Bab 17
Beginikah nasibku? Mati keseorangan di sini. Dalam sejuk yang mengigit sampai ke tulang. Tanpa wajah yang aku kenali. Apa yang aku tinggalkan pada dunia untuk membuktikan kewujudanku?
Kosong. Pemergianku tidak akan ditangisi, tidak akan dirindui. Kewujudanku akan hilang dengan waktu, puput dari memori mereka yang mengenaliku, bukti yang aku tidak signifikan kepada dunia. Aku ada ataupun tidak, tak mampu mengubah apa-apa. Mereka akan melupakan aku dalam sekelip mata.
Mungkinkah diri ini akan dirindui? Mungkinkah kala ini ada yang sedang mencariku, sedang menjejak di mana aku? Atau barangkali aku sudah dilupakan. Barangkali aku akan tertinggal di sini sampai menjadi rangka.
Kalau aku ditemui esok, mungkin kisahku akan terpampang di dada akhbar. Pelbagai spekulasi akan menyengat telinga. Akan ada manusia-manusia yang berkisah tentang aku dengan rakan-rakan untuk seminit dua. Tetapi, pasti ia takkan berlanjutan lebih dari sehari. Akan ada berita lebih sensasi hari berikutnya.
Lusa, surat khabar itu akan dijadikan pembungkus nasi lemak dan seterusnya dicampak dalam tong sampah. Kisahku akan mati di situ. Kes aku barangkali akan ditutup. Irman barangkali akan terlepas lagi seperti dia terlepas sebelum ini. Dia lincin bagaikan lintah, susah hendak ditangkap.
Murah sungguhkah nyawa manusia di mata manusia yang lain? Hina sungguhkah diriku? Aku juga seperti manusia yang lain, tidak dilabel dengan darjat dan status sewaktu membentuk menjadi embrio dan fetus. Aku juga dikandungkan sembilan bulan di dalam rahim emakku, dikeluarkan dengan payahnya sebelum dapat melihat dunia.
Jadi, mengapa aku dihinakan walaupun kejadianku suci, sama seperti makhluk-makhluk ALLAH yang lain? Apa lebihnya mereka yang lain? Apa kurangnya diriku? Adakah kerana aku bukan anak Datuk, anak Tan Sri?
“Kau sayang aku kan, El?” soal Adi.
Elina mengangguk.
“Jadi, janji dengan aku, jangan sesekali berputus asa dalam hidup. Tak kira apa pun yang jadi, kau mesti terus hidup,” pinta Adi.
Perbualannya dengan Adi terimbas dalam kotak memori yang sakit. Air matanya merembes lagi. Dia sedaya upayanya mencari ingatan yang jernih untuk mengiringi pemergiannya. Tetapi, yang datang semuanya kelam. Segalanya jauh lebih pahit dari rasa hempedu.
Ya ALLAH, mengapa sehebat ini dugaan yang kau berikan padaku? Aku belum bersedia untuk mati. Masih banyak impianku yang belum terjejak menjadi realiti. Selamatkanlah aku. Bisik hatinya.
Hidup Elina kosong. Kosong sekosong-kosongnya. Kehilangan itu selalu mengiringi hidupnya. Segala yang diimpikan hilang satu persatu. Dia teringatkan surat tawarannya ke UK, scholarship yang sepatutnya membuka jalan untuk dia memulakan hidup baru. Ia sepatutnya membantu dia keluar dari belenggu miskin. Ia akan menganjak dia ke suatu tahap yang diidam-idamkan selama ini.
Kemudian, dia teringat Adi yang selalu membawa tawa dalam hidupnya yang kusam dengan warna. Adi yang penyabar. Adi yang seringkali mendengar. Adi yang tak pernah meminta upah sewaktu menyumbang jasa ke dalam hidupnya.
Selepas Adi, dia teringat pula yang dia tidak sempat meminta ampun dari Benson atas ketelanjuran kata-katanya di malam kemalangan itu. Dia menjadi punca Benson naik berang. Dia sepatutnya terhukum sama.
Kemudian, dia teringat pula yang dia tidak sempat menyentuh tangan Mirah, memeluk tubuh dan mengucup pipi emaknya. Dia tidak sempat meminta ampun kerana membiarkan busut benci kebal dalam benaknya sejak kecil. Benar kata Benson, seburuk manapun Mirah, wanita itu tetap ibu kandungnya. Mirah wanita yang mengandung dan melahirkan dia.
Mati. Siapa yang tidak takut pada mati? Bersediakah kita untuk meninggalkan bumi sementara ini, meninggalkan insan-insan yang kita kasihi? Hidup terus menganjak ke depan, bukan seperti kereta yang boleh direverse kembali. Masa akan terus berlalu, pergi dan tak pernah kembali.
Kata orang masa itu emas. Tetapi sebenarnya tidak. Masa itu nyawa. Kerna emas boleh dibeli sedangkan nyawa tidak. Itu kata Cikgu Ramzi kepada dia dan teman-teman sekelasnya dulu. Cikgu Ramzi selalu mengingatkan mereka yang tiap saat dalam hidup perlu diisi dengan sesuatu yang bermakna.
“What the hell?!” jerit Zuhayr apabila keretanya terlanggar satu bonjolan yang terdampar atas jalan.
Zuhayr menekan brek secara mendadak. Dia melangkah turun dari kereta, tergesa-gesa memeriksa apa yang dilanggarnya tadi, takut-takut kalau ada manusia atau binatang liar jadi korban.
Kepalanya ditundukkan ke bawah, melihat objek berbonjol itu. Dia segera menariknya keluar dari bawah kereta. Zuhayr melepaskan nafas lega apabila melihat objek yang dilanggarnya tadi.
“Beg rupanya. Bodoh benar. Siapalah yang tercicir beg atas jalan. Ni mesti orang bawak motorsikal. Beg tak nak ikat elok-elok. Menyusahkan aku aje nak hantar ke balai. Sudahlah aku dah lambat. Nanti tak pasal-pasal mama mengamuk,” bebel Zuhayr sambil melangkah masuk ke dalam keretanya semula.
Zuhayr mencampakkan beg tadi ke atas seat dalam keretanya, seat sebelah seat pemandu. Ada keluhan yang dilepaskan lagi sebelum menurunkan handbrake. Dia mahu segera beredar dari kawasan sunyi itu. Kawasan yang selalu dilabelkan orang sebagai tempat jin bertendang.
“ALLAH!” jerit Zuhayr apabila melihat melalui cermin depan, terang dan jelas di bawah lampu keretanya. Ada kaki manusia yang terjulur keluar dari semak-samun di bahu jalan. Dia mengucap dua kalimah syahadah.
Dari mana datangnya? Siapa pemiliknya? Mungkinkah makhluk yang cuba menyakatnya bukan manusia?
Ya Tuhan. Lelaki yang cetek ilmu agama sepertinya tidak dapat memikirkan apa-apa dalam suasana kritikal itu. Satu-satunya doa yang diingatinya tika itu hanyalah doa makan. Menyesalnya Zuhayr kerana memandang ringan ajaran Ustazah Suraiya di sekolah. Nah, sekarang rasakan!
Zuhayr tak punya pendinding yang cukup kuat untuk menghadapi makhluk itu. Ditemani rasa takut yang teramat, bibir Zuhayr terkumat-kamit membaca doa makan berulang-kali. Mujurlah dia tidak terkencing dalam seluar dek kerana terlalu takut. Kalau tidak, pasti hancing kereta mamanya.
“Tak boleh jadi ni,” ucap Zuhayr apabila melihat kaki itu masih ada meskipun dia sudah menanti selama beberapa minit.
Zuhayr terus menekan keyboard androidnya, terus ke youtube dan memasang Ayatul Kursi kuat-kuat.
“Ambik kau! Nyah kau setan! Nyah! Nyah! Jangan kacau aku! Terbakar kau nanti!” jerit Zuhayr sambil memejamkan mata dan menghalakan androidnya ke depan seolah-olah itu cara yang efisien untuk menghalau hantu.
Zuhayr membuka matanya semula. Kaki tadi masih ada. Dia menekan minyaknya, memecut. Tetapi, selang beberapa saat kemudian, dia mengundurkan keretanya kembali. Dalam rasa takut yang menyengat, dia menggagahkan kakinya keluar semula dengan torch light besar yang disimpan dalam kereta dan sebatang kayu hoki.
“Kalau kau syaitan, pergi jauh-jauh, aku ada youtube! Banyak ayat Al-Quran dalam youtube, tau tak?! Kalau kau manusia, tolong bersuara!” jerit Zuhayr, sambil membiarkan daun pintu keretanya ternganga. Dia memejamkan mata sekejap.
“Apasal dia tak cakap?” luahnya dalam nada terketar. Dia membuka matanya perlahan-lahan.
“Takkan hantu?”
“Manusia,” ucap Zuhayr apabila melihat tubuh wanita yang terbaring dalam semak, hanya dilitupi kain batik yang sudah terdedah.
Kain batiknya tidak diikat pada kedudukan yang betul, membuatkan Zuhayr malu untuk menatap tubuh yang terbaring dalam keadaan yang mengaibkan itu. Dia hanya memandang bahagian muka wanita itu sampai ke bahu. Ada darah likat yang meleleh keluar di bahagian kepalanya. Pipi dan bahu wanita itu calar balar.
“Eee…darah,” luah Zuhayr takut.
Meskipun dia selalu berlagak macho di kolej, tak ramai yang tahu Zuhayr sebenarnya takut dengan darah. Ya. Dia menghidap penyakit psikologi yang dipanggil hemofobia sejak mukanya terpercik darah ayam sewaktu di sekolah rendah. Kejadian itu berlaku semasa dia disuruh memegang ayam yang hendak disembelih oleh ayah saudaranya, Hashim.
Zuhayr terus bangun untuk beredar. Dia takut kalau-kalau pemangsa yang meninggalkan tubuh itu di sana masih memerhati. Nanti tak pasal-pasal dia pula menjadi mangsa keadaan.
Tetapi, belumpun menapak jauh, rasa kesian pula yang menyelinap ke dalam hatinya. Dia teringatkan arwah kakaknya. Bagaimana kalau keluarga gadis itu sedang menunggu kepulangannya di rumah? Mungkin Zuhayr akan mencipta satu lagi Suri jika dia membiarkan nasib gadis itu terabai.
Zuhayr mencangkung sambil meletakkan jarinya ke depan hidung wanita itu. Dia mahu memastikan sama ada gadis itu masih bernyawa ataupun tidak.
“Alhamdulillah. Hidup lagi,” tambah Zuhayr apabila mengesan hembusan nafas lemah dari lubang hidung Elina.
Zuhayr menanggalkan jaketnya dan melabuhkan atas tubuh Elina. Dia kembali semula ke kereta, membuka pintu belakang keretanya luas-luas sambil mencapai bantal neck holder dalam keretanya. Dia meletakkan dulu bantal itu ke leher Elina, takut kalau ada tulang leher yang patah dan akan menjejaskan organ dalamannya kalau tidak disokong. Perlahan-lahan dia mengangkat tubuh Elina dan memasukkan ke dalam ruangan belakang.
Zuhayr memecut keretanya ke hospital. Dia menyalakan spotlight kereta mamanya. Habis semua kereta di depannya dihon, meminta mereka memberi laluan. Lagaknya tak ubah seperti kereta ambulan yang sedang bekejar ke hospital. Tak cukup dengan kereta-kereta atas jalan, sampai saja di hospital, ambulan sendiri dihonnya. Dia membuka tingkap, memberi arahan kepada semua pejalan kaki yang melintas agar ke tepi.
“Tepi! Tepi!” jerit Zuhayr.
Zuhayr tak dapat berfikir dalam suasana yang kalut. Dia memberhentikan kereta betul-betul di depan pintu kecemasan hospital sambil menekan hon keretanya berulang-kali sehingga beberapa orang petugas keluar. Apabila melihat darah likat di kepada gadis di seat belakang kereta mamanya, Zuhayr jadi bertambah tak keruan.
“Tolong! Cepat! Cepat! Tolong!” jerit Zuhayr, bagaikan orang terkena hysteria, nadanya kuat sampaikan menarik perhatian ramai orang.
Tubuh Elina dikeluarkan dari ruangan belakang kereta Zuhayr, dinaikkan di atas stretcher dan ditolak ke bilik rawatan kecemasan. Beberapa orang doktor berlari ke dalam. Zuhayr terduduk atas bangku panjang di luar.
Handphone Zuhayr berdering. Dia segera berlari keluar dari hospital sebelum menjawab panggilannya.
“Hayr, where the hell are you? Mana kereta mama? Mama suruh you pick up Dahlia pukul enam. Kawan mama kat kedai grooming cakap you ambil Dahlia pukul sepuluh. Sekarang dah pukul 12 malam, Hayr? Mana Dahlia?” cetus mamanya, Putri Hijrahtul Sofia binti Megat Hamzah.
Suara jeritan mama menghantarkan impuls keras ke otak Zuhayr. Dia terus tersentak dari lamunan.
Zuhayr menjadi semakin kalut. Macam manalah dia boleh melupakan suruhan mama. Malahan dia tidak teringat langsung untuk menelefon ke rumah dan memberitahu mama tentang gadis tadi.
Zuhayr tertelan air liur. Dia tak teringat langsung tentang Dahlia tadi. Tanpa melengahkan masa, dia terus meluru ke arah kereta mama yang dipandunya sebelum menempek mukanya ke cermin tingkap. Barulah dia teringat yang dia tidak membawa sangkar seperti yang disuruh mama semasa keluar rumah.
Selepas menjemput Dahlia, dia melepaskan kucing itu berlegar di dalam kereta mamanya. Kemudian, dia menghantar cd ke rumah rakannya di kawasan Cheras sebelum singgah minum di kedai mamak. Sewaktu dia masuk ke kereta selepas memulangkan cd Haiza, dia ada mengintai ke belakang. Dahlia masih ada tika itu.
Zuhayr kemudian terus terlupa tentang Dahlia yang ditinggalkan dalam kereta. Mungkin kerana Dahlia hanya diam. Dahlia tidak mengiau seperti selalu. Barangkali kucing itu pening kerana dia memandu terlalu laju.
Tadi, sewaktu dia mengangkat tubuh gadis itu, dia membiarkan pintu keretanya ternganga sekejap. Zuhayr terus bergegas ke hospital selepas memasukkan gadis itu ke ruangan belakang. Dia tidak memeriksa sama ada Dahlia masih ada di ruangan belakang ataupun tidak. Mungkinkah…
“Hayr!”
“Ma, I think I’ve lost your cat…”
“Muhamad Zuhayr!!!” jerit Sofia. Dia melurut-lurut dadanya yang berombak dengan nafas marah.
“Mama bagi kerja yang paling senang untuk kau. Mama suruh kau ambil kucing, bukannya suruh kau pergi lombong emas atau perak. Macam mana boleh hilang? Kau kat mana sekarang?!”
“Bukan itu saja, ma...”
“Apa lagi?!” soal Sofia.
“Saya…er... saya dah kotorkan seat kereta mama,” tambah Zuhayr sambil memandang darah likat pada seat belakang kereta mama.
“Apa kau dah buat?!” soal Sofia dalam nada garang.
“Saya tolong orang yang kena bunuh. Tapi, tak mati...”
Sofia tersentak.
“Apa?!”
“Err...Maksud saya dia kena bunuh tapi tak mati. Kemudian, saya jumpa dia tepi jalan dan masukkan dalam kereta mama. Saya rasa ni kes body dump. Saya nak buat tak nampak. Tapi, dia masih hidup masa saya jumpa. Jadi, saya terpaksa bawa ke hospital. Saya masih kat hospital sekarang, ma,” jelas Zuhayr kalut.
Cara percakapannya terlalu laju, cukup mengelirukan. Sampaikan ibunya ternganga sendiri.
“Hayr,” panggil Sofia.
“Yes, ma,” luah Zuhayr.
Peluh sejuk mengalir turun dari dahi lincin Zuhayr. Fringe rambutnya sudah kuyup dengan peluh.
“Slow down. Tenang. Beritahu mama apa dah jadi?” pinta Sofia yang keliru meskipun anaknya sudah bercerita dengan panjang lebar.
“Saya jumpa mangsa bunuh yang masih hidup. Saya ada di hospital sekarang,” luah Zuhayr, kali ini lebih pendek dan jelas.
“Hospital mana?”
“Hospital mana ntah, dekat dengan rumah lama Uncle Hashim tu. Nanti saya send alamat,” jawab Zuhayr.
“Hayr bukan tengah bergurau dengan mama kan?!” soal Sofia, berbaur ugutan. Seolah-olah mahu menyampaikan ‘nahaslah kau kalau kau menipu’.
“Tak, ma. Hayr serious ni,” jawabnya.
“Mama rasa mama tau hospital mana. Tapi, to be safe, smskan alamatnya. Mama akan ke sana dengan Uncle Hashim,” balas Sofia sebelum mematikan talian.
“Dan Hayr…”
“Ya, ma,” sahut Zuhayr.
“Awas kalau Hayr tipu mama!” ugut Sofia sebelum mematikan talian.
Zuhayr menggelengkan kepala, kesal kerana mama tidak mempercayainya. Takkanlah dia hendak menipu mengenai perkara seserius itu. Tak masuk dek akal. Zuhair menangkap gambar nama hospital yang tertera pada dinding bangunan dan mengirimkannya dalam bentuk mms kepada Sofia.
“Encik Zuhayr!” panggil salah seorang petugas hospital yang sedang berlari ke arah Zuhayr.
“Ya?” sahut Zuhayr.
“Kami perlukan tanda tangan...”
“Tanda tangan apa?” soal Zuhayr, terkejut.
“Kami perlukan tanda tangan waris untuk benarkan kami jalankan pembedahan ke atas pesakit.”