Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 6

BAB 6

Tengku Razlan memanjat laju anak-anak tangga vila itu sebelum melangkah cemas ke arah bilik tidur mamanya. Panggilan telefon dari Zara si Pembantu Peribadi mamanya sebentar tadi amat merisaukannya. Mesyuarat yang sedang dipengerusikan olehnya juga terpaksa dibatalkan dan ditunda ke tarikh lain. Papanya pula sekarang ni sedang berada di Jerman menguruskan satu perjumpaan perniagaan dengan rakan kongsi mereka di sana.

Sebenarnya, sebaik saja dia mendapat panggilan kecemasan daripada Zara tadi, dia ada menghubungi Lisa dan meminta Lisa untuk tolong melihatkan keadaan mamanya sementara dia dalam perjalanan ke vila orang tuanya. Ini kerana jarak pejabat Lisa lebih dekat dengan villa orang tuanya. Malangnya, jawapan gadis yang rapat dengan dirinya itu amat mengecewakan dirinya. Lisa memberi alasan yang dia tidak dapat membantu kerana dia perlu menghadiri satu mesyuarat penting.

Alah ... bukannya dia tak tahu. Itu cuma alasan Lisa saja. Hakikatnya gadis itu takut seandainya mamanya termuntah lagi ke atas pakaiannya seperti beberapa bulan dulu. Ah! Apa pasallah pula aku nak teringatkan perempuan yang pentingkan diri sendiri tu. Buat semak otak aku jea!, sempat lagi Tengku Razlan berdengus di dalam hatinya.

Sebaik tiba di hadapan bilik tidur mamanya, Tengku Razlan terus menguak pintu bilik tidur utama vila itu. Dilihatnya mamanya sedang terbaring di atas katil sambil mengiringkan sedikit badannya manakala pembantu mamanya pula membongkokkan badannya seperti sedang melakukan sesuatu.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi mamanya muntah. Tengku Razlan terus berlari anak mendapatkan mamanya yang terbaring di katil. Hidungnya segera menangkap bau yang meloyakan dan kurang enak. Namun ditahannya saja. Apa sangatlah bau muntah ini jika dibandingkan dengan pengorbanan ibunya yang telah melahirkan dan membesarkannya dengan sepenuh kasih-sayang selama ini.

Sebaik menghampiri katil pembaringan mamanya, mata redupnya terus terpandang suatu pandangan yang amat mengusik jiwanya. Pembantu peribadi mamanya yang sering dikutuk tidak cukup akal itu sedang menadah muntah mamanya dengan telapak tangannya saja. Dia yang melihat pun sudah terasa loya, tetapi gadis itu nampak biasa saja. Cuma setelah mamanya selesai mengeluarkan segalanya isi perutnya, barulah gadis itu memandang ke arahnya.

" Tengku boleh tolong bukakan pintu bilik air tu tak?," kata Zara mengharap sambil memuncungkan bibirnya ke arah bilik air.

Tengku Razlan terus menganggukkan kepalanya sedikit dan segera membukakan pintu bilik air sambil diikuti Zara dibelakangnya. Sebaik pintu bilik air itu dibuka, Zara terus masuk ke dalam bilik air itu dan membersihkan dirinya sementara Tengku Razlan terus mendapatkan mamanya dan mengusap lembut dahi tua itu.

Namun tidak lama selepas itu, Zara keluar semula bersama dengan segayung kecil air dan dibawa ke tepi katil. Dia mengambil beberapa helai tisu dan mengesat lembut mulut majikannya sebelum membasahkan bibir tua itu dengan air yang dibawanya tadi dan dikesat dengan beberapa helai tisu lagi.

Tengku Razlan hanya memerhatikan saja. Hati lelakinya terusik dengan layanan Zara kepada mama kesayangannya. Dia benar-benar merasa terharu. Layanan gadis itu kepada mamanya amat lembut dan penuh dengan kasih-sayang. Nampak ikhlas sungguh. Dia tak fikir Lisa yang tergila-gilakan dia itu pun akan sanggup melakukan hal yang sama.

