BAB
30
Suasana di perkarangan Masjid Wilayah itu kelihatan
cantik dihias dengan beberapa khemah yang berwarna putih serta berhias cantik
dengan kain satin berwarna merah jambu dan kelabu yang dililit kemas di setiap penjuru
khemah-khemah tersebut. Ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran kakitangan SA
Holdings.
Sempena meraikan pernikahan anak tunggalnya, Sadikin Amir
telah memberi cuti selama sehari kepada para kakitangan SA Holdings. Kakitangan
dan keluarga mereka juga dijemput
menghadiri majlis pernikahan tersebut yang kemudiannya akan diikuti dengan
jamuan makan tanda kesyukuran di perkarangan masjid tersebut. Nasib baiklah dia
kenal rapat dengan salah seorang daripada pihak pengurusan masjid tersebut.
Jikalau tidak, pasti sukar untuk majlis yang tidak dirancang ini hendak
dijadikan kenyataan. Sadikin Amir sibuk melayan dan berbual dengan kakitangan
SA Holding cawangan Malaysia yang sekali-sekala saja dia dapat berjumpa. Ini
bukanlah sesuatu yang pelik kerana Sadikin Amir memang terkenal dengan sikapnya
yang merendah diri dan peramah serta mudah mesra di kalangan para pekerja SA
Holding.
Itu suasana di luar masjid. Keadaan di dalam masjid pula
lain ceritanya. Walaupun sejuk dengan putaran kipas dan penghawa dingin, Zara
merasa bahang sekali. Entahlah. Mungkin kerana rasa debar yang melanda hati
kecilnya lantaran akan bergelar isteri kepada seseorang selepas ini kot, agak
hati kecilnya.
Fikirannya jauh melayang teringat kepada kata-kata
nasihat yang daddynya berikan kepadanya semalam. Terngiang-ngiang di telinga
kata-kata itu. Panjang lebar sekali nasihat daddy kesayangannya.
" Zara, selepas ini princess daddy ni akan jadi
isteri orang. Memanglah menantu daddy tu bukannya orang lain ... anak buah
daddy sendiri, tetapi ingat yea sayang ... dunia Zara selepas ini adalah Hail.
Hormati dan patuhi dia. Janganlah disebabkan Zara lebih berharta, Zara rasa
yang Zara lebih berkuasa di dalam rumahtangga nanti. Jadilah isteri yang taat
dan baik kepada dia. Jaga hatinya baik-baik. Syurga Zara ada pada dia. Bersusah
dan bersenanglah bersama-sama. Dan, sentiasalah bersabar dengan apa jua dugaan
yang datang kerana perkahwinan ini penuh
dengan dugaan sayang. Ingat pesan daddy
ni yea Zara," pesan Sadikin Amir sambil memandang penuh kasih dan sayang
seorang bapa kepada satu-satunya cahaya
matanya. Air matanya yang sedari tadi di tahan, tidak dapat dibendung lagi.
Zara mengelap air mata daddynya dengan ibu jari
tangannya.
" Daddy ... kenapa nangis? Daddy tak suka ke dengan
perkahwinan ni? Nak Zara batalkan ?" tanya Zara dengan nada sebak.
Sadikian Amir tersenyum sedikit. Wajah anaknya yang polos
itu dipandang seketika sebelum segaris senyum terukir di bibir tuanya.
" Bukan macam tu.
Daddy tiba-tiba teringat pada arwah mummy Zara. Zara tahu tak
sesuatu?" sambung Sadikin Amir lagi
" Apa dia daddy," kata Zara cuba tersenyum
kecil. Enggan memanjangkan suasana sedih ini.
" Raut wajah princess daddy ni sama macam arwah mummy
tau. Your eye, nose, eye brow ... semua ikut arwah mummy. Cuma warna kulit dan
warna rambut tu jea ikut daddy. Itu yang buat Zara nampak lebih kemelayuan," kata
Sadikin Amir. Wajah anak tunggalnya diamatinya sepuas-puas hatinya. Rasa rindu
kepada arwah isterinya segera datang menerpa. Hatinya mulai merasa sayu.
