Bab 3
“Daeng! Daeng!” jerit suatu suara.
Elina yang mamai menarik daun tingkap, mengintai keluar, melihat kenalan ayahnya sedang terjerit-jerit.
“Bapak!” jerit Elina.
Dengan pantas, Elina berlari keluar dari bilik, mencari kelibat bapaknya yang sedang tidur dekat dapur arang di dapur. Tubuh Daeng digoyang beberapa kali.
“Bapak, bangun!” kejut Elina.
Sebaik sahaja Daeng tersedar dari tidur, dia menuding jadi ke pintu rumah yang ternganga.
Daeng bergegas bangun, berlari ke depan.
“Daeng, aku nampak bini kau bawak beg besar, masuk dalam ladang!” jerit rakan sekerja Daeng, Ombak.
Daeng tersentak.
“Cepat, Daeng! Kau kejar dia, Daeng! Kau kejar!” tambah Ombak, resah.
Ombak tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan Mirah. Wanita itu tampak takut-takut sewaktu terserempak dengannya tadi. Apa yang mahu dibuat Mirah dalam ladang? Malam sudah merangkak tua. Tidak takutkah dia? Bagaimana kalau dia terserempak dengan binatang buas? Bagaimana kalau dia disampuk kuntilanak?
Daeng melompat turun sambil pandangannya meliar mencari kelibat Mirah. Ombak menuding jari ke ladang sambil menjerit Mirah, takut kalau-kalau Daeng tidak faham bicaranya tadi. Tetapi jelas dari gelagatnya sekarang, Daeng faham maksudnya.
“Pak,” panggil Elina.
Daeng menoleh ke belakang, memandang Elina yang sudah mulai menangis. Dia berpatah balik. Tak sampai hati meninggalkan anaknya seorang diri. Dia mengangkat Elina, mengendong anak itu ke belakangnya. Dengan kaki yang hanya bersarungkan selipar Jepun, dia mula berlari.
* * * * * *
Dalam diam jiwa ini meronta. Meracau aku mencari. Dalam kelam. Dalam payah. Kerna sekali aku melafazkan akad nikah untuk menjadikan dia yang halal buatku, sampai mati aku tekad untuk menyintainya.
Lafazku tanpa suara yang boleh menjengah ke gegendang telinga. Namun, cukuplah kiranya lafaz itu mengikat perjanjian dua hati, dimengerti dua saksi yang memandangku. Hanya dia yang aku cinta. Meskipun cintanya kian sirna hari demi hari. Hatinya tak lagi milikku seperti dulu.
Cintaku bukanlah lafaz kosong di bibir. Cintaku berbuah dari hati, bersulam ikhlas yang tidak pernah berbelah-bahagi. Hatiku kerdil, kudus. Tetapi, setiaku seutuh cengal, seteguh jati. Takkan goyah meskipun ramai yang melontar nista.
Biar tsunami memukul badai ke pantai kasih kami, aku tetap setia, mengerah kudratku untuk menyara keluarga kami. Biar aku terseksa. Biar jiwa aku merana. Biar aku yang menanggung perit asalkan dia hidup sempurna. Kerna aku seorang suami. Aku pemikul amanah keluarga.
Namun, sayang. Sempurna yang dikejarnya dipaku pada not ringgit, pada gelang emas, pada tanah berekar. Sempurnanya bukan selaut kasih yang aku mandikan untuk merawat lukanya. Sempurnanya bukan pada pengorbanan yang aku titipkan tiap hari, mengerah kudrat untuk menyediakan ikan dan ayam atas meja sebagai lauk nasinya.
Ya, hidup yang kurasakan sempurna, tidak sempurna di matanya. Kerana dia mengejar yang zahir semata, kekayaan yang mampu disentuh, bukan dirasa dengan hati. Dia mahukan lebih, di luar kemampuanku. Mungkin sudah menjadi resam manusia, seringkali terlupa untuk mensyukuri nikmat yang ada.
Salahkah aku untuk menyintainya dalam kondisiku yang tidak sempurna? Aku tidak mampu mendengar, berbicara apatah lagi. Aku memahami dengan gerak bibir, dengan riak wajah orang di sekelilingku.
Mungkin aku bukan Adam sempurna yang mampu dia banggakan sebagai seorang isteri. Tetapi, aku juga tidak pernah mengharap wajah seindah Balqis atau jiwa setabah Sumaiyyah untuk menemaniku. Aku menerima tiap kekurangannya dengan redha. Tetapi mengapa tidak dia?
