Bab 6
Adi duduk sambil mengusap belakang kambingnya, Ning. Fikirannya terbang jauh, memikirkan arwah ibunya.
Hari itu hari Sabtu. Kalau arwah ibu masih ada pasti dia sedang menonton filem Bollywood dalam slot Panggung Sabtu di rumah. Pemikiran Adi yang sentiasa berputar dan mudah benar tersasar dari agenda utama menjalar pula mengenangkan filem Bollywood yang pernah ditonton ibunya. Entah apa tajuknya. Heronya Amir Khan. Heroinnya Manisha Koraila.
Hatinya bermonolog sendirian tanpa bicara mulut.
Kata seorang pengarah filem terkenal Bollywood, hubungan sesama manusia tak pernah gagal menjadi epic hebat sesebuah filem. Mungkin benar. Kata orang, cinta itu agung. Cinta itu hebat. Cinta itu segalanya.
Melalui pemerhatian Adi, intipati filem Bollywood diperkaya dengan tiga komposisi utama.
Satu, cinta antara hero dan heroin yang sungguh melodramatik dengan heroin yang cantik dan hero yang macho yang rela melakukan apa saja demi cinta. Ya, cinta itu. Cinta ini. Kalau tak ada cinta, dunia seolah-olah kosong dan mati. Sungguh meloyakan bagi seseorang yang anti-cinta. Sesuatu yang mengasyikan bagi seorang pencinta berani mati.
Bagi orang neutral seperti Adi, dia hanya menikmati suatu persembahan seni itu seadanya, tidak mengharapkan lebih atau kurang. Dia tidak meletakkan ekspektasi di awal cerita apatah lagi mengkritik sewaktu cerita sedang berkembang.
Barangkali, dia cuba mendalami perasaan penulis skrip yang berusaha keras menzahirkan kata-kata tintanya ke dalam sebuah filem. Lagipun semua orang mempunyai taste yang berbeza. Yang baik bagi dirinya, mungkin tidak bagi orang lain. Begitulah sebaliknya.
Komposisi kedua bagi cerita Bollywood adalah pakaian heroin moden menuntut keghairahan untuk bergelar hot manakala untuk filem yang lebih old school, heroin memakai pakaian warna-warni yang berkelip-kelip. Pada kebiasaannya, bahagian pinggang pasti terdedah. Kalau tidakpun, baju yang dipakai akan menonjolkan asset-asset penting tubuh seorang wanita.
Adakah ia suatu eksploitasi terhadap wanita kerana menjadikan mereka penarik sesebuah filem dengan menonjolkan wajah jelita dan tubuh yang meliuk-lentuk? Entah, Adi sendiri tidak tahu. Mungkin ya. Mungkin juga tidak kerana wanita itu sendiri merelakan dirinya diperlakukan begitu.
Ketiga, cubaan membunuh heronya sentiasa gagal. Hero akan dilanggar, ditikam, ditembak dan sebagainya tetapi akan tetap hidup dan berjuang untuk menegakkan keadilan. Tubuh heronya tidak lut dengan apa-apa senjata. Nyatalah nyawa mereka dalam filem Bollywood begitu liat.
Oh, ya! Satu pembaharuan yang Adi lihat dalam filem Hindustan adalah watak antagonisnya. Dulu, watak jahat boleh dilihat melalui rupa mereka sendiri yang hodoh dan bengis. Kini, lihat saja Om Shanti Om yang menjadikan Arjun Rampal, seorang lelaki yang dikira kacak sebagai watak antagonis.
Walaupun Adi jarang menonton filem Bollywood, dia penggemar setia filem superhero barat sewaktu kecil.
Ya, dia pernah menyanjung Superman.
Seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya sewaktu kecil, dia pernah menyangka lelaki tegap itu wujud di dunia nyata. Tetapi, apabila difikirkan semula sekarang, di mana logiknya menyukai seorang lelaki yang memakai seluar dalam di luar dan menjadi lemah kerana sebiji batu kecil yang dipanggil kryptonite. Sungguh tidak berbaloi.
