Home Novel Cinta Pabila Dia Tersenyum
Pabila Dia Tersenyum
liza nur
15/4/2013 01:04:50
126,200
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 19

Bab 19

16 jam kemudian...


Bajunya sudah berganti. Zulhayr memilih kemeja putih dan jeans biru untuk menggantikan t-shirt hitam yang dipakai dari malam sebelumnya. Dia hanya pulang untuk mandi dan tidur sekejap. Tetapi, tak sampai empat jam lena, dia terbangun semula dan mengambil keputusan untuk kembali ke hospital.

Hatinya tidak tenang selagi nasib Elina belum diketahui. Apa kesan kecederaannya? Akan hidupkah dia? Atau maut barangkali terlalu hampir dengannya? Ah, Zuhayr resah! Meskipun dia sedar yang Elina bukan isterinya yang sah, lagaknya tak ubah seperti seorang suami yang kerisauan.

Mata Zuhayr tertala pada handphone. Hanya itu ubat runsingnya sekarang. Runsing memikirkan nasib malang isteri palsunya di dalam sana. Dia memilih setting, menghidupkan semula internet access yang dimatikan agar baterinya dapat bertahan lebih lama. Application pada Whatapps Zuhayr berbunyi tak henti-henti.

Kebanyakan mesejnya datang dari kaum Hawa. Zuhayr malas untuk membacakan kebanyakan isi inboxnya. Jarinya menarik cursor ke bawah, scroll sehingga ke mesej-mesej penamat. Dia terlihat mesej dari salah seorang dari teman wanitanya, Haiza dan kemudian mesej dari Munawarah pula.

Tak lama kemudian, whatappsnya berbunyi lagi. Kali ini gambar dari teman wanitanya yang seorang lagi. Zuhayr hanya memandang. Satu demi satu. Fikirannya masih direnjat dengan insiden hari sebelumnya. Dia tak boleh fokus dengan apa yang sedang diperhatikannya di dada skrin.

“Hantar gambar tangkap sendiri. Bajet cantik sangatlah tu. Geli aku...” ejek Zuhayr, perlahan.

Ya, ada banyak wanita dalam klasifikasi cun dalam list contact whatappsnya tetapi fikirannya sekarang hanya jatuh pada Elina, gadis yang tidak diketahui asal-usulnya itu. Hebat juga penangan gadis itu. Gadis yang sebelum ini tidak meninggalkan sebarang makna bagi Zuhayr.

Selang beberapa minit, whatappsnya berbunyi lagi. Rajin benar Ain menaip mesej, cetus hatinya. Tetapi, matanya tiba-tiba sahaja membulat. Mesej Ain kali ini menarik perhatiannya. Ia tidak sama seperti mesej-mesej sebelum ini. Ada gambar yang diforwardkan kembali bersama mesej-mesejnya.

‘I tau memang tak logik untuk you jumpa perempuan ni. Tapi, abang I suruh tolong forwardkan pada semua kawan. Kawan baik perempuan ni teman kampus abang. Nama perempuan ni Elina dan dia dah hilang lebih 48 jam. Dah heboh pasal dia di fb. Kalau ada berita tolong hubungi nombor ni.’

“Elina,” ucap Zuhayr.

Hatinya bergetar. Zuhayr segera mendail set nombor yang diberikan oleh gadis itu melalui Whatapps.

“Hello,” ucap Zuhayr.

“Siapa ni?”

“Nama saya Zuhayr. Awak yang hantarkan gambar wanita tu di whatapps kan? Saya ada jumpa wanita dalam gambar whatapps tu. Sekarang, dia sedang berada di hospital,” luah Zuhayr.

“Awak pasti? Sebab dah semalaman kami dipermain-mainkan ramai orang. Dah letih kami ke sana sini cari dia. Kalau awak setakat nak main-main, tolonglah jangan buang masa kami,” balas Ameer, sedikit skeptikal.

“Saya jumpa beg dia juga. Nama dia Elina Daeng. Umur 20 tahun, berasal dari Tawau, Sabah dan dia baru terima surat tawaran dari University of Reading. Rambut hitam pekat, lurus. Tubuh kurus,” luah Zuhayr, malas untuk bertelagah. Dia mengemukakan terus bukti yang dimilikinya.

Mata Ameer membulat, terkejut mendengar penerangan Zuhayr. Dia yakin pemanggil telefon itu tidak mempermain-mainkan mereka. Nampaknya, lelaki bernama Zuhayr itu betul-betul sudah menemui Elina.

“Hospital mana? Boleh tolong kirim alamat hospital? Kami ke sana sekarang,” pinta Ameer.

“Encik, kat sini tak boleh guna telefon,” tegur seorang jururawat yang melintas di kawasan itu.

Zuhayr menganggukkan kepala sambil mengangkat isyarat tangan, meminta jururawat tadi memberikan dia sedikit waktu sebelum menamatkan panggilan telefon itu. Dia tak boleh terus mematikan talian.

“Kalau nak guna telefon, encik boleh sambung berbual di luar,” gesa jururawat tadi sambil menunjukkan arah pintu.

“Nanti saya hantar,” balas Zulhayr kepada Ameer ringkas sebelum tergesa-gesa mematikan talian.

Selepas talian terputus, Zuhayr terus menaipkan alamat hospital seperti yang dipinta dan mengirimkannya dalam bentuk sms kepada nombor tadi.

Jururawat yang menegurnya menunjukkan air muka tidak puas hati. Dia menggelengkan kepala sebelum melangkah meninggalkan Zuhayr.

Zuhayr tertunduk malu. Dia tahu perbuatannya boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit-pesakit di wad.

“Doktor, pesakit dah sedar!” jerit seorang jururawat lain sambil berlari keluar. Seorang doktor masuk ke bilik yang menempatkan Elina.

“Saya kat mana?” soal Elina.

“Tenang, Puan Elina di hospital. Suami cik ada menunggu di luar,” pujuk doktor yang merawatnya.

“Siapa Elina? Suami?” soal Elina.

“Puan, betul puan tak ingat nama puan?” soal doktor sambil memeriksa mata Elina dan denyutan nadinya.

Elina menggelengkan kepala.

“Panggil suami dia,” pinta doktor.

Jururawat tadi terus keluar dan masuk semula ke dalam bilik dengan Zuhayr.

“Elina,” panggil Zuhayr.

“Puan ingat siapa dia?” soal doktor.

Elina memandang dengan sejuta tanda tanya.

“Puan Elina, Encik Zuhayr ni suami puan. Puan baru saja alami kemalangan. Kami syak, mungkin sebab tu ada gangguan pada memori Puan Elina,” tambah doktor tadi, memberi penerangan dalam nada lembut.

Elina menggelengkan kepala.

“Saya tak ingat. Saya tak ingat apa-apa. Saya kat mana? Saya siapa?” soal Elina berulang-kali, tidak keruan.

Elina tidak dapat menggerakkan kaki kanannya. Tubuhnya pula terasa sakit, bagaikan baru tercampak dari bangunan tinggi. Air matanya merembes keluar tanpa henti, tak mampu menahan perit.

“Sabar dulu,” pujuk Zuhayr.

Zuhayr menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Meskipun Elina masih kebingungan, Zuhayr merasakan yang dia perlu menjelaskan perkara yang sebenar sebelum keadaan menjadi lebih runcing.

“Sebenarnya…”

“Encik Zuhayr, maafkan saya. Boleh tak encik tolong ikut saya keluar sekejap. Ada benda yang saya nak cakap,” pinta doktor.

Zuhayr tak sempat menghabiskan bicaranya. Dia menyusun langkah, meninggalkan Elina bersama Doktor Maliq.

“Saya minta encik banyakkan bersabar. Saya kena periksa dulu keadaan Puan Elina. Mungkin ini hanya sementara, tak lama lagi ingatan dia akan kembali pulih. Buat masa ni, saya nasihatkan Encik Zuhayr jangan beri Puan Elina apa-apa tekanan. Dia masih trauma. Jangan ingatkan dia tentang apa yang berlaku sebelum ni. Saya takut keadaan dia akan jadi makin teruk,” nasihat Doktor Maliq.

“Tapi, polis perlukan statement dia. Kami kena tahu ke mana dia menghilang dan apa yang dah jadi pada dia sebelum ni,” tegas Zuhayr.

“Saya nasihatkan tangguhkan dulu. Sebab dia masih kritikal. Risikonya terlalu tinggi. Kalau Encik Zuhayr sayangkan isteri encik, tolong fikirkan soal keselamatannya dulu sekarang ni, sebelum fikirkan apa dah jadi sebelumnya.”

Isteri. Zuhayr bertambah bingung. Dia terduduk di atas kerusi semula sambil menongkat kepalanya. Kemudian, dia melangkah masuk semula ke dalam bilik yang menempatkan Elina.

Hatinya sebak melihat gadis yang sepatutnya mempunyai masa depan yang cerah itu sedang terbaring lemah dengan kepala dan kaki yang berbalut. Ada air mata yang merembes keluar dari pinggir mata Elina. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Zuhayr tak terbayang rasa sakit yang Elina rasakan sekarang.

“Sakit,” ucap Elina.

“Doktor! Doktor!” jerit Zuhayr.

Doktor tadi masuk kembali. Zuhayr ditolak keluar oleh salah seorang jujurawat yang bertugas. Dia mengintai sekejap sebelum daun pintu di depannya dikatup. Hatinya dicengkam risau. Dia rasa aneh, seakan-akan wanita di dalam itu benar-benar isterinya. Walhal dia hanya mengenali Elina melalui dokumen yang ada dalam begnya.

“Ya ALLAH, selamatkanlah dia,” doa Zuhayr.

“Assalammualaikum,” ucap seorang lelaki yang kelihatan menakutkan. Rambutnya tidak terurus. Matanya membengkak, merah dengan lingkaran hitam di sekeliling kedua-dua belah mata.

Zuhayr terkedu sekejap.

“Waalaikummussalam,” balas Zuhayr.

“Awak yang call pasal Elina?” soal lelaki itu.

Zuhayr mengangguk.

“Saya Adi, kawan baik Elina,” jawab Adi.

Zuhayr memandang dari atas ke bawah, was-was. Benarkah tindakannya memaklumkan pada Adi tentang Elina? Bagaimana kalau lelaki itulah punca Elina ditimpa kecelakaan.

“Macam mana awak kenal dia?” soal Zuhayr.

“Kami sekampung. Saya dan Elina kawan dari kecil. Yang lain ni, kawan sekampus saya,” jelas Adi.

“Saya Muhamad Zuhayr.”

Adi dan Zuhayr saling berpandangan. Macam-macam syak-wasangka yang bersulam dalam hati mereka. Adi tidak mempercayai Zuhayr seperti mana Zuhayr tidak mempercayainya. Hanya satu rasa yang menyatukan mereka, kedua-dua lelaki itu sedang merisaukan keadaan Elina.

“Elina sepatutnya berjumpa dengan ibunya, Mirah sebelum dia hilang. Ada berita dari ibu Elina?” soal Adi.

Zuhayr menggeleng.

“Mengapa dengan ibu Elina? Apa dah jadi? Macam mana Elina boleh hilang sebelum ni?” soal Zuhayr.

Adi diam, tidak segera menjawab. Bolehkah dia menaruh rasa percaya pada Zuhayr? Entah-entah lelaki itu salah seorang penculik Elina yang dimaksudkan Mirah. Mungkin Elina masih dalam bahaya.

“Awak ni siapa sebenarnya?” soal Adi, tidak berpuas hati.

Wajah kuyu Adi bertukar berang pula. Seakan-akan marah kerana ditanya bertalu. Rakan-rakannya mara ke depan sedikit, menunjukkan rasa tidak puas hati. Masing-masing terlupa yang mereka berada di hospital.

“Saya yang jumpa Elina. Dalam semak-samun tepi jalan. Kami syaki dia dibunuh dan barangkali dirogol. Sekarang jawab dulu soalan saya tadi, mengapa dengan ibu Elina? Di mana dia sekarang?”

Nada Zuhayr sedikit meninggi, tidak gentar. Dia tahu ada seorang sarjan yang sedang duduk di bangku berdekatan, hanya menunggu isyaratnya untuk bertindak. Lagipun tubuh Adi tidaklah sebesar mana. Dia yakin dia mampu menundukkan lelaki itu dengan mudah kalau terpaksa.

“Awak jangan cuba nak berdalih dengan saya. Polis sekarang sedang siasat kes Elina,” ugut Zuhayr.

“Berdalih apa? Memang saya tahu benda ni dah jadi kes polis. Pihak polis baru call saya lima minit tadi. Saya dah laporkan kehilangan Elina dari awal. Dah puas kami geledah kawasan-kawasan di KL dan Selangor, cari Elina,” jelas Adi.

Adi membuka beg galasnya, menunjukkan pada Zuhayr salinan police report yang dibuatnya.

Zuhayr menarik nafas lega.

“Elina baru sampai dari Sabah untuk jumpa ibunya, Mirah. Sampai saja di airport, teman lelaki ibunya culik Elina,” cerita Adi.

“Kenapa?” soal Zuhayr.

“Sebab emak dia ada hutang dengan lelaki tu. Dia nak jual Elina untuk tuntut ganti rugi. Waktu aku sampai di airport, Elina dah tak ada dan aku tak dapat hubungi ibu dia. Jadi, aku terus buat report polis dan usaha cari dia,” cerita Adi.

Adi memandang Zuhayr dengan prejudis. Cerita di pihaknya telah dipendekkan untuk santapan telinga Zuhayr. Sekarang giliran Zuhayr pula untuk menjelaskan apa hubungannya dan Elina.

“Aku balik lewat semalam. Kebetulan, aku lalui kawasan mereka tinggalkan Elina. Masa aku jumpa dia tu, keadaan dia dah kritikal. Aku tak tau sama ada dia cuba dibunuh atau accident, tapi polis syak ada kemungkinan dia dirogol sebab semasa aku jumpa dia, dia hanya berkain batik.”

“Ya ALLAH. Kenapa malang sangat nasib kau, El,” luah Adi. Dia menggenggam penumbuk.

“Sabar, Adi,” pujuk Erol.

Adi terduduk, menongkat dahi. Air matanya merembes lagi. Ameer melabuhkan punggung di sebelahnya sebelum melabuhkan tangan di atas bahunya.

“Macam mana keadaan dia sekarang?” soal Erol.

Zuhayr menggeleng.

“Aku tak tahu. Doktor masih kat dalam.”

Tak sampai seminit kemudian, daun pintu dikuak semula. Salah seorang jururawat yang membantu doktor yang merawat Elina melangkah keluar.

“Doktor dah periksa Puan Elina. Keadaan dia dah stabil buat masa ni...”

Mereka melepaskan nafas lega.

“... Dia nak jumpa suaminya,” sambung jururawat tadi.

“Suami?!” ucap Adi dan Ameer serentak.

Erol menjungkit bahu, memandang Adi dengan riak wajah pelik.

“Kau tak beritahu dia dah kahwin.”

“Aku tak beritahu sebab dia memang belum kahwin,” balas Adi.

Zuhayr tersengih, mengalahkan kerang busuk sewaktu kesemua mata dia sana mengarah kepadanya.

“Aku nak jumpa Elina,” cetus Adi sambil bangun berdiri semula.

“Doktor hanya benarkan suami pesakit masuk. Encik kena tunggu di luar dulu. Pesakit masih lemah,” halang jururawat tadi.

“Aku akan jelaskan kemudian,” ucap Zuhayr sebelum masuk ke dalam. Dia mempersetankan dulu wajah tidak puas hati Adi. Hanya keselamatan Elina yang dirisaukan sekarang.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.