Bab 14
“Kalau aku cakap makan, makanlah!” suruh Aneeta sambil menolak muka Elina ke pinggan.
Sisa makanan melekat pada hidung dan pipi Elina. Matanya bagaikan bola api, membengkak dan merah kerana terlalu banyak menangis. Anak tekaknya sudah kekeringan, penat mengesak semalaman. Tetapi, mana mungkin dia berselera untuk menjamah makanan di depannya dalam situasi sekarang.
Ada riak bangga terlukis di wajah Aneeta. Dia berlagak bagaikan seorang permaisuri. Bagai dia yang berkuasa di situ. Sewaktu Aneeta merasakan kemenangan ada di pihaknya, Elina terus menolaknya kuat. Tumit halus heel Aneeta tak mampu menampung berat badannya. Dia terjatuh ke lantai.
Tanpa melengah-lengahkan masa, Elina cepat-cepat berlari ke pintu bilik yang ternganga. Dia tahu yang dia takkan beroleh peluang yang sama dua kali. Peluang itu perlu digunakan sebaik-baiknya.
Aneeta mahu bangun untuk menghalang langkah Elina tetapi dia hampir-hampir terjatuh semula.
“Kau nak ke mana, Elina?!” soal Irman yang sedang menanti di luar bilik.
Rambut Elina dicekaknya dan ditarik masuk ke dalam bilik. Ditendangnya perut Elina sampai gadis itu mengaduh kesakitan, mengerekot atas lantai. Rambut gadis itu dicekak lagi, dipaksa bangun menghadap wajah garangnya.
“Kau tau kau tak boleh lari dari aku, Elina. Kau dah jadi barang dagangan aku sekarang.”
Tubuh Elina dilempar atas katil. Elina meletakkan tangan atas kedua-dua bahunya, malu melihatkan tubuhnya yang hanya beralaskan sehelai kain batik. Hanya itu pakaian yang diberikan Aneeta kepadanya. Hanya itu yang ada untuk menutup tubuhnya. Dia berasa malu yang teramat.
“Lap muka dia yang comot tu!” suruh Irman.
Aneeta mencapai sehelai tuala.
“Kejap lagi client pertama dia sampai. Lepas tu kalau dia nak comot, biarkan saja,” tambahnya. Dia menarik muka Elina agar mengadapnya.
“Apa kau nak?” soal Elina. “Apa kau nak dengan aku? Aku tak pernah buat salah dengan kau.”
“Hutang mak kau banyak. Kau kena bayar sikit demi sikit,” luah Irman sambil menguntumkan senyuman.
Aneeta menyapu muka Elina dengan tuala tadi. Makanan yang tidak mahu dijamah gadis itu tadi dibawa keluar.
Irman meletakkan tangannya ke muka Elina, merasai kulit yang lincin mulus itu. Dia sudah terpikat sejak kali pertama pandangannya jatuh pada wajah itu. Elina jauh lebih cantik dari emaknya sewaktu muda. Bagi Irman, hanya lelaki bodoh sahaja yang tak mahu mendampingi gadis secantik itu.
“Irman!” jerit Aneeta yang kembali semula ke bilik.
“Baik aku try dulu. Kalau dia lari, rugi,” luah Irman, berjenaka yang bagi Elina tidak kelakar.
“Eh, kau dah ambil duit advance dari client untuk perempuan tu. Kau jangan pandai-pandai,” ugut Aneeta.
Irman tergelak.
“Nasib baik ada orang ingatkan aku. Kalau tidak…” cetus Irman sambil melirik gadis yang tampak ketakutan itu.
Irman tertawa sekejap. Kebanyakan wanita-wanita yang bekerja di bawahnya akan malu-malu untuk kali yang pertama. Kemudian, mereka tak lagi peduli. Ada yang pada mulanya terpaksa tetapi kemudian rela sendiri. Contoh terdekat adalah Aneeta. Dulu, bukan main lagi dia menangis, meraung dek kerana tak mahu rebah ke lembah pelacuran. Tetapi, sekarang dia yang merungut kalau tak ada klien yang menyuntingnya di kelab. Tak ada klien, maknanya tak ada wang.
Ah, Irman tak pedulikan perasaan ayam-ayamnya! Yang penting bayaran lumayan untuk khidmat mereka.
“Aku tak nak kerja untuk kaulah, bodoh! Aku nak balik! Aku tak ingin nak tinggal kat sini!” jerit Elina.
Irman ketawa lagi. Kata-kata Elina seakan jenaka baginya.
“Kau pergi bawak mak dia datang sini!” suruh Irman.
Aneeta menghilang lagi. Dia kembali dengan seorang lelaki tegap yang sedang memapah tubuh longlai Mirah.
“Mak!” jerit Elina. Dia bangun dari katil tetapi Irman menolaknya ke lantai, melarang dia dari menyentuh Mirah.
Mirah membuka mata.
“Mak!” jerit Elina. Dia merangkak ke arah Mirah sebelum tubuhnya disepak Irman ke lantai sekali lagi.