Sepanjang dia aku nikahi, tak pernah aku biarkan perutnya kosong tidak berisi. Tidak pernah aku biarkan dia sunyi tanpa pelukan dan belaian seorang suami. Aku berhabisan segalanya agar dia mampu memiliki segala yang didambanya.
Tetapi, barangkali ia tidak cukup. Yang diidamnya tidak termampu aku tunaikan sepenuh-penuhnya.
Aku hamba ALLAH yang lemah. Aku punyai kekurangan yang mampu dipandang mata, yang zahir, yang tak mampu aku selindungkan. Tetapi, dengan kelemahan ini, dulu dia mengakui yang dia sudi menerimaku.
Tujuh tahun kami hidup bersama. Kami membina keluarga kecil kami dalam kepayahan, bersama zuriat kami, Elina. Kenapa baru kini, kelemahanku diungkitkan? Kenapa baru kini dia menyedari yang dia tidak rela bersuamikan aku? Mengapa?
Ya TUHAN! Syaitan apa yang merasuknya? Syaitan apa yang melontar musibah dalam keluarga kecil kami?
TUHAN, bukalah matanya. Sedarkanlah isteriku tentang balasan dosa seorang isteri yang curang pada suaminya. Sedarkanlah dia yang aku masih hidup, masih berpijak di bumiMU ini. Laknat bagi seorang isteri yang meninggalkan suaminya tanpa keizinan, menyintai lelaki lain yang bukan muhrimnya.
Mirah, jangan tinggal aku, jerit hati Daeng. Kesiankan anak kita Mirah. Kesiankan Elina. Macam mana aku nak hidup tanpa kau, Mirah? Kesiankan aku, Mirah. Jangan hancurkan keluarga kita, Mirah. Jangan tinggalkan kami. Berkali-kali hatinya merayu sambil air matanya meleleh ke pipi.
“Daeng! Daeng!” jerit Benson dengan kuat.
Benson. kebetulan sedang melalui denai kecil dalam kawasan ladang. Dia baru keluar dari pangkin kecil di dalam ladang Frederick yang menjadi tempat dia minum tuak dengan kawan-kawannya.
Mata Benson tidak berkelip. Dia terkejut melihat adik iparnya yang berlari umpama lipas kudung. Mujurlah dia tidak mabuk. Dia mengikut rentak larian adik iparnya walaupun langkahnya jauh ketinggalan di belakang.
“Kau nak ke mana, Daeng?!” soal Benson dalam nada kuat.
Panggilannya tidak Daeng hiraukan. Bahkan dia tidak dapat mendengar suara abang iparnya itu. Dia tak mampu mendengar suara alam yang lain melainkan suara hatinya sendiri yang berteriak, meraung agar Mirah kembali.
Daeng meneruskan rentak larian sekencang degup jantungnya sambil mengendong Elina yang tampak ketakutan. Elina masih menangis tersedu-sedan, cuba berpaut kuat pada tubuhnya.
“Daeng! Daeng!” jerit Benson lagi.
Benson yang tidak sedap hati meneruskan langkah, mengejar langkah Daeng meskipun dia kepenatan. Tak henti-henti dia menjerit, memanggil nama Daeng. Dia seakan-akan terlupa yang adik iparnya pekak. Daeng tak mampu mendengar panggilannya. Usahanya menjerit sia-sia belaka.
Wajah ketakutan Elina tertangkup pada retina mata Benson. Tidak pernah Benson melihat Elina setakut itu. Elina anak yang aktif, yang berani. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Apa yang menyebabkan Elina takut?
Hati Benson tertanya-tanya sendiri, membuat tekaan yang tidak mampu dipastikan kesahihannya.
“Aaah…” luah Daeng dalam bahasa yang hanya dia mengerti.
Teriakan Daeng cukup sayu, cukup memilukan. Teriakan seorang suami yang tidak berdaya. Dia seorang suami yang lemah tetapi tidak mahu mengalah kerna cintanya pada seorang isteri.
Deruman enjin jip kedengaran, memecah kesepian malam. Jentera kecil empat roda itu masih belum bergerak, duduk statik antara pohon-pohon Wakuba yang sudah melebihi ketinggian lima kaki.
“Aaaah…” teriak Daeng sewaktu melihat isterinya, Mirah menghulurkan beg pakaiannya kepada seorang lelaki Melayu bertubuh tegap. Tidak sekali Mirah menoleh memandangnya.