Sadikin Amir masih teringat bagaimana arwah isterinya cuba mempraktikkan sedaya
upaya apa yang telah dipelajari tentang ajaran Islam di dalam kehidupan
sehariannya sepanjang perkahwinan mereka. Sadikin Amir menghelakan nafasnya
perlahan. Wajah anak tunggalnya diamati lagi.
" Jikalau mummy ada mesti mummy merupakan orang yang
paling gembira sekali hari ini. Dan, mesti mummy lagi tahu nak bagi nasihat
tentang hidup berumahtangga ni kat anak daddy ni. Tapi ... hahaha ... yang
pasti mesti dia tak setuju daddy buat
simple-simple macam ni. Tapi ... daddy janji resepsi kat UK nanti kita buat
besar-besaran," janji Sadikin Amir sambil mengusap lembut rambut anak
kesayangnya itu.
" Daddy ... ini semua kan kita tak rancang pun. Ini
rancangan kami berdua yang tiba-tiba saja hendak nikah kat sini. Lagipun, besar atau kecil
majlis perkahwinan Zara tu tak penting. Yang penting restu dan doa daddy . Tapi
... mmm ... maafkan Zara kalau rancangan Zara dan Hail yang tiba-tiba jea ni
menyedihkan daddy. Kalau daddy kurang
senang dengan cadangan kami ni, kita boleh batalkan jea. Hail mesti
faham," pujuk Zara.
" Eh! Bukan macam tu. Daddy gembira dengan cadangan
kamu berdua nak bernikah di sini. Benda yang baik kenapalah kita nak
tangguh-tangguhkan. Lagipun, senanglah sikit daddy nak bercuti sebab princess
daddy ni dah ada suami dia yang jaga. Kalau dia nakal, biar Hail jea jentik
telinga dia tu," gurau Sadikin Amir.
Baru Zara hendak meneruskan lamunannya ke dialog yang
seterusnya, dia terasa bahunya dipegang seseorang. Dia segera menoleh ke arah
si empunya tangannya. Bibirnya mengorakkan senyuman manis buat wanita itu.
" Tahniah Zara. Selamat pengantin baru," ucap
wanita tua yang bergaya itu. Di sisi wanita tua itu berdiri tegak seorang
lelaki yang tampan berbaju melayu berwarna biru tua. Lelaki muda itu hanya
tersenyum hambar saja ke arahnya. Zara mengganggukkan kepalanya sedikit tanda
hormat pada lelaki itu sebelum matanya kembali memandang ke arah wanita
yang bergaya tadi.
" Terima kasih Puan Sri sebab sudi datang,"
balas Zara mesra.
Pada masa yang sama matanya tercari-cari di mana sahabat
baiknya si Ana sebelum matanya mengerling ke arah jam dinding yang besar cantik
terletak di dinding masjid itu. Sahabatnya
itu telah berjanji akan datang sebaik saja selesai temujanjinya dengan
clientnya di Shah Alam.
" Boleh saya temankan Zara sehingga majlis selesai?"
tanya Puan Sri Salma tiba-tiba.
Sebenarnya Puan Sri Salma teruja sangat hendak menghadiri
majlis perkahwinan bekas PAnya ini yang telah dianggap seperti anak
perempuannya sendiri. Anak perempuan yang dia tidak pernah ada. Ah! Jikalau dia
tidak berjanji dengan Datin Harlina lama dulu lagi dan jikalaulah anak lelakinya itu tidak
menyorong anak dara sahabatnya itu ke sana-sini, ada juga niatnya hendak
menjodohkan PAnya itu dengan anak tunggalnya itu. Rugi sebenarnya dia
melepaskan gadis ini menjadi menantu orang lain. Tapi ... itulah. Jodoh, ajal
maut ni semuakan di tanganNYA . Siapalah dia yang hendak melawan takdir.
" Betul Puan Sri nak temankan saya?" tanya Zara
semula seperti tidak percaya dengan apa yang baru di dengarinya tadi.
Puan Sri Salma menganggukkan kepalanya perlahan sambil
tersenyum lebar.
" Ya Allah! Boleh sangat Puan Sri. Kecil tapak
tangan, nyiru saya tadahkan. Saya memang berharap sangat ada orang yang sudi
jadi 'mummy' saya sekejap hari ni. Kurang sikit rasa berdebar di dalam hati
saya ni. Lagipun, kalau Puan Sri nak tahu, saya memang dah anggap Puan Sri
macam pengganti mummy saya pun selama ini. Mummy saya kan dah lama meninggal,
" kata Zara ceria sambil meraih tangan Puan Sri Salma supaya duduk dekat
di sebelahnya.
