Bab 4
Pada usia tujuh tahun, aku kehilangan lelaki yang bergelar ayah, kawan baik dan pelawak terbaik yang pernah aku kenali. Matinya di tangan seorang wanita yang sepatutnya membelai dan menjaganya sehingga ke akhir waktu. Matinya dalam keadaan yang cukup menghibakan, ditinggalkan bagaikan sampah di jalanan oleh isteri yang dinikahi dan dicintai sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.
Meskipun dia sudah pergi dari alam nyata, di dalam hatiku, dia masih tetap hidup sehingga kini. Aku masih ingat senyuman yang terlakar di muka cengkungnya. Aku masih ingat sentuhan tangan kasarnya. Aku juga masih ingat pelukan suamnya yang membuatkan aku tenang selalu.
Masih segar dalam ingatanku, tika dia masih ada di sini, di sisiku. Dari keringatnya, aku belajar erti ketabahan. Dari genggaman tangannya aku belajar nikmat memberi tanpa mengharapkan balasan. Aku masih ingat kenangan sewaktu aku membawakan bekalan makanan untuknya semasa dia bekerja di ladang. Sewaktu dia sedang mengait buah kelapa sawit dengan galah besi yang panjang.
Ada tali coklat yang dibelit-belit di pergelangan tangannya, kononnya mahu menambah keteguhan tangannya mengangkat galah berat itu. Sedang dari raut wajahnya, aku mampu melihat betapa seksanya dia berperang dengan perit untuk mencari sesuap rezeki yang halal untuk kami sekeluarga. Aku tahu dia memaksanya dirinya setiap hari meskipun kesihatannya terjejas. Dia lelaki paling tabah yang pernah aku temui seumur hidupku.
Hidup matinya di ladang ini. Ladang yang banyak melimpahkan jasa ke dalam hidup kami. Aku masih ingat buah-buah kelapa sawit yang telah dikaitnya yang akan dikumpulkan di tepi pokok, sebelum dikaut jentera kecil yang dipanggil mechanical buffalo. Buah-buah kelapa sawit yang dikait ayahku akan diangkat Uncle Benson dengan batang besi yang mempunyai mata tirus. Matanya direjam ke buah sebelum diangkat naik ke atas Buffalo.
Buah-buah yang sudah diangkut akan dibawa ke jalan yang lebih lebar, yang boleh dilalui lori. Kemudian, tiap satu buah yang beratnya berpuluh kilo itu dibawa ke kilang. Di sana, Uncle Frederick menanti, untuk menimbang berat buah-buah kelapa sawit sebelum diproses, diurai kepada pelbagai bahan baru.
Setiap dua jam, mandor ladang akan datang melawat untuk memastikan tidak ada pekerja yang makan gaji buta. Mereka akan membawa golok panjang dan alat pengesan GPS. Dengan cara itu, mereka sendiri tidak dapat curi tulang. Tiap pergerakan mereka akan diawasi sistem kawalan utama pemilik ladang kelapa sawit melalui gps yang dibawa bersama semasa rondaan.
Tugasan di ladang bukanlah tugasan mudah.Tetapi, arwah ayahku, Daeng tak pernah mengeluh. Atau barangkali dia berdiam diri kerana dia tidak mampu mengeluh. Bibirnya tak mampu mengungkap bicara.
Bapaku bisu. Telinganya pekak. Dia bersuara dengan bahasa yang hanya difahami segelintir. Tetapi, aku tetap suka berbual dengannya walaupun aku tahu bicaraku takkan dibalas dengan suara. Tujuh tahun aku hidup bersamanya. Aku memahaminya melalui air muka, melalui gerak tubuh. Aku tidak mengerti mengapa Mirah yang lebih lama meluangkan masa dengannya tak pernah faham.
Aku selalu membacakan buku-buku cerita yang kupinjam dari perpustakaan di sekolah kepadanya meskipun ayahku tak mampu mendengar. Harapanku, satu hari nanti, mungkin ayahku akan mampu membaca sendiri. Mungkin, selepas itu, Mirah takkan menghinanya lagi. Barangkali dengan cara itu, Mirah akan belajar menghormati bapaku seperti isteri-isteri lain menghormati suami mereka.
Tetapi, harapan hanya tinggal harapan. Kini, aku kehilangan seorang bapa yang teramat aku hormati. Bapa yang rela mengorbankan segalanya untukku. Mirah memilih jalan yang tak pernah terjangkau dek fikiran aku dan Daeng. Dia memilih untuk meninggalkan kami untuk lelaki yang baru dikenalinya dua minggu.
Murah sungguh harga cintanya. Hati yang pernah diberikan kepada bapaku dikaut kembali. Lantas dihulurkan pula buat lelaki bandar itu. Aku disingkirkan dari hidupnya sewaktu aku mendambakan kasih seorang ibu. Baginya, aku hanyalah budak kecil yang menyusahkan hidupnya.
Aku tidak akan lupa hari itu, detik itu. Detik hitam yang meninggalkan noda besar dalam hati kecilku.
“Karma, Elina. Karma. Yang buruk pasti dibalas buruk.”
Kata-kata Uncle Frederick yang pernah menjengah ke telingaku kini terngiang lagi. Benar. Ada balasan kepada tiap satu perbuatan kita. Tak ada jalan keluar dari balasan Tuhan. Dia Maha Berkuasa. Aku yakin satu hari nanti, mereka yang menyeksa bapaku akan menerima balasan yang setimpal.
