Bab 12
Dua minggu kemudian…
Mirah menyarungkan blouse putih ke tubuhnya. Blouse yang baru dibelinya semalam. Jahitannya kemas. Fesyennya sopan, jauh berbeza dengan pakaian yang acapkali disarungkan ke tubuhnya setiap kali keluar bekerja.
Mukanya didekatkan depan cermin, menyapu sisa bedak compact yang kelihatan bertompok sedikit di bawah mata.
“Mirah!”
Daun pintunya ditolak. Seorang wanita tinggi, bertubuh montok melangkah masuk tanpa meminta izinnya terlebih dahulu. Seakan-akan bilik itu adalah biliknya sendiri. Dari jelingannya, Mirah tahu dia bakal menyuarakan sesuatu yang menyakitkan hati. Dia juga tahu dia tak punya masa untuk bertekak waktu itu.
Mirah menarik muka masam. Dia menolak sliding mirror pada cabinet di dalam biliknya. Eau Fraiche jenama Estee Lauder dikeluarkan dan disemburkan ke tubuhnya. Wangian yang baginya lembut, tidak terlalu menusuk lubang hidung. Mirah tahu hidung Elina sensitif.
“Kalau dalam busuk, tak payah disembur dengan satu botol perfume. Yang busuk tetap busuk,” sindir teman serumahnya, Aneeta.
“Yang kau sibuk kenapa? Ada aku guna barang kau? Yang kau tu wangi sangat?” tempelak Mirah, marah.
“Mirah, kau tu dah tua. Laku pun dengan customer yang bangka. Buat apa lagi kau nak sibuk wangi-wangi, nak tempek-tempek make-up? Dah anak kau tu nak datang, suruh dia gantikan aje tempat kau. Duit nanti turun macam air hujan,” luah Aneeta sambil melabuhkan punggung atas tilam Mirah tanpa dipelawa.
Aneeta menghembuskan varnish kuku ungu yang baru disapu tadi, belum kering sepenuhnya. Memang Aneeta sengaja mahu menaikkan api kemarahan Mirah. Dia bencikan Mirah. Sama seperti wanita itu membencinya. Peliknya mereka tinggal serumah, berteduh bawah satu bumbung. Kedua-dua mereka jadi hipokrit, sanggup memperbodohkan diri sendiri demi wang ringgit.
“Hei, perempuan! Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Cakap tu elok-elok sikit! Anak aku perempuan baik. Dia bukan jalang macam kau!” marah Mirah sambil menuding jari telunjuknya ke muka Aneeta, memberi amaran.
“Habis, kau bukan jalang? Anak kau perempuan baik? Dia tu keturunan kau! Keturunan jalang! Apa yang kau banggakan sangat? Dia nanti jadi macam kau sebiji,” balas Aneeta berani.
Aneeta bangun berdiri, menghadap Mirah. Dia sudah semakin berani sekarang. Sudah lama dia bekerja sebagai gadis kelab. Jangan sesekali Mirah menyangka yang dia boleh diperhambakan lagi. Mirah bukan lagi ayam paling bergetah di kelab mereka. Dia sudah hilang populariti dengan peningkatan usia.
“Kurang ajar!” jerkah Mirah sambil mencekak rambut Aneeta sambil menariknya ke dinding.
Pipi kanan dan kiri Aneeta ditamparnya.
Aneeta menjerit sekuat hati.
Daun pintu dikuak lagi. Kali ini, kasar. Irman melangkah masuk ke dalam. Tubuh Mirah ditolak ke tepi.
“Mirah, kau dah gila?!” tempik Irman.
“Betina kurang ajar ni hina anak aku!” jerit Mirah.
Wajahnya berang, marah tak keruan, bagaikan dirasuk. Dia tak mampu mengawal kemarahannya.
“Sudah!” suruh Irman.
“Dengar ya, kalau kau nak hina aku, aku boleh terima! Tapi, kalau aku dengar kau hina anak aku lagi, siaplah kau! Aku tak peduli siapapun dengan kau! Aku tak takut dengan klien-klien besar kau tu,” ugut Mirah.
