Manusia ada mata. Tapi, jarang-jarang
kita melihat ke dasar. Manusia ada otak. Tapi, kekadang malas nak gunakan akal.
Manusia ada hati. Tapi, entah mengapa kita sukar nak merasai perasaan orang
lain.
Kita
hanya sedar apabila kita disakiti. Tapi, kita tak pernah khuatir apabila kita
menyakiti. Adakalanya kita berlagak macam kita saja ada perasaan. Orang lain
tak penting. Kita angkuh. Kita cakap, ‘Kalau aku tak jaga hati aku, siapa lagi
nak jaga?’. Kita canang khilaf orang lain pada kita di Facebook dan Twitter.
Kononnya hendak melepaskan amarah yang memanggang jiwa. Kononnya tak ada niat
untuk menyakiti, sekadar mahu memberitahu kita mangsa keadaan, kita yang
disakiti.
Walhal sebenarnya
ratusan orang di sekeliling kita cuba menjaga hati kita. Tapi, kita tak pernah meneliti
apatah lagi fikirkan rasa orang lain. Barangkali lebih banyak hati yang kita
lukai dalam sehari dari hati-hati busuk yang menyakiti kita.
Barangkali jurujual
yang menyapa kita dengan senyuman walaupun kita balas dengan pura-pura tak
nampak sebenarnya berkecil hati. Barangkali jiran sebelah yang cuba memberi
salam tapi kita bergegas ke pejabat sampai tak dihiraukan sebenarnya berkecil
hati. Barangkali seorang ibu yang menegur dengan niat yang baik tapi kita balas
dengan ‘Ah!’ sebenarnya berkecil hati.
Pernahkah kita minta
maaf? Atau barangkali kita mengharapkan mereka memaafkan kita dengan sendiri?
Kita berlagak seolah-olah mereka dapat membaca perasaan kita walhal kita tahu
mereka bukan psikik. Adakah kita terlalu angkuh? Atau sebenarnya kita tak
pernah sedar dengan khilaf kita?
Hari ini, aku pejam
mata aku rapat-rapat. Aku cuba fikir betapa banyak hati yang kusakiti walaupun
nawaitu aku merasakan tidak. Adakah mereka layak menerima penangan marahku,
benciku?
Ya, mungkin mereka
pernah menyakitiku. Tapi, layakkah aku menjatuhkan hukuman? Apa aku maksum dari
dosa?
Orang cakap, ‘Sedangkan
nabi ampunkan umat…’.
Tapi, aku bukan nabi.
Aku pacal yang hidup dalam kehinaan. Siapa aku untuk memberi keampunan? Kalau
mereka memohon maaf dari ALLAH, aku mendoakan agar mereka diampunkan dan
menerima hidayahNYA.
Aku memohon begitu jua
untuk diriku. Ampuni aku, Ya Rabbi. Mansuhkan dosa-dosaku yang seluas lautan.
Janganlah dihisab khilafku sebagai isteri. Ampunkan aku kerana acapkali melukai
suamiku. Ampunkan aku kerana menaruh dendam terhadapnya. Ampunkan aku kerana
ingin memohon sesuatu yang KAU murkai darinya, Ya ALLAH. Sesungguhnya aku
hambaMU yang hina. Namun, tiada dayaku untuk meraih hati yang bukan milikku. Aku
sudah tidak sanggup berangan-angan kosong.
Nadiya melurut dada.
Pedih yang dirasakan sampai ke hulu hati. Semakin digumam rasa itu, semakin ia
menjerut hatinya. Rindunya terbang jauh, membayangkan wajah opah yang berkerut
seribu, mengimbas suara manja Loi yang jarang-jarang didengarinya dari corong
telefon. Kalaulah dia boleh memutarkan kembali masa. Dia rindukan masa
lampaunya bersama mereka.
“Ibu.”
Air jernih merembes
keluar dari hujung mata Nadiya. Dia menyapa si kecil itu dengan pandangan
lembut. Tangannya mengusap kepala bulat yang dilitupi rambut nipis,
jarang-jarang. Kemudian, dia menghadiahkan satu kucupan di atas ubun-ubun si
anak yang masih naïf, tidak mengerti ribut yang memukul pantai hatinya.
Si kecil yang pelat itu
meramas jari-jemarinya.
“Daddy work?” soal Fitrah.
Nadiya terus angkat
Fitrah ke atas ribanya. Dipeluknya Fitrah sekuat hati. Dia sebak. Pada waktu
itu, dia merasakan seluruh kepercayaannya goyah. Nalurinya sebagai ibu tergoncang.
Bagaikan ada lahar panas yang menggelegak dalam setiap urat darahnya, menunggu
masa untuk merenjat naik ke otak dan terus memadamkan kewujudannya dari muka bumi.
Fitrah seorang anak
untuk merindui ayahnya, untuk bertanya di mana ayahnya. Fitrah seorang anak
mahu bermanja dalam dakapan ayah dan ibunya. Fitrah seorang anak untuk
menganggap ayahnya seorang ‘superhero’
dan membontoti ayahnya ke mana saja ayahnya pergi. Patutkah dia memarahi Fitrah
kerana menuruti fitrah? Perlukah dia menyangkal naluri seorang anak hanya kerana
dia sudah lama tidak merasai naluri yang sama?