Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 8

Bab 8


SETIAP langkah anaknya diperhatikan oleh Puan Seha dengan ekor mata yang tidak berkelip. Akalnya sedang berfikir. Ada sesuatu perkara yang ingin dikatakan kepada Thia. Dengan perlahan dia menanggalkan cermin mata dan meletakkannya di atas meja kaca. 

Kemudian dia melihat Thia menyusun langkah ke arahnya. Sejurus itu dia mengambil alat kawalan jauh televisyen lalu butang merah segera ditekan. Kaca televisyen serta-merta menjadi gelap.

“Ibu nak air tak? Thia boleh buatkan,” pelawa Thia lembut dan penuh hormat. Tangannya mencapai alat kawalan jauh televisyen dan dengan selamba dia menonton cerita kegemarannya walaupun ibunya tadi baru sahaja menutup televisyen.

“Ibu dah minum tadi. Mari duduk sebelah ibu. Ibu ada benda nak cakap sikit,” Puan Seha mengarah anaknya duduk. Anak matanya masih setia menumpu pada Thia yang sedang memegang gelas berisi jus oren sambil mata anaknya itu melekat di kaca televisyen.

Tatkala punggungnya dihenyak ke atas sofa, Thia terus meneguk jus oren itu sehingga habis. Dia lega tekaknya sudah dibasahkan. Sejenak, dia menoleh ke arah ibunya apabila ada gambar ubat gigi Colgate di kaca TV.

“Kenapa ibu pandang Thia macam tu?” Dia gelisah melihat ibunya tidak berkelip-kelip memandangnya seolah-olah dia ada membuat salah. Sebaik saja dia menghabiskan ayat, Puan Seha meledakkan ketawa berdekah-dekah. Dahi Thia makin berlekuk-lekuk melihatnya. Pelik barangkali.

“Apa ibu ni? Benda apa yang lucu sangat? Thia tak ada buat lawaklah,” gerutunya sambil memuncungkan bibir. Geram dengan gelagat ibunya yang kadangkala tergelak tak kena masa. Sebentar tadi ibunya bermuka serius. Dalam sekelip mata bertukar menjadi ceria semacam.

“Ibu sebenarnya gembira tengok Thia. Ibu bangga dapat besarkan Thia jadi manusia yang berguna walaupun ayah Thia dah tak ada.” Puan Seha mulakan bicara.

Thia tersenyum mendengar pujian ibunya itu. Itu rupanya yang menjadi punca ibunya gelak berlebihan. Ingatkan apalah masalahnya.

“Mestilah sebab Thia ada ibu yang hebat yang boleh membesarkan Thia seorang diri,” balas Thia sambil memeluk tubuh ibunya yang jauh lebih berisi daripadanya. “Ibu rindu ayah?” Meluncur keluar soalan itu dari mulut Thia. Spontan. Iklan di TV selalunya memang mengambil masa yang lama. Jadi, bolehlah berborak sekejap barang sejam dua.

Ibunya sekadar menganggukkan kepala dan Thia merapatkan lagi tubuhnya pada ibu tercinta. “Thia pun rindu sangat pada ayah. Walaupun Thia dapat kenal ayah sekejap aje tapi bagi Thia, takkan ada ayah yang lain, sehebat dengan ayah Thia,” ucapnya dengan nada yang bangga.

Puan Seha tersenyum puas.

“Ibu, macam mana ibu berkenalan dengan ayah? Ayah yang tackle ibu atau ibu yang tackle ayah?” lahirnya lagi seraya melepaskan rangkulan. Ditatap wajah ibunya yang putih berseri.

“Thia rasa?”

“Em… mestilah ayah yang tackle ibu, kan?” duganya namun Puan Seha tersenyum simpul dan menggelengkan kepala. Jadi, jawapan anaknya salah.

Hampir tercantum kening Thia melihat ibunya menggeleng kepala. Maknanya ibu yang mengurat ayah! Benarkah tekaannya itu?

“Ibu yang mula tackle ayah,” jawab Puan Seha tenang. Ingin mula bercerita. “Mulanya ibu kenal ayah melalui kawan ibu. Secara tak sengaja. Sebelum tu, ibu kenal ayah sebab kawan ibu rajin bercerita pasal seorang budak lelaki Cina kacukan Arab yang selalu buli kawan dia. Tak silap ibu nama dia Markonah. Kiranya ayah Thia ni suka buli orang jugak. Dengar aje perangai ayah Thia macam tu, memang ibu terus blacklist nama dia.

Ada suatu hari tu, Markonah datang rumah sewa kita orang. Dia menangis sampai tersedu-sedu. Rupanya ayah Thia ada datang jumpa si Markonah tu minta duit. Markonah tu bukannya kaya, jadi dia tak bagilah duit pada ayah Thia.” Puan Seha bercerita panjang. 

Rasanya lebih baik mendengar ibunya bercerita daripada tengok iklan yang entah bila nak habis.

“Ayah dulu ‘abang kawasan’ ke?” Thia mencelah sekejap.

Tergelak Puan Seha dengan pertanyaan Thia tadi. 

“Bukan. Ayah Thia sebenarnya nak balas dendam pada si Markonah tu. Markonah tu dah buat tahi dengan kawan ayah. Ayah pula jenis yang tak suka ada orang pijak kepala apatah lagi yang jadi mangsa tu kawan baik ayah, nama dia Razak.

Razak tu juga yang bawa ayah masuk Islam. Markonah tu bercinta dengan Razak sebabkan harta aje. Dibuatnya Razak tu macam ATM machine. Jumpa bila perlukan duit aje tapi dalam diam ada skandal lain di belakang Razak. 

Bila Razak dapat tahu, memang dia frust menonggeng. Tu yang ayah Thia berang sangat.” Bersemangat Puan Seha bercerita. Thia pula penuh minat mendengar.

“Habis tu, macam mana ibu boleh jumpa ayah?”

“Malam Markonah tu datang rumah sewa kita oranglah. Ayah Thia ketuk pintu rumah kita orang macam nak pecah. Masa tu baru ibu tahu perkara sebenar. Bila dah tahu, tak adalah ibu benci pada ayah Thia lagi. Terus jadi suka pula,” terang ibunya lagi sambil ketawa kecil seolah-olah memutar kembali kenangan lama yang sungguh mencuit hati.

“Macam mana ibu tackle ayah?” Thia bertanya lagi. Rasa macam buat sesi pembelajaran pula.

Puan Seha menghela nafas seketika. Jauh menungannya menggamit kembali kenangan indah bersama arwah suami. Hatinya kian dicengkam rindu.

“Lepas tahu perkara sebenar, ibu jadi tertanya-tanya. Kenapa ayah Thia begitu marah dengan Markonah padahal bukan Markonah yang buat hal dengan ayah Thia. Rupanya ayah Thia begitu sayang pada Razak sebab Razaklah dia terbuka hati nak masuk Islam walaupun ditentang kuat oleh keluarga ayah Thia. Razak yang menjadi tulang belakang ayah Thia selepas ayah Thia dibuang keluarga. Melihat keikhlasan ayah Thia tu, ibu jadi jatuh hati, tapi ibu malu nak terus-terang. Takut syok sendiri pula. Akhirnya ibu buat keputusan, ibu hantar rombongan meminang…”

“Ibu yang meminang ayah???” pintas Thia. Terjojol kornea matanya menentang mata si ibu. Sungguh dia tidak percaya dengan cerita yang didengar.

“Ya, Thia. Ibu yang pergi meminang ayah. Lepas ayah dibuang keluarga, ayah Thia tinggal di rumah ayah angkatnya. Masa tu ibu berdoa siang dan malam semoga ayah Thia tak tolak pinangan ibu. Akhirnya ALLAH makbulkan doa ibu. Rupanya dalam diam ayah pun simpan perasaan pada ibu cuma ayah Thia takut nak beritahu. Yalah, ayah kan pernah ‘serang’ rumah sewa ibu,” lantas Puan Seha melepaskan tawa.

Thia yang berada di sisi masih menunjukkan riak terkejut. Dia benar-benar terpempan mendengar kisah ibunya. Tidak sangka ibunya seorang yang berani sekali. Sanggup meminang seorang lelaki dan tidak peduli dengan peribahasa ‘perigi mencari timba’.

Zaman sekarang memang sukar hendak menemui wanita yang sudi meminang seorang lelaki seperti kisah Saidatina Khadijah yang meminang Nabi Muhammad SAW.

“Walaupun ayah Thia tak sehebat Nabi Muhammad SAW, tapi dia cukup hebat untuk ibu. Ayah Thia seorang yang tabah biarpun kadangkala dia selalu panas baran. Sejak dia memperoleh hidayah daripada ALLAH, dia tekad takkan berundur biarpun keluarga yang menjadi taruhan. Ayah Thia juga hebat kerana dia beri ibu anak yang cantik macam Thia,” ujar ibunya sambil cium pipi anak kesayangannya bertalu-talu sehingga lemas Thia dibuatnya.

Thia mengekek ketawa, bahagia. Bertambah rasa bangga di dalam diri terhadap kedua-dua ibu bapanya. ‘Ya ALLAH… semoga ayahku tenang di sana…’ doa Thia setulus hati.


THIA sedang mengemas begnya di dalam bilik. Sebentar lagi dia akan pulang semula ke asrama. Terasa berat kakinya untuk pulang meninggalkan ibunya sendirian di sini.

Tiba-tiba dia berpusing dan melihat Puan Seha masuk ke dalam bilik dengan muka cemas yang teramat. “Kenapa ni ibu?” tanya Thia tanpa dapat ditahan.

“Thia, Pak Lang called ibu tadi. Dia kata dia tak dapat hantar Thia balik asrama sebab keretanya rosak. Sekarang Pak Lang dekat workshop.” Terkocoh-kocoh Puan Seha memberitahu.

“Macam mana kereta Pak Lang boleh rosak?” soal Thia, pelik.

“Pak Lang Thia lah baik sangat. Dia bagi pinjam kereta dia dekat jiran sebelah rumah dia. Anak jirannya lenjan ke sana ke mari sampai berasap enjin kereta. Nasib baik tak meletup.”

“Habis tu macam mana Thia nak balik ni ibu?” soal Thia pantas. Dia jadi cemas. Esok dia ada kelas pagi. Tidak mungkin dia boleh pulang lewat.

“Itulah ibu tengah pening ni,” balas Puan Seha. Dia terkial-kial memicit telefonnya mendail nombor sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan namun hampa. Tiada sesiapa pun dapat membantu. Akhirnya Puan Seha membuat keputusan untuk menemani Thia pulang dengan menaiki bas. Itu sahaja pilihan terakhir yang ada namun Thia tidak setuju.

“Kan esok ibu dah mula kerja. Takkan ibu nak cuti?” Thia cuba membantah idea itu. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya. Dia mampu pulang sendirian dengan menaiki bas tanpa ditemani oleh ibunya apatah lagi esok sudah masuk hari bekerja.

Puan Seha duduk di birai katil. Dia memandang tepat wajah Thia namun fikirannya masih menerawang memikirkan cara bagaimana mahu hantar anaknya pulang ke asrama. “Tak apa. Ibu boleh minta cuti daripada bos ibu. Ibu nak callbos ibu kejap.” Dia meluru keluar bilik.

Thia hanya mampu mengetap bibirnya apabila Puan Seha sudah menyelinap keluar. ‘Ibu ni macam tak percaya pada Thia aje!’ jerit Thia di dalam hati. Ibunya kadang-kadang suka menyekat pergerakannya. Mungkin bimbang jika sesuatu yang buruk menimpa.

“Assalamualaikum. Hello Encik Rizqi,” sapa Puan Seha setelah panggilannya disahut. Dia berdiri di ruang tamu rumah.

“Waalaikumussalam. Ya, ada apa Kak Seha?”

“Saya ada masalah sikitlah bos.”

“Masalah apa tu?” Suara Rizqi kedengaran lagi.

“Saya nak minta cuti esok, boleh?” Puan Seha meminta kebenaran lalu dia pun menceritakan duduk perkara. Panjang lebar dia bercerita. Kononnya mahu meraih simpati daripada bosnya agar dia diluluskan cuti.