Sekali. Cukuplah sekali. Berikan dia kesempatan untuk mengucup dan memeluk Mirah, mengubat rindu yang diperam selama ini kerana api dendamnya. Izinkanlah dia menyentuh emaknya.
“Mak!” teriak Elina, masih cuba meraih tangan ibunya. Tetapi Irman mencekak rambutnya, menarik dia ke belakang.
“Elina! Apa kau nak buat dengan anak aku? Elina!” jerit Mirah. Dia cuba meloloskan cengkaman konco Irman.
“Lepaskan dia! Lepaskan anak aku!”
“Pegang dia!” suruh Irman.
Aneeta menarik Elina, memegang tangannya kuat-kuat.
“Tengok rupa anak kau yang suci ni puas-puas. Sebab lepas ni, dia akan jadi macam kau!” luah Irman.
“Sial kau, Irman!” jerit Mirah sambil cuba meloloskan diri.
“Mirah, kau patut bersyukur. Daripada anak kau jadi bohsia yang bagi free ride pada mat rempit. Atau jadi perempuan yang gila cinta sampai bagi tubuh free aje kat boyfriend, at least ada bayaran untuk tubuh anak kau,” luah Irman.
“Binatang!” jerit Mirah.
Irman memberi isyarat agar konconya membawa Mirah keluar.
“Elina!” jerit Mirah apabila tubuhnya ditarik keluar.
Irman tertawa lagi. Dia dan Aneeta turut keluar sama, meninggalkan Elina seorang di dalam bilik.
Sejam seterusnya bagaikan bahang neraka bagi Elina. Dia tidak keruan. Hendak melompat keluar, dia dikurung dalam bilik di tingkat tiga. Daun tingkap yang tidak dipasang gril ditolak. Dia mengintai keluar, mencari kalau-kalau ada batang paip yang menghubung keluar yang boleh digunakan untuk memanjat turun.
Bilik itu letaknya disebelah belakang rumah, menghadap ke belantara. Tidak ada bumbung yang mengalas di tingkat bawah untuk dijadikan tempat berpijak kalau dia memilih untuk turun dari situ. Tak ada juga pokok tinggi yang mempunyai cabang dahan yang dekat dengan tingkap bilik.
Rumah besar itu letaknya di kawasan terpencil. Di luar rumah, konco Irman sedang sibuk berjaga, mundar-mandir di sana sini. Ada pohon besar di laman belakang rumah. Di bawahnya duduk dua orang lelaki yang sedang bermain kad. Malahan salah seorang darinya mendongak naik sewaktu Elina menjenguk keluar. Mustahil Elina dapat melepaskan diri kalau dia memanjat turun.
Naik gila dia dibuatnya. Sekejap melangkah ke kanan, sekejap ke kiri. Dia menarik keluar beg sandangnya di bawah katil, mencari kalau-kalau ada sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Tak ada satu pun yang boleh digunakan. Kesemua yang ada dalam begnya berada dalam bentuk dokumen.
Bunyi derap kasut menghentam lantai membuatkan jantungnya terhenti sekejap. Dia mengesot ke dinding, memeluk pehanya rapat ke dada, ketakutan. Tak henti-henti dia berdoa agar dapat melepaskan diri dari azab itu.
“Dua jam! Lepas tu orang lain nak guna!” jerit Irman dari luar.
Elina menundukkan muka saat daun pintunya dikuak. Dia ternampak sepasang kasut melangkah masuk ke dalam. Kasut kulit berjenama yang barangkali mencecah ratusan atau ribuan ringgit. Kemudian, jeans levis dan t-shirt polo. Lelaki itu sudah beruban, botak di tengah-tengah kepalanya, sebaya seseorang yang boleh dipanggil ayah.
“Tolong, jangan. Saya tak nak buat kerja ni. Saya bukan pelacur,” rayu Elina sebaik sahaja lelaki itu mahu menyentuhnya.
Elina mengesot ke tepi, menjauhkan diri dari tangan lebar yang mahu menyentuh bahunya.
“Hei, perempuan! Kau jangan nak mengada dengan aku. Aku dah bayar mahal-mahal, baik kau buat kerja kau,” ucap suara itu.
Air mata Elina merembes. Dia bergelut semasa tangan itu mahu mendakapnya. Muka lelaki itu dicakarnya. Tetapi, dia terkena pembalasan yang lebih dahsyat. Lelaki tadi menyepak perutnya, terkena di tempat yang sama yang disepak Irman.
“Aduh!” jerit Elina. Dia mengerekot ke lantai sekali lagi, mengerang kesakitan.
“Padan muka kau!” marah suara kasar lelaki itu.
Kain batik Elina disentapnya tetapi Elina menariknya kembali, menutupi tubuhnya. Dia mengerah kudrat untuk bangun. Hujung kain batik digenggamnya ke dada, takut kalau ia terjatuh. Ada darah yang mengalir keluar dari pinggir bibirnya, meleleh ke dagu. Dia mengesak tangis, lagi dan lagi.
