Adi cermat orangnya. Tidak seperti rakan-rakan seusianya yang lain yang menghabiskan duit membeli gadget canggih, dia rajin menabung. Dia membiayai rawatan pergigiannya menggunakan duit scholarship yang disimpannya sikit demi sikit. Selebihnya disimpan di dalam akaun ASB yang menawarkan dividend tinggi.

“Sibuk nak pakai braces,” ejek Elina. Dia sebenarnya merasakan yang susunan gigi Adi tidaklah seteruk mana.

“Biarlah. Nanti cantik macam gigi kau,” balas Adi.

Elina mencebik.

“Kenapa tak sambung di Malaysia saja?” soal Adi, mengubah topik perbualan kepada Elina semula.

“Aku dapat tawaran kampus tempatan juga, Adi. Jurusan penulisan yang aku suka. Uncle Ben lebih suka kalau aku belajar di sini. Tapi, di UK, aku terima tawaran pengajian dalam bidang Actuarial Science.”

“Tapi, kau mahu ke UK kan?” soal Adi.

Elina tidak menjawab.

“Mengaku sajalah,” sindir Adi.

Kali ini, Elina menjawab dengan anggukan.

“Kau tau kan... Memang dari dulu aku minat mengarang, Adi. Tapi, aku mahu lihat negara orang, timba banyak ilmu dan pengalaman. Aku masih ingat cakap Cikgu Ramzi, jauh perjalanan, luas pengalaman. Nanti aku boleh tulis cerita berdasarkan pengalaman aku di sana,” balas Elina.

“Tapi, jangan nanti kau lupakan kami ya,” luah Adi.

Elina melakarkan senyuman.

“Takkan,” balasnya.

“Bila kau balik kampus?” soal Elina.

“Eh, kau ni! Tak sabar nak suruh aku pergi. Aku kan baru balik, El. Bulan depan baru aku balik sana semula,” jawab Adi yang kini sedang menuntut dalam bidang dentistry di Universiti Malaya.

Ya, dia bakal bergelar seorang doktor gigi. Pekerjaan yang cukup popular untuk menjana pendapatan selepas pakar bedah. Namun, tak ramai mampu meneka berdasarkan perwatakan Adi di Tawau. Di situ, dia selalu dengan baju masamnya, dengan jeans lusuh. Dia kelihatan seperti pekerja ladang sepenuh masa.

“Kau tak sayang aku ya, El?”

“Ah, sayang kau buat apa?!” cetus Elina.

“Elina!” panggil Adi sewaktu motorsikal Elina baru mahu bergerak.

Elina berhenti.

Dalam keadaan serba-salah, Adi memaksa dirinya meluahkan bicara yang sejak tadi tersangkut di anak tekak. Dia tahu Elina akan marah. Tetapi, kerana janji, dia harus mengotakannya jua.

“Mak kau kirim salam,” ucap Adi.

“El!” laung Adi apabila Elina tidak menghiraukannya, seolah-olah tidak mendengar bicaranya tadi.

Elina tidak menyahut.

“Dengar tak kau?” soal Adi.

Elina menjeling. Emak? Emak mana? Dia tidak punya emak. Dia tidak perlukan emak. Selama ini juga dia hidup tanpa belaian kasih emaknya. Dia bagaikan yatim piatu meskipun emaknya masih hidup.

Kalau dulu Mirah sanggup membuang dia dan bapanya kerana lelaki asing yang akhirnya menjadikan dia tak ubah seperti perempuan murahan, apa Mirah fikir dia akan menerima Mirah semula?

Kenapa baru sekarang Mirah mahu mengirim berita? Kenapa tidak dari dulu lagi? Setelah bertahun dirinya dipinggirkan, Elina tidak mendambakan lagi walau secalit kasih Mirah. Dia lebih suka kalau nama Mirah tidak disebut lagi di depannya.

Apa Mirah fikir dosanya akan mampu ditebuskan dengan ucapan maaf, dengan kiriman salam selepas bertahun-tahun menghilangkan diri? Dia tak perlukan Mirah lagi. Dia sudah biasa hidup tanpa emaknya.

“Aku tak tau apa kau cakap,” ucap Elina tanpa memandang Adi.

“Kau tau! Aku cakap pasal emak kau, El. Aku bercakap tentang Mirah,” balas Adi, menggesa dia mengakui statusnya sebagai anak.

“Aku tak ada emak,” balas Elina.

“El, jangan cakap begitu, El. Anak derhaka kau. Tak cium bau syurga kau nanti tau,” tegur Adi, terkejut dengan jawapan Elina.

Semarah mana pun Elina pada Mirah, wanita itu tetap ibunya. Mirah yang mengandungkan dan melahirkannya.

“Kalau dia boleh buang aku sebab seorang lelaki, kenapa aku tak boleh buang dia? Apa lagi hak yang dia ada sebagai seorang ibu? Dia bunuh bapak aku. Dia zalim, Adi!” luah Elina dalam nada keras.

“Itu urusan dia dengan TUHAN, El,” tegas Adi.

Elina masih tak mahu memandangnya. Bebal. Pandangan Elina terlempar jauh ke depan.

“Lagipun, dari cara dia bercakap hari tu, aku yakin dia sekarang ni sudah insaf, El,” balas Adi.

“Baik, kalau kau nak aku terima dia semula, aku boleh terima dia. Tapi, ada syaratnya.”

Adi tergamam. Takkan untuk memaafkan ibu sendiri memerlukan syarat.

“Cakap dengan dia, aku nak dia mintak ampun dari bapak aku. Kalau dia nak tebus silap dia, kau suruh dia hidupkan bapak aku balik. Kau beritahu dia aku apa aku minta. Suruh dia tunaikan,” balas Elina.

“El,” panggil Adi dalam nada kesal.

Mustahil orang yang sudah mati boleh dihidupkan semula. Alam mereka dan Daeng tak lagi bersatu.

“Jangan macam tu, El,” pujuk Adi.

“Jangan macam apa?!” soal Elina dalam nada garang.

Adi terdiam.

“Aku takkan lupakan apa mak aku dan lelaki itu dah buat pada bapak. Kalau ditakdirkan mereka muncul depan aku kembali, aku akan balas perbuatan mereka, Adi. Mereka patut bersyukur mereka tak ada depan aku sekarang!”

Adi terdiam.

Tanpa sepatah bicara, Elina memecut motorsikalnya laju-laju, meninggalkan Adi yang tercegat di situ dengan kambingnya, Ning.

Adi teringat sejarah hitam Elina. Gadis itu sudah kehilangan ibunya sejak kecil kerana api dendam yang menyala-nyala dalam dirinya. Adi kasihan. Nasib mereka serupa meskipun ibu Elina masih hidup. Dia tahu perit yang diperam Elina selama ini. Ibu Adi sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas akibat barah payudara.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.