Bab 13
Bertahun lamanya, aku tidak ketemu wajahnya. Adakah dia masih cantik seperti dulu? Memang aku bencikan dirinya tetapi dalam masa yang sama aku menyayangi dia. Hubungan hati yang tak mampu aku mengertikan. Antara benci dan sayang. Tetapi tika ini, detik ini, aku jadi rindu untuk menatap wajahnya.
Mungkin benar kata Uncle Benson, emak sudah berubah. Dia tak lagi pentingkan diri seperti dulu. Mungkin dia berhak mendapat peluang kedua atas khilafnya dulu. Dia tetap ibuku biarpun berjuta kali aku menafikannya. Tak ada manusia yang tak pernah melakukan kesilapan.
Sedikit demi sedikit, aku cuba memadamkan sejarah hitam yang dulu. Aku mahu membina hidup baru bersama emak. Mungkin ini hikmah dari segala yang berlaku. Aku akan kembali ke dalam pelukan emak. Kami akan tinggal bersama seperti suatu ketika dulu. Tetapi, kali ini, kami akan menebarkan halaman baru. Kami akan padamkan sejarah hitam dulu.
‘Mak, Elina rindu mak,” cetus hati Elina. Dia mengangkat beg bajunya sambil menggalas beg sandangnya.
“Mana mak ni?” soal Elina sendirian.
Elina mengeluarkan handphone, baru hendak menghidupkannya apabila ada suara yang menyapa dulu.
“Elina kan?” tegur Aneeta yang berbaju kurung hijau pucuk pisang. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Elina.
Varnis ungu di kuku-kuku tangannya membuatkan Elina terpanah sekejap. Warnanya bukan ungu lembut tetapi agak gelap dengan kiasan pelik terlukis atasnya berwarna hitam. Siapa gerangan gadis ini?
“Jangan takut. Kakak ni kawan mak Elina,” cetusnya.
Elina mengangguk sambil menghulurkan tangan, menyambut salam Aneeta. Mungkin benar gadis itu teman baik ibunya, cetus hati Elina. Kalau tidak, mana mungkin dia tahu tentang ketibaan Elina hari itu.
“Mak El tak boleh datang. Dia ada kerja penting. Busy sangat dari pagi tadi. Dia mintak tolong kakak jemput Elina dan bawa ke rumah sewa,” jelas Aneeta sambil menarik beg pakaian Elina.
“Eh, tak apa,” luah Elina, cuba menolak tetapi Aneeta tetap jua menolong Elina mengangkat beg pakaiannya.
“Jom, cepat! Akak tinggalkan kereta kat depan sana. Sebenarnya kat situ tak boleh parking,” ajak Aneeta sambil menarik tangan Elina.
Setiba di kereta, Elina tersentak apabila melihat pemandunya. Lelaki itu seolah-oleh pernah dilihat sebelum ini. Tetapi, di mana? Elina tidak ingat. Dia memerhatikan sahaja apabila Aneeta memasukkan beg bajunya dalam bonet belakang.
Handphone di tangannya dihidupkan. Mesej yang dikirimkan Mirah masuk ke inbox. Elina segera membacanya. Jantungnya berdegup kencang. Dia tahu yang dia sedang berada dalam bahaya. Namun, dia tidak punya idea untuk melarikan diri dari cengkaman gadis bernama Aneeta itu.
“Janganlah malu-malu, Elina. Masuklah,” suruh Aneeta sambil menarik daun pintu belakang.
“Kejap ya, saya nak call kawan saya,” bohong Elina, cuba berpura-pura yang dia tidak tahu perancangan jahat Irman dan Aneeta.
Irman tersenyum, sudah menduga. Dia bukannya baru sehari dua berada dalam business itu. Dia sudah masak membaca air muka orang. Mustahil Elina tak boleh menghubungi temannya ketika berada dalam kereta.
“Kalau kau tak masuk, mak kau mati!” ugut Irman.
Aneeta senyum meleret sambil memberikan isyarat tangan supaya Elina masuk ke dalam kereta.
Hati Elina terasa bagai disentap. Kalau bukan kerana nyawa emaknya yang jadi taruhan, pasti dia sudah menjerit di situ, menarik perhatian beberapa orang lelaki yang berpakaian seragam yang sedang berdiri berdekatan deretan teksi. Tetapi, walaupun setelah apa yang Mirah lakukan dulu, Elina masih tak mahu apa-apa kecelakaan menimpanya.
“Masuk!” suruh Aneeta.