“Kau nak ke mana?” soal lelaki itu sambil menguntum senyuman.
Mungkin lelaki itu gila, tidak siuman. Dia lelaki psycho. Mustahil orang yang waras akan tampak gembira melihat seorang gadis dalam kesakitan. Tidak ingatkah dia pada TUHAN, tentang balasan di akhirat kelak.
Tidak. Elina tak mahu tewas dengan mainan takdir. Dia perlu melawan. Elina nekad mempertahankan maruah dirinya. Dia takkan mengizinkan buaya darat itu merampas maruahnya.
“Lelaki macam kau memang tak layak jadi manusia! Binatang pun lagi elok sifatnya dari kau! Kau takkan dapat aku! Takkan!” ucap Elina.
Elina memegang kain batiknya kuat-kuat, sebelum berlari naik ke atas katil dan melompat keluar melalui jendela tingkapnya yang masih ternganga.
“Hoi!” jerit lelaki tadi sambil berlari ke tingkap. Dia menjenguk turun, terkejut dengan keberanian Elina.
Konco-konco Irman mengelilingi tubuh Elina yang terdampar atas rumput. Ada cecair likat mengalir turun dari kepalanya yang terkena penutup manhole di bawah. Matanya masih terbuka dengan lelehan air jernih. Tangannya terketar-ketar tetapi sebelah darinya masih setia menggenggam kain batik yang dipakai. Elina sudah tidak dapat merasakan sakit. Pandangannya kabur.
Kenapa, Ya ALLAH? Kenapa begini nasibku? Tidak layakkah aku terus menjijak di bumimu, menumpang hidup seperti manusia yang lain? Sejak kecil, aku terbeban dengan pelbagai masalah. Lepas satu, satu masalah lain yang mengetuk ruangan fikiran, mendera hati kecilku.
Kalau anak-anak lain menangis kerana kehilangan pensil dan wang, aku menangis kerana kehilangan seorang ayah, kerana dipinggirkan seorang ibu. Segala yang aku cintai menghilang, jauh dari gapaianku. Bilakah derita ini akan terhenti? Adakah aku akan mati sebelum mendakap secangkir bahagia?
“Dah mati ke?” soal salah seorang konco Irman.
“Teruk ni. Aku rasa memang tak ada harapan,” ucap konco Irman yang seorang lagi, lelaki gempal yang bert-shirt hijau.
Daun pintu depan ditolak kasar. Irman melangkah keluar garang, diikuti Aneeta dan lelaki yang sepatutnya menjadi pelanggan pertama Elina. Irman menolak betis Elina dengan hujung kasutnya. Tetapi Elina tidak memberikan sebarang reaksi. Badannya terasa lemah untuk bergerak.
Bagaikan sampah yang dibuang. Bagaikan debu yang berterbangan. Bagaikan si gagak yang berdiri di kalangan merak, tampak hodoh untuk ditatap mata. Elina diperlakukan seakan-akan dia tidak wujud di situ. Mereka sibuk bertelagah tentang wang pendahuluan pelanggan Irman yang terpaksa dipulangkan.
Aneeta sibuk menawarkan perempuan lain untuk menjadi habuan lelaki tadi. Dia langsung tidak mahu memandang Elina.
“Tengku yang cakap nak perempuan yang suka melawan. Sebab tu kami cari ayam baru,” cetus Aneeta, mengingatkan kliennya tentang permintaannya.
“Tapi, bukan yang sampai sanggup mampus! Sanggup terjun ke bawah macam ni!” balas lelaki tadi, menengking.
“Kami bagi ayam lain,” pujuk Aneeta.
“Kau ingat aku ada selera lagi lepas tengok bangkai perempuan ni?!” soal kliennya dalam nada angkuh, kasar, sambil melangkah meninggalkan Aneeta.
“Memang bawa sial perempuan ni!” cetus Irman tanpa rasa simpati.
Tidak sedetik dia mahu melutut, memeriksa kondisi Elina. Dia tak mahu tau sama ada Elina masih bernyawa atau tidak. Ah, sebetulnya dia lebih suka kalau Elina mati di situ. Dia tak sudi mengeluarkan walau sesen pun untuk merawat Elina. Harga nyawa Elina terlalu murah di matanya.
“Kau ni memang tak guna! Macam bapak kau! Macam mak kau!” tempelak Irman, tak henti-henti menghina.
“Kalau aku tau tadi, aku dah potong-potong kaki kau dari awal, biar kudung. Kau lagi laku kudung dari jadi bangkai,” tengking Irman lagi.
Elina diperlakukan umpama sampah. Sampah yang tak punya harga, tak punya nilai. Namanya dimaki-hamun Irman. Dia dipandang jelek. Jijik. Kotorkah dia? Air mata Elina merembes lagi. Apa dosanya? Mengapa dia diperlakukan seperti itu? Kenapa dia? Kenapa?