" Zara ... saya nak minta maaf pasal kejadian dulu
tu," kata Puan Sri Salma.
" Puan Sri ... saya tak kecil hati pun. Saya faham
keadaan Puan Sri pada hari itu. Tan Sri outstation. Jadi, Puan Sri kenalah
berbuat sesuatu untuk menjaga nama baik suami dan keluarga Puan Sri. Memang di
dalam Islam pun salah satu tugas seorang isteri tu menjaga nama baik dan maruah
suaminya kan. Kalau Puan Sri tak buat macam tu nanti masyarakat akan berfikir
yang bukan-bukan pula tentang keluarga Puan Sri. Kita lupakan jea. Saya tak
simpan dalam hati pun," kata Zara ikhlas.
Puan Sri Salma mengesat sedikit hujung matanya. Sedih dan
terharu mendengarkan kata-kata bekas
pembantunya itu. Dia segera memeluk bahu gadis itu. Segala kebaikan Zara
sepanjang menjaganya terus terbayang di matanya.
Tengku Razlan yang sedari tadi hanya diam memerhati, kini
menarik nafasnya dalam-dalam. Hatinya juga terusik dengan segala yang didengar
olehnya tadi. Dia berdehem sedikit. Terus Zara berpaling ke arahnya sambil
tersenyum menyakat.
" Kenapa Tengku? Jealouslah tu tengok mama dia
peluk-peluk kita," usik Zara sambil menjongketkan keningnya sedikit. Semua
sengketanya dengan anak bekas majikannya itu dilupakan saja. Puan Sri Salma
hanya tersenyum saja mendengarkan kata-kata Zara.
" Eh! Mana ada. Aku okay jea. Takde maknanya aku nak
jealous-jealous ni tau. Ni ... aku nak ucapkan selamat pengantin baru. You
really look gorgoues in that white kebaya. Ayu sangat ... and sexy too,"
puji Tengku Razlan namun masih sempat mengusik pujaan hatinya di dalam diam itu.
Mmm ... dah macam lagu 'Kekasih Gelapku' pulak dah, komen Tengku Razlan di
dalam hati mengutuk diri sendiri.
" What!" Zara menjegilkan matanya ke arah
Tengku Razlan. Hissh ... di hari bahagia aku ni pun dia nak sakitkan hati aku
juga, gerutu hati kecil Zara.
" Dah ... dah. Raz , kenapa cakap macam tu kat bakal
isteri orang ni. Tak sopan dan tak manis. Nasib baik takde orang lain kat sini.
Kalau tidak, ada jugalah nanti orang salah faham! Buat malu mama jealah anak
mama ni," kata Puan Sri Salma tegas.
" Opps .... mem besar dah marah. Sorry Zara ...
sorry mama. Raz bergurau jea. Pembetulan. Kau nampak cantik dan manis sekali
hari ini Zara."
" Mmm ... cakap macam tu kan bagus. Thank you Tengku
for the pujian," ujar Zara. Sebuah senyuman dihadiahkan buat anak
majikannya itu.
Sebaik Zara memalingkan kepalanya ke hadapan semula, dari
jauh Zara melihat sahabat baiknya berjalan laju mendapatkannya. Bibirnya
tersenyum lebar. Akhirnya, sampai pun kawan baiknya ini. Tapi ... kenapalah
kawan baiknya ini nampak cemas semacam. Raut wajah sahabatnya itu yang membuatkan
dahinya berrkerut pelik. Kemudian dia melihat tiga orang berpakaian seragam
polis sambil diikuti oleh beberapa orang kakitangan kanan SA Holdings berjalan
mendapatkan daddynya yang sedang rancak berbual sambil ketawa dengan Tan Sri
Tengku Azmi.
Salah seorang pegawai polis itu bersalam dengan daddynya
sebelum berkata sesuatu yang membuatkan daddynya memandang ke arahnya sambil
memegang dadanya. Reaksi daddynya itu membuatkan Zara merasa tidak sedap hati.
Zara mulai risau. Takut penyakit jantung daddynya datang menyerang semula. Zara
bingkas bangun dari duduknya.
Belum sempat dia mendapatkan daddynya, apa yang ditakutinya tiba-tiba saja berlaku.
Dia dapat melihat bagaiman Tan Sri Tengku Azmi cepat-cepat menahan badan daddy
daripada jatuh. Begitu juga dengan polis dan beberapa orang yang berada di
situ.
Zara segera berlari ke arah daddynya sambil Ana dan
Tengku Razlan mengikut laju
dibelakangnya.
" Daddy ... daddy... tarik nafas daddy,
perlahan-lahan daddy, tarik nafas lagi daddy ... sebut Allah, Allah , Allah
daddy. Tolong jangan kerumun daddy saya," kata Zara sebaik mendapatkan
daddynya. Laju tangannya membuka
butang-butang baju Melayu yang berwarna biru firus itu. Khalayak yang
mengerumuni mereka tadi mulai melangkah beberapa tapak ke belakang memberi
ruang yang luas itu Zara dan daddynya
" Call ambulance please. Somebody please call
ambulance," jerit Zara.
" Daddy ... cakap Allah, Allah, Allah daddy. Daddy
... daddy... stay with me daddy ... stay with me," kata Zara. Air mata
mulai mengalir laju di pipinya.
Zara dapat melihat nafas daddy kesayangan mulai mengalami
kesukaran bernafas. Zara telah bersedia untuk membuar CPR pada bila-bila masa
saja jika perkara yang tidak dijangkakan berlaku dan ambulan masih tidak sampai
lagi. Walaupun hatinya bergolak cemas, tetapi dia cuba menenangkan hatinya. Peluh-peluh
renek mulai kelihatan di wajahnya. Matanya fokus hanya ke arah daddynya saja.
" Zara ... paramedic dah sampai," kata Ana
dengan suara yang sebak tiba-tiba. Zara menarik nafasnya lega. Air matanya
terus dikesat kasar.
Paramedik segera memasangkan alat bantu pernafasan kepada
daddynya . Daddynya diangkat dan diletakkan di atas pengusung. Kemudian mereka
mengusung Sadikin Amir ke dalam ambulan. Zara segera mendapatkan salah seorang
paramedik tersebut.
" Saya ikut."
" Maaf tak boleh cik.'
" Itu daddy saya. I'm his daughter and also his
doctor. Faham! Saya tak kira. Saya ikut!" kata Zara tegas berkeras dengan
keputusannya.
" Kalau macam tu okaylah. Cepat!" arah si
paramedik.
Zara tanpa
berlengah segera masuk ke dalam ambulan itu dan beredar dari situ. Pada masa
yang sama Tan Sri Tengku Azmi segera mendapatkan anaknya.
" Razlan, kita ikut belakang," arah Tan Sri
Tengku Azmi laju.
Tanpa sempat bertanya apa-apa, Tengku Razlan hanya
mengikut saja arahan daddynya walaupun dirinya sebenarnya tertanya-tanya apa
yang telah terjadi.
Sebaik tiba di hadapan bangunan unit kecemasan, ambulan
itu segera membawa keluar Sadikin Amir yang terbaring lesu sambil diikuti Zara.
Pada masa yang sama juga dua buah ambulan lain juga tiba. Sebaik paramedik
ambulan itu menurunkan pesakit, kelihatan seorang lelaki muda yang dipenuhi
darah terbaring dengan bantuan alat bantuan pernafasan. Warna pakaian dan jenis
pakaian yang dikenakan lelaki itu menarik minat Zara untuk merapati lelaki muda yang tidak sedarkan diri
itu.
Sejurus melihat wajah lelaki malang itu, Zara merasakan
seolah-olah keadaan disekelilingnya membeku seketika. Lama fikirannya cuba
memproses apa yang berlaku di hadapannya. Apa yang dia nampak ni? Betul ke apa
yang dia nampaknya ni? soalnya sebelum pandangannya tiba-tiba sahaja berubah
kelam dan dia merasa tidak bermaya. Apa yang dia tahu, dia terasa badannya
seolah-olah terbang melayang di udara sebelum sesuatu menahan badannya daripada
jatuh mencium lantai unit kecemasan hospital itu.