Bab 20
“Elina,” panggil Zuhayr setelah jururawat menolak daun pintu.
Pandangan Elina kosong, sekosong hatinya. Dia menatap wajah itu lama, mencari wajah Zuhayr dalam kotak memorinya.
Ah, tidak. Dia tidak ingat. Dia tidak ingat siapa gerangan Zuhayr. Malahan dia tidak ingat siapa dirinya sendiri. Dia tak tahu namanya adalah Elina kalau tidak diberitahu oleh doktor yang merawatnya.
“Saya tak ingat siapa awak,” luah Elina.
Zuhayr menguntum senyuman.
“Tak apa. Saya tak kisah. Tenangkan diri awak. Yang penting sekarang, awak dah selamat. Kita akan kutip balik memori awak dulu satu per satu. Okay?” pujuk Zuhayr, memandang wajah pucat yang hanya terbaring itu.
“Betul awak ni suami saya?” soal Elina.
Soalan itu membuatkan Zuhayr berdebar.
“Awak rasa?” soal Zuhayr, sedikit gugup tetapi masih cuba berdalih. Dia duduk di sisi Elina.
“Apa dah jadi pada saya? Kalau awak betul-betul suami saya, mesti awak ada jawapannya kan?” duga Elina.
Fikiran Zuhayr berputar pantas, mengingati amaran doktor tadi. Dia kebingungan. Perlukah dia memberitahu perkara sebenar kepada Elina sekarang? Satu penipuan akan membawa kepada penipuan yang lain. Penipuan hanya akan merumitkan keadaan yang sedia ada. Zuhayr tahu itu.
Tetapi, dalam masa yang sama, dia tak mahu dihurung rasa bersalah kalau ada kecelakaan yang menimpa Elina disebabkan dia. Satu keajaiban Elina berjaya dipulihkan, masih mampu berbicara seperti sekarang. Sangkanya Elina akan mati setiba di hospital dek kerana keadaannya yang kritikal.
Pasti ada sebabnya nyawa Elina dipanjangkan. TUHAN Maha Adil. DIA pasti ada perancangan yang terbaik untuk umat-umatNYA. Zuhayr yakin yang ada hikmah di sebalik pertemuan mereka. Dia rasa sedikit terubat kerana berjaya menyelamatkan Elina setelah gagal menyelamatkan kakaknya sendiri.
“Elina accident,” jawab Zuhayr.
“Saya tak boleh jalan lagi ke? Saya akan cacat ke?” soal Elina sambil memandang ke kakinya yang berbalut, digantung.
“Hayr tak pasti. Elina masih hidup ni dah cukup ajaib. Waktu Hayr hantar Elina ke hospital, keadaan Elina parah,” cerita Zuhayr.
Elina terdiam, lama dia berfikir. Segalanya masih kabur. Dia tidak mengingati apa-apa sehingga ke saat ini.
“Elina, jangan banyak fikir. Sama ada Elina boleh jalan semula atau tak, itu dah jadi soal yang kedua. Yang penting sekarang, Elina selamat. Elina masih hidup. Tu lebih penting kan?” pujuk Zuhayr.
Elina sebak. Air matanya merembes keluar. Dalam rasa sedih dan kecewa yang teramat, dia masih cuba berfikiran positif. Dia masih memaksa diri menguntum senyuman. Pasti ada yang jernih di sebalik segala yang keruh. Pasti ada hikmah di sebalik dugaan yang TUHAN galaskan ke bahunya.
“Sa..Saya tak ingat apa-apa pasal awak. Tapi, saya ni mesti perempuan yang bertuah sangat. Ada suami yang risaukan saya, tunggu saya di hospital. Terima kasih, Zuhayr. Terima kasih sebab jaga saya di sini.”
Zuhayr tidak membalas.
“Terima kasih...” ucap Elina.
Zuhayr gugup. Dia diamuk rasa bersalah. Ya. Dia tidak seharusnya menipu. Dia tak sepatutnya meletakkan dirinya dalam posisi itu. Sekarang dia merasakan seperti ada batu besar yang menghempapnya, membuatkan dia sukar untuk bernafas. Dia mahu meloloskan diri tetapi tidak berdaya.
Suami? Apa? Siapa? Umurnya baru 18 tahun. Dia belum bersedia untuk memikul tanggungjawab yang datang bersama gelaran itu. Lihat sahaja dirinya sekarang. Dia masih kebudak-budakkan. Untuk menyara diri sendiri pun dia tidak mampu, apatah lagi untuk memperisterikan Elina yang tua dua tahun darinya.
“Maafkan saya sebab menyusahkan awak,” luah Elina.
Zuhayr menggelengkan kepala.
“Elina, sebenarnya…”
“Sakit,” teriak Elina. Air matanya merembes lagi. Kepalanya terasa bagaikan hendak pecah. Bagaikan ada bom jangka masa dalam kepalanya yang menunggu saat untuk meletus. Hendak menggerakkan tubuhnya dia tidak mampu. Dia hanya mampu berteriak.
Zuhayr berlari keluar sekali lagi, menjerit memanggil doktor.