BAB 9
Mall Aloha Tropika itu penuh dengan pengunjung. Tarikan
utama mall ini ialah hutan mini buatan manusia. Terdapat banyak jenis tumbuhan
berpasu yang terdiri daripada pelbagai saiz diletakkan di situ, disamping bunyi
desiran air terjun buatan manusia yang
setinggi lima tingkat itu. Ini disempurnakan lagi dengan bunyi kicauan burung
yang dipasang oleh pihak pengurusan mall. Memang nyaman sungguh suasana di
sekitar kawasan itu.
Lantaran itu tidak
menghairankan apabila kafe mahupun restoran yang terletak berhampiran sentiasa
penuh dengan pelanggan untuk menjamu selera. Ini termasuklah dirinya sendiri. Jari-jemarinya
perlahan-lahan menyelak-nyelak majalah yang baru dibelinya tadi. Asyik dia
membaca artikel yang menarik minatnya di dalam majalah itu sebelum tersentak
kerana bahunya ditepuk seseorang. Terus dia mendongakkan kepalanya. Senyuman
sumbing diukirkan kepada sahabatnya itu.
" Bro ... kau janji pukul berapa? Ni dah pukul lima
baru sampai ni apa cerita?" tanya Tengku Razlan tanda tak puashati.
Matanya memandang tepat ke wajah rakannya yang asyik tersengih saja sedari
tadi.
" Sorrylah Raz. Aku accidentlah," terang
rakannya yang bernama Eiman sebelum menarik sebuah kerusi dan duduk di hadapan
Tengku Razlan.
" Lah ... kau accident kat mana? Teruk ke?"
tanya Tengku Razlan mengerutkan dahinya sedikit memandang ke arah rakannya yang
bernama Eiman itu. Majalah Newsweek yang dibacanya tadi terus diletakkan di
atas meja.
" Boleh tahanlah juga. Tapi ... kereta aku taklah
mahal sangat nak dibaiki kot, taklah macam kereta orang yang aku langgar
tu." Tergelak Tengku Razlan mendengarkan kata-kata rakan baiknya semenjak
di universiti itu lagi.
" Kau langgar kereta apa bro?"
" BM ... X6 " Terangkat terus kening Tengku
Razlan. Eiman sudah mula tergelak kecil melihatkan reaksi terkejut rakannya.
" Wow! Dia tak hamun kau ke? Kalau aku yang kena,
teruk dah orang yang melanggar aku tu kena hamun dengan aku." Eiman hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya saja.
" Nasib baik tak. Itu yang aku lega tu. Tapi ...
sempat jugalah aku berpeluh. Tapi ... alhamdullillah semuanya selesai secara
baik. Takdelah terjerit, terpekik macam tarzan ke atau maki-memaki ke."
" Mesti driver dia perempuanlah ni!"
" Mmm ...," balas Eiman pendek.
" Ha ha ha ... patutlah. Ni ... mesti power punya
ayatlah kau pakai ni sampai kereta rosak teruk pun perempuan tu tak marah pun!," usik Tengku Razlan sambil
tergelak. Eiman mencebikkan sedikit mulutnya.
" Haah ... kau ketawakanlah aku. Takde maknanya aku
ayatkan perempuan tu. Aku rasa ... siapa pun kat tempat aku mesti terus
terhilang kata-kata tau tak! "
" Hebat betul chick yang kau jumpa ni. So ... apa
yang berlaku sampai kau boleh hilang seribu bahasa ni? Now ... cuba cakap sikit
kat aku," soal Tengku Razlan masih lagi tergelak kecil. Sengaja mengusik
sahabatnya itu.
" Iyalah .... aku jangkakan dia akan keluar dengan
muka yang garang macam singa bunting ke ... dan
terus terjah aku dengan kata-kata yang maha bisa. Faham-faham jealah.
Kereta dia tu kan kategori kereta super mahal. Kalau itu yang terjadi,
senanglah kerja aku nak mengayat ke atau bahasakan dia balik! Tapi tak.
Sebaliknya, muka dia cool jea sebelum tersenyum sedikit pada aku. Punyalah comel
bila dia senyum walaupun sikit jea. Aku pun apa lagi, terus kehilangan
ayat-ayat power aku lah." Bertambah galak tawa Tengku Razlan sebaik
mendengarkan cerita sahabatnya itu.
" Lawa sangat ke chick tu sampai kau terpaku dan
lidah kau kelu tak berbahasa," tanya Tengku Razlan lagi.