Rasa kesal mulai mengetuk pintu hatinya. Apatah lagi apabila secara spontan saja semua gelaran dan kutukan-kutukannya kepada pekerja mamanya itu bermain-main di kepalanya. Ah! Dia berjanji dengan dirinya sendiri yang selepas ini dia tidak akan menyakiti hati pekerja kesayangan mamanya itu lagi. Betullah kata-kata yang didengarnya selama ini. Hanya bila kita susah, barulah kita tahu siapa sebenarnya kawan kita. Kawan yang sanggup bersusah bersama kita! Fikirannya yang telah jauh melayang itu kembali semula ke alam realiti bila dia mendengar seseorang memanggil namanya.

" Maaf Tengku. Saya rasa Tengku kena tunggu kat luar dulu sebab saya nak bersihkan mama Tengku. Puan Sri .... errgg dia ... dia ..... ter ... ter ...," belum sempat Zara menghabiskan bicaranya, Tengku Razlan terus berkata.

" Takpe. Tak payah cakap. Aku pun ada hidung. Lagipun, aku kan anak Puan Sri kau ni. Mana kain lapnya? Biar aku tolong kau bersihkan mama aku. Lepas tu nanti ... kau pergi ambil pakaian lain untuk mama. Kita tukar pakaian mama aku sekali," kata Tengku Razlan perlahan.

Zara menganggukkan kepalanya tanda faham sebelum menghulurkan sehelai lagi kain lap badan kepada Tengku Razlan. Mereka bersama-sama membersihkan badan Puan Sri Salma. Tanpa mereka berdua sedari, dalam Puan Sri Salma memejamkan matanya, wanita tua itu telah memanjatkan doa kepada-Nya yang hanya dia dan Yang Maha Berkuasa sahaja yang tahu apa yang didoakannya itu.

Asyik mereka berdua membersihkan Puan Sri Salma, terdengar loceng rumah ditekan seseorang. Zara segera menghentikan kerjanya dan bercadang hendak melihat siapa yang datang walaupun dia pasti sangat pasti yang datang itu adalah doktor peribadi keluarga ini. Ini kerana selepas dia menghubungi Tengku Razlan tadi, dia terus menghubungi doktor peribadi keluarga itu.

Namun, baru kakinya hendak melangkah pergi, tangannya dipegang lembut seseorang. Dia segera menoleh tepat ke wajah si empunya tangan. Tangannya ditarik pantas sambil matanya menjeling sekilas pada anak majikannya itu. Air mukanya mulai berubah dan fikirannya mula teringatkan peristiwa di kondo lelaki itu dulu. Tengku Razlan tersenyum kecil memandang gadis itu. Dia sedar pekerja kesayangan mamanya itu tidak suka dengan tindakannya tadi.

" Maaf. Aku tak sengaja. Bukannya aku nak ambil kesempatan. Tapi ... biar aku jea yang buka pintu. Kau siapkan mama aku yea," kata lelaki itu perlahan sebelum memulakan langkahnya keluar dari bilik tidur utama itu. Perlahan-lahan Zara menganggukkan kepalanya tanda faham.

Sebaik anak tunggal majikannya itu keluar dari bilik tidur majikannya itu, Zara segera mengambil sepasang baju yang bersih dan disarungkannya ke badan majikannya itu. Siap memakaikan pakaian yang bersih ke tubuh majikannya, dia segera mengemas pakaian yang kotor ke dalam sebuah bakul pakaian dan diletakkannya ke dalam bilik air. Selepas itu rambut majikannya pula disikat rapi.

Tidak lama selepas itu,Tengku Razlan pun tiba bersama doktor peribadi keluarganya. Setelah menjawab beberapa pertanyaan doktor tersebut, Zara meminta diri. Dia segera keluar dari bilik itu bersama-sama bakul kain tadi.

Leka dia membalik-balik nasi goreng cinanya sambil sesekali matanya mengerling ke arah bubur nasi yang dimasaknya. Tak lama selepas itu, api dapur kedua-dua masakan itu dimatikannya. Sengaja dia memasakkan bubur nasi untuk majikannya kerana pasti majikannya itu tidak berselera hendak makan nasi.

Sementara nasi goreng cina itu pula dimasak olehnya kerana perutnya sudah mulai berkeroncong. Sedang dia menyenduk nasi goreng ke dalam sebuah mangkuk bersaiz sederhana, dia terdengar bunyi deheman di belakangnya. Perlahan dia menoleh ke belakang. Sebenarnya tanpa menoleh ke belakang pun ... dia dah tahu siapakah gerangannya sebab hanya mereka bertiga di rumah ini. Encik doktor pun telah pulang sebentar tadi. Bibik pula kebetulan suaminya demam dan dia telah pulang ke rumah sewa suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan di Sungai Way. Jadi yang tinggal di dalam vila yang besar ini ... pada saat ini tentulah dia, majikannya yang sedang sakit dan anak majikannya yang banyak songeh itu!

" Eh! Encik Razlan. Kenapa? Puan Sri muntah lagi ke?"

" Taklah. Mama aku tengah tidur. Ni ... kau masak apa tu?" tanya Tengku Razlan dengan wajah yang manis sambil menyandarkan dirinya di pintu dapur sementara kedua-dua belah tangannya disilangkan.

" Oh! Saya ni masak bubur nasi dan nasi goreng cina. Bubur nasi ni untuk Puan Sri. Encik jangan risau. Sebelum saya balik nanti, saya akan suapkan Puan Sri dulu. Lepas tu saya mandikan dia dan bagi makan ubat. Saya akan tunggu Tengku sampai dari pejabat dulu ... mmm ... lepas tu, barulah saya balik rumah saya.

Nasi goreng ni pula saya masak untuk diri saya sendiri sebab saya dah kelaparan sungguh. Tahap kebulur! Harap Encik Razlan tak kisah," terangnya selamba.

Wajah kacak anak majikannya dipandangnya sekilas sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Namun, matanya sempat melihat reaksi anak tunggal majikannya itu menggelengkan kepalanya perlahan sambil tersenyum manis. Aik! Hari senyum sedunia ke apa mamat ni hari ni? Selalunya muka tu masam berkedut macam asam boi!, kutuk Zara di dalam hati kecilnya.

" Kenapa cakap macam tu? Kau makan jealah apa yang ada kat rumah ni. Takde siapa pun yang kisah dan marah. Ni ... aku pun belum makan tengahari lagi. Kau tolong sendukkan aku punya sekali."

" Mmmm ..... Encik Tengku Razlan nak saya gorengkan telur mata tak?"

" Tak payahlah. Ni ... lagi satu tak payahlah kau panggil aku 'Encik Tengku Razlan' ke atau ' Encik Razlan'. Kelakarlah bunyinya. Macam dalam cerita klasik jea aku rasa. Panggil aku Tengku jea ke ... Razlan ke..," balas Tengku Razlan sambil menarik sebuah kerusi meja makan yang berbentuk bulat itu sementara bibirnya masih lagi mengukirkan senyum untuk gadis di hadapannya.

" Mmm ...," ringkas jea Zara menjawab. Dia memang tiada mood hendak bercakap banyak sebab perutnya yang lapar ini telah mula mendendangkaan bermacam-macam rentak 'lagu' dah! Ada ' lagu' keroncong, asli dan dangdut!

Tanpa membuang masa, Zara terus menyendukkan sepinggan nasi goreng cina dan meletakkannya di hadapan anak majikannya itu. Selepas itu, Zara terus membancuhkan segelas besar air oren Sunquick dan diletakkan di sebelah kiri lelaki itu pula. Lebar senyuman Tengku Razlan tatkala melihat segelas besar jus oren Sunquick diletakkan di sebelahnya. Nampaknya gadis ini arif benar dengan kesukaannya. Hatinya tiba-tiba tersenyum senang.

