Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 3

Bab 3

SERAKAN di atas katil tidur dibiarkan Thia. Rasa geram pada pelajar perempuan yang bernama Yaya masih lagi menggigit hatinya. Setelah letih ke hulu ke hilir dalam ruang biliknya, dia duduk di penjuru katil dan termangu sendirian. 

Perutnya pula tidak henti-henti berbunyi sejak tadi. Semuanya gara-gara makanan di kafe yang tak berapa enak, lalu nasi yang diambilnya tak habis dimakan. Semuanya serba tak kena saja hari ini.

Sesekali terlayang di matanya wajah Yaya dan wajah Hafiz bersilih ganti. Bagaikan menari-nari di ruangan matanya. Sedetik kemudian, rasa gusar menerjah hatinya. Takut juga sekiranya kedua-dua insan itu berdendam dengan dirinya. 

Tidak sangka, baru hari pertama kuliahnya bermula, dia sudah mendapat dua orang musuh. Dia pasti, Hafiz tentu akan mencarinya lagi. Lebih menakutkan, mereka berkongsi kelas yang sama.

Sejurus itu, setitis air mata mengalir di pipinya yang halus. Satu demi satu menuruni pipi kini hingga esakan tangis mula kedengaran. 

Walaupun hatinya kadang-kadang kental seperti besi dan perwatakannya yang tampak kasar di mata umum namun tidaklah sehebat mana. Masih terselit jiwa wanitanya yang lemah dan ingin rasa dilindungi.

Tiba-tiba dia dilamun rindu pada ibunya yang berada jauh di mata. Saat ini dia amat memerlukan pujukan dan belaian ibu tercinta untuk melenyapkan segala keluh kesah yang semakin membelenggu dan menyesakkan dadanya. Tangannya segera mencapai telefon bimbit di dalam beg lantas mengusik skrin telefon untuk mencari nama ibunya. Tidak sampai seminit suara ibunya sudah terdengar di corong telefon.

“Assalamualaikum, ibu. Ibu sibuk ke sekarang? Thia rindulah pada ibu.” Thia menyapa lembut ibunya namun masih lagi bergetar suaranya dek tangisan yang baru ditumpahkan.

“Waalaikumussalam. Thia telefon ibu? Eh, tak payahlah telefon. Minggu depan aje Thia telefon ibu, ya? Tak pun tahun depan ke…” Puan Seha bersuara seakan berjauh hati dengan Thia kerana hampir empat hari anaknya itu tidak menelefonnya langsung. Ada nada perli di situ.

“Ala… ibu. Janganlah cakap macam tu. Kecik hati Thia dengar ibu cakap macam tu tau. Ibu tak suka Thia telefon ibu ke? Tak rindu Thia?” soal Thia seolah-olah tidak faham dengan sindiran ibunya tadi. Puan Seha pula geram dengan Thia yang blur itu. Niat di hati ingin mengenakan anaknya tapi nampak gayanya dia yang terpaksa memujuk Thia.

“Tak adalah. Ibu gurau aje, sayang. Anak ibu sihat? Thia dah makan ke belum ni?” pujuk Puan Seha lembut. Risau anak manjanya itu merajuk terlebih pula.

“Thia sihat aje. Thia dah makan tadi, tapi kan ibu… tiba-tiba Thia rasa rindu nak makan masakan ibu. Lauk-lauk dekat sini tak sedaplah. Sedihnya,” sambungnya lagi. Beria-beria dia memasamkan muka macamlah ibunya ada duduk di sebelah.

“Takkan semua lauk dekat situ tak sedap? Thia aje yang cerewet, kan? Bukan ibu tak kenal perangai Thia tu. Ni tak makan, tu tak makan. Nak makan burger aje. Muka jadi macam burger nanti… tahulah. Tak sampai hati ibu nak kenalkan dengan mak mertua,” sakat ibunya nakal. Thia pula sudah pecah ketawa.

“Ibu nak kenalkan Thia dengan mak mertua? Ibu dah ada calon untuk Thia? Ibu nak Thia kahwin awal ke? Oh, my goodness! Thia tak ada hal lah!” Thia mengusik ibunya dengan nada yang sengaja dilembutkan. 

Baru 18 tahun dah nak kahwin? Mandi wajib pun bersepah, ada hati nak kahwin muda.

“Ada. Anak UncleRaja depan rumah kita tu. Nak tak? Bila-bila masa Thia nak anak dia tu, ibu boleh pergi jumpa dia. Nanti dah kahwin senanglah. Dekat pun dekat. Ibu jerit panggil nama Thia, Thia dah menonong datang,” seloroh Puan Seha diiringi ketawa besar.

“Yang Raja Gopal tu ke? Ibu ni macam tak ada orang lain nak bagi kat Thia.” Ayatnya berhenti di situ kerana mulutnya sudah melepaskan tawa. “Hmm… tak hendaknya Thia dengan dia tu. Dahlah dia tinggalkan bini dia yang cantik, alim bertudung labuh tu untuk perempuan club yang celah mana dia rembat entah. Tak kacak, tak apa kalau perangai elok. Ni, kerja mengurat perempuan aje dia handal. Baik tak payahlah,” protes Thia dengan tawa yang masih bersisa.

Bukan dia tidak kenal dengan anak UncleRaja itu. Berkulit hitam manis, mukanya tidaklah teruk mana tapi kalau hendak dibandingkan dengan Sofi Jikan, kalah teruk lelaki itu. Tahap kegatalannya pula, tak tahulah nak cakap macam mana. Lelaki itu selalu menggodanya walaupun dia tak pernah rasa dirinya tergoda dengan Raja Gopal atau nama sebenarnya Raja Zafran.

“Sekarang anak Uncle Raja tu pun nak kahwin dah. Dengan perempuan yang sama. Ibu harap dapatlah dia ubah perempuan tu. At least, tak adalah kerja di clubtu lagi. Jangan makin teruk, sudah.”

Thia terkejut dengan berita itu namun dia mampu menghempas nafas lega. Tidaklah dia diganggu dengan lelaki miang tahap dewa kayangan itu lagi. Alhamdulillah.

“Sebelum ibu lupa, hujung bulan depan ibu nak buat majlis tahlil dekat rumah kita. Genap lapan tahun ayah Thia pergi ke rahmatullah. Ibu ada hantar makanan di masjid nanti. Thia kalau busytak payahlah balik,” tambah Puan Seha lagi. Memahami keadaan anaknya yang sudah bergelar pelajar universiti.

“Oh, rasanya Thia baliklah, ibu. Lagipun dah lama Thia tak jumpa ibu. Ibu pun mesti dah mula rindu Thia, kan…” ucapnya sambil ketawa.

“Mestilah ibu rindu Thia tapi aman sikitlah rumah kita ni bila Thia tak ada. Kurang sikit kepala ibu ni pening. Darah tinggi ibu pun dah turun sikit ibu check hari tu.” Puan Seha menyakat lagi anaknya.

“Sampai hati ibu cakap macam tu. Thia tak kira. Thia nak balik jugak. Ibu tunggu Thia balik, ya?” Manja suara Thia berkata. Hati pun kian tidak sabar mahu pulang.

“Yalah, Thia. Ibu nak letak telefon dah ni. Bos ibu panggil. Encik Rizqi tu kadang-kadang ada angin. Nanti dia bising pulak kalau ibu lambat masuk ke pejabat dia.” Puan Seha ingin menamatkan panggilan namun segera ditahan oleh Thia. Masih belum puas berborak.

“Ala… Thia baru aje nak berbual panjang dengan ibu. Bukan ibu kata bos ibu tu baik ke? Dah bertukar angin pulak ke?” soalnya tidak puas hati.

“Memanglah baik tapi sekarang ni ibu banyak kerja sikit. Lain kali ibu call Thia pulak. Bye, sayang. Assalamualaikum,” ujar ibunya pantas. Risau pula bosnya menunggu lama di dalam pejabat.

Bye,ibu.Waalaikumussalam.” Senyuman terukir di bibirnya setelah meletakkan telefon. Rasa lega menyelinap di dalam hatinya setelah berbual dengan ibu tersayang. Sedikit sebanyak perasaan gelisah yang menggamit hatinya dapat diusir. Dia mengelamun sebentar.

Tiba-tiba muncul wajah Fitri di sebalik pintu biliknya. Diikuti Lisa dan Yani di belakang. Wajah mereka tampak seperti penat dan termengah-mengah. ‘Kenapa dengan dia orang ni? Kena kejar perompak ke?’ desis hatinya meneka.

“Apa hal termengah-mengah ni? Ada sukan lumba lari ke kat bawah tadi?” soal Thia dengan muka pelik apabila melihat rakan-rakannya tercungap-cungap macam bilik ini tidak cukup membekalkan oksigen saja.

“Bukanlah. Kita orang naik tangga. Lif… lif rosak. Semput aku naik tangga sampai tingkat sepuluh ni. Mahunya kaki aku lepas ni berotot-otot. Tak guna punya lif,” jelas Yani dengan suara yang tersekat-sekat. Rakus dia menunggang botol air mineral di tangan ke corong mulut.

“La… tadi masa aku balik lif tu okey lagi. Kesiannya. Tak apalah, dapat buat exercise besarkan betis. Tak payah pergi gim. Kau orang dah makan?” soal Thia. Dia melihat Fitri dan Yani sudah telentang di atas katil.

“Dah. Makan dekat kafe tadi. Babe, kau okey tak? Macam mana tadi kau boleh terjatuh dalam kelas? Lepas tu pengsan pulak. Pelik aku tengok. Kau berangan mamat handsomesebelah kau tadi, eh?” Lisa menyoal Thia lantas menghenyakkan punggungnya di sebelah rakannya itu. Dia mengambil nafas dengan rakus. Berlumba-lumba oksigen masuk ke lubang hidungnya.

“Yalah. Macam mana kau boleh pengsan, Thia?” soal Fitri tiba-tiba bangun dari perbaringannya.

“Cepatlah cerita. Aku tak sabar ni,” desak Lisa. Yani juga sudah bangun dari perbaringannya.

Tiga pasang mata sedang mengamati Thia dengan penuh tanda tanya. Sepi seketika. Akhirnya dia berdehem.

“Aku pura-pura pengsan aje tadi,” perlahan Thia menuturkan ayat itu. Dia menundukkan wajahnya menekur pada permukaan lantai bilik yang menggerutu.

“Hah??? Kau tipu kita orang semua? Tapi macam mana kau boleh jatuh pulak?” soal Lisa pantas. Fitri juga berasa musykil melihat Thia tiba-tiba terjatuh di dalam kelas pagi tadi.

“Itu semua Yajul punya pasallah. Dia yang bentes kaki aku. Tu yang aku jatuh berguling-guling tadi. Malu aku tadi tau. Tak pasal-pasal kena pengsan sekejap,” jelas Thia sambil memuncungkan bibirnya. Yani yang mendengar sudah ketawa terbahak-bahak.

“Kau buat-buat pengsan lepas tu? Hee… sengetlah kau ni,” Yani menggelakkan Thia. Dalam hati dia menangis juga sebab tidak berpeluang nak menyaksikan drama yang Thia lakonkan. Kalau tidak, mesti dia join sekali Thia berlakon.

“Yajul? Siapa Yajul?” tanya Fitri. Seingat dia, sewaktu sesi perkenalkan diri pagi tadi tiada seorang pun yang bernama Yajul.

Pantas Thia buat mimik muka yang menyakitkan hati sambil berkata, “Hai! My name is Tengku Dayana binti Tengku… Tengku… Tengkujuh. Just call me, Yaya. I’m from Kuala Lumpur and bla bla bla…” Dia mengajuk cara percakapan Yaya. Dia sendiri pun sudah lupa siapakah nama ayah kepada Yaya.

Lisa dan Fitri sudah melongo namun masing-masing dapat menangkap siapakah yang Thia maksudkan itu. Cuma Yani yang masih buat muka blur. Tentulah dia tidak mengenali Yaya!

“Oh, artis dalam kelas kita tadi tu ke?” tanya Lisa sambil gelak. Thia pula sudah buntang matanya mendengar Lisa memanggil Yaya dengan gelaran artis.

“Artis??? So creepy! Dia tu bukan artis tapi bala kau tau tak. Bala!” Thia menguatkan sedikit suaranya. Mana tidaknya? Setiap kali bersemuka dengan Yaya, pasti dia ditimpa bala. Apa maksudnya kalau macam itu?

“Cakaplah Yaya. Ni Yajul, mana pulak datang nama pelik ni?” Tidak berkelip mata Lisa memandang Thia menagih jawapan.

“Tu nama timang-timangan dia aku bagi. Saja aje...” terang Thia separuh mengejek. Lisa dan Fitri sudah ketawa pecah perut namun tidak berkata apa-apa. Rasa berpikul-pikul pula dosa sekiranya dia turut mengejek anak orang sebegitu rupa.

“Macam-macam kau ni, Thia. Tak larat aku nak layan kau. Tapi unik juga nama tu, kan?” Lisa berkata apabila ketawanya sudah reda. Tiba-tiba dia teringatkan ‘Asyraf Muslim’ yang keluar dari kelas sebelum habis waktu. Hatinya seakan sudah terpaut dengan jejaka itu. Tanpa sedar dia mengukirkan senyuman di bibir. Sekonyong-konyong itu bahunya terasa dicuit.

“Ni… tersengih-sengih sampai cecah ubun-ubun ni kenapa?” tegur Thia apabila dia melihat Lisa mendiamkan diri dan tersengih macam orang tak ada arah hidup.

“Taklah. Aku teringat pada seseorang. Mamat handsome yang duduk sebelah kau tadi, nama dia Hafiz Fikri,” jelas Lisa sambil menghulurkan senyuman yang tampak nakal di mata Thia.

“Alahai. Ada aku kisah dengan dia? Dia tu pun satu lagi gila. Lupakan ajelahmamat tu, Lisa. Kau tahu, lepas aje aku keluar kelas pagi tadi, aku pergi berehat sekejap dekat taman sebelah blok akademik tu. Tiba-tiba dia datang duduk sebelah aku. Ayat dia… hah! Memang dia nak tackle habis. Tapi maaflah aku nak layan.”

Ternganga mulut Lisa mendengar ujaran tersebut. Segera Thia meneruskan lagi ceritanya dari A sampai Z. Lisa betul-betul tak sangka Hafiz mempunyai sikap seumpama itu. Terus patah semangatnya hendak berkenalan dengan Hafiz. Masam mencuka wajahnya mendengar cerita yang dibawa oleh Thia itu.

“Apalah nasib aku hari ni diganggu oleh dua hamba ALLAH yang sengal ni. Yang sorang bala, yang sorang lagi gila. Kan bagus mereka berdua tak wujud dalam hidup aku. Mesti rasa tenteram, aman aje hidup aku,” luah Thia dengan suara yang penuh kekecewaan.

“Mungkin kau yang salah anggap dengan Hafiz tu. Entah-entah dia memang baik, ikhlas nak berkawan dengan kau. Lagipun biasalah lelaki nak berkenalan dengan perempuan,” jelas Lisa seolah-olah masih tidak berpuas hati. Yani dan Fitri pula tiba-tiba sudah ghaib entah ke mana. Pergi mandi barangkali.