“Kau memang hina! Semua keturunan kau hina! Ingat aku tak tau, kau bunuh laki kau sebab nak ikut si Irman. Semua orang tahulah, Mirah. Abang kau pun pembunuh, merengkok dalam penjara!” jerkah Aneeta ke muka Mirah.
Mirah mahu menyerang Aneeta lagi tetapi dia tidak berdaya melawan kudrat Irman yang sedang menariknya ke belakang. Irman menghalang sekeras-kerasnya. Dia tak pernah merasakan lengannya dicengkam Irman sekuat sekarang. Terasa bagaikan laluan darahnya terhalang.
“Kau diam, Aneeta!” marah Irman.
“Hai, Irman... Garang betul kau dengan aku hari ni. Mentang-mentang dah siang. Semalam kau tak suruh aku diam pulak? Semalam kau cakap kau suka dengar suara aku sepanjang malam sampai ke pagi,” sindir Aneeta.
Cengkaman Irman longgar.
Air muka Mirah berubah. Dia meloloskan pegangan Irman sambil menoleh ke belakang, menghadap lelaki itu. Tak pernah terjangkau dek fikirannya yang Irman sanggup membuat onar di dalam rumah yang sama dengan tempat dia menginap. Padanlah Irman tak pulang ke biliknya semalam. Sangkanya Irman tidur di kelab, tidak pulang ke rumah sewa mereka.
“Kau tidur dengan betina ni?” soal Mirah.
Irman memandang ke lain, tidak ke mukanya, pura-pura tidak mendengar soalan yang Mirah ajukan.
“Kau jantan tak guna! Tak guna! Keluar! Keluar kau dari bilik aku!” jerkah Mirah. Semakin marak api kemarahannya. Kalau tadi buat Aneeta seorang, kini terhadap Irman juga, lelaki yang diberikan setianya bertahun-tahun lamanya.
“Hei, Mirah! Jangan biadap dengan aku!” ugut Irman sambil menarik baju Mirah, dekat dengannya.
“Kau jangan ingat kau hebat sangat. Selama ni aku bagi muka kat kau sebab aku sayang kau. Sayang aku makin lama, makin kelat. Kau tau yang kau tu dah tak cantik macam dulu. Dengan muka kau yang makin kerepot tu, berkedut sana sini. Kau ingat kalau aku buang kau, ada lagi ke jantan nak?”
Mirah terkedu. Air matanya merembes keluar.
Untuk lelaki ini, dia menghapuskan nyawa seorang lelaki yang tulus menyintainya, seorang lelaki yang ikhlas mengikatnya dengan akad nikah. Untuk lelaki ini, dia meninggalkan anak yang dikandungnya dalam rahim selama sembilan bulan. Anak yang teramat dikasihinya. Kata-kata yang dihamburkan Irman tadi menyedarkan dia yang selama ini sedang bermimpi, berangan-angan yang dirinya dicintai Irman setulus hati. Sedangkan dia sudah tahu apa pekerjaan Irman. Mana mungkin Irman menyintai dirinya seorang. Mungkinkah ini balasan untuk dosa-dosanya selama ini?
“Baik! Kalau kau tak nak aku lagi. Kalau kau dah nak muntah tengok muka aku yang tua ni, aku akan pergi! Aku pun tak ingin hidup dengan kau!” balas Mirah sambil menyusun langkah ke pintu.
Tubuh Aneeta yang menghalang arah tujunya ditolak ke tepi dengan kasar. Makin dia memandang wajah Aneeta, makin meluat jadinya.
Namun, belum sempat pergi jauh, rambutnya dicekak dari belakang. Tubuhnya diseret ke dalam bilik semula. Dia ditolak jatuh ke lantai. Satu sepakan disasar ke perutnya, membuatkan dia terbatuk sebelum mengerang kesakitan.
Aneeta memandang jelek ke arahnya. Hati Aneeta tidak dibuai rasa simpati sewaktu melihat dirinya dibelasah Irman.
“Kau nak pergi mana, bodoh? Selama ni aku yang bagi kau makan sedap-sedap, tempat yang selesa nak tinggal. Aku yang bayar duit peguam abang kau. Kau ingat siapa nak bayar semua hutang kau tu?” soal Irman.
“Aku dah jual semua harta aku, maruah aku untuk bersama kau. Tak cukup lagi ke, Irman? Apa lagi kau nak? Apa lagi?” ungkit Mirah.
“Tak cukup! Memang tak cukup! Perempuan tua macam kau memang tak boleh bayar hutang aku. Sebab kau dah kerepot nak mampus, orang tak nak bayar lagi untuk perempuan macam kau. Aku bagi kau tinggal sini lagi sebab aku tunggu anak kau datang bayar hutang kau!” cetus Irman.
Baru kini Irman menyuarakan perancangannya sejak Benson dipenjarakan secara terang-terangan. Dia tidak berlapik lagi. Sudah terang lagikan bersuluh. Mirah sepatutnya sudah dapat menekanya sejak awal.
“Apa?!” cetus Mirah, terkejut.
“Kau pekak ke? Irman cakap dia dah dapat kerja yang lumayan untuk anak kau,” luah Aneeta, menjawab bagi pihak Irman.
“Irman, jangan! Tolong jangan apa-apakan dia! Bukan anak aku, Irman! Aku boleh bayar balik hutang aku dengan kau. Bagi aku masa. Aku boleh bayar. Jangan, Irman. Tolong jangan apa-apakan Elina,” rayu Mirah.
Irman ketawa. Ketawa mengekek. Dia memandang Mirah yang tadi berani, memekik bagaikan dia raja segala. Kini, sedang tunduk, merayu, tampak lemah di matanya. Dia menyepak Mirah, sama seperti Mirah menyepak arwah suaminya dulu. Murah harga nyawa dan maruah Mirah pada Irman.
Telefon bimbit Mirah dicampakkan pada Aneeta yang gembira menyambutnya. Rambut Mirah dicekak, dipaksa berdiri sebelum ditempeleng kuat. Selepas Mirah jatuh atas katil, dia terus menarik daun pintu dan mengunci pintu dari luar. Wanita itu dikurungnya di situ sendirian.
Biarpun tubuhnya sakit, jiwanya sakit, Mirah tetap menggagahkan kaki ke pintu. Dia mengerah sisa kudratnya, menolak daun pintu. Beberapa kali dia mencuba, tetapi tidak jua berhasil. Dia berteriak semahu-mahunya.
“Elina, anak mak…” ucap Mirah sambil menarik rambutnya, terduduk dekat dengan pintu.
Muka Mirah disembamkan ke peha. Buat beberapa minit dia buntu. Kemudian, dia teringatkan handphone Nokia lama yang disorokkan bawah tilam. Dia selalu menggunakan telefon itu untuk menghantar sms kepada Adi, bertanya khabar tentang anaknya. Irman tak pernah tahu kewujudan telefon itu.
Mirah berlari ke katil semula. Tangannya diseluk ke bawah tilam, mencari handphone yang sudah dimatikan sebelum ditempatkan di situ. Dia segera mendail nombor Elina tetapi dia terlupa kapal terbang yang dinaiki anaknya belum mendarat di KLIA. Elina menutup talian. Mirah segera menaipkan mesej.
‘Elina, lari. Jangan ikut sesiapa. Mereka ada niat jahat. Mereka nak tangkap El di KLIA. Cari Adi. Mak akan datang jumpa El kemudian’.
Kemudian Mirah menaipkan mesej yang lain pula kepada Adi.
“Ya ALLAH, aku tau aku sudah banyak berdosa padaMU. Tapi, selamatkanlah anakku, Ya ALLAH. Dia tidak berdosa.”
* * * * * *