Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,203
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

Bab 7

“Kau suruh El jumpa aku ya, kalau dia datang ke KL nanti,” pinta Mirah bersungguh sambil mengesat air matanya.

Benson tidak membalas. Dia hanya memegang handphone tua itu dekat dengan telinga. Tetapi, untuk berbual, dia malas. Mungkin kerana pemanggilnya. Marah Benson masih ada walaupun wanita itu darah dagingnya.

“Kau dengar tak?” soal Mirah.

“Jangan banyak sangat permintaan, Mirah. Kau juga yang kecewa nanti,” luah Benson, perlahan.

“Susah sangatkah nak jumpa anak sendiri?” soal Mirah.

Sudah lama Mirah memikirkan perihal Elina. Mirah sudah membincangkan soal itu dengan teman lelakinya, Irman. Dulu, Irman selalu membantah. Katanya, Elina masih kecil. Tetapi kini Irman sudah berubah fikiran.

Irman telah memberi keizinan kepada Mirah untuk menjemput Elina ke Kuala Lumpur, tinggal dengan mereka di sana. Mirah yakin anaknya takkan menyusahkan sesiapa. Elina sudah dewasa. Dia sudah boleh berdikari.

Mirah tahu Benson dan Elina takkan mudah memberikan kata persetujuan. Benson pasti risau kalau Elina ke Kuala Lumpur seorang diri. Tambahan pula kalau Benson tau Mirah mahu Elina tinggal bersama dia dan Irman semasa di sana nanti.

Kemungkinan Benson akan menolak tanpa berfikir dulu. Tetapi, dia akan tetap berkeras. Kalaupun bukan lama, seminggu dua pun jadilah. Terubat juga rindunya pada Elina kalau mereka bersua muka. Sejak akhir-akhir itu, Mirah asyik teringatkan Elina. Sampaikan terbawa-bawa dalam mimpinya.

Mirah tidak semuda dulu, sewaktu dia meninggalkan Elina. Dia tahu sudah terlewat untuk dia membina keluarga baru. Hanya Elina satu-satunya zuriat yang dia ada. Dia perlu menghargainya.

“Dengar, Mirah. Berjumpa kau atau tidak, keputusannya bukan di tangan aku. Kau dulu yang cari pasal. Sekarang kau jangan bermimpi yang bukan-bukan. Marah anak kau belum reda dan mungkin takkan reda,” tegas Benson.

Mirah mengeluh.

“Sudah lama, Ben…Kau jangan beritahu aku yang Elina masih marah pada aku. Dia barangkali sudah lupa. Waktu itu Elina kan masih kecil...Tak mungkin dia masih ingat lagi sampai sekarang.”

“Lama atau tidak bukan persoalannya, Mirah. Kau yang mulakan. Kau dah hitamkan apa yang putih. Jangan kau fikir silap yang kau buat boleh ditebus dengan meminta maaf. Tak semudah itu,” balas Benson.

“Ben, Elina masih anak aku! Aku yang mengandung! Aku yang lahirkan! Kau jangan cakap aku tak berhak atas anak aku!” balas Mirah.

“Hak apa, Mirah? Hak apa?” soal Benson.

“Hak sebagai ibu,” tegas Mirah.

“Kau fikir El anggap kau ibunya? Kau fikir El mahu jumpa kau lagi lepas kau bunuh bapaknya?”

Mirah terdiam sejenak.

“Mirah, kau tau Daeng yang jaga El dari kecil. Kau hanya tau merungut itu dan ini,” ungkit Benson.

Lidah Mirah masih terkelu.

“Kau berani tinggal laki kau, lari dengan lelaki lain. Sampai mati kau kerjakan dia. Sekarang kau berani tuntut hak? Mana ada lagi hak kau sebagai ibu, Mirah. Mana ada. Bagi Elina, kau orang asing,” tambah Benson.

Mirah tau dia perlu membuka mulut. Dia perlu menempelak kembali tuduhan Benson. Dia tak mahu tampak lemah. Elina haknya. Elina anak yang dikandung lebih sembilan bulan dalam rahimnya.

“Aku tak rasa Elina ada cakap begitu. Elina tau aku tetap ibunya. Aku tau, kau yang api-apikan Elina! Kau yang ajar dia bencikan aku! Kau tu tak pernah kahwin, tak ada anak, kau cuba rampas anak aku. Kau takut tak ada orang jaga kau bila kau dah tua bangka nanti!” tuduh Mirah.

“Kurang ajar kau! Dari kecil, aku yang pelihara dia. Sekarang kau pandai-pandai menuduh! Kalau tua ganyut nanti aku mati sendiri, biar saja. Jangan kau pulang pungut mayat aku!”

Mirah menahan sebak. Bukan niatnya untuk mengecilkan hati Benson. Dia tidak sengaja. Bicara mulutnya tadi tergelincir kerana rasa cemburu mengenangkan anaknya lebih rapat dengan Benson dari dirinya sendiri.

“Aku tak pernah fikir nak rampas anak kau. Jangan sampai aku hilang sabar, Mirah,” tempelak Benson.

Benson hampir-hampir mematikan talian telefon. Mujurlah dia masih ingat yang perempuan itu adik kandungnya. Mirah darah dagingnya. Dia tak punya adik-beradik lain selain Mirah.

“Tolonglah, Ben... Izinkan aku jumpa El. Sekejap pun jadi. Aku rindu sangat dengan dia,” rayu Mirah.

Kalau tadi, dia menuduh dan menaikkan nada suara, kini dia merayu pula. Dia takut kehilangan Elina buat selama-lamanya.

“Elina tu bijak. Dia tau, Mirah. Dia ingat semua kau buat dari kecil. Aku tak pernah ajar dia bukan-bukan. Dia tau fikir sendiri. Kalau kau nak jumpa dia, kau saja ke sini,” marah Benson, geram.

Bunyi daun pintu depan yang dihempas mengejutkan Benson. Dia cepat-cepat mematikan talian. Kelibat Elina muncul di ruang tengah, melangkah dingin ke biliknya tanpa memandang Benson.

“El,” panggil Benson.

“Saya sudah cakap, jangan beritahu dia pasal saya! Jangan cerita apa-apa pun yang saya buat pada dia! Tapi, uncle ni selalu degil!” tempelak Elina dalam nada kasar.

Benson mengeluh. Dia tahu angin puting beliung Elina akan naik lagi kalau dia terdengar Benson berbicara dengan Mirah melalui telefon. Jangan katakan berbicara dengan Mirah, kalau ada orang menyebut nama Mirah saja, pasti anak gadis arwah Daeng itu akan naik darah.

“Macamlah kita bergantung pada dia! Macam kita ni tak boleh hidup kalau dia tak ada! Pernah kita mintak apa-apa dari dia selama ini?” ucap Elina dalam nada marah.

Daun pintu bilik ditariknya, mahu dihempas ke bingkainya.

“El, nanti dulu,” pinta Benson.

“Mirah yang telefon aku. Kau kan tahu, aku tidak pernah hubungi dia kalau bukan dia yang hubungi aku dulu.”

“Tapi, uncle cerita semuanya, bukan? Semua perihal hidup saya, uncle selalu beritahu dia! Semuanya nak report pada dia,” rungut Elina.

Benson tak boleh menidakkan. Elina ada menyimpan bukti surat-surat Mirah yang dikirimkan kepada Benson sebelum ini.

“Dia tak berhak tahu tentang saya! Berapa kali saya cakap, dia tak ada hak apa-apa pun pada saya!”

“Dia ibu kau, El,” tegas Benson.

“Kalau saya boleh tukar darah dia yang mengalir dalam tubuh saya ni, dah lama saya buat, uncle. Saya sanggup buat apa saja untuk jadi anak orang lain, bukan dia. Biar jadi anak kucing pun, saya lebih rela!”

“Elina!”

Elina menghempas daun pintu. Dia menyalakan lampu. Di dinding kanan katilnya ada gambar dia dan Daeng sewaktu dia masih kecil. Potret itu sebenarnya adalah potret keluarga. Tetapi, dia telah memotong gambar Mirah. Hanya tinggal gambar dia dan Daeng yang tinggal, tergantung di situ.

“El! Buka pintu!” suruh Benson.

Elina menarik daun pintu.

“Uncle nak apa?” soalnya dalam nada kasar.

“Elina,” panggil Benson.

“Elina, Mirah itu...”

“Boleh tak jangan sebut lagi nama perempuan tu depan saya? Telinga saya ni dah bingit!” soal Elina.

Benson menggelengkan kepala.

“Apa lagi, El? Apa lagi? Kau gunting semua gambar dia, kau buang semuanya. Kau tak mahu jumpa dia. Kau tak mahu cakap dengan dia. Kau marah-marah tiap kali dia telefon aku. Sampai bila, El? Sampai bila?” soal Benson.

Elina tidak menjawab.

“Dia mak kau, El,” ungkit Benson.

“Dia masih dengan lelaki itu kan? Lelaki tak guna tu! Dia masih dengan lelaki yang sebabkan bapak mati! Ada lelaki tu cakap nak menikah dengan dia? Ada? Tak ada, kan? Dia yang perbodohkan diri! Padanlah dengan muka dia!” cetus Elina.

“El, maafkanlah dia,” pujuk Benson.

Elina menggelengkan kepala.

“Dia bunuh bapak aku. Apa kau dah lupa pada Daeng? Macam mana aku nak maafkan dia? Dia dah bunuh bapak aku! Suruh dia hidupkan bapak aku balik! Suruh dia mintak ampun dengan bapak!” luah Elina.

“Makhamah dah tentukan dia tak salah. Makhamah dah adili silap dia, Elina. Kau tau itu,” ungkit Benson.

“Itu makhamah dunia!” balas Elina.

“El,” panggil Benson.

“Kau buat aku bencikan kau juga. Kau tahu kan? Aku sayangkan kau selama ni! Kau satu-satunya saudara yang aku ada. Tapi, kau buat aku benci kau! Sebab kau sentiasa berpihak pada perempuan murahan tu!”

“Elina!” jerit Benson. Dia menghayunkan penampar ke muka Elina.

Pedih hatinya. Marahnya pada Mirah masih ada. Tetapi, dia masih seorang abang. Mirah satu-satunya adik yang Benson ada. Berderau darahnya mendengar Elina menyelar Mirah perempuan murahan. Semarah-marah dia pada Mirah, tidak pernah sekali dia mengajar Elina membenci ibunya.

Syurga seorang anak letaknya di bawah telapak kaki seorang ibu. Tak kira apa yang Elina lakukan, Mirah tetap ibu kandungnya, ibu yang melahirkannya. Tak cium bau syurga bagi seorang anak yang derhaka.

“Dia memang perempuan murahan! Kau tau kerja apa dia buat di sana? Kau tau? Lelaki tu jadikan dia perempuan kelab malam. Itulah kebahagiaan yang dia kejar sangat sampai sanggup bunuh suami dia sendiri, kan? Sampai dia sanggup khianati aku, khianati kau! Kau dah lupa?” ungkit Elina.

“Kau juga dah lupa! Dia yang mengandungkan kau! Dia yang lahirkan kau! Kalau dia tak ada, kau juga tak ada!” jerit Benson.

“Dan dia juga yang buang aku! Dia buang keluarganya sebab lelaki yang tak guna tu!” balas Elina.

Air matanya yang masih merembes lagi ditahannya.

“Aku benci perempuan tu! Aku benci! Aku tak mahu tengok lagi muka perempuan tu sampai bila-bila!”

“El, kau sedar tak apa yang kau cakap?” soal Benson.

“Jangan masuk campur urusan aku lagi lepas ni! Aku bukan anak kau!” jerit Elina sebelum menghempas daun pintu sekali lagi.

Air mata Benson meleleh ke pipi. Sejak kecil, Elina dipelihara bagaikan anak kandungnya sendiri. Dia tidak pernah bernikah kerana mahu memberi perhatian kepada Elina. Tergamak Elina berbicara sekasar itu dengannya. Kenapa pada dia ditempiaskan marah untuk kesalahan Mirah dan Irman?

“Sampai hati kau, Elina...” keluh Benson.

* * * * * *


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.