Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,184
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 1

Bab 1

Hidup. Mati. Dua elemen yang tidak tercangkup dalam tangan manusia. Tidak dapat ditilik dengan bola kristal mahupun daun terup. Ia rahsia TUHAN yang abadi. Rahsia yang tak siapa tahu tanpa diperkenankan Yang ESA. Manusia hanya mampu merancang tetapi TUHAN yang menentukan segala.

Cubaan dalam hidup datang dalam pelbagai cara. Resolusinya pasti bukan menjerit perkataan ‘cubaan’ berulang-kali seperti dalam kisah Laksamana Bujang Lapuk arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Cubaan hidup lebih dahsyat dari jangkauan pemikiran naïf anak-anak kecil yang hanya memandang wajah dunia melalui apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka.

Manusia membesar dengan pengalaman. Sesuatu yang kita rasa menyakitkan hari ini mungkin sebenarnya benih pengalaman yang akan menjadikan kita lebih kuat esok. Pengalaman bagaikan antibiotik hidup yang menguatkan daya ketahanan diri untuk menghadapi saat yang lebih getir. Ia bagaikan antibodi tubuh yang melawan segala macam pandemik.

Pada pendapatku sendiri, pengalaman persis vaksin untuk melawan virus yang menyakitkan. Almaklumlah, hidup tak pernah senggang dengan dugaan yang baru. Tak pernah ada hidup yang senang tanpa rintangan dan cabaran. Kedua-duanya membuatkan manusia lebih menghargai apabila memperolehi secalit bahagia.

Bagi sesetengah individu, dugaan yang diletakkan di atas bahu mereka tidak sehebat individu yang lain. Sesungguhnya, apabila kita merasakan yang nasib kita malang, pasti ada mereka yang lebih malang. Pasti ada yang terus hidup dengan memori hitam yang tak mampu dikikis dari kotak fikiran.

Ada yang memilih jalan gelap, kononnya mahu lari dari masalah, mencari hiburan di dunia sementara ini. Ada yang mengalah, cuba menamatkan riwayat hidup manusia yang sememangnya singkat. Ada pula yang berhempas-pulas menjernihkan memori kotor yang mencacatkan pemikiran dengan cara-cara pelik yang lain. Begitulah hidup yang kaya dengan perencahnya.

Tak semua penyakit dalam hidup boleh diubati dengan antibiotik. Hidup lebih banyak perisa dari maggi mee yang dijual di pasar raya. Hidup lagi kerap mengalami pasang surut dari air laut ketika musim tengkujuh.

“Apa ni?” soal Adi, budak berusia sepuluh tahun yang masih muda untuk mengenal bahasa tinta karya picisan Liza Nur.

Liza Nur? Siapa Liza Nur?

Hanya segelintir yang mengenali Liza Nur. Dia penulis yang tidak popular. Tidak pernah memenangi anugerah. Tidak pernah juga mencapai status bestseller yang mampu dibanggakan. Dia tak mampu menghasilkan nukilan menarik seperti kisah kahwin kontrak ataupun karya komedi seromantis kisah-kisah Korea. Tak ramai yang mengenali diri kerdilnya.

Lelakikah? Perempuankah? Menurut kakak sepupunya, ada sesetengah penulis lelaki suka menggunakan nama pena perempuan. Ada pula sebaliknya. Adi tidak tahu asal-usul Liza Nur. Malahan dia tidak berminat untuk tahu.

Cuma satu konklusi yang dapat dibuatnya, mukadimah cerita itu membosankan. Padanlah kakak sepupunya hanya meletakkan buku itu atas rak, tidak dihabiskan. Barangkali kakak sepupunya juga berkongsi pendapat yang sama. Tak guna berhabisan masa untuk karya seperti itu.

Adi menyimpan novel yang diambil dari rak buku kakak sepupunya tadi ke dalam beg, tidak jadi untuk membacanya sampai habis. Sedangkan untuk menghabiskan dua muka surat sudah cukup menyeksakan, menghabiskan buku setebal 450 muka surat itu apatah lagi. Dia tak mahu otaknya terbeban dengan cerita yang bukan-bukan.

Ah, biarkan saja buku itu. Dia akan cari buku yang lain apabila singgah di rumah kakak sepupunya nanti. Karya Liza Nur sememangnya membosankan. Tidak terlintas langsung dalam otak mudanya untuk mentafsir, menelaah maksud tersirat disebalik karya bosan penulis tidak ternama itu.

Kaki genitnya yang bersarung selipar Jepun dilarikan atas tanah yang beralun-alun. Dari kejauhan, dia melihat seorang anak kecil yang sedang menyuapkan ayahnya dengan roti. Adi berdiri sejenak di situ, memerhatikan lagak kedua-dua anak beranak itu. Mereka tidak menyedari kehadirannya.

Raut wajah comel dengan kulit gebu itu acapkali menemani Adi. Bukan sahaja sifatnya yang menyenangkan Adi tetapi juga kerana dia memenuhi ciri-ciri yang memenuhi obsesi Adi. Ya. Adi obses dengan gigi putih yang cantik tersusun.

Dalam usia semuda itu, Elina mempunyai deretan gigi putih yang cantik tersusun. Mungkin kerana Elina jarang makan gula-gula dan aiskrim. Dia tak punya lambakan duit poket untuk membeli makanan ringan yang digilai kebanyakan rakan-rakan mereka. Tak ramai kanak-kanak seusia dengannya yang mempunyai deretan gigi secantik itu.

Adi suka memerhatikan deretan gigi putihnya sewaktu Elina membuka mulut untuk berbicara. Adi teruja melihat Elina tersengih lebar. Kekadang, dia sengaja mahu berbual dengan Elina untuk melihat susunan giginya yang bagi Adi cantik.

“Nganga,” suruh Elina sambil melopongkan mulutnya, cuba memberitahu Daeng yang dia mahu bapanya membuka mulut.

Elina menjungkitkan kakinya sedikit, kononnya mahu mencapai mulut Daeng. Padahal dia sememangnya terlalu pendek.

Daeng terpaksa menundukkan kepala.

“Bapak ni tinggilah,” keluh Elina.

Roti kaya yang sudah dilipat dua itu disuapkan ke mulut Daeng. Dia tersenyum melihat bapanya mengunyah lahap. Pasti Daeng lapar. Pagi tadi bapanya keluar bekerja tanpa menjamah sarapan pagi seperti hari-hari sebelumnya.

Elina tahu bapanya penat bekerja di ladang. Daeng memerlukan makanan untuk diurai menjadi tenaga. Kerja-kerjanya bukan mudah. Lagipun, galah yang menjadi teman kerja Daeng bukan ringan. Elina pernah cuba mengangkatnya tapi tidak berjaya.

Walaupun Elina berdegil untuk menghantarkan makanan kepada Daeng, dia tahu bapanya tak suka dia ke situ sewaktu matahari sedang terpacak di atas kepalanya. Daeng suruh dia duduk di rumah, mengulang-kaji pelajaran. Jari Daeng selalu dituding ke arah buku sekolah Elina tiap kali Elina mahu keluar dari rumah.

Tetapi, kepala Elina sedegil bapanya. Dia mahu melihat sendiri Daeng menjamah makanan yang disediakannya. Almaklumlah, badan ayah keding, kurus melidi. Dia risau kalau bapanya tidak mendapat nutrien yang secukupnya.

Bagaimana kalau bapanya sakit? Bagaimana kalau bapanya terpaksa dimasukkan ke hospital? Bagaimana kalau bapanya tidak dapat menemaninya seperti selalu?

Elina masih ingat nasihat yang selalu disampaikan guru kelasnya, Cikgu Ramzi. Cikgu Ramzi. Cikgu Ramzi adalah seorang lelaki yang tak pernah lokek dengan ilmu, dengan pengalaman untuk dikongsi bersama. Dia adalah guru yang paling rapat dengan Elina di sekolah. Dia mempunyai influensi yang tinggi ke atas anak-anak didiknya. Barangkali kerana cara dia bertutur dan menyuarakan nasihat dalam bentuk cerita.

Cikgu Ramzi mengajar mereka agar jangan sesekali membazir makanan. Cikgu Ramzi menunjukkan mereka gambar-gambar dan video-video orang Somalia yang tidak cukup makanan, tidak mendapat bekalan air yang bersih. Cikgu Ramzi menceritakan penderitaan mereka untuk dijadikan iktibar. Ramai guru yang ada di Malaysia. Tetapi, bukan semua berjiwa seorang pendidik seperti Cikgu Ramzi. Kerna itu dirinya dihormati.

Sebak hati Elina melihat gambar kanak-kanak Somalia yang melidi. Dia takut bapanya akan jadi sekurus anak-anak Somalia. Dia takut bapanya akan jatuh sakit akibat kekurang nutrisi seperti mereka.

Sebab itulah, dia sanggup turun ke ladang untuk membawakan Daeng bekalan makanan. Dia mahu badan ayahnya menjadi tembun seperti Cikgu Ramzi. Elina tak mahu tubuh bapanya terus keding.

Sebagai anak kecil yang usia baru mencecah tujuh tahun, pemikiran Elina selalu terlebih kreatif, membayangkan itu dan ini. Fikirannya tidak seperti bahasa kamus. Dia punya definasi sendiri mengenai alam sekelilingnya. Betul atau tidak perkara yang kedua. Realiti dari kaca matanya sama seperti alam fantasi. Sama seperti apabila fikiran singkatnya jadi kacau apabila memikirkan tubuh bapanya mengecut seperti anak-anak Somalia bagaikan belon yang dikeluarkan angin.

“Jom, duduk dulu,” ajak Elina, memujuk Daeng meninggalkan batang Wakuba reput yang sedang terbaring atas tanah dekat perdu pokok.

Daeng melabuhkan punggung di sebelah Elina, atas tanah kering yang tidak berlapikan apa-apa. Mereka sudah terbiasa. Apa kotornya dengan tanah? Sedangkan tiap makhluk dijadikan dari tanah.

Geli pada tanah samalah seperti geli dengan kejadian mereka sendiri. Bukankah manusia adalah ciptaan ALLAH elok sifatnya, diamanahkan dengan tugas suci sebagai khalifahNYA.

“Kesian bapak,” luah Elina penuh simpati.

Daeng mengesat peluh di dahinya. Dia tidak memandang sewaktu Elina menyuarakan rasa simpati tadi. Jadi, dia tidak tahu apa yang dituturkan anaknya.

“Bapak makanlah banyak sikit. Nanti bapak jadi kurus,” pesan Elina.

Daeng tersenyum.

“Bapak nak minum air tak?” soal Elina sambil menghulurkan pula botol air yang dibawa bersamanya.

Daeng menyambut.

Tingkah mesra mereka diperhatikan Adi dari kejauhan. Adi mengenali Elina sejak kecil. Mereka teman sepermainan sejak dari zaman bertatih lagi, zaman mereka tidak geli dengan hingus dan tidak pula malu bertelanjang bulat di depan antara satu sama lain. Berbeda dari sekarang, mereka sudah mula tahu batas-batas antara makhluk berlainan jantina. Mereka sudah tahu merasa segan.

Adi terus berlari-lari anak, mendapatkan Elina dan Daeng.

“Elina, main jom,” ajaknya.

Elina menggeleng.

“Jomlah, El,” pujuk Adi.

Dahi Elina berkerut, geram kerana digesa.

“Nanti dah nak ujian penggal. Nanti kita tak boleh main lagi,” luah Adi memberi peringatan.

Daeng menepuk bahu Elina sambil menjuihkan bibir ke arah Adi, menyuruh dia menurut ajakan temannya.

“Tak nak!” ulang Elina, berkeras.

Adi memuncungkan bibir.

“Tak maulah, Adi. Nanti kemudianlah. Aku nak teman bapak,” balas Elina yang disusuli Adi dengan keluhan.

Elina memandang saja Adi melangkah pergi dengan beg galasnya yang sarat berisi buku. Kasut sekolah Adi sudah berlubang di tengah, ternganga sampai nampak stoking masamnya yang tidak berganti dari minggu lepas.

“Bapak mesti letih kan,” ucap Elina sambil menggagahkan kaki genitnya bangun semula.

Elina mengesat peluh busuk di dahi ayahnya dengan lengan baju.

“Nanti kan, lepas Elina besar, bapak tak payah kerja lagi ya. Nanti biar Elina yang kerja.”

Daeng tersenyum lagi.

“Nanti biar Elina yang jaga bapak,” ucap Elina bersungguh.

“Bapak kena jaga kesihatan. Bapak selalu sakit. Nanti kalau bapak sakit, siapa nak teman Elina jalan-jalan,” sambungnya.

Tangan kecilnya digenggam Daeng. Tangan yang baru mula mencoret dengan pensel arang, melakar pada kertas-kertas kuning kitar semula yang dibelinya di pekan. Tangan yang sudah kasar permukaannya, sudah mula dihinggap parut pada usia seawal tujuh tahun. Hujung kukunya selalu mengaut sisa arang.

Ya, anak kecil itu sudah diratah susah sejak lahir. Elina tidak pernah kenal erti hidup bermewah-mewah seperti orang kota. Elina terpaksa hidup susah di kawasan pendalaman itu, di ceruk yang tak pernah dijengah orang untuk mencari hiburan.

Seumur hidup Daeng, dia menganggap Elina sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya. Elina anugerah yang tidak ternilai, lebih indah dari kilauan kristal, lebih jernih dari air mata air. Elina hadiah yang paling sempurna dalam hidup Daeng yang serba kekurangan. Elina pelengkap harinya.

Sejak detik pertama dia memandang raut wajah itu, hatinya jadi tenang. Segala masalah hidup yang menghimpit terus hilang dari uncang fikiran. Elina mengenyahkan segala duka laranya.

“Bapak sayang Elina tak?” soal Elina.

Daeng memandang ke wajah naïf itu.

“Elina sayang bapak,” ucap Elina tanpa menanti jawapan Daeng.

Elina tahu Daeng takkan menjawab soalan yang ditanyakan tadi. Bekas air yang sudah diteguk ayahnya dipasangkan semula dengan penutupnya. Dia memeluk lengan Daeng erat-erat.

“Elina!” panggil Benson.

Suaranya kedengaran dari jauh sewaktu dia sedang melalui jalan yang tanah merahnya tidak rata, berbonggol di sana sini. Benson nampak seperti sedang meloncat-loncat atas seat motorsikal.

Elina mengangkat muka, memandang ayah saudaranya yang baru tiba dengan motorsikal kapchai yang sudah pecah lampu depannya. Kekadang ia menakung air ketika hujan lebat.

Kalaupun Benson tidak menegur, bunyi deruman enjin motorsikalnya boleh didengari dari jauh. Ia lebih dahsyat dari bunyi geselan pada trek keretapi. Bunyi yang tak pernah disenangi telinga Elina. Tetapi apabila dia merungut, Benson suruh dia belajar pandai-pandai dan dapatkan pekerjaan yang bagus supaya dia dapat belikan Benson motorsikal baru.

Benson tidak pernah cuba membaiki motorsikal lamanya. Dia seakan-akan tidak kisah dengan bunyi yang menyakitkan telinga itu. Atau mungkin sengaja tidak kisah kerana tak punya ongkos untuk membaiki motorsikalnya. Bagi Benson, kenderaan hanya bertujuan untuk membawa dia dari point A ke point B, bukan untuk bermegah-megah. Selagi ia boleh berjalan, selagi itu Benson tidak kisah.

“Mak kau mana? Buat apa kau di sini?” luah Benson sambil menongkat motorsikal tuanya yang tidak dimatikan enjin.

“Mak keluar dengan kawan baru. Elina tak kenal pun. Dia tak bagi Elina ikut. Jadi, Elina ke sini, bawakan roti untuk bapak,” jawab Elina, jujur.

“Kawan mana?” soal Benson, pelik.

“Lelaki bandar. Lelaki yang datang jumpa temannya yang kerja di sini,” jelas Elina meskipun dia sendiri tidak pasti. Dia hanya mengulangi cerita emaknya sewaktu dia bertanya tadi. Mirah menjawab soalannya dengan kasar, dengan marah. Dia sendiri tidak tahu apa yang membuatkan Mirah bengang dengannya.

Penjelasan Elina membuatkan Benson bertambah pelik. Siapa pula gerangan lelaki bandar itu? Apa tujuannya keluar dengan Mirah?

Mirah pun satu. Suka benar mencari pasal. Mentang-mentanglah Daeng penyabar orangnya, suka benar dia menduga kesabaran suaminya itu. Kekadang adiknya terlupa, Daeng suaminya, bukan kuli pecacainya.

Bukankah dia seharusnya menjaga maruah suaminya, memelihara diri agar tidak menjadi bahan umpatan orang. Dulu, Mirah juga yang berikrar untuk menjadi isteri yang baik buat Daeng. Dia juga yang beriya-iya mahu mengahwini lelaki itu meskipun ramai yang mencemuh hubungan mereka. Sampaikan apabila Benson menyuruh dia berfikir masak-masak sebelum menikahi Daeng, dia menuduh abangnya itu cemburu.

Kini, semunya sudah berubah. Mirah sudah tidak serajin semasa dia mula-mula menikahi Daeng. Di rumah, Daeng yang bangun pagi, membasuh dan mengemas. Kemudian, dia keluar bekerja di ladang kelapa sawit. Selepas pulang, dia yang mengutip baju, melipat dan menyusunnya.

Mirah hanya duduk goyang kaki, keluar bersama teman-teman, bergosip sampai ke senja. Apabila ditegur mulalah dia melenting. Pada Daeng ditempiaskan marahnya. Suaminya itu dimaki di khalayak ramai tanpa segan-silu. Kalau dengan Daeng sendiri pun dia berani meninggikan suara, dengan Benson apatah lagi.

“Macam-macam perempuan tu. Kalau dinasihat mulalah bertempik macam gajah naik minyak. Daeng ni pun penyabar sangat. Asyik bagi muka. Padanlah Mirah pandai pijak kepala suami sendiri,” rungut Benson, geram.

Benson memandang Elina yang masih terkulat-kulat memandangnya, tidak mengerti mengapa dia berang sangat dengan adiknya, Mirah. Elina terlalu muda untuk mengerti. Dia pula tidak rajin untuk menerangkannya.

“Lama lagi kau di sini?” soal Benson.

Elina menjungkit bahu.

“Nanti kalau Frederick datang cari aku di sini, kau beritahu dia yang aku ke pekan beli petrol. Van aku sudah habis minyak petrol. Suruh dia tunggu aku di kilang. Petang nanti aku pergi,” pesan Benson.

“Kenapa?” soal Elina.

“Dia mau baiki mesin. Dia cakap nanti dia datang sini,” balas Benson tanpa memandang Elina.

“Mesin apa?” soal Elina.

“Alah, mesin yang orang panggil mekanikal buffalo itu, yang buat kaut buah sawit nanti. Kau apa tau,” balas Benson acuh tak acuh.

“Uncle tau baiki mesin?” soal Elina, was-was. Dia memerhatikan keadaan motorsikal uzur Benson. Kalau bapa saudaranya itu boleh membaiki mesin, takkanlah motorsikalnya sendiri seteruk sekarang.

“Apalah bodoh kau ni! Aku mana tau baiki mesin! Aku disuruh cari orang baiki!” balas Benson dalam suara garang.

“Okay,” balas Elina.

“Jangan lupa ya,” pesan Benson lagi.

“Iya.”

Benson mengangkat tongkat motorsikalnya semula. Sekejap benar dia singgah di sana. Kelibatnya menghilang lagi.

Elina menghadap Daeng semula.

“Pak, nanti bapak belajarlah baca buku. Elina boleh ajar bapak. Kalau bapak pandai baca, tak adalah mak selalu marah bapak,” luah Elina.

Daeng mengusap kepala Elina.

“Nanti, kalau bapak dah pandai, bapak boleh baca surat khabar macam kawan baru mak tu. Tadi masa dia datang ambil mak, Elina nampak dia pegang surat khabar Inggeris,” tambah Elina.

Air muka Daeng bertukar suram.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.