" Kau tahu betul kesukaan aku yea! Kau ni mesti boleh jadi isteri yang baik kan!"

" Tak payahlah nak puji saya melambung-lambung Tengku. Saya tak berminat pun dengan pujian Tengku tu. Ni ... saya nak bagitahu sesuatu."

" Apa yang kau nak bagitahu aku? Kau jatuh hati dengan aku ke?" usik Tengku Razlan sambil mengangkat kening sebelah kanannya sedikit.

" Hah! Apa! Hissh ... simpang malaikat emapat puluh empat tau. Takde masanyalah saya nak jatuh hati kat Tengku. Ni .. saya nak bagitahu yang buah oren dah habis. Jadi, tak boleh nak buat jus oren segar. Hari ini saya buat air oren jea. Oren botol Sunquick. Okay ke? " tanya Zara.

Bukannya dia tak tahu yang lelaki kacak di hadapannya ini suka sangat dengan jus oren yang segar. Jadi, sebelum mamat banyak songeh ni 'mengaum' bagai nak pecah gegendang dia, baik dia beritahu awal-awal.

" Mmm ... takpe. Ni pun okay juga. Lagi-lagi kalau kau yang buat. Sedap nasi goreng kau ni. Kau tak makan sekali? Tadi kata lapar tahap kebulur," usik Tengku Razlan. Zara mencemikkan mulutnyan sedikit.

" Takpelah. Tengku makan dulu. Saya nak bawa bubur ni naik ke atas. Nak suapkan Puan Sri. Mesti Puan Sri dah lapar," kata Zara tanpa memandang wajah anak majikannya. Hissh ... buang tabiat ke apa mamat buaya ni. Cakap bukan main baik lagi. Bukan boleh percaya ni. Entah-entah ada muslihat musang berjanggut.

" Mama aku tengah tidur. Dah. Biarkan mama aku tu tidur dulu. Kau temankan aku makan. Lagi satu, malam ni kau tidur sini jea. Bolehlah kau temankan mama aku tu. Nanti aku belikan kau pakaian lain."

" Hah! Takkan saya kena tidur sini pula? Apa kata Tengku suruh jea girlfriend Tengku yang hari tu temankan Puan Sri. Boleh juga mereka berdua saling berkenal-kenalan," jawab Zara laju. Tidak semena-mena lelaki di hadapannya itu ketawa kecil.

" Zara ... Zara. Kau ni kalau tak membantah kata-kata aku tak boleh kan! Untuk pengetahuan kau ... mama aku dan Lisa tu memang dah saling-mengenali. Orang tua dia tu kawan baik papa aku. Sebab itulah keluarga aku dan keluarga dia cuba menjodohkan aku dengan dia. Aku ikutkan jea sebab aku tak nak kecikkan hati orang tua aku. Lagipun, aku malaslah nak fikir pasal kahwin ni. Aku ikut jealah apa yang Pencipta aku dah tetapkan untuk aku di Loh Mahfuz. Pada Lisa ... aku selalu ingatkan dia ... kalau adalah jodoh aku dengan dia ... mmm ... adalah. Kalau takde ... takdelah.

Nombor dua .... aku kenal sangat Lisa tu. Takdenya si Lisa tu nak temankan mama aku terbaring sakit macam tu. Apa kau ingat ... nanti kalaulah mama aku termuntahlah lagi karang ... Lisa tu nak mengelap dan membersihkan mama aku macam kau buat. Takdenya! Dia yang muntah lagi adalah.

Untuk pengetahuan kau ... aku ni sebenarnya tersepit. Lisa tu pilihan keluarga aku. Aku tak sampai hati nak kata 'tidak' pada orang tua aku. Jadi ... aku carry on jealah dengan Lisa dengan harapan satu hari nanti ... dia akan berubah menjadi seorang yang lebih pengasih dan ikhlas."

" Apa maksud Tengku? Saya tak faham. Cerita Tengku buat kepala saya pening tau!"

" Maksud aku ... aku tak kisah kahwin dengan dia kalau itu boleh membuatkan orang tua aku gembira. Tapi ... aku kenal dia. Maksud aku ... aku dapat rasakan yang dia tak ikhlas dengan aku. Dah tu ... aku pun tak fikir yang dia akan menyayangi orang tua aku seperti dia sayangkan orang tua dia. Itulah yang aku keberatan nak kahwin dengan dia."

" Alah ... orang lelaki macam Tengku ni memang banyak hal kalau disuruh kahwin. Kalau dah dasar buaya jadian tu ... buaya jugalah!"

" Taklah. Aku bukan macam tu. Apa yang press tulis tentang aku semuanya kurang tepat. Aku bukannya playboy. Apa kau fikir aku ni tak tahu dosa, pahala ke? Apa kau fikir aku tak takut ke kalau terkena AIDS. Aku ni waras lagi tau. Aku nakal-nakal macam tu jealah."

" Iya ke? Entah-entah Cik Lisa tu baik jea. Tengku jea yang banyak alasan,"tanya Zara sinis.

" Betul aku cakap ni Zara. Aku bukannya lelaki yang suka memberi alasan Kalaulah Lisa tu sanggup layan dan jaga mama aku sebaik yang kau buat, tak payahlah aku carikan mama aku tu pembantu peribadi. Masa mama aku mula-mula kena strok dan kena tinggal kat hospital dulu, jangankan nak suruh temankan mama aku kat hospital, melawat mama aku pun liat! Ini sekarang kau nak cadangkan kat aku agar suruh si Lisa tu jaga mama aku yang sekejap-sekejap muntah tu, lagilah dia tak nak. Aku lagi suka dan percaya kalau kau yang jaga mama aku.

Ni aku bagitahu kat kau satu rahsia. Kalau Lisa tu boleh sayangkan mama aku seikhlasnya, besok juga aku ajak dia nikah dengan aku. Tapi tidak. Aku tahu dia cuma nakkan aku jea. Silap-silap haribulan ... dengan aku ni pun sebenarnya dia lebih cintakan ringgit aku dari diri aku ni! Sebab itulah aku rasa macam malas jea nak serius dengan dia. Ini rahsia antara kau dengan aku jea tau. Kau janganlah pula cerita hal ni kat mama aku."

Sebaik habis bercerita tentang isi hatinya kepada pembantu peribadi mamanya itu, Tengku Razlan dapat merasakan hati terasa lapang sungguh. Hilang rasa tekanan di dalam dirinya bila dapat meluahkan apa yang tersimpan di hatinya pada seseorang. Inilah pertama kalinya dia meluahkan rasa hatinya yang selama ini disimpan kemas kepada orang lain. Tak tahulah macam mana dia boleh pula berkongsi rasa hatinya dengan pekerja mamanya ini hari ini.

Zara yang tadinya hanya diam mendengar mula membuka mulutnya. Namun, belum sempat dia menyampaikan apa yang ingin dikatakannya, anak majikannya itu telah bersuara terlebih dulu. Tegas nadanya. Macam tahu-tahu jea apa yang hendak dia katakan saja!

" Aku tahu apa yang kau nak cakap. Takde alasan Zara! Kau kena dengar arahan aku bila mama aku sakit. Dah! Cepatlah makan sekali dengan aku. Aku dah lapar ni. Aku tak biasa makan sorang-sorang," arah Tengku Razlan merenung tajam ke anak mata gadis comel di hadapannya. Dan, seperti biasa gadis itu hanya mendiamkan diri. Cuma bibir mungilnya saja yang dimuncungkan serta diherotkan sedikit tanda protes dalam diam.

Tengku Razlan hanya tergelak di dalam hatinya melihatkan tanda protes gadis itu. Seronok dapat melihat muka gadis itu masam mencuka macam asam keluak. Hari ini ... dia pasti tentang satu perkara. Dia senang sekali dengan gadis dihadapannya ini. Senang sangat! Mungkin selepas ini mereka boleh jadi kawan baik kot!,detik hati kecilnya.


Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma