Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 20

Bab 20

USAI subuh lagi,Thia sudah bersiap-siap. Dia kelihatan ceria dan bertenaga dengan memakai baju-T berwarna putih gading dan berseluar trek berwarna hitam. 

Rambutnya pula diikat kemas. Mukanya kosong tanpa secalit mekap pun yang dipakai. Setelah berpuas hati, dia keluar dari bilik, ingin mengalas perut.

Thia dilayan bagaikan permaisuri oleh Yani, Lisa dan Fitri. Mereka menyediakan sarapan dan secawan air milo panas untuknya. 

Tidak cukup dengan itu, mereka sempat menyumbatkan beberapa paket biskut, roti dan air mineral ke dalam beg galasnya sebagai bekalan untuknya di sana.

Ah! Syurganya... Thia terasa seperti bermimpi di siang hari dan terawang-awang di udara. Kembang bermangkuk-mangkuk hatinya kini. 

‘Sayangnya kau orang pada aku. Aku janji, nanti aku balik aku bawa batu sungai cantik-cantik untuk kau orang semua,’ desis hatinya teruja.

“Dah siap semua barang?” soal rakannya. Thia mengangguk. Kasut sukan jenama Adidas berwarna putih berjalur kuning keemasan disarung ke kakinya. Beg galas disangkut pada kedua-dua belah bahunya. Mereka menemaninya hingga ke muka lif.

Take care. Jangan main air sangat, bahaya,” pesan Yani.

“Haah. Jangan mandi bila air deras tau. Kau tu kadang-kadang bukannya betul,” Thia sekadar mengangguk mendengar leteran kawan-kawannya.

Take care, Thia. Jangan lupa mesej aku kalau ada apa-apa hal. Dah sampai nanti, mesej jugak beritahu aku. Aku tak peduli kau ada kredit ke tak,” pesan Lisa sedikit tegas.

Thia tersenyum bangga. “Baru terasa aku ni berguna untuk kau orang selama ni,” perli Thia seraya ketawa mengekek. “Eh, kau orang nak balik rumah pukul berapa?” soal Thia setelah ketawanya beransur reda.

“Semuanya balik tengah hari. Saja aje tunggu kau pergi dulu. Nanti menangis pulak kalau tak ada orang hantar kau pergi,” giat Yani. Dia mencuit pipi tembam Thia.

“Hai. Terasa diri ini tambah-tambah disayangi… untuk barang seminit dua ni ajelah.” Thia ketawa lagi. Mereka yang mendengar turut pecah gelak.

“Bukan main happy, kau! Jangan suka-suka sangat duduk dalam hutan tu, Thia. Beringat-ingat selalu. Jangan sampai tak balik-balik ke sini pulak,” celupar mulut Lisa bersuara.

“Mulut tu cuba cakap benda-benda yang elok sikit. Relakslah. Ni… Rana Fathiah! Mana pun kau orang campak aku, aku mesti hidup punya. Kecuali kalau kau orang campak aku dalam gaung berapi. Rentunglah aku,” ujar Thia bergurau. Masing-masing terkekeh-kekeh.

“Yalah, Thia. Kau kan, Keluang Girl,” perli Fitri apabila ketawanya reda.

Ting! Pintu lif terbuka. Thia sempat berpelukan dengan teman-temannya sebelum menembusi perut lif. Dia berdoa semoga perjalanannya selamat agar dia dapat melihat sekali lagi wajah teman-temannya itu.

***

PLKN! Itu yang dapat Thia samakan apabila begitu ramai sekali pelajar-pelajar yang turut serta dalam perkhemahan ke Hutan Lipur Chamang.

Selepas berkumpul di padang universiti dan membuat pemeriksaan terakhir peralatan dan keperluan yang perlu dibawa untuk aktiviti berkhemah selama dua hari itu, mereka bergerak ke Hutan Lipur Chamang menaiki bas yang berlainan mengikut kelab sukan masing-masing yang digabungkan.

Mereka selamat tiba tepat pada pukul 5.00 petang dan perjalanan yang mengambil masa selama 7 jam itu benar-benar meletihkan. 

Semua pelajar dibenarkan berehat sebentar sebelum mereka diarahkan untuk bergerak ke tengah hutan mengikut kelab sukan masing-masing. Semua peserta tiba di tapak perkhemahan 20 minit kemudian.

Sesetengah pelajar turut dibantu oleh pensyarah mengeluarkan barangan dan peralatan lalu masing-masing mula mendirikan khemah. Kawasan perkhemahandibahagikan kepada dua zon iaitu Zon A untuk tapak perkhemahan pelajar lelaki dan Zon B bagi tapak perkhemahan pelajar perempuan.

Pemilihan tapak perkhemahan yang jauh daripada kawasan perkelahan adalah untuk mengelak kehadiran orang ramai. Jadi, mereka memilih kawasan di hilir air terjun yang berdekatan dengan kawasan alam semula jadi yang begitu cantik.

Beralaskan tikar mengkuang, masing-masing memulakan aktiviti memasak menggunakan bekalan basah yang dibawa sebagai juadah makan petang. Keadaan sebegini lebih ‘semula jadi’ kerana dapat merasai udara hutan yang dingin. 

Kawasan denai di sekitar air terjun amat indah sekali panoramanya. Bunyi deruan air jeram yang mengalir sangat memberi ketenangan kepada para pengunjung di samping bunyi unggas-unggas di hutan bagaikan menyanyi-nyanyi kecil.

Pelbagai menu makanan segera masak tersedia seperti ayam goreng yang siap dibeli, sardin, roti dan telur goreng. Ia mengikut bajet setiap kelab sukan yang terlibat. 

Walaupun makanan yang disediakan hanya biasa dan tidak terlalu mewah, ternyata selera ketika berada di dalam hutan sangat berlainan. Apatah lagi mereka menikmati juadah di tepi jeram yang mengalir sambil menghayati alam semula jadi yang begitu menghijau. 

Cuaca juga cukup baik, redup dan berangin.

Kawasan yang dipilih memuatkan 15 khemah sekali gus. Mandi-manda di kawasan jeram berdekatan merupakan aktiviti wajib selepas penat menyediakan tapak perkhemahan dan aktiviti memasak.

Disebabkan kawasan yang dipilih agak jauh daripada kawasan berkelah untuk orang ramai jadi kawasan ini agak sunyi dan sedikit privasi walaupun hakikatnya kedudukannya tidaklah terlalu jauh di tengah hutan kerana di situ masih terdapat kemudahan seperti tandas awam dan beberapa pondok kecil.

Sebagai langkah keselamatan, belerang ditabur di sekeliling kawasan khemah untuk mengelak daripada serangan binatang berbisa. 

Para peserta juga dinasihatkan agar tidak memanjat batu-batu yang licin di situ. Persediaan yang cukup terperinci sangat penting agar keselamatan para peserta yang terlibat tidak terancam.

“Thia, kau tak nak makan ke? Muram aje muka kau. Kenapa? Menyesal ke datang sini?” tegur Iqa sambil membawa pinggan makanan. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Thia. 

Bazila turut mengambil tempat di sebelah Thia yang duduk memeluk lutut di dalam khemah mereka. Mukanya seperti menanggung kesedihan.

“Kenapa kau terceruk aje dalam khemah ni? Tak lapar ke? Dari tadi kau tak makan apa-apa. Karang sakit perut pulak,” tegur Bazila pula. 

Thia hanya mendiamkan diri tanpa menjawab sepatah ayat pun. Dia menarik nafas panjang.

“Aku pening kepala. Aku ni ada masalah sikit kalau jalan jauh. Lagi-lagi naik bas. Berpusing-pusing lagi kepala aku ni sampai tak lalu nak makan. Hutan ni pun nampak macam bergerak sendiri aje,” jawabnya penuh lesu. Rasa mahu termuntah pun ada.

“La… kenapa tak cakap awal-awal? Aku ada bawa Panadol satu papan. Kau nak tak?” Iqa menawarkan bantuan. Thia pantas memanggung kepala.