Daeng mempercepatkan langkah. Anaknya, Elina diturunkan, dibiarkan berdiri tanpa kasut atas tanah becak.
“Aaah...”
Daeng memeluk lengan Mirah, enggan melepaskan isterinya pergi dengan lelaki asing itu. Lelaki itu baru dikenali Mirah selama dua minggu. Apa yang dia tahu tentang Mirah? Kenapa Mirah tega mempercayai lelaki asing itu?
Cinta mereka kononnya membutakan mata, tidak mengenal darjat dan status. Semuanya hipokrit! Bukannya lelaki itu tidak tahu yang Mirah sudah bersuami. Bukannya dia tidak tahu Mirah sudah ada keluarga di sini. Perbuatannya seperti sengaja mahu melemparkan minyak ke dalam api.
Ah, semua janji-janjinya pada Mirah hanyalah temberang! Daeng yakin lelaki itu ada menyimpan niat serong. Daeng tak mahu dia mengapa-apakan Mirah. Dia takkan izinkan Mirah meninggalkan dia dan Elina.
“Lepaslah!” jerit Mirah.
“Aah…Aaa…Aa,” luah Daeng.
Dia merayu dalam bahasanya sendiri sambil menggelengkan kepala, tidak merelakan Mirah pergi. Air matanya mengalir lesu, membasahi pipi garing yang dimamah sang suria sewaktu bekerja saban hari.
Air mata Mirah tertumpah sama, membayangkan kepayahannya hidup bersama seorang suami kurang upaya. Tujuh tahun dia hidup bersama Daeng. Mereka hidup serba kekurangan. Mereka hidup tanpa harta.
Kais pagi makan pagi, kain petang makan petang. Mereka tak pernah dapat merasa hidup mewah seperti yang dijanjikan kekasihnya sekarang. Mirah tak sudah tak sanggup melalui kepayahan itu lagi. Dia mahu pergi jauh dari bumi Sabah. Jauh dari Daeng dan kemiskinan yang membelenggu mereka.
“Aku dah tak sanggup hidup dengan suami bodoh macam kau. Aku dah tak mau hidup susah! Kau dahlah tak tau baca, tak tau tulis! Dahlah bisu, bodoh! Cukuplah aku merana selama ni! Lepaskanlah aku! Aku tak mau tengok muka kau lagi!” tempelak Mirah sambil menolak Daeng ke tepi.
“Bapak!” jerit Elina sewaktu melihat tubuh kering Daeng hampir tersungkur.
Elina berlari mendapatkan ayahnya.
“Mirah!” jerit Benson dari jauh.
Mata Mirah membulat, terkejut dengan kehadiran Benson. Dari mana datangnya Benson? Bagaimana Benson tau dia ada di sana?
“Ben?”
“Kau nak ke mana, Mirah? Bodoh kau ni! Dapat laki elok macam si Daeng, mau tinggalkan. Tak sayang laki kau ni! Anak kau macam mana?” hujah Benson.
Suara Benson tersekat-sekat meskipun dia marah. Dia masih termengah-mengah, cuba untuk menghilangkan penat dengan bernafas laju-laju.
“Aku dah tak sanggup hidup susah, Ben. Aku dah tak nak. Laki aku bodoh, lembik. Semua orang cakap macam-macam pasal kami. Aku nak hidup bebas. Aku nak tinggalkan tempat ni. Pergi jahanam dengan semua orang kat sini! Aku nak pergi!” ujar Mirah tanpa memandang Benson.
Pandangan Mirah jatuh pada lelaki tegap yang sedang menunggu dalam jip. Kekasih tidak mahu turun untuk menghadapi situasi getir itu. Dia hanya memandang melalui cermin tengah jip.
“Dulu kau yang sanggup,” ungkit Benson.
“Dulu aku pun bodoh, tak tau mana baik, mana buruk. Aku masih muda. Baru enam belas tahun. Aku tak sempat fikir panjang, Ben,” balas Mirah.
“Eah, ngan gal ku…Eah...Eah,” luah Daeng, tak mampu berbicara seperti manusia normal.
Daeng merangkak ke kaki Mirah. Dipeluknya kaki Mirah, merayu agar dirinya tidak ditinggalkan.
Jangan pergi, Mirah, pintanya di dalam hati. Tidak rela dia meneruskan hidup tanpa isteri yang terlalu dicintainya itu.
Hingusnya meleleh dari hidung. Mirah memandang jelek, geli. Sedangkan dia tidak pernah memandang isterinya begitu. Daeng menangis semahu-mahunya, merayu tanpa suara yang mampu diterjemah sang isteri.
Belum lama dia memeluk kaki Mirah, isterinya itu menyepak kepalanya dengan tapak kasut tanpa simpati.
Daeng tersungkur atas tanah.
“Pak!” raung Elina.
Elina duduk melutut, memeluk ayahnya. Tangannya mengusap dahi Daeng yang terkena tanah becak busuk yang melekat pada tapak kasut Mirah. Dia tidak geli dengan peluh ayahnya mahupun hingus ayahnya yang meleleh.
Pada usia tujuh tahun, Elina lebih mengerti jerih pengorbanan ayahnya selama ini dari ibunya yang sudah berusia matang. Dia masih ingat hingusnya yang pernah dikesat tangan kasar Daeng. Dia masih ingat Daeng yang mencuci punggungnya dari kecil, yang mendukungnya ke klinik desa sewaktu dia sakit, yang membasuh lampin kotornya dan memakaikan dia lampin yang baru. Daeng jugalah yang membersihkan bisul nanah yang tubuh di kakinya sewaktu dia berusia lima tahun.
Elina mengingati tiap pengorbanan ayahnya. Dia manusia yang tak pernah lupa. Dia manusia yang tahu menghargai. Sayang, dia terlalu muda untuk melindungi segala yang dikasihinya. Kudratnya terlalu lemah, terlalu kecil. Otak terlalu naïf untuk mencari resolusi dalam keadaan kritikal itu.
“Mirah!” jerkah Benson.
Mata Benson menjegil, terkejut dengan tindakan adik bongsunya itu. Dia terus ke depan, mengaut rambut Mirah dengan tangannya. Pipi Mirah dihadiahkan dengan penampar, sebagai balasan tindakannya tadi. Kulit muka Mirah yang putih melepak bertukar warna kemerahan.
Mirah jadi takut. Dia tahu Benson panas baran orangnya. Abangnya itu tidak takut dengan sesiapa.
“Lepas! Lepas!” jerit Mirah.
“Jangan jadi bodoh, Mirah!” tempelak Benson, tak mahu melepaskan cengkaman tangannya.
Sebaik sahaja Mirah menjerit, lelaki dalam jip tadi melangkah turun. Dicapainya kayu besbol yang tersimpan bawah seat belakang jipnya. Hentakan but kerasnya ditangkap dek gegendang telinga Elina.
Elina nampak lelaki itu menjerit dengan suara bengis. Kayu besbol di tangannya dihayunkan ke kepala Benson tanpa secuit ragu. Satu hayunan sudah cukup untuk membuatkan Benson rebah.
Benson yang terjatuh atas tanah terus mengerang kesakitan. Matanya berpinar sekejap, seperti hendak pengsan.
“Masuk, Mirah!” arah lelaki bertubuh tegap tadi sambil mencampakkan kayu besbol di tangannya ke tanah.
“Ah!” jerit Daeng sambil bangun berdiri, cuba mencekik lelaki yang cuba merampas isterinya itu.
Kudratnya lebih kuat dari lelaki bandar itu. Ditolaknya lelaki itu sampai terjatuh ke tanah sebelum dihadiahkan dengan penumbuk dan penendang. Tidak semudah itu dia akan melepaskan isterinya.
Memang dia bisu. Memang dia pekak. Tetapi, dia tetap seorang lelaki. Seperti lelaki-lelaki yang lain, dia akan tetap memperjuangkan haknya, melindungi maruahnya meskipun sehingga ke hembusan nafas terakhir. Dia takkan membiarkan lelaki itu membawa Mirah pergi jauh darinya.
“Daeng!” jerkah Mirah.
Daeng tidak berhenti.
“Daeng, jangan! Jangan!”
Mirah cuba menarik suaminya ke belakang, melarang suaminya dari terus menerus menyerang teman lelakinya. Tetapi, Daeng tetap berdegil. Daeng tak mau berhenti berhentam dengan teman lelakinya.
“Daeng!” jerit Mirah.
Kayu besbol yang dicampakkan teman lelakinya ke tanah tadi dikutip lantas dihayunkan berulang-kali ke kepala Daeng dari belakang.
Daeng terjatuh atas tanah. Mirah berhenti memukul sekejap. Tetapi, kemudian teman lelakinya merampas kayu besbol itu. Dia pula yang menyambung hayunan kayu besbol ke kepala Daeng, sampaikan Daeng lembik, tidak bergerak walau seinchi.
Elina terus-terusan menjerit, meminta mereka berhenti. Dia berteriak semahu-mahunya, melarang mereka menyentuh bapaknya.
“Jangan! Jangan! Sudah! Jangan pukul bapak!” teriaknya.
“Man, sudah,” pinta Mirah.
Mirah cepat-cepat menarik teman lelakinya masuk ke dalam jip. Kemudian, dia menarik Elina. Anaknya itu dipaksa masuk ke ruangan belakang jip.
“Tak mau!” jerit Elina.
“Jangan degil, Elina!” paksa Mirah sambil menolak daun pintu jip. Rayuan Elina tidak diendahkan.
“Bapak! Bapak!” jerit Elina sambil menepuk-nepuk cermin tingkap belakang jip. Dia keresahan.
“Diam!” jerkah suara lelaki yang sedang duduk di ruangan pemandu.
Elina tetap tak mau berhenti.
“El nak bapak! El nak bapak! Berhenti!”
Jip yang dipandu teman lelaki ibunya mulai bergerak. Mirah seakan-akan tidak peduli yang suaminya sedang terbaring kaku di atas tanah. Dia terlalu asyik memeriksa keadaan leher dan bahu teman lelakinya yang lebam.
Mirah terlupa tentang dosa. Dia terlupa pada tanggungjawab sebagai seorang isteri. Mudah sungguh dia hanyut, mengikut telunjuk nafsu yang tidak berbatas. Tak sekalipun hatinya berdetik untuk berpatah balik. Dia nekad dengan keputusan yang dibuatnya.
Hati Elina bergetar hiba. Malam pekat, membunuh pandangannya yang mahu dilontar ke belakang, memerhatikan bapanya. Sebulat tekad, dia menolak daun pintu jip yang tidak berkunci. Dia terus terjun keluar dari jip.
“Elina!” jerit Mirah.
Dia menoleh ke tepi, memandang kekasihnya.
“Berhenti, Man! Berhenti!” jeritnya berulang-kali. Matanya berkaca dengan air mata, mengharapkan Irman menurut permintaannya.
Irman menggeleng, menidakkan kemahuannya.
“Tak boleh. Kalau abang kau dengan laki kau tu dah sedar, mati kita,” ucap teman lelakinya, enggan memberhentikan jip yang sedang dipandunya.
“Sekejap saja,” pinta Mirah.
“Tak boleh. Tadi siang aku dah cakap kan, kau tak boleh bawa anak kau sekali. Dia masih kecil. Nanti dia akan menyusahkan kita. Lepas dia dah besar nanti, kita datang semula jemput,” balas Irman.
“Tapi, Man... Dia anak aku,” teriak Mirah.
“Tak boleh, Mirah,” bantah Irman.
“Elina!” jerit Mirah sambil mengeluarkan kepalanya dari tingkap jip, mencari kelibat anaknya yang tidak mampu dijejak retina matanya.
“Pak,” ucap Elina yang jatuh tertiarap atas jalan sempit yang ditambun batu-batu.
Buat beberapa minit, Elina hanya mampu mengesak tangis dek kerana lutut dan sikunya yang sakit, tersiat-siat terkena batu.
“Pak…” ucap Elina sambil meraba dalam kelam.
Elina merangkak sekejap, ketakutan melihat alam di sekelilinya yang gelap gelita. Tangan meraba-raba pepohon hutan di bahu jalan, cuba mencari arah. Dia tak nampak denai yang selalu dilaluinya.
“Pak,” panggil Elina.
“Elina!” panggil Benson yang baru sedar.
Benson mengambil torch lightnya yang terjatuh atas tanah, menyuluh ke depan, mencari anak saudaranya.
“Ya TUHAN, Elina…” ucap Benson melihat Elina yang berkaki ayam sedang mengerah kudrat kecilnya untuk melangkah.
Elina mengikut arah cahaya lampu suluh Benson. Dia berjalan sambil menyeret kaki kirinya yang terseliuh, mencari kelibat ayahnya.
“Bapak,” panggil Elina sewaktu melihat Daeng sedang terbaring atas tanah dengan kepala yang berdarah.
Elina terus terduduk ke tanah. Beberapa saat dia terkaku di sana sebelum merangkak mendapatkan Daeng.
“Bapak...” tangisnya.
Air mata Elina berguguran lagi. Dia menampar-nampar pipi Daeng perlahan. Daeng membuka mata sekejap, memerhatikan Elina. Bibirnya bergerak-gerak, seolah-olah mahu mengatakan sesuatu. Tetapi suaranya tidak terlontar keluar.
“Pak,” teriak Elina lagi.
“Teruk ni. Biar aku pergi minta bantuan. Kau tunggu sini. Jangan pergi mana-mana,” arah Benson sambil berlari dengan torch lightnya, meninggalkan Elina sendirian dengan Daeng yang kelihatan tidak berdaya menggerakkan anggota tubuhnya.
“Bapak. Bapak, bangun! Bapak, jangan tidur kat sini!” teriak Elina sambil memeluk kepala Daeng.
Tubuhnya menggeletar ketakutan dalam kelam malam yang gamat dengan suara riang-riang rimba. Sesekali suara burung hantu menikam gegendang telinganya. Kemudian, kedengaran pula suara lolongan anjing-anjing peliharaan pemilik ladang.
“Bapak, bangunlah. Elina takut,” rayu Elina.
Daeng mengangkat tangan sekejap, meraba atas pipi Elina, merasai kulit lembut anak kesayangannya. Tetapi, kudrat terakhirnya itu tidak mampu bertahan lama. Tangannya terjatuh semula, atas tanah becak. Suara esakan Elina berselang-seli dengan suara riang-riang rimba.
Dalam rasa takut yang menyengat, Elina tiba-tiba sahaja teringatkan suasana di sekolahnya. Dia teringat lagu yang diajar oleh guru kesayangannya, Cikgu Ramzi Abdullah semalam. Lagu yang membuatkan dia rasa gembira. Dengan suara yang terketar-ketar, dia menyanyi, cuba membunuh rasa takutnya.
“Bunga matahari sangat cantik, kembang di waktu pagi. Daunnya hijau, bunganya kuning, memikat kumbang lalu. Bunga matahari sangat cantik di halaman rumahku. Dari pagi hingga ke petang, tak jemuku memandang,” nyanyi Elina sambil mendongak ke muka langit, memandang warna suram yang tidak dihiasi bulan dan bintang.
Awan mendung berarak lalu. Angin dingin seolah-olah mahu memberitahunya hujan yang berhenti kira-kira setengah jam lalu akan bersambung kembali. Dia memeluk kepala Daeng sewaktu rintik-rintik hujan turun ke bumi sambil menyanyikan lagu Bunga Matahari yang dipelajarinya di sekolah berulang-kali. Dia tak mahu rintis hujan singgah ke muka bapanya.
“Elina!” laung Benson berselang-seli dengan suara orang bercakap-cakap.
Beberapa torch light terhala padanya. Enjin kereta yang dipandu Frederick dimatikan beberapa meter di belakang sekumpulan pekerja ladang yang mengekori Benson. Frederick bergegas keluar dengan lampu minyak tanah lama. Dia melangkah laju-laju, menuju ke arah Elina yang sedang menyanyi dalam suara kecilnya.
“Elina!” panggil Benson sekali lagi.
Elina tidak menjawab. Dia masih menyanyikan lagu Bunga Matahari tadi, seakan-akan sedang mendodoikan Daeng.
“Elina,” luah Benson sewaktu menghalakan torch light pada Elina yang masih duduk di tempat yang sama.
“Daeng!” panggil Benson. Dia melutut, memeriksa nadi Daeng. Kemudian, dia berteriak kuat sambil menitiskan air mata.
“Elina, bapak dah tak ada,” ucap Benson.
Mata Elina tidak berkelip.
“Bapak pergi mana? Kan bapak ada kat sini,” balasnya lemah sambil mengusap dahi sejuk Daeng.
“Pak, bangun! Bangun! Jom, kita balik rumah kita,” pinta Elina sambil menggoyang bahu Daeng beberapa kali.
“Elina!” panggil Benson.
Elina memandang dengan pandangan kosong, tidak mengerti. Baginya, bapanya masih di situ. Dia masih menggoyang-goyang bahu Daeng, mengharapkan ayahnya akan terjaga. Tak terjangkau dek fikirannya yang Daeng kini sudah berada di dimensi yang lain, di alam barzakh yang satu hari nanti akan menjadi tempat persinggahan sementaranya jua sebelum akhirat.
“Lena bapak tidur. Bapak letih sangat ni,” ucap Elina sambil memandang Benson yang sedang menitiskan air mata.