Mungkin satu-satunya sebab yang masih membuahkan rasa kagum dalam diri Adi adalah kebolehan Superman untuk terbang sendiri sedangkan Adi perlu menaiki kapal terbang dengan harga tiket yang melambung-lambung. Sungguh sadis.
Barangkali kedatangan Malindo Air ke Malaysia akan menambah persaingan sihat dalam industri. Mungkin Adi akan dapat menikmati lebih banyak diskaun semasa menempah tiket penerbangan pulang ke kampung halaman. Sebelum ini, dia terpaksa bergantung sepenuhnya pada AirAsia dan MAS.
“Adi?” panggil Benson sewaktu melihat Adi sedang duduk sendiri sambil tersengih-sengih. Kakinya ditekankan pada pedal brek van buruknya.
Adi tersentak.
“Kau buat apa duduk seorang kat sini? Tersengih-sengih macam orang gila,” ejek Benson.
“Melayan perasaan,” jawab Adi.
Benson menggelengkan kepala.
“Elina mana, Adi?” soal Benson.
Adi menjungkit bahu. Dia tidak pasti ke mana hala tuju Elina selepas meninggalkan dia dalam keadaan marah tadi.
“Ke pekan agaknya,” teka Adi.
“Macam mana pelajaran kau?” soal Benson.
Adi mengangkat jari ibunya ke atas.
“Senarai dekan lagi,” balasnya.
Benson tersenyum lebar sebelum mengangkat kaki dari brek dan menekan pedal minyak. Van yang dipandunya bergerak semula.
Adi dibesarkan di kawasan pendalaman. Dalam usia kecilnya, mendapatkan siaran televisyen bukan mudah. Jangan katakan media elektronik, media cetak sendiri tidak terjangkau. Untuk mendapatkan komik, dia perlu membonceng motorsikal abah, melalui jalan-jalan berbatu untuk keluar dari ladang, menuju ke kedai di pekan.
Kekadang, abahnya tak mempunyai wang lebih untuk membelikan dia komik. Satu lagi cara alternatif adalah dia boleh mendapatkan tempat pertama dalam kelas. Cikgu Ramzi akan menawarkan hadiah untuk menggalakkan dia meneruskan pencapaian baiknya. Biasanya Adi akan meminta untuk dihadiahkan komik baru. Pilihan kebiasaannya adalah Naruto Shippuden ataupun One Piece.
Mungkin kepayahan untuk mendapatkan sesuatu itu yang mengajar dia menghargai gedung ilmu, menghargai tiap rezeki yang ALLAH limpahkan. Adi tak pernah tersasar dari cita-cita yang ditanam sejak bangku sekolah. Dia mahu menjadi seorang doktor. Bukan sebarangan doktor. Dia mahu menjadi doktor gigi.
Obsessnya pada gigi sudah bermula sejak di bangku sekolah. Sejak dia memerhatikan ayahnya yang sudah kehilangan giginya seawal usia 30-an. Sewaktu dia melihat ibunya yang giginya sumbing kerana menggigit ketam sewaktu mengandungkan adik bongsunya. Ibu mengidamkan ketam barangkali.
Di rumah Adi mahupun jiran tetangga, penggunaan playar ketam masih alien. Adi yakin dengan deretan gigi yang sempurna, manusia seolah-olah berubah wajah. Gigi memberi manusia keyakinan.
Mungkin kerana obsesnya pada gigi dan ilmu, Adi tidak fanatik seperti muda-mudi lain untuk mengejar cinta. Meskipun ada yang cuba menjerat hatinya, tak pernah sekali Adi memikirkannya secara serius. Baginya cinta zaman kampus takkan membawa manfaat kepadanya.
Kalau lelaki diberikan kuota empat, Adi memenuhi keempat-empat kuota dengan obsesinya. Ya, dia punya ranking sendiri untuk perkara-perkara yang menjadi kepentingannya dalam hidup.
Yang pertama, TUHAN, itu yang pasti. Yang kedua, keluarga tercinta. Yang ketiga, ilmu. Yang keempat, kawan baiknya, Elina.