Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,191
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 23

Bab 23

48 jam seterusnya…

Mata Elina berkelip-kelip beberapa kali sebelum terbuka sepenuhnya. Dia memandang ke sekitarnya, melihat dua orang lelaki yang sedang tidur atas sofa di hujung bilik. Zuhayr sedang lena dengan kepala yang menyenget ke kiri sedang bahu kanannya pula menjadi tempat perlabuhan kepala Adi.

“Elina,” panggil satu suara.

Elina membuka matanya.

“How are you, my dear?” soal Hashim.

“Am I dead?” soal Elina.

Hashim tertawa perlahan.

“Nampaknya tak,” ucap Elina.

Tawa Hashim menjawab soalannya. Pandangan Hashim yang lembut, menyejukkan hatinya. Pada mulanya, Elina menyangkakan lelaki itu adalah ayahnya, Daeng. Sangkanya, dia terbayangkan orang yang sudah tiada kerana dia sendiri mahu melangkah ke barzakh. Mungkin itu gambaran terakhir yang mahu dikhayalkannya sebelum mati. Rupa-rupanya tidak. Hashim bukan Daeng.

“Uncle ni pegawai polis. Uncle dan kawan-kawan uncle nak tolong Elina. Tapi, untuk selesaikan kes ni, Elina kena bantu kami juga. Elina ingat apa-apa tak malam tu? Kami perlukan Elina untuk ingat semula.”

Elina menggelengkan kepala. Air matanya merembes keluar lagi. Tiap kali dia cuba untuk ingat, kepalanya sakit. Hatinya pedih. Dia tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Tiap kali dia berbicara dengan Zuhayr, dia merasakan lelaki itu cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya.

Kalau benar kemalangan yang menimpanya adalah kemalangan biasa, kenapa ada beberapa orang anggota polis yang ditugaskan untuk mengawasinya? Mengapa Zuhayr dan Adi kerapkali bertanya sama ada dia mampu mengingati insiden yang berlaku malam itu? Mereka mahukan sesuatu darinya.

Mungkin ada maklumat berharga yang tersimpan dalam kotak memorinya. Tetapi, sayangnya, Elina tak mampu mengingati apa-apa. Otaknya kini bagaikan pendrive rosak. Sukar mengembalikan maklumat yang tersimpan di dalamnya. Tiap kali dia mencuba, kepalanya rasa sakit.

“Hayr cakap Elina ditimpa kemalangan. Apa yang luar biasa tentang kemalangan Elina?” soal Elina.

“You don’t know how lucky you are. Si bodoh dua orang tu sanggup korbankan apa saja untuk Elina,” luah Hashim. Bicaranya serius tetapi nadanya seakan bergurau. Dia memaksudkan tiap bicaranya.

Hashim memandang anak saudaranya dan Adi yang masih tidur nyenyak, tidak menyedari kedatangannya.

“Lelaki tu betul-betul kawan Elina?” soal Elina sambil memandang Adi yang masih terlena dengan air liur yang meleleh-leleh, tertumpah atas jumper Zuhayr.

Zuhayr tidak berganjak. Suami palsunya langsung tidak sedar, meredhakan saja jumpernya menakung air liur basi Adi.

Hashim mengangguk.

“Uncle nak Elina tenang. Uncle dah selidik asal-usul Elina dan uncle percaya gadis setabah Elina takkan melatah untuk dengar satu kebenaran. Uncle tau doktor cakap kami tak boleh bagi Elina tekanan. Kami perlu cakap apa saja untuk tenangkan Elina. Tapi, uncle percaya, perempuan macam Elina lebih kuat dari yang doktor fikir. Sebab tu, uncle akan beritahu Elina perkara sebenar…”

Jantung Elina berdegup kecang. Dia jadi takut untuk menatap wajah Hashim. Dia memandang Adi dan kemudian, Zuhayr, mengharapkan salah seorang dari mereka akan terjaga. Dia mengharapkan Hashim berhenti berbicara. Jauh di sudut hatinya, Elina tahu kenyataan sebenarnya lebih menyakitkan dari apa yang diperlihatkan di depan matanya sebelum ini.

Elina takut untuk berhadapan dengan masa silam yang sudah dipadamkan dari kotak fikirannya. Dia takut kalau kenyataan sebenar lebih pahit dari hempedu. Mungkinkah yang dizahirkan di depannya bukan realiti sebenar? Barangkali mereka cuba melindunginya. Tapi, melindunginya dari apa? Itu Elina tidak pasti. Barangkali ada konspirasi antara mereka semua.

“Zuhayr tu suami Elina, kan?” soal Elina, mengharapkan dia benar-benar ada seseorang untuk melindungi dan menjaganya.

“Elina, Zuhayr tu sebenarnya…”

“Elina!” jerit Zuhayr yang baru terjaga dari tidur, membantutkan hasrat Hashim untuk menjelaskan perkara sebenar.

Adi terus terbangun.

“El,” panggilnya.

“Duduk situ diam-diam!” jerit Hashim apabila melihat kedua-dua lelaki itu mahu meluru ke katil Elina.

Perwatakan lembut Hashim tadi berubah. Baru kini sifatnya persis seorang pegawai berpangkat tinggi dalam PDRM.

Adi dan Zuhayr terdiam sekejap.

“Perlu ke, uncle? Kan doktor dah cakap..?” ungkit Zuhayr.

“Hayr, dia perlu tau perkara sebenar untuk keselamatan dia. Mungkin kalau orang yang cuba bunuh dia tau dia masih hidup, mereka akan datang cari dia. Untuk lindungi dia, kita perlu beritahu dia perkara sebenar,” tegas Hashim.

“Dia masih sakit!” tegas Adi.

“Uncle, tolong jangan buat dia macam ni,” rayu Zuhayr.

Suasana bertukar tegang. Elina memandang dengan seribu satu tanda tanya, keliru dengan percakapan mereka.

“Apa yang suami saya cakap?” soal Elina.

“Elina, Zuhayr bukan suami Elina. Elina belum pernah bernikah. Zuhayr hanya berlakon jadi suami Elina untuk selamatkan Elina. Malam semasa Elina ditemui, Elina dalam keadaan yang mengaibkan. Bukan setakat cedera parah tapi juga ditinggalkan dalam keadaan separuh bogel.”

Raungan Elina bergema di dalam bilik. Dia mengesak tangis, kuat, tidak tertahan dalam bengkung dada. Kepalanya ditolehkan ke kanan, didekatkan ke bantal. Air matanya turun laju. Dia malu untuk berhadapan dengan ketiga-tiga lelaki yang sedang menatapnya sekarang. Kenyataan itu satu penghinaan bagi seorang wanita.

Ya Tuhan. Dia jijik dengan dirinya sendiri. Bagaimana kalau salah seorang dari mereka sudah menatap keadaannya dalam keadaan itu? Bagaimana kalau tubuhnya sudah menjadi santapan mata mereka semua. Elina malu.

“Tak! Tak mungkin!” racau Elina.

“Doktor dari PDRM akan datang periksa Elina untuk pastikan sama ada Elina mangsa rogol ataupun tidak. Sebelum ni kami tak boleh periksa Elina sebab Elina tenat dan perlu dibedah segera,” tambah Hashim.

“Keluar!” jerit Adi.

“Adi, kau tak boleh pertahankan dia kalau dia tak tau perkara sebenar. Uncle buat macam ni untuk keselamatan dia,” tegas Hashim.

“Keluar!” jerit Adi sekali lagi.

Hashim mengeluh panjang, kesal kerana Adi tak mahu mengerti tujuan dia berterus-terang. Dia melangkah keluar dari bilik, meninggalkan Elina.

“Out!” jerit Adi sambil memandang Zuhayr pula.

Zuhayr serba-salah.

“Tapi...”

“Now!” gesa Adi.

Adi mahu kedua-dua makhluk itu nyah dari pandangan Elina.

“Kau tak boleh buat macam ni... Aku...”

“Kau bukan suami dia!” tengking Adi, marah, memotong sebelum Zuhayr sempat menghabiskan bicaranya.

“Aku yang selamatkan dia!” tegas Zuhayr.

“Terima kasih sebab selamatkan Elina aku. Tapi, sekarang, tolonglah blah dari sini,” balas Adi.

Zuhayr mengeluh sekali sebelum mengangkat kaki dari bilik Elina.

“El,” panggil Adi.

Adi melangkah menghampiri Elina, duduk di sebelah Elina. Wajah merah itu ditatap lama-lama.

“Elina, sabar. Aku tau kau kuat. Tak kira apa jadi pada kau, aku akan jaga kau. Aku dah janji dengan kau dulu, El. Aku akan tunaikan janji aku.”

“Kenapa? Aku tak ingat apa-apa! Aku tak ingat! Aku tak tahu apa-apa pun,” teriak Elina.

Air mata Elina gugur lagi. Dia sudah lupa untuk kali yang ke berapa. Dia hilang jejak. Buat seketika, dia merasakan seluruh dunia sedang membohonginya. Dia keliru. Tak ada siapa yang boleh dipercayai sekarang.

“Syhh… jangan nangis.”

Adi meletakkan jari telunjuknya di bibir Elina, meminta sahabatnya itu berhenti menangis. Air mata Elina takkan dapat mengubah apa-apa. Nasi sudahpun menjadi bubur. Perkara yang sudah berlalu biarkan saja berlalu.

“Nama aku, Adi. Aku dan kau kenal dari kecil, kita sekampung. Aku seorang sahabat, dan juga bagaikan seorang abang bagi kau, El...”

“Kenapa aku harus percaya?” soal Elina, skeptikal. Dia sudah banyak ditipu. Barangkali, dia sedang ditipu lagi.

“Sebab kalau Elina yang dulu percayakan aku dengan nyawanya, aku harap Elina ini juga belajar mempercayai aku. Aku takkan khianati kau, Elina. Aku takkan khianati kau walau seluruh dunia ni cuba khianati kau. Aku dah pernah janji untuk jaga kau sampai hujung nyawa aku,” luah Adi, lembut, bagaikan berbisik.

“Aku kotor, Adi. Aku rasa jijik dengan diri aku,” ucap Elina.

“Kau tak perlu rasa macam tu. Kau tak pernah nampak kotor di mata aku, El. Tak pernah. Sumpah, tak pernah,” ucap Adi.

Air matanya gugur di depan Elina.

“Semuanya akan okay. Trust me...” pujuknya.

“Semua tak okay, Adi. Kau tau semuanya tak okay. Kenapa aku tak mati saja? Bukankah tu lagi mudah?” teriak Elina.

“Siapa cakap El? Siapa cakap kalau kau mati semua jadi mudah? Kalau kau mati, macam mana dengan aku? Macam mana dengan Benson? Kami sayangkan kau, Elina. Dah tiba masanya kau fikir soal orang-orang yang sayangkan kau. Berhenti cakap soal kau, tapi cakap soal kita,” luah Adi.

Air mata Elina meleleh lagi.

“Demi TUHAN, aku sayangkan kau El,” luah Adi.

* * * * * *

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.