“Tak apalah, Lisa. Kalau dia baik pun, kaulah yang kenal dengan dia, ya? Aku ni sensitif sikitlah kalau hal berkaitan dengan lelaki. Baik atau tak bukan persoalannya. Aku yang tak boleh terima mana-mana lelaki dalam hidup aku. Belum sampai masanya lagi. Aku nak bebas tanpa ada lelaki yang mengacau hidup aku. Biarlah jodoh aku datang dengan sendirinya.” Thia menundukkan wajah. Kemudian dia sambung lagi.

“Tapi kadang-kadang aku nak juga tahu siapa jodoh aku. Dia di mana, tengah buat apa dan macam mana cara dia approach aku nanti. Aku bukan tak ada nafsu ataupun tak tertarik dengan lelaki cuma… cuma aku tak jumpa lagi lelaki yang boleh buat hati aku berdebar-debar. Setiap kali dia renung mata aku, aku jadi gelisah dan setiap kali dia dekat dengan aku, aku tak tentu arah. Tak kacak pun tak apa asalkan sejuk mata aku pandang dia. Boleh membahagiakan aku sampai ke akhir hayat aku.” Thia senyum ketika bercerita.

“Amboi, buku cerita kau. Ni dunia realiti. Bukan macam cerita Hindustan yang kau selalu tengok tu. Bila hero datang selendangku ditiup angin, dunia seakan-akan terhenti dan tika itu cuma ada kita berdua. Ceh! Itu semua karut! Karut komedia tahu tak!” komen Lisa panjang lebar.

Memang parah sekitanya Thia memang serius menunggu lelaki yang benar-benar boleh mencairkan hatinya yang keras sebegitu. Dia tahu sikap Thia yang pantang kalau ada lelaki yang sibuk hendak memikatnya. Pasti gadis itu menjadi rimas dan meluat.

“Thia, tak semua lelaki di dunia ni jahat tau. Kau tak bolehlah set mind kau macam tu. Tak adil bagi lelaki-lelaki yang memang ikhlas nak berkawan dengan kau. Kalau kau teruskan sikap kau macam ni, nanti ramai lelaki yang berdendam dengan kau, kau nak? Kau tu kalau tak layan aje, tak apa. Ni tidak, siap dengan mengutuk, memaki-hamun semuanya!” Nasihat Lisa tekun didengar oleh Thia.

Then, kau nak aku terima semua lelaki yang approach aku? Macam tu? Ibu aku pesan, datang sini sebab study, bukan cari jodoh!” jerkahnya pula. Cuba membela diri. Begitu sukar untuk menerima nasihat yang diberikan oleh rakannya itu walaupun ada kesahihannya.

“Maksud aku, at least kau sudi berkawan dengan dia orang. Janganlah kau over pulak. Aku tahu kau muda lagi. Aku suggest, kau berkawan dulu. Untung-untung, dapat kawan yang baik,” ujar Lisa sambil mengangkat keningnya. Berharap agar nasihatnya tadi diterima pakai oleh Thia namun tiba-tiba saja Thia menjeling tajam ke arahnya.

“Pandai kau nasihat aku. Aku tengok kau pun dah macam lelaki,” perli Thia selamba.

Excuse me! Aku straight tau walaupun aku dress up macam ni. Dahlah, aku nak mandi. Nasihat aku bukan kau nak dengar pun. Membazir air liur aje,” ujarnya sambil berlalu meninggalkan Thia.

Lucu. Thia melihat Lisa mengambil tuala mandi di penyidai yang menegak di sebelah pintu bilik. Yani pula keluar dari bilik air sambil membawa baldi. Seketika, dia termangu di atas katil. Berfikir.

‘Perlu ke aku ikut nasihat Lisa tadi? Em... mungkin,’ pujuk hati Thia.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin