BAB 6
Tengku Razlan memanjat laju anak-anak tangga vila itu
sebelum melangkah cemas ke arah bilik tidur mamanya. Panggilan telefon dari
Zara si Pembantu Peribadi mamanya sebentar tadi amat merisaukannya. Mesyuarat
yang sedang dipengerusikan olehnya juga terpaksa dibatalkan dan ditunda ke
tarikh lain. Papanya pula sekarang ni sedang berada di Jerman menguruskan satu
perjumpaan perniagaan dengan rakan kongsi mereka di sana.
Sebenarnya, sebaik saja dia mendapat panggilan kecemasan
daripada Zara tadi, dia ada menghubungi Lisa dan meminta Lisa untuk tolong
melihatkan keadaan mamanya sementara dia dalam perjalanan ke vila orang tuanya.
Ini kerana jarak pejabat Lisa lebih
dekat dengan villa orang tuanya. Malangnya, jawapan gadis yang rapat dengan
dirinya itu amat mengecewakan dirinya. Lisa memberi alasan yang dia tidak dapat
membantu kerana dia perlu menghadiri satu mesyuarat penting.
Alah ... bukannya dia tak tahu. Itu cuma alasan Lisa
saja. Hakikatnya gadis itu takut seandainya mamanya termuntah lagi ke atas
pakaiannya seperti beberapa bulan dulu. Ah! Apa pasallah pula aku nak teringatkan
perempuan yang pentingkan diri sendiri tu. Buat semak otak aku jea!, sempat
lagi Tengku Razlan berdengus di dalam hatinya.
Sebaik tiba di hadapan bilik tidur mamanya, Tengku Razlan
terus menguak pintu bilik tidur utama vila itu. Dilihatnya mamanya sedang
terbaring di atas katil sambil mengiringkan sedikit badannya manakala pembantu
mamanya pula membongkokkan badannya seperti sedang melakukan sesuatu.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi mamanya muntah. Tengku Razlan
terus berlari anak mendapatkan mamanya yang terbaring di katil. Hidungnya
segera menangkap bau yang meloyakan dan kurang enak. Namun ditahannya saja. Apa
sangatlah bau muntah ini jika dibandingkan dengan pengorbanan ibunya yang telah
melahirkan dan membesarkannya dengan
sepenuh kasih-sayang selama ini.
Sebaik menghampiri
katil pembaringan mamanya, mata redupnya terus terpandang suatu pandangan yang
amat mengusik jiwanya. Pembantu peribadi mamanya yang sering dikutuk tidak cukup akal itu
sedang menadah muntah mamanya dengan telapak tangannya saja. Dia yang melihat
pun sudah terasa loya, tetapi gadis itu nampak biasa saja. Cuma setelah mamanya
selesai mengeluarkan segalanya isi perutnya, barulah gadis itu memandang ke
arahnya.
" Tengku boleh tolong bukakan pintu bilik air tu
tak?," kata Zara mengharap sambil memuncungkan bibirnya ke arah bilik air.
Tengku Razlan terus menganggukkan kepalanya sedikit dan
segera membukakan pintu bilik air sambil diikuti Zara dibelakangnya. Sebaik
pintu bilik air itu dibuka, Zara terus masuk ke dalam bilik air itu dan
membersihkan dirinya sementara Tengku Razlan terus mendapatkan mamanya dan
mengusap lembut dahi tua itu.
Namun tidak lama selepas itu, Zara keluar semula bersama
dengan segayung kecil air dan dibawa ke tepi katil. Dia mengambil beberapa
helai tisu dan mengesat lembut mulut majikannya sebelum membasahkan bibir tua
itu dengan air yang dibawanya tadi dan dikesat dengan beberapa helai tisu lagi.
Tengku Razlan hanya memerhatikan saja. Hati lelakinya
terusik dengan layanan Zara kepada mama kesayangannya. Dia benar-benar merasa
terharu. Layanan gadis itu kepada mamanya amat lembut dan penuh dengan
kasih-sayang. Nampak ikhlas sungguh. Dia tak fikir Lisa yang tergila-gilakan
dia itu pun akan sanggup melakukan hal yang sama.
Rasa kesal mulai mengetuk pintu hatinya. Apatah lagi apabila
secara spontan saja semua gelaran dan kutukan-kutukannya kepada pekerja mamanya
itu bermain-main di kepalanya. Ah! Dia berjanji dengan dirinya sendiri yang selepas
ini dia tidak akan menyakiti hati pekerja kesayangan mamanya itu lagi. Betullah
kata-kata yang didengarnya selama ini. Hanya bila kita susah, barulah kita tahu
siapa sebenarnya kawan kita. Kawan yang sanggup bersusah bersama kita! Fikirannya
yang telah jauh melayang itu kembali semula ke alam realiti bila dia mendengar
seseorang memanggil namanya.
" Maaf Tengku. Saya rasa Tengku kena tunggu kat luar
dulu sebab saya nak bersihkan mama Tengku. Puan Sri .... errgg dia ... dia
..... ter ... ter ...," belum sempat Zara menghabiskan bicaranya, Tengku
Razlan terus berkata.
" Takpe. Tak payah cakap. Aku pun ada hidung.
Lagipun, aku kan anak Puan Sri kau ni. Mana kain lapnya? Biar aku tolong kau
bersihkan mama aku. Lepas tu nanti ... kau pergi ambil pakaian lain untuk mama.
Kita tukar pakaian mama aku sekali," kata Tengku Razlan perlahan.
Zara menganggukkan kepalanya tanda faham sebelum
menghulurkan sehelai lagi kain lap badan kepada Tengku Razlan. Mereka
bersama-sama membersihkan badan Puan Sri Salma. Tanpa mereka berdua sedari,
dalam Puan Sri Salma memejamkan matanya, wanita tua itu telah memanjatkan doa
kepada-Nya yang hanya dia dan Yang Maha Berkuasa sahaja yang tahu apa yang
didoakannya itu.
Asyik mereka berdua membersihkan Puan Sri Salma,
terdengar loceng rumah ditekan seseorang. Zara segera menghentikan kerjanya dan
bercadang hendak melihat siapa yang
datang walaupun dia pasti sangat pasti yang datang itu adalah doktor peribadi
keluarga ini. Ini kerana selepas dia menghubungi
Tengku Razlan tadi, dia terus menghubungi doktor peribadi keluarga itu.
Namun, baru kakinya hendak melangkah pergi, tangannya dipegang
lembut seseorang. Dia segera menoleh tepat ke wajah si empunya tangan.
Tangannya ditarik pantas sambil matanya menjeling sekilas pada anak majikannya
itu. Air mukanya mulai berubah dan fikirannya mula teringatkan peristiwa di
kondo lelaki itu dulu. Tengku Razlan tersenyum kecil memandang gadis itu. Dia
sedar pekerja kesayangan mamanya itu tidak suka dengan tindakannya tadi.
" Maaf. Aku tak sengaja. Bukannya aku nak ambil
kesempatan. Tapi ... biar aku jea yang buka pintu. Kau siapkan mama aku
yea," kata lelaki itu perlahan sebelum memulakan langkahnya keluar dari
bilik tidur utama itu. Perlahan-lahan Zara menganggukkan kepalanya tanda faham.
Sebaik anak tunggal majikannya itu keluar dari bilik
tidur majikannya itu, Zara segera mengambil sepasang baju yang bersih dan
disarungkannya ke badan majikannya itu. Siap memakaikan pakaian yang bersih ke
tubuh majikannya, dia segera mengemas pakaian yang kotor ke dalam sebuah bakul
pakaian dan diletakkannya ke dalam bilik air. Selepas itu rambut majikannya pula disikat rapi.
Tidak lama selepas itu,Tengku Razlan pun tiba bersama
doktor peribadi keluarganya. Setelah
menjawab beberapa pertanyaan doktor tersebut, Zara meminta diri. Dia segera
keluar dari bilik itu bersama-sama bakul kain tadi.
Leka dia membalik-balik nasi goreng cinanya sambil
sesekali matanya mengerling ke arah bubur nasi yang dimasaknya. Tak lama
selepas itu, api dapur kedua-dua masakan itu dimatikannya. Sengaja dia
memasakkan bubur nasi untuk majikannya kerana pasti majikannya itu tidak
berselera hendak makan nasi.
Sementara nasi goreng cina itu pula dimasak olehnya
kerana perutnya sudah mulai
berkeroncong. Sedang dia menyenduk nasi goreng ke dalam sebuah mangkuk bersaiz
sederhana, dia terdengar bunyi deheman di belakangnya. Perlahan dia menoleh ke
belakang. Sebenarnya tanpa menoleh ke
belakang pun ... dia dah tahu siapakah gerangannya sebab hanya mereka bertiga
di rumah ini. Encik doktor pun telah pulang sebentar tadi. Bibik pula kebetulan
suaminya demam dan dia telah pulang ke rumah sewa suaminya yang bekerja sebagai
buruh binaan di Sungai Way. Jadi yang tinggal di dalam vila yang besar ini ...
pada saat ini tentulah dia, majikannya yang sedang sakit dan anak majikannya
yang banyak songeh itu!
" Eh! Encik Razlan. Kenapa? Puan Sri muntah lagi ke?"
" Taklah. Mama aku tengah tidur. Ni ... kau masak
apa tu?" tanya Tengku Razlan dengan wajah yang manis sambil menyandarkan
dirinya di pintu dapur sementara kedua-dua belah tangannya disilangkan.
" Oh! Saya ni masak bubur nasi dan nasi goreng cina.
Bubur nasi ni untuk Puan Sri. Encik jangan risau. Sebelum saya balik nanti, saya akan
suapkan Puan Sri dulu. Lepas tu saya mandikan dia dan bagi makan ubat. Saya
akan tunggu Tengku sampai dari pejabat dulu ... mmm ... lepas tu, barulah saya
balik rumah saya.
Nasi goreng ni pula saya masak untuk diri saya sendiri
sebab saya dah kelaparan sungguh. Tahap kebulur! Harap Encik Razlan tak
kisah," terangnya selamba.
Wajah kacak anak majikannya dipandangnya sekilas sebelum
dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Namun, matanya sempat melihat reaksi
anak tunggal majikannya itu menggelengkan kepalanya perlahan sambil
tersenyum manis. Aik! Hari senyum sedunia ke apa mamat ni hari ni? Selalunya muka
tu masam berkedut macam asam boi!, kutuk
Zara di dalam hati kecilnya.
" Kenapa cakap macam tu? Kau makan jealah apa yang
ada kat rumah ni. Takde siapa pun yang kisah dan marah. Ni ... aku pun belum
makan tengahari lagi. Kau tolong sendukkan aku punya sekali."
" Mmmm ..... Encik Tengku Razlan nak saya gorengkan
telur mata tak?"
" Tak payahlah. Ni ... lagi satu tak payahlah kau
panggil aku 'Encik Tengku Razlan' ke atau ' Encik Razlan'. Kelakarlah bunyinya. Macam
dalam cerita klasik jea aku rasa. Panggil aku Tengku jea ke ... Razlan ke..,"
balas Tengku Razlan sambil menarik sebuah kerusi meja makan yang berbentuk
bulat itu sementara bibirnya masih lagi mengukirkan senyum untuk gadis di
hadapannya.
" Mmm ...," ringkas jea Zara menjawab. Dia
memang tiada mood hendak bercakap banyak sebab perutnya yang lapar ini telah
mula mendendangkaan bermacam-macam rentak 'lagu' dah! Ada ' lagu' keroncong, asli dan dangdut!
Tanpa membuang
masa, Zara terus menyendukkan sepinggan nasi goreng cina dan meletakkannya di
hadapan anak majikannya itu. Selepas itu, Zara terus membancuhkan segelas besar
air oren Sunquick dan diletakkan di sebelah kiri lelaki itu pula. Lebar
senyuman Tengku Razlan tatkala melihat segelas besar jus oren Sunquick
diletakkan di sebelahnya. Nampaknya gadis ini arif benar dengan kesukaannya.
Hatinya tiba-tiba tersenyum senang.
" Kau tahu betul kesukaan aku yea! Kau ni mesti
boleh jadi isteri yang baik kan!"
" Tak payahlah nak puji saya melambung-lambung
Tengku. Saya tak berminat pun dengan pujian Tengku tu. Ni ... saya nak bagitahu
sesuatu."
" Apa yang kau nak bagitahu aku? Kau jatuh hati
dengan aku ke?" usik Tengku Razlan sambil mengangkat kening sebelah
kanannya sedikit.
" Hah! Apa! Hissh ... simpang malaikat emapat puluh
empat tau. Takde masanyalah saya nak jatuh hati kat Tengku. Ni .. saya nak
bagitahu yang buah oren dah habis. Jadi, tak boleh nak buat jus oren segar. Hari
ini saya buat air oren jea. Oren botol Sunquick. Okay ke? " tanya Zara.
Bukannya dia tak tahu yang lelaki kacak di hadapannya ini
suka sangat dengan jus oren yang segar. Jadi, sebelum mamat banyak songeh ni
'mengaum' bagai nak pecah gegendang dia, baik dia beritahu awal-awal.
" Mmm ... takpe. Ni pun okay juga. Lagi-lagi
kalau kau yang buat. Sedap nasi goreng kau
ni. Kau tak makan sekali? Tadi kata lapar tahap kebulur," usik Tengku
Razlan. Zara mencemikkan mulutnyan
sedikit.
" Takpelah. Tengku makan dulu. Saya nak bawa bubur
ni naik ke atas. Nak suapkan Puan Sri. Mesti Puan Sri dah lapar," kata
Zara tanpa memandang wajah anak majikannya. Hissh ... buang tabiat ke apa mamat
buaya ni. Cakap bukan main baik lagi. Bukan boleh percaya ni. Entah-entah ada
muslihat musang berjanggut.
" Mama aku tengah tidur. Dah. Biarkan mama aku tu
tidur dulu. Kau temankan aku makan. Lagi satu, malam ni kau tidur sini jea. Bolehlah
kau temankan mama aku tu. Nanti aku belikan kau pakaian lain."
" Hah! Takkan saya kena tidur sini pula? Apa kata
Tengku suruh jea girlfriend Tengku yang hari tu temankan Puan Sri. Boleh juga mereka
berdua saling berkenal-kenalan," jawab Zara laju. Tidak semena-mena lelaki
di hadapannya itu ketawa kecil.
" Zara ... Zara. Kau ni kalau tak membantah
kata-kata aku tak boleh kan! Untuk pengetahuan kau ... mama aku dan Lisa tu
memang dah saling-mengenali. Orang tua dia tu kawan baik papa aku. Sebab itulah keluarga aku
dan keluarga dia cuba menjodohkan aku dengan dia. Aku ikutkan jea sebab aku tak
nak kecikkan hati orang tua aku. Lagipun, aku malaslah nak fikir pasal kahwin
ni. Aku ikut jealah apa yang Pencipta aku dah tetapkan untuk aku di Loh Mahfuz.
Pada Lisa ... aku selalu ingatkan dia ... kalau adalah jodoh aku dengan dia ...
mmm ... adalah. Kalau takde ... takdelah.
Nombor dua .... aku kenal sangat Lisa tu. Takdenya si
Lisa tu nak temankan mama aku terbaring sakit macam tu. Apa kau ingat ... nanti kalaulah mama aku termuntahlah lagi
karang ... Lisa tu nak mengelap dan membersihkan mama aku macam kau buat. Takdenya!
Dia yang muntah lagi adalah.
Untuk pengetahuan kau ... aku ni sebenarnya tersepit. Lisa
tu pilihan keluarga aku. Aku tak sampai hati nak kata 'tidak' pada orang tua
aku. Jadi ... aku carry on jealah dengan Lisa dengan harapan satu hari nanti ...
dia akan berubah menjadi seorang yang lebih pengasih dan ikhlas."
" Apa maksud Tengku? Saya tak faham. Cerita Tengku
buat kepala saya pening tau!"
" Maksud aku ... aku tak kisah kahwin dengan dia
kalau itu boleh membuatkan orang tua aku
gembira. Tapi ... aku kenal dia. Maksud aku ... aku dapat rasakan yang dia tak
ikhlas dengan aku. Dah tu ... aku pun tak fikir yang dia akan menyayangi orang
tua aku seperti dia sayangkan orang tua dia. Itulah yang aku keberatan nak
kahwin dengan dia."
" Alah ... orang lelaki macam Tengku ni memang banyak
hal kalau disuruh kahwin. Kalau dah dasar buaya jadian tu ... buaya jugalah!"
" Taklah. Aku bukan macam tu. Apa yang press tulis
tentang aku semuanya kurang tepat. Aku bukannya playboy. Apa kau fikir aku ni
tak tahu dosa, pahala ke? Apa kau fikir aku tak takut ke kalau terkena AIDS. Aku
ni waras lagi tau. Aku nakal-nakal macam tu jealah."
" Iya ke? Entah-entah Cik Lisa tu baik jea. Tengku
jea yang banyak alasan,"tanya Zara sinis.
" Betul aku cakap ni Zara. Aku bukannya lelaki yang
suka memberi alasan Kalaulah Lisa tu sanggup layan dan jaga mama aku sebaik
yang kau buat, tak payahlah aku carikan mama aku tu pembantu peribadi. Masa mama
aku mula-mula kena strok dan kena tinggal kat hospital dulu, jangankan nak suruh
temankan mama aku kat hospital, melawat mama aku pun liat! Ini sekarang kau nak
cadangkan kat aku agar suruh si Lisa tu jaga mama aku yang sekejap-sekejap
muntah tu, lagilah dia tak nak. Aku lagi suka dan percaya kalau kau yang jaga
mama aku.
Ni aku bagitahu kat kau satu rahsia. Kalau Lisa tu boleh
sayangkan mama aku seikhlasnya, besok juga aku ajak dia nikah dengan aku. Tapi
tidak. Aku tahu dia cuma nakkan aku jea. Silap-silap haribulan ... dengan aku
ni pun sebenarnya dia lebih cintakan ringgit aku dari diri aku ni! Sebab itulah
aku rasa macam malas jea nak serius dengan dia. Ini rahsia antara kau dengan
aku jea tau. Kau janganlah pula cerita hal ni kat mama aku."
Sebaik
habis bercerita tentang isi hatinya kepada pembantu peribadi mamanya itu, Tengku
Razlan dapat merasakan hati terasa lapang sungguh. Hilang rasa tekanan di dalam
dirinya bila dapat meluahkan apa yang tersimpan di hatinya pada seseorang. Inilah pertama kalinya dia meluahkan rasa
hatinya yang selama ini disimpan kemas kepada orang lain. Tak tahulah macam
mana dia boleh pula berkongsi rasa hatinya dengan pekerja mamanya ini hari ini.
Zara yang tadinya hanya diam mendengar mula membuka
mulutnya. Namun, belum sempat dia menyampaikan apa yang ingin dikatakannya,
anak majikannya itu telah bersuara terlebih dulu. Tegas nadanya. Macam
tahu-tahu jea apa yang hendak dia katakan saja!
" Aku tahu apa yang kau nak cakap. Takde alasan Zara!
Kau kena dengar arahan aku bila mama aku sakit. Dah! Cepatlah makan sekali
dengan aku. Aku dah lapar ni. Aku tak biasa makan sorang-sorang," arah
Tengku Razlan merenung tajam ke anak mata gadis comel di hadapannya. Dan,
seperti biasa gadis itu hanya mendiamkan diri. Cuma bibir mungilnya saja yang
dimuncungkan serta diherotkan sedikit tanda protes dalam diam.
Tengku Razlan
hanya tergelak di dalam hatinya melihatkan tanda protes gadis itu. Seronok
dapat melihat muka gadis itu masam mencuka macam asam keluak. Hari ini ... dia
pasti tentang satu perkara. Dia senang sekali dengan gadis dihadapannya ini.
Senang sangat! Mungkin selepas ini mereka boleh jadi kawan baik kot!,detik hati
kecilnya.