Bunyi deruman enjin mechanical buffalo mengejutkan Elina. Lamunannya mati. Matanya menangkap imej jentera kecil itu dari jauh. Tangannya terketar sewaktu memegang artikel surat khabar lama yang dimulai dengan ayat, ‘Husband killer Mirah Anak Sadong admits to murder but pleads not guilty, citing self-defense’.
Dalam keadaan kalut, Elina menempatkan semula artikel yang sudah kekuningan itu ke dalam diarinya. Diari itu dikatup dan ditempatkan di sebelahnya. Dia tahu Benson takkan memeriksa isinya.
“Tunggu aku?” soal Benson.
Elina tersenyum.
“El dah dapat tempat di universiti,” ucap Elina, mengubah topik perbualan mereka sambil melambaikan sampul putih yang dibawa bersamanya di depan Benson.
Air muka Benson bertukar ceria.
“Bila?” soal Benson.
“Dari minggu lepas,” jawab Elina.
“Baru sekarang kau beritahu aku, El. Mana? USM? UM? UMS?” soal Benson, tidak sabar.
“UK,” jawab Elina.
“UKM? Bagus universiti tu. Sudah apply PTPTN? Aku ada simpanan sikit ni. Nanti aku bagi,” ucap Benson dalam nada ceria.
Benson mengesat peluh di dahinya dengan tuala putih yang mempunyai tulisan Cina warna merah.
“UK. Bukan UKM. United Kingdom,” balas Elina, membetulkan tekaan Benson tadi.Dia mendapat tempat di University of Reading di West Berkshire.
Benson terdiam. Dia tidak menyangka yang anak saudaranya akan memohon melanjutkan pengajian di UK setelah mendapat tajaan pemilik ladang tempat dia bekerja, Frederick untuk menyudahkan A-Levelnya.
“Kau fikir baik-baik, Elina. Takkan Frederick tu nak menanggung kau selamanya? Dia sudah banyak tolong kita. Kau jangan minta lebih-lebih. Aku malu dengan dia. Kita biar susah tapi jangan jadi orang yang menyusahkan orang lain,” ucap Benson, agak terkilan dengan tindakan Elina.
Benson mengharapkan anak saudaranya itu menyambung pengajian di Malaysia sahaja. Pengajian institusi pengajian awam di Malaysia mempunyai pembiayaan penuh dari PTPTN. Lagipun, tarafnya setanding dengan universiti di luar Negara.
Sudah ramai orang luar yang datang belajar di negara mereka. Di Malaysia juga ada kampus-kampus universiti luar. Contohnya Monash University yang sudah membuka kampus di Malaysia. Malahan sudah banyak institusi pengajian tinggi di negara mereka yang menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Bukan mau suruh Uncle Fred tanggunglah. Elina sudah dapat scholarship. Pengajian di sana ditanggung penuh, Uncle Ben. Wang makan pun dibiaya. Tak payah kita nak risau tentang wang,” jawab Elina.
“Betul?” soal Benson, terkejut.
“Betul,” balas Elina
“Hebatnya kau ni!” puji Benson sambil ketawa. Dia mengusap perut buncitnya, gembira dengan pencapaian Elina.
“Bila kau mau pergi?”
“Tiga bulan lagi. Tapi, baru tadi saya terima satu lagi surat. Saya dapat tawaran dari UiTM juga, jurusan penulisan. Uncle tau saya minat mengarang. Jadi, berat rasa hati,” balas Elina.
“Habis?”
“Entah. Bukan senang nak dapat tawaran dari UK,” balas Elina.
“UiTM juga bukan senang kan?” ungkit Benson.
Elina mengangguk.
Benson mengeluh. Tangannya dilabuhkan atas kepala Elina.
“Jangan pergi jauh, El. Kau belajar di Malaysia sajalah. Nanti aku boleh pergi lawat kau. Aku ni dah tua, El.”
“Kalau El pergi, pasti El akan balik juga ke sini. El akan bawa uncle ke mana saja El kerja nanti. Takkan selamanya uncle nak kerja di ladang? Nanti ikut El saja ya,” cantas Elina, memberi jaminan.
“Suka hati kaulah. Tapi, aku ni lebih suka kalau kau ada dekat dengan aku, El. Tenang hati aku,” balas Benson.
Elina mengeluh sekali.
Motorsikal buruk yang tadi duduk tersadai di sebelah batang pohon Wakuba mati diangkat tongkatnya.Elina membonceng naik tanpa rasa bersalah kerana tidak memiliki lesen. Dia sudah mula membawa motorsikal sejak di tingkatan tiga tetapi tidak pernah disuruh memohon lesen. Benson tak pernah memperuntukan wang untuk tujuan itu.
Kata Benson, mana ada Pak Trafik yang mahu menjengah masuk ke kawasan pendalaman di Sabah itu. Untuk mendapatkan petrol sendiri mereka hanya membeli di kaki lima, minyak petrol yang dijual dalam botol-botol minuman bersaiz satu dan dua liter. Tak ada stesyen minyak di kawasan kediaman mereka melainkan kalau mereka ke Pekan.
“Mau ke mana kau?” soal Benson.
“Jumpa buah hati aku,” jawab Elina.
Benson tergelak.
Buku catatan dan surat tawarannya dimasukkan di dalam raga motorsikal. Elina menghidupkan enjin motorsikal.