" Takdelah lawa macam bidadari ke atau Miss Universe
ke, tapi dia memang nampak menarik. Sedap mata memandang ... nampak manis.
Kiranya kalau aku bawa junpa umi aku, mesti umi aku sukalah. Silap-silap hari
bulan ... time-time tu juga umi aku pergi meminang," jelas Eiman. Berdekah-dekah
Tengku Razlan ketawa. Eiman hanya mengeleng-gelengkan kepalanya saja melihatkan
kelakuan kawannya itu.
Tiba-tiba Eiman terlihat kelibat gadis yang dilanggarnya tadi. Setiap gerak
laku gadis itu diperhatikan Eiman. Terus dia hanyut di dalam dunia lamunannya
dan bibirnya terus menguntumkan senyuman
yang tidak terancang. Namun lamunannya itu tidak lama kerana gelak tawa Tengku
Razlan telah membawa Eiman kembali ke alam nyata.
" Heh! Yang kau tersemyum sorang-sorang ni kenapa? Angau
kat chick tu ke?"
" Hah! Takdelah. Dah kau ketawa ... aku senyumlah. Takkan
aku nak buat tak tahu pulak!," dalih Eiman sebelum berdehem sedikit.
Fuh! Nasib baik
kawannya ini tidak dapat membaca apa yang ada di dalam fikirannya tadi. Kalau
tidak ... mahu 'masak' dia dikerjakan Tengku Razlan. Dia segera membetulkan
duduknya sebelum meandang tepat ke wajah sahabatnya yang masih lagi
mengetawakannya. Namun sesekali matanya dikerlingkan ke arah gadis itu.
Mmm ... nampaknya gadis itu tidak berseorangan. Seorang
lelaki kacak iras-iras mat saleh juga ada bersama. Kekasihnya mungkin, teka
hati kecil Eiman. Mmm ... dah ada yang punya rupanya. Nampaknya dia dah
terlambat.
Pasangan itu duduk selang semeja dari meja di hadapannya.
Sebaik matanya dan si gadis bertentangan, terus gadis itu tersenyum manis
padanya. Eiman segera melemparkan senyuman dan menganggukkan kepalanya sedikit.
" Mmm ... macam bagus jea chick ni. Meronta-ronta
pula rasa di hati aku ni nak berjumpa dengan perempuan yang berjaya melumpuhkan
lidah kau yang selalunya pandai sangat mengayat perempuan tu," usik Tengku
Razlan lagi sambil ketawa jahat.
Eiman tersenyum sumbing mendengarkan kata-kata Tengku
Razlan. Matanya dikecilkan sedikit. Wajah sahabatnya yang terkenal dengan sikap
yang suka berpoya-poya tu direnungnya seketika sebelum bibirnya tersenyum kecil
penuh makna.
" Betul kau nak jumpa dia. Tapi ... rasanya boyfriend
dia pun ada sekali."
" Hello ini Tengku Razlan tau. Ni ... yang kau
sengih-sengih ni dia ada kat sini-sini ke? " tanya Tengku Razlan mulai
menggiat rakannya itu.
Tersengih Eiman mendengarkan kata-kata sahabatnya. Memang
betul kata rakannya itu. Tengku Razlan memang tak pernah pulang dengan tangan
kosong atau gagal dalam 'misi-misi khasnya' selama ini.
" Nanti kau pusing belakang kau .... selang satu
meja betul-betul kat belakang kau. Mesti kau akan nampak seorang perempuan yang
sweet-sweet jea muka dia sedang berbual dengan boyfriend dia yang kacak ala-ala
mat saleh tu."
" Oh! Kawan dia mat saleh dia yea. Mmm ... dia belum
jumpa aku. Aku kenyit mata ... mesti dia lari kat aku punya," balas Tengku
Razlan sambil tersenyum nakal pada
sahabatnya sebelum dia menoleh ke belakang. Tak sabar-sabar rasanya hendak
melihat wajah gadis yang telah berjaya melumpuhkan lidah sahabatnya itu!
Saat wajahnya dipalingkan ke belakang, mata redup
miliknya dan mata cantik dan bundar milik gadis itu saling bertaut untuk
beberapa saat. Gadis itu mengukirkan senyuman kecil untuknya, sebelum gadis itu
mengalihkan pandangannya ke arah lelaki yang duduk di hadapannya. Tengku Razlan
terpaku seketika. Memang itu pembantu mamanaya. Gadis itu nampak menarik sungguh
dengan gaun biru lembut sifon tanpa
lengan. Sweet giler, puji Tengku Razla di dalam hatinya.
Dia menelan perlahan air liurnya sebelum memalingkan
semula pandangannya ke hadapan. Dahinya berkerut seketika. Hissh ... bezanya! Mmm
... tak mungkin, tak mungkin. Pelanduk dua serupa kot!, bentaknya di dalam hati
cuba menafikan.
" Hello bro .. tadi kata bagus sangat. Bisa bikin
chick tu cair tengok kaulah ... lari ke arah kaulah. Itulah ... tadi kau
gelakkan aku. Sekarang apa pasal pula lidah kau pula yang terkelu tanpa kata?"
sinis sekali kata-kata Eiman tergelak mengutuk. Tengku Razlan hanya tersengih
saja.
" Eerrghh ..... terkejut jea. Kalau itulah girl yang kau
maksudkan tadi ni, well itu pekerja mama aku. Maksud aku pekerja mama aku yang
selalu temankan mama aku berlatih berjalan atau temankan mama aku buat fisio
kat hospital. Kau tahu kan yang mama aku terjatuh dalam bilik air beberapa bulan lepas sebab serangan strok."
Terus berubah panggilannya. Tidak lagi ' chick' tapi 'girl'.
Eiman mengerutkan dahinya sedikit. Nampaknya sahabat
baiknya itu tidak lagi menggunakan perkataan 'chick' sebaliknya 'girl'. Eiman
juga perasan perubahan intonansi dan
wajah sahabat baiknya itu. Dan, Eiman juga perasan yang sahabatnya itu tidak
lagi berbicara nakal pasal gadis itu.
" Oh ... jadi betullah kau kenal dia?"
" Entahlah. Mungkin juga aku salah orang kot.
Sebabnya ... pekerja mama aku tu takdelah sebergaya macam gadis kat belakang ni.
Dan, setahu aku ... pekerja mama aku tu mana tahu memandu dan cepat panik
orangnya. Eh! Siapa nama dia?" tanya Tengku Razlan inginkan kepastian.
Eiman mengangkat bahunya sedikit sebelum menjawab pertanyaan rakannya tadi.
" Nama dia aku tak tahu. Aku kan tengah gabra waktu
tu. Manalah sempat nak ada sesi berkenal-kenalan pula. Lagipun, dia kata dia
repair sendiri kereta dia. Dia tak nak apa-apa daripada aku. Lepas tu ... dia
pun blah jea. Jadi takdelah aku bertukar-tukar kad atau nombor telefon dengan
dia. So ... katakanlah itu assistant mama kau ... yang kau suka cari pasal tu
... maknanya mesti mama kau bayar gaji dia mahal kan sebab dia mampu pakai X6."
Terdiam seketika Tengku Razlan sebaik mendengar kata-kata
sahabatnya. Fikirannya pantas berfikir tentang segala kemungkinan. Yang baik
dan juga yang buruk. Apa yang pasti, dia tak sampai hatilah pula hendak mengaitkan gadis yang telah banyak membantu mamanya itu dengan
perbuatan yang tidak bermoral untuk hidup semewah itu.
" Macam mana Raz? Betulkan kata aku ... mama kau
bayar gaji dia mahal?"
" Haah! Banyaklah kau punya mahal. Takdelah. Mana
adanya. Aku rasalah kan ... entah-entah
kereta tu boyfriend dia punya tak? Siapa tahu ....," kata Tengku Razlan.
Tak tahu kenapa. Hatinya dan mulutnya memang terasa berat
untuk menyatakan kemungkinan yang satu lagi yang terlintas di benak fikirannya.
Dia pun tak tahu kenapa dia enggan membenarkan fikirannya berfikir buruk
tentang gadis itu. Entahlah. Dia sendiri pun tak tahu kenapa.
" Ataupun mungkin dia ni ....," belum sempat
Eiman menghabiskan kata-katanya, Tengku Razlan terus memotong kata-katanya.
" Hah! Jaga sikit mulut kau tu yea. Jangan nak fikir
yang bukan-bukan okay. I know her. She's a good girl. Please .... ," kata
Tengku Razlan tiba-tiba namun masih sempat
menjeling tajam rakan baiknya itu. Isshh ... kejap-kejap. Ni, apasal aku bela
minah ngok-ngek tu pula. Dia sendiri sebenarnya pelik kenapa dia mesti
mempertahankan nama baik pekerja mamanya itu.
" Wow! Ini perkembangan yang menarik. Kau ada hati kat
dia ke bro?" sengaja Eiman menduga perasaan sahabatnya.
" Taklah. Mana ada dan tak mungkinlah. Aku cuma tak
naklah kita dapat dosa kering. Tak baikkan fitnah orang. Itu jea. Tak mungkinlah
aku ni ada hati kat pekerja mama aku tu. Tak setaraf dengan aku and she's not
my taste. Kau tahukan taste aku. Mestilah yang berpelajaran tinggi, seksi, dan manja
tau .... ha ha ha ....tu syarat utama. Pekerja mama aku tu ... dahlah tak memenuhi
semua kriteria tu ... garangnya macam singa bunting! Takut aku kena telan
dengan dia hidup-hidup."
" Okaylah ... okaylah aku percayakan kau. Lagipun,
rasanya kalau kau teringin pun nak tackle dia, nampaknya kau kenalah lupakan
jea hasrat kau tu sebab lelaki ala-ala mat saleh tu baru jea hulur kotak kecil
warna merah pada assistant mama kau tu. Macam kotak cincin jea tau," Eiman
melaporkan dalam sisa ketawanya apa yang dilihatnya ketika itu pada sahabatnya.
Dia perasan wajah sahabatnya itu berubah tiba-tiba sebaik mendengar
kata-katanya.
" Maksud kau? " tanya Tengku Razlan kurang
faham sambil menguak rambutnya ke belakang. Jantungnya mulai berdegup lebih laju dari kebiasaan.
" Maksud aku ... boyfriend dia yang kacak ala-ala muka
Enrique Iglesias tu dah pun melamar assistant mama kau tu. Dan, aku rasa that
girl pun dah kata setuju kot sebab sebaik-baik girl tu buka kota kecil tu, dia
terus tersenyum bahagia jea gayanya. Nampaknya dah tak ada peluanglah untuk
kau, sebab girl tu dah sah milik orang. Lagipun, siapalah yang nak tinggalkan boyfriend
yang romantik dan kacak macam tu. Apatah lagi untuk 'buaya keramat' macam kau ni! Tak berbaloi
langsung!"
Sengaja Eiman berkata begitu hendak menduga isi hati
rakannya itu kerana rasanya dia dapat menangkap sesuatu di sebalik sepasang mata
redup milik Tengku Razlan. Betullah kata-kata orang tua. Mulut boleh menipu,
tetapi bukan mata!
" Alah ... belum jadi isteri dia lagi. Kalau aku
nak, masih ada peluang lagi," jawab Tengku Razlan sinis.
Tersenyum Eiman mendengarkan kata-kata sahabatnya itu.
Mungkin tak lama lagi luka di hati sahabat baiknya itu akan terubat nampaknya.
Dia bersyukur sangat seandainya perkara itu berlaku kerana sahabatnya itu
sebenarnya seorang lelaki yang baik. Cuma, sahabatnya itu terjumpa dengan gadis
yang salah saja pada suatu ketika dulu sehingga menyebabkan sahabatnya itu
berubah tiga ratus enam puluh darjah.
" Eh! Baru tadi ni kau kata kau tak minat girl tu
kan, tapi sekarang cara kau kata tu macam kau suka pula. Tak baik tau runtuhkan
hubungan orang yang serius hendak membina 'masjid'. Itu macam menganiaya orang
tau. Sudahlah ... jom pegi tempat lain," gesa Eiman apabila Tengku Razlan ingin
mengalihkan pandangannya ke belakang lagi.
Takut juga Eiman kalau-kalau Tengku Razlan membuat kerja
gila. Bukannya boleh dipercayai sangat kawan baiknya ini. Segalanya mungkin. Eiman
tak naklah berdepan dengan tuan punya kereta yang dia langgar tadi tu lagi. Itu
namanya saja jea cari nahas!
Perlahan mereka berdua menolak kerusi mereka ke belakang
dan berjalan keluar dari Coffea Bean. Namun begitu, semasa melewati meja yang
diduduki Zara dan kekasihnya, sempat lagi Tengku Razlan meleretkan matanya ke
arah pasangan kekasih itu. Tak tahu kenapa tapi hatinya merasa sakit sangat melihatkan
kemesraan pasangan kekasih itu. Dan ... dia benar-benar benci dengan apa yang
dia rasakan sekarang!