“Itu saja masalahnya. I ingatkan apa hal lah tadi sampai nak minta cuti. Hmm... I boleh bagi you cuti tapi… I yang akan hantar your daughter balik ke asrama dia. Okay, deal?” Rizqi bagai meletakkan syarat namun ianya seperti satu pakej pula.

“Eh, menyusahkan bos aje. Lagipun Perlis tu jauh. Kalau kita berdua cuti, banyaklah kerja tertangguh dekat office tu,” Puan Seha cuba menolak. Tidak mahu dianggap rakus.

“Kalau macam tu, biar I aje yang hantar anak you balik Perlis dan you boleh datang kerja macam biasa. Okay? I hope this time you don’t mind.” Rizqi tenang.

Ternganga mulut Puan Seha mendengar tawaran bonus daripada bosnya sebentar tadi. ‘Bos aku ni memang cari peluang nak berdua-duaan dengan anak aku ke?’ fikirnya. Dia mendiamkan diri sejenak tanpa memberi apa-apa tindak balas. Resah dengan tawaran bosnya.

“Macam tu pulak? Boleh ke saya percaya pada bos ni? Thia tu satu-satunya anak dara saya. Risau juga saya nak lepaskan. Maaflah bos. Saya tak nak ambil risiko,” tutur Puan Seha cuba berterus-terang. Dia tidak peduli sekiranya Rizqi terasa hati.

Tiada jawapan. Rizqi terdiam sebentar. Dia memahami hati seorang ibu. “Kak Seha, I tahu you tak percaya pada orang luar tapi I janji I akan hantar anak you tepat di depan pintu pagar asrama dia. Kalau you takut I bawa lari anak you, you simpan saja IC I. 

Kalau dalam masa tiga jam anak you tak call you, you boleh lodge a report yang I kidnapped anak you. Is that enough for you to allow me bring back your daughter straight to her hostel? Or you want me to give another ‘warranty’ to make you damn really satisfied?”Meleret ayat yang Rizqi cuba sampaikan demi meyakinkan Puan Seha yang sememangnya dia ikhlas ingin membantu.

Sekali lagi Puan Seha tengadah. Begitu semangat bosnya ingin membantu sehingga dia tergamam mendengar ayat yang dilontarkan oleh Rizqi.

“Habis tu kalau saya ambil IC bos, ada polis tahan nanti macam mana? Tak pasal-pasal digelar warga asing. Muka pun ada iras-iras dah. Ha… ha… ha…” Puan Seha masih hendak berdalih. Diselitkan juga jenakanya.

Rizqi turut pecah gelak. “It’s okay. I tunjuk ajelah lesen memandu I. Bukan masalah besar sangat pun,” balas Rizqi dengan tawa yang masih bersisa. Pandai dia menjawab semua soalan yang dikemukakan.

Puan Seha mati kutu. Setiap soalannya ada saja jawapan dari Rizqi. “Lesen ada kena-mengena dengan IC ke, bos?” Dia mencuba lagi beralasan biarpun soalannya dirasakan macam budak tadika yang bertanya. Tiba-tiba dia terdengar Rizqi pecah gelak lagi. Mungkin geli hati dengan soalannya tadi.

“Kak, I serius nak bantu you. Selama I bekerja dengan you, maknanya you tak pernah percayakan I ke? Look, setiap sejam I akan buat laporan di mana I dengan anak you berada. You simpan IC I, kan? Okey, kalau I lambat call walau seminit pun, you boleh call police and immediately, I akan serah diri walaupun kesalahan I hanya lambat call you seminit. I tak kisah sebab I dah berjanji. So, macam mana? Masih tak yakin?”

Sesak nafas Puan Seha buat seketika. Terasa macam ada serombong kapal di dadanya sekarang. Begitu semangat bosnya nak membantu dan dia pula yang jual mahal.

Ya, selama dia bekerja dengan Rizqi, tidak pernah dia melihat bosnya itu berperangai tak senonoh. Akhirnya dengan ‘paksarela’ dia memberi kata putus yang membuatkan Rizqi tersenyum lebar di hujung telefon.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin