Home Novel Cinta DIA CINTAKU
BAB 7

BAB 7

Sekembali dari menemani Puan Sri Salma menjalani fisioterapi di pusat fisioterapi yang terletak di tengah kota Kuala Lumpur, majikannya itu terus masuk ke dalam bilik tidurnya. Hendak berehat katanya. Jadi, hanya tinggal dia dan bibik saja di tingkat bawah villa mewah itu.

" Bik, tak sihat ke?" tanya Zara kerana sedari tadi lagi dia terdengar pembantu rumah majikannya itu terbatuk-batuk. Muka pun nampak pucat tak bermaya saja. Bibik yang baru saja keluar dari bilik cucian yang menempatkan mesin basuh dan mesin pengering pakaian itu hanya tersenyum kecil saja mendengarkan pertanyaan Zara. Perlahan Zara menghampiri bibik dan meletakkan tangannya di dahi bibik yang bernama Sutina. Panasnya, getus hati Zara.

" Takde apa-apa Zara. Bibik sihat jea kok. Batuk sikit saja. Biasa sajalah ni," balas bibik. Zara terus menggelengkan kepalanya setelah mendengar kata-kata Bibik Sutina tadi.

" Eh! Panas ni. Bibik demam ni! Apa kata bibik rehat jea. Nanti melarat. Apa kata kita pergi ke klinik?" tanya Zara prihatin. Sememangnya itulah Zara. Sentiasa prihatin dengan orang sekelilingnya tanpa mengira siapa pun orang itu. Apatah lagi, dengan sumpah profesion yang telah diangkatnya beberapa tahun dulu ... apalagi jikalau bukan 'Hippocratic Oath'!

" Takpe Zara. Sikit jea. Lagipun, bibik belum masak makan malam lagi."

" Mmm ... kalau macam tu takpelah. Biar Zara jea yang masak.
" Nanti Zara pula lambat pulang ke rumah. Anak dara tak manis pulang ke rumah lambat-lambat. Bahaya di jalanan nanti. Macam-macam boleh jadi," kata Bibik Sutina risau.

" Terima kasih sebab ambil berat tentang saya Bik. Tapi ... kalau hari sudah lewat malam sangat, bolehkan saya tumpang tidur kat bilik bibik jea?"

" Sudah tentulah boleh Zara."

" Hah! Kalau macam tu baguslah. Bibik pergilah berehat. Biar saya jea masak. Nanti kalau Puan Sri tanya, saya katalah bibik tak sihat. Saya yang rela hati menawarkan diri untuk membantu. Lagipun, bukannya susah. Cuma masakkan untuk Puan Sri dan Tan Sri kan. Majikan kita tu bukannya cerewet," kata Zara sambil menepuk lembut bahu bibik yang berdiri di hadapannya.

" Betul Zara boleh masak?" tanya bibik sekali lagi. Zara tersenyum memandang wajah bibik yang nampak pucat itu.

" In sha allah boleh bik. Jangan risau okay. Dah ... bibik tu pergi berehat sekarang," arah Zara sambil membuat muka garang.

Tersenyum Bibik Sutina melihatkan gelagat gadis itu. Gadis itu memang seorang yang penyayang dan pandai mengambil hati orang di sekelilingnya. Lantas itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan bibik apabila hubungan majikan dan gadis itu amat mesra sekali. Bukan macam majikan dengan pekerja. Tetapi, lebih macam emak dan anak!

" Kalau macam tu kata Zara, bibik masuk bilik dulu yea Zara. Tapi, kalau Zara perlukan pertolongan bibik, panggil saja tau. Terima kasih Zara."

" Alah! perkara kecil saja bik. Lagipun, cuma masakkan untuk Puan Sri dan suami dia jeakan," ulang Zara lagi sebelum pantas melangkah ke dapur untuk memasak makanan malam untuk Puan Sri Salma dan suaminya.

Tepat pukul lapan, kerja-kerja masak memasaknya pun selesai. Lauk pauk yang telah siap dimasak olehnya itu terus diceduk ke dalam mangkuk dan pinggan hidang. Pinggan yang berisi kangkung goreng ikan masin, ayam masak kalio dan ikan kembung masak asam pedas terus diangkat dan dihidangkannya di meja makan yang terletak di ruaang makan.

Kemudiannya dia terus mengambil dua biji pinggan dan dua biji gelas sebelum dibawa ke ruang makan. Pantas dia menyendukkan nasi sebaik dilihatnya Tan Sri Tengku Azmi dan Puan Sri Salma menuruni tangga menuju ke ruang makan. Bibirnya terus mengulumkan sebuah senyuman sebaik majikannya memandang ke arahnya. Dia perasan air muka majikannya berubah sedikit. Terkejut kot sebab tengok dia masib berada di vila itu lagi sedangkan selalunya dia telah pulang ke rumah.

" Eh! Zara ... kenapa belum balik lagi ni?" tanya Puan Sri Salma sebaik menghampiri meja makan. Pelik. Selalunya pembantunya itu pasti akan terburu-buru pulang ke rumahnya sebaik saja jam menunjuk pukul enam setengah petang.

" Haah Zara. Kenapa tak balik lagi ni? Ni .. bibik mana?" tanya Tan Sri Tengku Azmi pula.

" Bibik deman Tan Sri, Puan Sri. Zara yang tawarkan diri untuk membantu. Kesian tengok bibik. Dia nampak tak bermaya sangat. Lagipun, bibik pun dah beri persetujuan untuk benarkan Zara tumpang tidur dalam bilik dia," terang Zara tersenyum manis sambil menuangkan air sirap ke dalam gelas majikannya suami isteri.

" Oh! Macam tu. Ni ... Zara ada pakaian ke? Kalau tak boleh pinjam jea baju anak saudara saya yang ada kat dalam almari di bilik tetamu tu. Zara tak payahlah tidur kat bilik bibik tu. Tidur kat bilik tetamu tu jea"

" Eh! Tak payahlah Puan Sri. Saya ada bawa sepasang pakaian extra di dalam beg saya tu setiap hari. In case kalau-kalau baju saya basah sebab terkena hujan ke atau kotor sebab terjatuh ke atau kalau-kalau ada kecemasan macam hari tu," terang Zara.

" Mmm ... kalau macam tu, takpelah."

" Puan Sri, Tan Sri ... saya ke dapur dulu. Nak ambil buah tembikai yang saya dah potong tadi ni pulak." Tan Sri Tengku Azmi dan Puan Sri Salma hanya menganggukkan kepala mereka saja

Baru kakinya hendak melangkah ke dapur, dia terdengar pintu utama di ruang tamu dibuka seseorang. Bukannya hanya dia tetapi juga majikannya berpaling memandang ke arah ruang tamu. Tak lama selepas itu, kelibat seorang lelaki muda yang mengenakan kemeja berwarna biru nila tua dengan tali leher yang masih terikat di lehernya muncul dengan senyuman nipis di bibir. Hmm ... nampak kacak pula mamat banyak songeh ni hari ini. Agaknya sebab warna baju yang dipakai lelaki itu kot! Nampaknya warna kemeja yang dipakai oleh lelaki itu amat sesuai dengan kulit lelaki yang putih bersih tu.

Puan Sri Salma yang sememangnya sentiasa menantikan kedatangan anak tunggalnya itu terus tersenyum lebar gembira melihatkan wajah anak tunggalnya itu. Entah apalah mimpinya agaknya, anak terunanya balik ke villa ini hari ini. Tapi, hati tuanya gembira. Iyalah kalau tidak hanya dia suami isteri saja yang makan di meja yang berkerusi lapan ini.

" Makan sekali Raz." Tegur Puan Sri Salma lembut mengajak anaknya makan malam bersama.

Tengku Razlan terus menganggukkan kepalanya sedikit dan terus menarik sebuah kerusi dan duduk di sebelah mamanya.

" Zara .... tolong bawakan pinggan dan gelas untuk anak saya yea!"

Tengku Razlan terus memandang ke arah gadis yang sedang berjalan ke dapur sebaik saja mamanya menyebut nama itu. Sangkanya bibik tadi yang berdiri di situ. Iyalah. Dia betul-betul penat hari ini. Itu yang dia kurang memberi perhatian sangat kepada orang ke tiga yang ada di situ tadi. Iyalah ... waktu-waktu macam ni siapa lagi yang ada selalunya. Mesti orang tuanya dan Bibik Sutina. Pekerja kesayangan mamanya itu mestilah sudah lama balik! Tapi, ada pula minah ni malam ni. Bukan ke selalunya dia dah balik rumah dia, detik hati Tengku Razlan di dalam hati.

Zara kembali semula ke ruang tamu itu dengan sebuah pinggan dan gelas. Dengan sopan dia menuangkan air sirap ke dalam gelas anak majikannya. Kemudian dia mencedukkan nasi ke dalam pinggan yang baru diambilnya tadi sebelum diletakkan di hadapan lelaki itu. Selepas itu dia terus ke dapur.

Namun tidak berapa lama selepas itu, dia muncul semula dengan segelas besar jus oren segar walaupun tidak disuruh. Sebenarnya kalau nak diikutkan hatinya memang dia malas nak buatkan jus oren untuk lelaki tu. Tetapi, kesian pula tengok muka lelaki itu yang nampak penat semacam saja. Lagipun, bukannya dia tak tahu lelaki itu tidak menyukai air sirap. Cuma di hadapan kedua-dua orang tuanya, dia tahu lelaki banyak songeh itu tidak akan memerintahnya seperti selalu.

Sebaik saja dia meletakkan gelas besar berisi jus oren segar di hadapan lelaki yang banyak songeh itu, dia ternampak lelaki itu tersenyum sedikit. Baru dia hendak berpusing dan melangkah semula ke dapur, Tengku Razlan menyapanya perlahan.

" Psst ... Zara, boleh tolong tanggalkan tali leher saya ni tak? Please. Terlupa pula nak buka sebelum makan tadi sebab lapar sangatlah. Susahlah nak makan dengan tali leher membelit leher ni. Rasa macam nak tercekik," kata Tengku Razlan sambil menunjukkan jari-jarinya yang sudah terlekat dengan beberapa butir nasi ke arahnya untuk menguatkan lagi alasan kenapa dia tidak dapat melakukannya sendiri.

Bulat mata Zara memandang lelaki muda itu. Hissh ... dia ingat dia ni siapa agaknya, siap nak manja-manja. Depan orang tua dia pulak tu! Mengada-ngada betullah. Memang nak kena sekeh ni!, rungut Zara di dalam hatinya.

Namun pada masa yang sama Zara juga sedar majikannya sedang melihat ke arahnya. Segera dia memaniskan wajahnya dan memandang tepat ke arah anak majikannya yang mengada-ngada tak bertempat tu.

" Hah! Maaf ... tapi saya tak dengar. Tengku suruh apa tadi yea?" tanya Zara. Dia dapat melihat lelaki itu mula membuat muka sebaik mendengar pertanyaannya.Mmm ... dah agak dah. Mulalah tu nak buat muka Garfield dia balik. Konon-konon comellah tu, kutuk Zara di dalam hatinya.

Bagaimanapun, lamunan Zara terhenti bila dia terdengar majikannya berdehem sedikit. Terus dia mengalihkan pandangannya ke arah majikannya Puan Sri Salma yang telah dianggap umpama mamanya sendiri sebenarnya.

" Zara ... bolehkan tolong tanggalkan tali leher anak saya tu. Since saya pun dah anggap Zara macam anak saya sendiri, Zara anggap sajalah permintaan anak saya yang mengada-ngada tu macam permintaan seorang abang yang hendak bermanja-manja dengan adiknya. Boleh yea Zara. Lepas tu bukakan sekali butang bahagian atas kemeja dia tu sekali. Nanti tercekik pula. Zara jangan kecil hati yea! Anak saya tu memang mengada-ngada sikit. Nak bermanja tapi salah tempat, salah orang," sindir Puan Sri Azimah menjeling sedikit anak terunanya sebelum memandang ke arah Zara.

Dia sedar pasti pekerjanya itu agak kurang senang dengan permintaan mengada-ngada anaknya itu.Tapi, nanti kalau betul-betul anak tunggalnya itu tercekik karang tak ke naya. Sudahlah itu saja anak yang dia ada!

Zara hanya tersenyum sedikit mendengarkan kata-kata majikannya sementara Tengku Razlan pula membulatkan matanya pada mamanya sebagai tanda tidak berpuas hati kerana mama kesayangannya itu mengutuknya tadi.

" Itulah macam budak kecil. Lain kali cubalah tanggal dulu tali leher tu, baru duduk makan. Perangai tu sama jea dari kecil sampai sekarang. Manja sangat," sindir papanya pula. Semakin merona merah wajah lelaki yang putih melepak itu. Hisshh ... tak boleh jadi ni. Seronohlah minah ni dengar orang tuanya sendiri mengutuk dirinya. Lalu dia berdehem perlahan sebagai isyarat kepada orang tuanya supaya menghentikan segala kritikan tentang dirinya di hadapan minah yang satu ini.

" Laparlah pa. Cepatlah Zara. Tak selesalah nak makan. Awak tak kesian ke kat saya? Kalau saya mati tercekik kang macam mana?" kata Tengku Razlan sambil membuat muka comel macam kucing Garfield yang pemalas pula.

Zara mengigit bibirnya sedikit sebelum dengan hati yang mendongkol dan senyuman yang dibuat-buat, pantas kedua-dua tangannya melonggarkan ikatan tali leher Tengku Razlan sebelum membukakan butang di bahagian paling atas kemeja itu. Selesai saja kerjanya, dia terus berlalu ke dapur sambil mengutuk-ngutuk Tengku Razlan di dalam hatinya. Puan Sri Salma dan suaminya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.

Lantaran begitu berselera menikmati hidangan makan malamnya, Tengku Razlan langsung tidak menyedari pandangan penuh makna kedua orang tuanya yang melihatkannya sedari tadi. Bibir-bibir tua itu tersenyum penuh makna sambil bertukar-tukar pandangan.

" Hai! Raz ... bertambah nampak? Tak takut gemuk ke?" sengaja Puan Sri Salma mengusik anak terunanya itu. Selalunya bukan main sikit jea makan. Alasan yang selalu diberikan anak tunggalnya sebab nak jaga badan.

Tersengih Tengku Razlan mendengar usikan mamanya itu. Tangannya terus mencapai gelas besar yang berisi jus oren di hadapannya dan meminumnya sedikit. Wajah mamanya dipandangnya sambil tersenyum sedikit.

" Habis ... dah bibik masak sedap sangat hari ni. Rasa macam tak boleh hendak berhenti makan pula. Agaknya hari ni bibik baca mandrem special sikit kot. Itu yang sedapnya lain macam ni!" gurau Tengku Razlan sebelum menyuakan suapan yang entah ke berapa kali ke dalam mulutnya.

" Banyaklah kamu punya mandrem. Mmm ... memanglah sedap tapi bukan bibik yang masak!" kata papanya pula sambil tersenyum memandang ke arahnya.

" Habis tu ... mama ke yang masak? Mama ni ... kan mama baru nak sihat. Tak payahlah buat kerja-kerja macam tu dulu. Tunggulah sihat betul," jelas sekali riak kerisauan terbayang di wajah Tengku Razlan.

" Bukannya mama kamu. Tapi, Zara."

" Eh! Iya ke papa? Sedaplah dia masak. Macam ni mama, suruhlah pembantu mama tu jea yang masak. Kontrak dia kerja dengan mama pun lagi beberapa minggu dah nak habis kan! Mama pun nampaknya dah semakin sihat. Apa kata ... mama ambillah pula dia sebagai tukang masak kita. Mesti Raz balik sini hari-hari. Mama mesti sukakan kalau Raz hari-hari balik sini. Silap-silap hari bulan Raz pindah balik duduk dengan mama dan papa." Gurau Tengku Razlan sambil matanya tercari-cari kelibat Zara yang berada di dapur.

" Macam-macamlah kamu ni Raz. Dari kamu suruh pembantu mama tu yang masakkan kamu hari-hari, baik kamu suruh isteri kamu jea yang masak. Apa kata anak papa ni kahwin jea," giat papanya sambil mengangkatkan keningnya sedikit.

" Papa ni .... macam tak tahu pula. Manalah anak papa ni nak kahwin lagi. Yang Raz ada cuma kawan jea. Kalau yang special tu memang tak de lagilah papa. Belum jumpa lagi orangnya," balas Tengku Razlan sambil tersengih-sengih.

" Sebab tu ... papa dan mama rekemenkan Lisa. Senang sikit. Kita pun dah kenal famili dia. Raz pun ... mama rasa banyak habiskan masa dengan dia kan. So, daripada diusungnya si Lisa tu ke sana-sini macam tu jea, baik Raz nikah jea dengan dia. Macam mana?" tanya Puan Sri Salmah tersenyum penuh makna sebelum bertukar-tukar pandangan dengan suaminya.

Tengku Razlan hanya tersenyum saja mendengarkan kata-kata orang tuanya. Dalam diam sebenarnya hatinya kini mulai menyeru-nyeru satu nama. Sayang sekali kerana nama yang diserunya di dalam hatinya itu nampaknya tak sama langsung dengan nama yang disebut oleh orang tua kesayangannya. Sebenarnya ... semenjak bilakah nama yang satu ini mulai bertamu di ruang hatinya pun, dia tak perasan. Tahu-tahu saja ... nama yang satu itu kini selalu dinyanyikan oleh hatinya akhir-akhir ini. Lagi-lagi di waktu malam yang sunyi ketika dia hendak melelapkan matanya.


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh noma