“Em… bolehlah. Aku nak dua biji,” jawab Thia. Dia mengambil beg galasnya untuk mengeluarkan botol air mineral.

“Kau tak nak makan dulu ke? Banyak makanan dekat luar tu. Dah makan baru boleh telan ubat. Jom. Aku teman kau,” Iqa menarik tangan Thia supaya mengekorinya.

Thia tidak membantah. Lemah saja kakinya melangkah keluar dari khemah. Kepalanya benar-benar pening sejak di dalam bas lagi. Dia duduk bersimpuh di atas tikar sambil mencedok nasi dan mengambil seketul ayam goreng. Beberapa pelajar perempuan turut duduk bersila di situ sambil menikmati makanan yang tersedia.

“Thia, pucat saja muka awak. Sakit ke?” Cik Ain bertanya. Thia menggeleng seraya melemparkan senyuman untuk pensyarahnya itu.

“Taklah, miss. Pening aje. Kejap lagi saya makanlah Panadol. Err… miss, malam ni apa aktiviti kita orang?” soal Thia ramah. Cik Ain mengeluarkan kertas dari beg sandangnya.

“Malam ni kalau ikut jadual, kita kena dengar taklimat dari pegawai keselamatan. Lepas tu, kita akan diberi tanda nama dan mula buat kumpulan masing-masing, sebab esok kita ada aktiviti merentas desa dalam hutan. Haa… takut tak?” Cik Ain sengaja mengusik Thia. 

Jatuh sepuluh inci rahang Thia mendengar kata-kata pensyarahnya itu. Gila!

“Merentas desa dalam hutan??? Eh, ingat kita datang sini nak buat discovery channel kebuat research pasal haiwan liar dengan tumbuh-tumbuhan? Takutlah saya, miss. Nanti ada harimau ke, tak pun ular ke? Kan bahaya tu. Saya tak nak ikutlah, miss,” protes Thia bersahaja. 

Cik Ain tersenyum mendengar Thia berceloteh.

Miss, saya pun tak nak ikut. Saya nak teman Thia,” celah Iqa tiba-tiba.

“Mana boleh tak ikut. Ni aktiviti wajib. Semua orang wajib pergi kecuali sesiapa yang disahkan sakit macam lelah ke, tu baru boleh rehat tak payah join. Itengok you all ni sihat walafiat aje,” ujar Cik Ain sambil mata memandang sinis ke arah Thia dan Iqa.

“Eh, mana ada saya sihat, miss.Tadi pun miss tegur muka saya pucat. Haa… saya tak berapa sihatlah maknanya,” Thia memberi alasan. Dia memang bijak bab-bab kelentong orang tetapi dia tidak sedar yang dia sedang kelentong itu merupakan seorang pensyarah.

“Tapi you pening aje. Lagipun youkata kejap lagi you nak makan Panadol, kan? Sejam dua okeylah tu peningnya,” provok Cik Ain lagi.

Thia terkesima sekejap. Tidak sangka pensyarahnya begitu bijak berbanding dirinya. ‘Padanlah… dia tu pensyarah, kau? Penyangak?’ gumam Thia mengutuk dirinya sendiri.

“Ala… macam tu ke? Hmm… kaulah ni, Iqa. Siapa suruh kau bawa Panadol datang sini?” Thia menyalahkan Iqa pula. Dia melemparkan jelingan maut kepada Iqa di sisinya.

Iqa sungguh bengang pada Thia. ‘Hantu punya kawan! Kau jangan macam-macam dengan aku, Thia. Aku tumbuk kau nanti, terus hilang sakit pening kau. Tak payah telan ubat lagi,’ Iqa melepaskan geram di dalam hati. 

Dia menghormati pensyarahnya yang ada bersama mereka. Kalau tidak, Thia pun dia tidak nampak macam budak perempuan lagi.

“Macam-macamlah awak ni, Fathiah. Em… Fathiah, Syafiqah, you all tak nak mandi sungai ke? Segarkan sikit badan tu,” cadang Cik Ain sambil matanya menoleh ke arah beberapa orang pelajar perempuan yang sedang mandi di anak sungai.

Pelajar lelaki hanya dibenarkan mandi jauh sedikit dari tapak perkhemahan bagi tujuan keselamatan. Khemah-khemah di Zon B cukup menghalang pandangan pelajar lelaki di Zon A untuk meliarkan mata.

“Kejap lagi sebelum Maghrib kita orang mandilah. Boleh solat terus lepas tu. Misspulak tak nak mandi ke? Join lah kita orang kejap lagi,” Thia mengajak. Cik Ain pantas menganggukkan kepala.

“Ok juga tu. Mandi beramai-ramai rasa selamat sikit. Yalah dalam hutan ni macam-macam benda boleh berlaku. So, kita kenalah berhati-hati,” pesan Cik Ain.

“Betul tu, miss. Tapi miss jangan risau. Saya ada bawa pelindung,” ujar Thia sambil tersenyum penuh makna. Macam budak cerdik.

“Apa? Tangkal azimat?” celah Iqa selamba dengan kening terjongket. Dia menyuap nasi ke dalam mulutnya perlahan-lahan.

Thia pamer muka tidak puas hati pada Iqa. “Walaupun aku ni tak berapa nak alim tapi aku taklah khurafat sangat. Betulkan miss, ayat saya ni?” soal Thia lantas memandang ke arah Cik Ain menagih jawapan. Cik Ain sekadar menggelengkan kepala mendengar leteran kedua-dua pelajarnya.

“Hmm…you all makanlah dulu. I nak ke Zon A kejap. Nak tanya Encik Mokhtar pasal aktiviti malam ni,” ujar Cik Ain sambil mengangkat punggungnya.

“Kau bawa pelindung apa?” soal Iqa setelah Cik Ain pergi.

Thia khusyuk meratah ayam goreng. “Adalah. Nanti aku tunjuk pada kau. Sabar, eh? Bagi aku mencekik dengan tenang kejap. Karang tak pasal-pasal tulang ayam ni aku sumbat sekali dalam tekak aku. Kut tulang ni tersekat dalam tekak aku, terus jadi halkum… lagi parah,” sungut Thia. 

Iqa hanya mampu menjuihkan bibirnya. Memang ada saja jawapan Thia yang menyakitkan hatinya.

Apabila jam tepat menunjukkan pukul 6.30 petang, Iqa, Bazila dan Thia bersiap-sedia untuk mandi-manda di sungai. Bazila kelihatan terkocoh-kocoh mengambil pakaian serta beberapa peralatan mandi. Risau sekiranya hari semakin menginjak senja.

“Thia, cepatlah. Kau buat apa lagi tu?” jerit Bazila di luar khemah. Iqa sudah menunggu di pinggir sungai bersama Cik Ain dan beberapa lagi orang pensyarah dan pelajar perempuan yang turut menemani mereka bersama-sama.

“Kejaplah. Aku cari barang aku ni,” jerit Thia di dalam khemah. Tiba-tiba terjengul kepala Bazila mengintai dari luar khemah.

“Thia, kau cari apa? Berlecak ketiak aku tunggu kau ni. Masam dah bau badan aku,” rungut Bazila separuh geram. Macamlah sekejap lagi dia tidak pergi mandi.

“Hah! Aku dah jumpa dah. Jom kita gerak mandi,” Thia menyimpan pisau Rambo itu di dalam lipatan tuala mandinya.

“Apa yang kau sorok tu?” soal Bazila pelik. Keningnya hampir bercantum.

“Pisau,” ujar Thia seraya tersengih bangga. Tegang terus kulit muka Bazila mendengar jawapan selamba daripadanya tadi.

“Aku ingat kau cari sabun ke, seluar dalam buruk kau tu ke. Rupanya pisau. Parang ke sabit, tak bawak sekali ke?” Bazila menyindir. 

Thia geleng kepala sahaja.

“Huh! Jomlah kita gerak sekarang. Nanti dah senja.” Bazila masih terasa bengang. Setelah itu mereka bergegas menuju ke anak sungai.

***

Previous: Bab 19 (P2)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin