Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,178
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 24

Bab 24

“Perempuan tu sakit, hampir-hampir mati. Keadaan dia baru stabil. Perlu ke nak buat macam tu, uncle? Perlu ke nak seksa dia?” soal Zuhayr. Dia duduk di atas bangku, menongkat kepala.

Hashim duduk bertentangan dengannya, bertemankan wajah tenang. Seakan-akan tidak apa yang berlaku di dalam sana. Tak ada riak penyesalan di wajah Hashim. Dia yakin yang keputusannya betul.

Elina tak boleh dibiarkan terus hanyut dengan igauan palsu. Dia harus dijagakan dari alam khayalan, menjejak realiti yang sahih. Ini bukan kisah dalam cerekarama televisyen. Di alam nyata, kenyataan sepahit manapun perlu ditelan jua. Kebenaran akan kelihatan jua sekalipun mereka cuba menyembunyikannya.

Ya. Dunia ini kejam pada Elina. Tetapi, sungguhpun kebenaran itu lebih pahit dari hempedu, tetapi the bitter of truth is better than the sweetness of lies.

“Kenapa Hayr tanya uncle macam ni? Hayr baru kenal perempuan tu. Dia bukan sesiapa bagi Hayr. Kenapa Hayr risau sangat pasal dia?” soal Hashim, mempersoalkan tindak-tanduk Zuhayr.

Zuhayr diam.

“Those eyes. Mata Elina ingatkan Zuhayr pada Kak Suri,” luah Zuhayr lemah, menahan rasa sebak.

“Kak Suri kau dah tak ada lagi kat dunia ni. Dah lapan tahun, Hayr. Lepaskanlah cerita tu,” pinta Hashim.

Hashim masih ingat dengan Suri, anak sulung kebanggaan Sofia, remaja kecil molek yang baru belajar berekperimentasi dengan hidup. Suri tidak kuat melatah seperti remaja lain yang baru hendak berkembang cara pemikirannya. Ya, dia jauh lebih matang dari rakan-rakan yang seusia dengannya.

Tempat Suri selalu di rumah, membantu ibunya menguruskan adik-adik, mengemas dan memasak. Suri bijak di sekolah dan aktif juga dalam sukan. Dia selalu dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk persatuan-persatuan yang disertainya. Guru-guru di sekolah selalu mengatakan yang masa depannya tampak cerah.

Segalanya berubah waktu Suri naik ke tingkatan tiga. Selepas menghadiri ko-kurikulum sekolah, dia terus meninggalkan kawan-kawannya untuk pulang. Memang dia pulang ke rumah tetapi tidak dia sampai dalam sifat yang sepatutnya. Suri tiba dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Seluruh keluarga mereka bersedih sewaktu jenazahnya dipulangkan selepas bedah siasat.

Sepanjang empat puluh tujuh jam kehilangannya, ketenangan seluruh keluarga mereka dirembat dengan bunyi telefon, bunyi siren polis dan suara esak-tangis. Misi pencarian bermula.

Polis mulai menjejak dari kawasan sekolah sehinggalah ke tempat yang sepatutnya dilalui Suri untuk pulang ke rumah. Segenap ruang digeledah. Termasuklah longkang besar yang berhubung ke sungai, takut kalau dia terjatuh.

Selepas empat puluh tujuh jam lamanya, mayat Suri ditemui mati di kawasan semak, ditinggalkan dalam keadaan tidak berbaju dan kepalanya diikat dengan plastik. Seluruh keluarga Zuhayr trauma.

Abahnya, Zulkifli mendapat tekanan mental sehingga tak mampu lagi bekerja. Mamanya, Sofia yang menguruskan perniagaan ayahnya secara kecil-kecilan sambil membesarkan Zuhayr dan adiknya, Suria. Semua tanggungjawab terbeban ke bahu Sofia. Kekadang Hashim kesian melihat Sofia terkejar ke sana ke mari. Sudahlah dia terpaksa membesarkan anak-anaknya, dia terpaksa juga menjaga suaminya yang kurang waras.

“Lepaskanlah, Hayr. Selagi Hayr tak lepaskan selagi tu Hayr akan rasa sakit hati. Dah lapan tahun Suri pergi. Pembunuh dia dah dapat hukuman setimpal. Maafkanlah dia,” pujuk Hashim.

“Dia bunuh kakak saya, uncle. Macam mana budak umur lapan belas tahun boleh rogol dan bunuh kakak saya macam tu? Macam mana dia boleh jadi kejam sangat? Kak Suri tak pernah sakiti sesiapa. Semut pun dia tak jentik,” luah Zuhayr, sedih berbaur dengan geram yang teramat.

“Hayr, sometimes it is easier to let it go. Tie no weights on your ankles. Engrave no hate upon your heart. Elina bukan Suri, Hayr. Selagi Hayr tak terima kenyataan tu, selagi tu hidup Hayr akan sengsara,” ucap Hashim sambil menepuk bahu Zuhayr, mengharapkan anak saudaranya redha dengan pemergian kakaknya.

“Dia sangat fragile. Hayr tak nak dia jadi macam Kak Suri. Cukuplah Hayr hilang Kak Suri,” luah Zuhayr.

“Hayr, dia jauh lebih kuat dari rupanya. Mama kamu dan uncle juga datang dari keluarga yang susah, Hayr. Kami tau macam mana resamnya. Dia lebih kuat dari sangkaan kamu. Elina perlu tahu perkara sebenar supaya kita dapat lindungi dia. Kita tak boleh terus tipu dia,” tegas Hashim.

“Nak lindungi macam mana? Kita tak tau siapa yang cuba bunuh dia. Uncle buat macam tu hanya burukkan keadaan dia. Kalau dia mati, sampai bila pun kita tak tahu perkara sebenar,” luah Zuhayr.

“Sebab tu kita perlu buat dia ingat. Tak kira apa pun caranya kita mesti buat dia ingat,” tegas Hashim.

“Inspektor,” panggil Adi sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bilik yang menempatkan Elina. Dia tampak gelisah.

“Handphone Elina baru dihidupkan. Saya tau sebab mesej-mesej saya baru sampai,” luah Adi.

“Mungkin pembunuh Elina yang hidupkan,” teka Zuhayr.

Hashim diam sekejap.

“Jarang untuk seorang pembunuh hidupkan handphone mangsa. Dia pasti tak mahu kita track down lokasinya,” balasnya, tak mahu memberikan Zuhayr harapan palsu.

“Tak siapa tahu. Kalau otak dia bijak, takkan dia gamak bunuh orang,” ucap Zuhayr, menimbulkan persoalan.

“Uncle akan buat panggilan ke balai, minta mereka track down lokasi handphone tu,” tegas Hashim sambil melambai ke arah dua orang anggota polis yang sedang duduk berdekatan meja jururawat.

“Kalau orang yang pegang handphone tu bukan pembunuh Elina? Kalau dia jumpa handphone tu di mana-mana?” duga Adi.

“Setidak-tidaknya kita tahu, mana dia buang handphone Elina. Mungkin dia ada tinggalkan apa-apa bukti kat situ yang boleh bantu siasatan,” balas Hashim.

“Orang tu akan dapat balasan,” cetus Zuhayr.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.