Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 33

BAB 33

Lama Tengku Razlan memanjatkan doanya pada RabbNYA. Memohon diberi jalan keluar dari kemelut yang sedang melanda dirinya sekarang. Meminta agar dia diberi pertolongan olehNYA. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat membantunya menyelesaikan teka-teki yang sedang bermain-main di dalam kepalanya sekarang. Hanya DIA sahajalah tempat dia memohon pertolongan. Hanya DIA saja yang tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

Dipanjangkan lagi doanya. Seandainya inilah harga yang perlu dia bayar kerana sikapnya yang selama ini alpa akan tugasnya yang utama sebagai hamba Allah di dunia yang penuh dengan bermacam godaan ini, dia terima dengan hati yang redha. Semoga selepas ini Allah melimpahkan seribu rahmat untuknya serta menunjuknya ke jalan yang benar dan lurus serta yang DIA redhai.

Air mata yang bertakung di matanya, dikesat dengan hujung jarinya. Tangannya ditadah semakin tinggi. Doanya disambung semula.

Ya Allah ... aku pohon pada MU agar kau jagalah hati isteriku agar dia tabah seandainya berita ini sampai kepadanya. Sesungguhnya tiada kata yang dapat mengambarkan kekesalanku kerana peristiwa ini yang pasti mengguris hati isterinya itu. Tolonglah aku kerana sesungguhnya aku cintakan dia dan sayangkan rumahtangga yang baru aku bina atas rasa cintaku padaMU ... amin. Terus tangan yang ditadah tinggi tadi menggusap kedua-dua wajahnya.

Pintu bilik tetamu itu dibukanya perlahan. Terus matanya terpandangkan kelibat kedua-dua orang tuanya di ruang tamu ke dua itu. Dia segera melangkah mendapatkan Tan Sri Tengku Azmi dan Puan Sri Salma. Tangan tua mamanya itu terus diraih dan diciumnya penuh hormat sebelum menyalami papanya pula. Dari riak air muka orang tuanya, nampaknya bukan hanya dia seorang saja yang terkesan dengan kejadian awal pagi tadi, tetapi juga orang tuanya.

Kelihatan ruang tamu banglo itu telah dipenuhi dengan kehadiran beberapa orang keluarga terdekat keluarga Lisa serta beberapa orang wartawan. Tengku Razlan menarik nafasnya panjang. Nampaknya ada seorang yang tiada di sini. Jantungnya mulai berdegup kencang. Dia berpaling ke arah orang tuanya semula.

" Mama ... where's Zara? Raz call dia beberapa kali ... tapi dia tak angkat pun."

" What do you expect Razlan? Do you expect that she will happily answer your phone call after knowing that you have been 'tangkap basah ' with your runaway bride?" tanya Tan Sri Tengku Azmi sinis tiba-tiba. Jelas sekali wajah tua itu sedang menahan rasa marahnya yang membuak-buak di dalam diri.

" Papa ... Raz benar-benar tak tahu macam mana semua ni berlaku? Raz sendiri tak faham. Raz rasa ada orang sengaja memerangkap Raz. Dan ... tak mungkin Lisa sedang mengandungkan anak Raz sebab Raz tak pernah tidur pun dengan dia. Selama ini Raz sekadar ...," belum habis Tengku Razlan membela dirinya, Tan Sri Tengku Azmi telah bersuara.

" Enough! Sudah Raz. Papa tak nak dengar apa-apa dah. Jangan nak ditegakkan benang yang basah. Papa malu Raz. Raz membuat onar dengan anak kawan baik papa. Mana papa nak letak muka papa ni. Papa malu dengan apa yang berlaku. Papa kecewa. Itu ... bakal mertua kamu dah panggil. Majlis nak mula dah. Jangan nak buat hal. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab. Berani buat, berani tanggung!" kata Tan Sri Tengku Azmi keras sebelum berjalan menuju ke ruang tamu.

Tengku Razlan memandang ke arah mamanya pula. Memohon simpati dan pengertian mama kesayangannya.

" Mama ... tolonglah. Percayalah cakap Raz. Raz tak tahu macam mana semua ni berlaku. Zara mana Ma? Dia ada kat rumah kan?," tanya Tengku Razlan. Jelas kekesalan di wajahnya.

Puan Sri Salmah bangun mendapatkan anak tunggalnya. Bahu anak tunggalnya diusap lembut. Simpati pula dia akan nasib yang menimpa anaknya. Tapi ... apa saja yang dia boleh buat. Nasi sudah menjadi bubur. Anak tunggalnya itu perlu bertanggungjawab dengan semua perbuatannya.

" Takde Raz. Dia dah balik ke UK pagi tadi. Dia kata dia ada call Raz sepanjang malam, tapi Raz tak angkat. Dia minta maaf sebab dia tak dapat tunggu Raz. Sama ada dia tahu apa yang telah berlaku ini atau tidak, mama tak tahu. Sekarang Raz selesaikan tanggungjawab Raz yang ini dulu. Jangan malukan mama lagi. Raz dah 'pakai' Lisa, jadi Raz kena pikul akibatnya. Selepas itu baru Raz fikirkan tentang Zara," kata Puan Sri Salma.

Tengku Razlan menghelakan nafasnya panajng dan perlahan sebaik mendengarkan kata-kata mamanya tadi. Langkah kakinya melangkah perlahan mengekori mamanya dari belakang. Cuma di dalam hatinya, dia tidak putus-putus berdoa agar Allah menunjukkan kebenarannya. Kata-kata kawan baiknya, Eiman terngiang-ngiang di telinganya.

" Berdoa dan terus berdoa bro. Seandainya betul kau dianiaya seseorang, pasti Allah akan menjawab doa kau tu dengan cepat. Doa orang yang dianiaya atau dizalimi ini antara doa yang cepat terangkat dan dimakbulkan. Yang penting kat dalam hati kau terus yakin akan kekuasaanNYA dan berbaik sangka denganNYA. Ingat bro ... Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Aku dengan kawan-kawan yang lain juga akan cuba bantu kau mencari kebenarannya," nasihat Eiman memberi kata semangat kepadanya.

Tengku Razlan menarik nafasnya panjang sebelum berjabat tangan dengan tok kadi di hadapannya. Hanya tuhan saja yang tahu perasaannya kini yang sarat dengan berbagai rasa. Ada rasa marah, kecewa, tidak berdaya, dan berbagai lagi. Sedar-sedar tangannya telah digoncang dua kali tanda gilirannya untuk menjawab ucap ijab tadi. Tanpa berlengah, Tengku Razlan terus menyebut ucap qabulnya pula. Dia hanya mahu semuanya selesai dengan segera. Selepas itu, dia akan keluar dari situ dan mencari Zara kesayangannya itu pula.

" Aku terima ni ...," tak sempat Tengku Razlan menghabiskan kata-katanya, terdengar seseorang menjerit menghalang dia dari meneruskan kata-katanya. Dia segera berpaling ke arah belakang. Begitu juga dengan semua tetamu yang ada di situ.

Kelihatan tiga orang lelaki berdiri tegak di antara para tetamu yang terdapat di situ. Seorang hanya mengenakan t-shirt dan berseluar jean. Manakala yang seorang lagi berpakaian kemas seperti pekerja pejabat. Di belakang lelaki-lelaki itu pula kelihatan sahabat baiknya Eiman yang sedang tersenyum ke arahnya.

" Majlis ini tak boleh diteruskan melainkan pengantin lelaki itu adalah saya. Lelaki itu tidak boleh berkahwin dengan Lisa!"

" Apa yang awak merepek ni? Awak ni siapa? Jangan nak buat huru-hara kat sini," tengking Datuk Abu Bakar.

" Datuk memang tak kenal saya. Tapi ... anak perempuan Datuk kenal saya. Nama saya Hanif. Saya adalah bapa kepada anak yang sedang dikandung oleh anak perempuan Datuk. Bapa kepada bakal cucu Datuk. Jikalau tak percaya ... ini buktinya. Cukuplah anak Datuk mempergunakan saya untuk kepentingan dia selama ini.

Saya takkan benarkan dia menganiaya orang lain pula. Anak Datuk memang sengaja memerangkap Tengku Razlan. Dia mengupah salah seorang pekerja di restoran saya untuk memasukkan 'date drug' ke dalam minuman Tengku semalam. Disebelah saya ini ialah pekerja yang telah diupah oleh anak Datuk semalam. Kat dalam sampul surat ini pula ada beberapa gambar yang dapat membuktikan hubungan saya dengan anak Datuk," jelas lelaki yang bernama Hanif itu sambil menghulurkan sekeping envelope besar kepada Datuk Abu Bakar.

Segala isi envelope itu dilihat satu persatu oleh Datuk Abu Bakar. Wajah tua itu mulai memerah menahan marah amat sangat. Malu sungguh dia dengan perbuatan satu-satunya anak perempuannya itu.

Datuk Abu Bakar kemudian berpaling memandang ke arah Lisa yang kelihatan cemas dan pucat dengan satu pandangan yang amat tajam sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah Tengku Razlan yang nampaknya tenang saja.

" Razlan ... maafkan uncle. Dan ... engkau. Siapa nama engkau?"

" Hanif," jawab lelaki itu memberitahu namanya sekali lagi.

" Sekarang kau ambil tempat Razlan. Aku nak kau bertanggungjawab dengan apa yang kau dah buat. Hari ini juga aku nak kau kahwin dengan anak aku. And, you Lisa ... you will know your fate after this," kata Datuk Abu Bakar keras. Wajah anak perempuan tunggalnya yang sedang menangis teresak-esak direnungnya tajam. Macam harimau yang sedang kelaparan!

Tengku Razlan meraup wajahnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Dia mengucapkan rasa syukur yang tak terhingga ke hadrat Illahi. Terus dia bangun dan menuju ke penjuru ruang tamu utama itu sebelum berdiri menghadap kiblat sebelum melakukan sujud syukur untuk menzahirkan kesyukurannya kepada nikmat yang Allah swt telah berikan kepadanya ini, mencontohi perlakuan Nabi Muhammad saw setiap kali mendapat perkhabaran yang mengembirakan atau setiap kali terlepas dari bahaya.

Abi Bakrah meriwayatkan, " ... bahawa Nabi Muhammad saw apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar suka, baginda terus sujud berterima kasih kepada Allah swt." ( riwayat Abu Dawud dan Tamizi)

Malahan Allah swt juga telah berfirman: " Dan ( ingatlah juga), ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepada mu, dan jika kamu mengingkari ( nikmat-KU) , maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih." ( Quran, Surah Ibrahim, ayat 14:7)

Air mata syukur yang mengalir laju di pipinya diseka dengan belakang lengannya. Tengku Razlan segera mendapatkan sahabat baiknya Eiman dan memeluk sahabat baiknya itu sebelum berjabat tangan dengan sahabatnya itu.

" Terima kasih bro. Kau memang saudara aku dunia akhirat. Thanks bro," kata Tengku Razlan berulang kali. Eiman menganggukkan kepala sambil tersenyum. Bahu Tengku Razlan ditepuk-tepuknya tanda sokongan daripadanya.

" Small matter jea. Sekarang kau pergi cari isteri kau tu. Ingat! Kasih sayang Allah swt tu luas tiada sempadan. Minta pertolongaNYA agar memudahkan kerja-kerja memujuk isteri kau tu nanti. Jangan nak cakap dengan laser mulut kau tu jea bila jumpa dia nanti," pesan Eiman memberi semangat kepada sahabat baiknya itu. Dia sedar betapa pentingnya Zara kepada sahabat baiknya itu. Semoga Allah swt memudahkan urusan mereka, doa Eiman di dalam hati kecilnya pula.

Tengku Razlan segera mendapatkan kedua-dua orang tuanya pula. Mereka saling berpelukam sebelum Tengku Razlan memandang tepat ke wajah Tan Sri Tengku Azmi.

" Papa ... Raz nak bercuti beberapa hari. Raz nak cari Zara. Raz nak dia tahu hal sebenarnya. Raz tak nak dia terus buruk sangka dan salah faham pada Raz. Raz tak nak rumah tangga Raz musnah macam tu jea," kata Tengku Razlan mengharapkan agar papanya memahami isi hatinya.

" Pergilah. Memang itu yang sepatutnya Raz buat. Hal pejabat biar papa yang uruskan. ," balas Tan Sri Tengku Azmi sambil menepuk-nepuk bahu anaknya.

Sebaik papanya habis berkata, tanpa berlengah Tengku Razlan terus berlari keluar dari situ. Adegan itu diperhatikan oleh semua di situ. Lisa yang juga memerhati hanya mampu menangis sepuas-puas hatinya. Nampaknya segala rancangan jahatnya kini telah memakan dirinya semula. Aku benci kau Zara! Aku benci kauuu ..!!, jerit Lisa di dalam hati kecilnya.


Previous: BAB 32
Next: BAB 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma