Bab 14
“KAU dengan Thia pergi beli makanan, aku dengan Yani pergi beli tiket. Nanti
kita jumpa dekat depan pintu masuk. Okey, bak sini duit kau orang,” Fitri
menghulurkan tangan pada Thia dan Lisa. Mereka kini berada di pusat
membeli-belah untuk menonton wayang.
Bila hujung minggu tiba, siapalah yang suci
sangat hati sanggup terceruk di dalam bilik saja. Walaupun peperiksaan akhir
semester semakin mendekat, mereka masih lagi mahu meluangkan masa untuk berhibur
dan bersuka ria. Lepaskan segala tekanan!
“Hee… kau ni memang tahi hidung masin, kan? Kau
pakailah duit kau. Nanti aku bayarlah. Aku nak beli makanan untuk kau orangjugak!”
Lisa merungut. Dia memeluk tubuh dan menjeling ke arah Fitri.
“Entah kau ni. Kita orang tak nak beli makanan
nanti taulah,” sambung Thia berbaur ugutan pula. Dia melihat Yani di sebelah Fitri
sudah menggaru kepala.
“Apa bendalah yang kau orang buat ni? Nak gaduh
pun agak-agaklah depan orang ramai. Buat malu aje. Pakwe nak datang mengurat
pun fikir dua, tiga kali tau! Biarlah guna duit aku dulu. Kau orang ni semua
sengkek.” Yani menawarkan diri untuk bayar dulu duit tiket wayang namun sempat juga
dia mengutuk rakannya yang lain.
“Amboi mulut kau. Busuk betul, kan? Nah ambil ni.
Lepas ni zip mulut kau yang busuk bau longkang tu. Malu kalau pakwe datang bau.
Terus reject,” Thia ketawakan Yani. Dia geram apabila rakannya itu mengejeknya
sengkek. Meskipun dia tidak cukup kaya tetapi duitnya masih ada untuk digunakan
tanpa perlu minta bantuan daripada orang lain.
Segera Thia mengeluarkan not RM50 dari dalam dompetnya
lalu diletakkan di atas tapak tangan Yani. Masing-masing tertegun sampai
ternganga melihatnya, bagaikan duit RM50 itu bertukar menjadi RM50 000.
Tiba-tiba Lisa menyenggol bahu Thia. “Thia… kau
nak belanja, eh?” Dia mengecek sambil tersengih-sengih memandang Thia yang
sudah pun tersenyum menyindir.
“Ya, aku belanja. Memang aku ni anak tauke balak
nak belanja kau orang mahal-mahal. Dahlah nak tengok wayang 3D. Bengkoklah aku
nak bayar untuk kau orang semua!”
Mati terus sengihan Lisa apabila mendengar Thia
berkata macam itu. Dia buat mimik muka tidak puas hati. Baru ingat nak saving
sikit minggu ni, desisnya.
“Eleh… kau cakap orang. Kau pun lebih kurang aje.
Kedekut! Apa salahnya sesekali kawan tumpang senang. Tak luak pun. Dahlah. Jom
kita beratur. Nanti makin ramai orang,” Yani merungkaikan perbalahan kecil
antara mereka. Dia mengheret tangan Fitri untuk beratur di perbarisan kaunter
tiket manakala Thia dan Lisa menuju ke kaunter makanan.
“So, how you holding up the problem? Is
everything under control?” tegur Thia sewaktu mereka berdua berjalan menuju
ke kaunter makanan. Dia memandang sekilas ke arah Lisa yang tersenyum lemah.
“Not good. Entahlah. Masalah aku ni pelik
sikit. Macam takkan settle aje. Aku buntu. Aku tak nampak langsung jalan
keluar. Itulah, masa aku kecik-kecik, aku tak pandai main puzzle. Semua puzzle
yang mak aku beli hilang macam tu aje bila aku tak reti nak pasang balik. Kalau
tak, mesti aku dapat cari jalan keluar bagi masalah aku sekarang,” jelas Lisa
penuh rasa kecewa.
“Apa kaitan puzzle dengan masalah yang kau
hadapi sekarang? Belum tentu kalau kau tak pandai pasang puzzle, kau tak
boleh selesaikan masalah kau. Kau kena yakin, setiap masalah ada jalan
penyelesaiannya. Cuma ia bergantung kepada diri kita sama ada kita berani atau
tidak menghadapi risiko jika kita nak menyelesaikan masalah tersebut.
Kalau kau
sedia menghadapi apa jua risiko, kau pasti dapat rungkai segala kekusutan yang
bersarang di kepala kau tu. Lagipun masalah tu kita sendiri yang cari, mestilah
kita juga ada cara macam mana nak selesaikan but things surely not easy as
we ever think,” nasihat Thia.
“Aku tau. Em… entahlah Thia. Aku tak kuat macam
yang kau fikirkan. Aku tak berani menghadapi sebarang risiko. Memang aku ni
pengecut. Cukuplah, aku tak kuasa nak fikir lagi. Aku yang cari masalah, biar
padan dengan muka aku.
Aku tak nak semakkan lagi kepala otak aku yang memang dah
berserabut ni.” Lisa malas mahu memikirkan masalah yang sedang dihadapi.
Dadanya sesak apabila terkenangkan apa yang telah terjadi tiga hari yang lepas.
“Share with me? I could be your personal
consultant with no additional charge but just a cup of coffee every day,” Thia
berkata seperti memujuk Lisa.
Kening Lisa berkerut dengan mata menjeling Thia
di sebelahnya. “Amboi! Aku pun pemalas nak buat air, setakat minum air dekat water
cooler aje, nak suruh aku buat untuk kau pulak. Besar sangat mandat kau?”
desahnya apabila Thia minta ‘imbuhan’ yang tidak sanggup dilaksanakan setiap
hari. Tanpa menunggu basalan Thia, Lisa terus mara menuju ke kaunter.
“Miss, could you please move aside?”
Tiba-tiba ada satu suara mengarah Thia. Dia tersentak dan pantas memberi laluan
kepada si ‘pengarah’. Lelaki itu ke hadapan.
Mata Thia memandang seketika tubuh yang sedang membelakangkannya
itu. Dia mengecilkan sedikit mata. Dia seolah kenal siapa lelaki itu.
“Hoi! Berangan aje anak dara,” Lisa menyergah Thia
yang sedang menerawang.
Thia terkejut. Rasa melambung-lambung jantungnya
hingga mencecah ke lelangit lantas dia segera melangkah ke pintu masuk wayang
membuntuti Lisa.
Apabila sampai sahaja di muka pintu wayang, Fitri
dan Yani masih belum tiba. Barangkali mereka tadi beratur panjang untuk membeli
tiket.
“Mana dia orang berdua ni? Lambatlah. Aku tak
tahan nak buang air ni!” Thia mendongkol geram apabila kelibat Fitri dan Yani
tidak kelihatan. Tercangak-cangak dia mencari. Tanpa sedar, dia mengepit kedua-dua
belah pahanya rapat.
“Kau tak tahan sangat ke? Pergilah cari toilet
dulu. Aku tunggu kat sini.”
“Ala… aku nak pergi toilet dekat dalam aje.
Malas nak tercari-cari dekat luar ni,” Thia menampik perlahan. Dia sebenarnya
tidak mampu lagi mahu menahan. Rasa macam di hujung-hujung saja. Arghhh!
“Aku tengok kau dah macam pepijat dah. Tak reti
duduk diam. Karang ada yang terkucil dekat sini, jangan nak mengendeng kat aku
pulak suruh lapkan. Pergilah daripada kau tahan-tahan. Kena batu karang nanti,
tak pasal-pasal berulang-alik hospital,” Lisa menggertak. Terbeliak mata Thia
mendengar kata-kata keji itu.
“Yalah. Kau tunggu kejap. Jangan masuk dulu,” pesan
Thia langsung beredar dari situ. Lisa ketawa melihat telatah Thia yang begitu kalut.
Tidak lama kemudian, Fitri dan Yani muncul.
“Kau orang pergi mana? Lama kita orang tunggu,”
Lisa tangkas bertanya.
“Kita orang pergi toilet. Eh, wayang dah
mula. Mana Thia?” Mata Fitri lekas melilau apabila kelibat Thia tiada di sisi
Lisa. ‘Kena culik ke budak Myanmar tu?’ detik hatinya.
“Dia pergi toilet. Lama sangat tunggu kau
orang tadi sampai dia tak tahan nak buang air. Tak apalah, kau orang masuk aje
dulu. Aku tunggu Thia. Nah, bawa popcorn ni,” arah Lisa sambil
menyerahkan bertih jagung dan sebekas air kepada Yani dan dua bekas air kepada
Fitri. Dua tiket wayang sudah beralih tangan. Lima minit kemudian, Thia muncul dengan
tergesa-gesa.
“Kenapa lambat? Wayang dah start lama dah,”
Lisa menegur. Thia mengambil bekas bertih jagung dan menarik tangan Lisa.
“Sorry. Aku terhegeh-hegeh cari toilet
tadi. Dah dapat cari, ramai pulak mangkuk ayun dalam tu. Jom kita masuk. Kita
sambung borak dekat dalam.”
Dalam panggung wayang pula, mereka berdua
terkial-kial mencari nombor tempat duduk. Keadaan yang gelap menyukarkan mereka
untuk melihat dengan lebih jelas. Tangan Lisa menarik tangan Thia agar mereka
tidak berpecah. Akhirnya Lisa nampak Yani melambai tangan dari jauh.
“Sana seat kita. Tu… Yani lambai tangan,”
bisik Lisa pada Thia.
Thia tiada masa mahu melambai balik jadi dia hanya
menganggukkan kepala. Lisa duduk di sebelah Yani manakala Thia duduk di sebelah
kanannya dan sebelah kiri Thia merupakan sepasang kekasih.
Sedang Thia berjalan menyusuri sepasang kekasih di
hadapannya sambil mulut mengunyah bertih jagung yang enak lagi menyelerakan itu,
tiba-tiba lututnya berlaga dengan salah seorang daripada mereka. Keadaan yang
sempit menyulitkan pergerakannya.
Ah! Thia panik. Serta-merta bertih jagung di
pegangan melambung tinggi dan jatuh cantik seperti percikan bunga api
‘menyirami’ kepala Raihan. Inilah padahnya apabila makan sambil berdiri!
Menyusahkan orang.
“Ops… sorry! I’m so sorry. Saya… err…” Thia
menggelabah. Tangannya pantas mengutip bertih jagung yang jatuh bertaburan pada
rambut Raihan tanpa segan. Dia tidak dapat mengecam wajah Raihan ketika itu
apatah lagi Raihan sedang mengenakan cermin mata 3D.
“Hei! Don’t touch him.” Tangan Yaya
menepis tangan Thia yang mengutip bertih jagung yang bertaburan pada rambut
Raihan. Thia terkejut namun sepantas kilat Lisa menarik tangannya lalu dia terduduk
di atas kerusi sambil tangan pun terlepas lagi memegang mangkuk bertih jagung
dan sekali lagi dia membuang isi dalam mangkuk itu ke riba Raihan pula. Namun
kali ini dia tidak membantu mengutip bertih jagung itu tetapi dia menggelakkan
Raihan dengan sesuka hatinya.
“Apa yang kau buat tu, budak? Kut ya pun tak
payahlah kutip popcorn tu. Kan dah kena maki dengan awek mamat tu,” bisik
Lisa ke telinga Thia.
“Habis tu kau nak aku buat apa? Buat tak tau aje?”
jawab Thia perlahan.
“Yalah. Yang kau baik sangat pergi kutip tu apa
hal? Cakap sorry aje dah cukup,” balas Lisa sedikit berang sambil tangan
menghulurkan cermin mata 3D kepada Thia.
Thia mendiamkan diri. Tiba-tiba dia berasa malu
apabila Lisa menegur tindakannya yang mengutip bertih jagung dari rambut lelaki
asing di sebelahnya. Serentak itu dia memusingkan kepala sedikit ingin melihat
keadaan lelaki di sebelahnya.
Dia nampak lelaki itu sedang mengibas-ngibas
rambut dan paha. Sejurus itu dia terasa pelik. ‘Hai bang, awek tak tolong
kibaskan ke?’ hatinya berkata lucu.
Setelah itu, Thia enggan lagi menoleh ke arah
pasangan tersebut. Dia menumpukan perhatian pada skrin. Dia hanya mampu
tergelak dalam hati apabila terbayangkan gelagatnya sebentar tadi. Tidak
pasal-pasal lelaki di sebelahnya kena siram dengan bertih jagung.
Beberapa minit berlalu, Thia berasa bosan dengan
cerita yang ditonton. Rasa azab untuk menunggu ke penghujung cerita. Kebosanan
melanda dirinya.
“Tak bestlah cerita ni. Aku tak faham
apa-apa pun,” bisik Thia pada Lisa.
Lisa mengangguk. Sependapat dengan Thia. “Haah tak best langsung. Aku pun tak
faham. Hmm... kita yang tak faham sebab masuk lambat atau cerita ni memang
susah nak faham?” keluh Lisa.
Thia tergelak kecil lantas menjongketkan bahunya.
Dia cuba menumpu perhatian kembali. Mulut sudah menguap besar. Rasa mengantuk
sudah menguasai diri.
Apa yang ditonton tidak lagi meresap ke dalam
otaknya. Lama-kelamaan matanya kuyu dan layu di sebalik cermin mata 3D yang
dipakai. Akhirnya matanya terkatup rapat. Badannya kaku tidak terusik namun
sekejap saja. Apabila lena semakin enak dirasa, Thia tidak sedar yang kepalanya
sudah terlentok di bahu Raihan.
Raihan terperanjat melihat ada kepala sesat di
bahunya secara tiba-tiba. Dia ingin menolak tapi memandangkan Thia yang begitu
lena tidur sehingga ternganga mulut mematikan niatnya. ‘Astaghfirullah al-azim!
Dia ni alien ke apa?’ cerca Raihan dalam hati.
Lisa perasan kepala Thia sudah beralih. Terbeliak
biji matanya melihat kepala Thia sudah tersadaibaik di bahu Raihan. Dia
mengutuk Thia dalam diam. Mulutnya terkumat-kamit memaki-hamun rakannya itu.
Lalu dia mengambil keputusan menyenggol bahu Thia untuk menyedarkan Thia daripada
‘ketelanjuran’ namun lain pula yang terjadi. Kepala Thia makin terarah pada
Raihan malah Thia memeluk pula tangan Raihan.
Lisa menggigit jarinya. ‘Thia ni memang cari bala!’
gumamnya. Tanpa sedar, kukunya digigit. Buntu, tidak tahu hendak berbuat apa
lagi.
Raihan sekali lagi terpempan. Lengannya dipeluk
erat oleh Thia yang sedang nyenyak tidur. Tiba-tiba jantungnya berdebar.
Sepanjang hidupnya dia tidak pernah serapat itu dengan mana-mana gadis yang bukan
muhrimnya. Naluri lelakinya bergoncang hebat. Perasaannya aneh sekali dengan
situasi yang sedang berlaku.
Tiba-tiba cermin mata Thia terjatuh ke bawah
kerusi. Rambut Thia yang mengurai mengenai wajah Raihan sehingga menghalang
penglihatannya. Dia rimas namun dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia
menoleh seketika ke arah Yaya yang sedang khusyuk menonton skrin wayang.
Dalam masa yang sama dia turut menyalahkan Yaya
dengan apa yang berlaku. Kalau Yaya tidak beria-ia memaksa dia untuk menonton
wayang bersama, tentu dia tidak menghadapi situasi seperti sekarang.
Yaya bersungguh-sungguh minta maaf di atas
tindakannya yang menyiram air milo pada Raihan. Tidak semena-mena hari itu Raihan
balik dengan keadaan yang basah lencun. Sebagai tanda yang gadis itu
benar-benar ikhlas memohon maaf, dia mengajak Raihan untuk keluar bersama.
Raihan yang malas mahu berkata apa-apa, terus saja setuju.
Tiba-tiba Raihan dirasuk untuk menjadi manusia kejam.
Lambat-lambat dia mengangkat tangan kanannya untuk menolak kepala Thia dari
bahunya. Perbuatannya itu menjadikan rambut Thia sedikit terselak lantas menampakkan
raut wajahnya. Sepantas kilat, tangan Raihan kaku seketika di situ. Tidak jadi
hendak menolak.
Thia!!! Jerit hatinya lantang. Tidak sangka gadis
di sebelahnya itu adalah Thia. Gadis yang menaburkan bertih jagung ke rambutnya
juga adalah Thia! Dia benar-benar tidak percaya lantas dia membuka cermin mata
3D yang dipakai.
Sekali lagi dia mengerling Thia melalui ekor
matanya. Dia tergamam. Wajah Thia sungguh cantik apabila direnung dari dekat.
Alis matanya yang melentik mengusik hati Raihan. Bibir Thia yang mungil basah
dijeling tajam dalam kesamaran cahaya namun cepat-cepat dia beristighfar
panjang. Serentak itu dia menolak kepala Thia sehingga gadis itu terhantuk ke
kerusi depan. Dia tergelak kecil.
Thia pantas terjaga. Dia mamai seketika. Lisa
menyandarkan tubuh Thia ke kerusi. Lagak Thia seolah-olah tiada apa-apa yang
terjadi. Kepalanya terlentok ke bahu Lisa pula. Dia ingin menyambung tidurnya
kembali. Thia sekarang memang layak dipanggil orang gila!
“Woi, Thia. Bangunlah. Kau ingat bahu aku ni bantal
kat rumah kau ke? Sakitlah!” Lisa merungut perlahan dan Thia membuka sedikit
kelopak matanya.
“Aku mengantuklah, Lisa. Cerita ni membosankan.
Aku nak tidur,” balas Thia satu per satu. Suaranya lemah saja. Kasihan pula
Lisa mendengarnya. Sudahnya dia mengalah juga. Setengah jam kemudian, cerita
akhirnya tamat dan lampu dipasang. Thia serta-merta terbangun apabila Lisa
mengejutkannya.
Tanpa membuang masa, Thia ingin menuju ke pintu
keluar namun dia terkesima apabila melihat Raihan dan Yaya turut bangun bersama
mereka. Sekali lagi dia menjadi keras di situ memandangkan Raihan sudah menjadi
tatapan matanya.
Sepintas lalu, Raihan menoleh dan anak matanya bersabung
dengan anak mata Thia. Lama. Kemudian dia menunduk dan mengambil cermin mata 3D
yang terjatuh di kakinya lalu dihulurkan kepada Thia.
Pelik. Thia memandang tanpa mengambil cermin mata
itu. Dia berasa was-was. ‘Motif dia nak tunjuk cermin mata murah ni dekat aku?’
Thia bermonolog.
“It’s yours… take it. Terjatuh semasa
kau tertidur tadi,” jelas Raihan tenang. Matanya memukau pandangan gadis di
hadapannya.
Thia mengerutkan dahinya dan menoleh ke belakang
memandang Lisa bagi memastikan perkara itu dan Lisa pula takut-takut saja
menganggukkan kepala. Dia menoleh Raihan kembali dengan muka yang masam mencuka
lantas dia mengambil cermin mata tersebut dengan kasar dari tangan Raihan. Malu
dan marah bercampur baur.
“Next time, kalau nak tidur balik rumah.
Ni panggung wayang, bukan hotel. Bahu aku bukan untuk alas kepala kau yang
macam batu tu,” balas Raihan selamba dan langsung beredar dari situ.
Yaya sempat melemparkan jelingan mautnya dan mengacu
penumbuk kepada Thia namun Thia terus kaku di tempat dia berdiri. Dia masih
mengelamun dan memikirkan ayat terakhir Raihan. Bahu dia? Aku tertidur dekat
bahu dia ke tadi? Macam mana aku boleh tak perasaan? Thia tertanya-tanya.
“Dahlah. Kita nak tunggu apa lagi kat sini? Jom
balik,” Fitri mula bersuara. Akhirnya mereka beredar dari situ dengan seribu
macam persoalan dan andaian. Muka Thia murung saja sepanjang perjalanan. Dia
masih memikirkan soal Raihan dan Yaya.
‘Apa hubungan Yaya dengan Raihan? Mereka tu sepasang
kekasih ke? Jadi, Raihan sudah lama mengenali Yaya dan Yaya adalah teman wanita
Raihan?’ hati Thia bertalu-talu dengan persoalan berkisar tentang Raihan dan
kekasihnya. Tanpa sedar Thia merengus kasar. Apa yang dia tidak puas hati pun
dia tidak tahu. Apa yang pasti, dia benar-benar tersentap dan meluat melihat
Raihan bersama Yaya. Dia tidak mahu percaya dengan apa yang dilihat di dalam
panggung wayang sebentar tadi. Ulu hatinya terasa sakit bagai ditusuk sembilu.
Pedih dan terluka.
‘Kenapa aku tiba-tiba ada perasaan macam ni?
Kenapa aku masih fikir pasal hal dia orang sedangkan aku benci dekat dia orang
tu? Kenapa hati aku sakit tengok dia orang keluar menonton wayang bersama-sama?’
Thia keliru dengan perasaannya yang sedang bergolak hebat.
“Kau okey tak, Thia? Mendung aje muka kau.
Fikirkan apa?” soal Lisa pada Thia apabila mereka berdua berada di dalam bilik.
Ketika itu Thia duduk di birai katil sambil termangu memeluk lutut.
“Haih! Diam aje budak ni. Berak ke? Thia!!!”
teriak Lisa lebih lantang.
“Hah?? Kau cakap dengan aku ke tadi?” Thia
terpinga-pinga sejenak.
“Taklah. Aku on the phone ni ha,” perli
Lisa sambil menjeling Thia. Apabila tiada respons, dia kemudiannya bangun dari
katil dan duduk bersila di samping Thia yang masih memaku. Gadis itu diam
seribu bahasa. Entah apalah yang tak kena.
“Kau parah ni, Thia. Apa masalah kau pulak
sekarang? Sejak balik tengok wayang tadi kau muram aje,” Lisa mula meluahkan
ketidakpuasan hatinya melihat Thia yang memendam rasa. Sungguh dia berasa aneh.
Thia hanya mampu mengeluh kecil. “Aku pun tak taulah,
Lisa. Aku sekarang keliru dengan perasaan aku. Aku macam dah lost
sekejap,” jawab Thia tidak bermaya. Dia tidak memandang muka Lisa.
“Apa yang kau keliru?” Anak mata Lisa merenung
wajah Thia yang sedang memikirkan ayat untuk diungkapkan. Lara sungguh air
mukanya.
“Em… macam mana aku nak terangkan pada kau? Aku
sebenarnya tak faham… apa yang tak kena dengan diri aku. Sejak nampak lelaki
yang duduk di sebelah aku dalam panggung wayang tadi, aku asyik fikirkan pasal dia
aje. Termasuklah Yaya sekali. Padahal aku benci dia orang berdua. Benci gila!”
tutur Thia dengan jujur. Suaranya agak meninggi.
“Yaya tu aku taulah kau memang tak suka kat dia. Bukan
kau aje, aku rasa tak ada sorang pun suka kat dia tapi balak dia, kau
kenal?” soal Lisa, pelik.
Serta-merta Thia memandang Lisa apabila perkataan
‘balak dia’ meniti di bibir Lisa menyentak jiwanya. Dia tidak suka
perkataan itu disebut. Rasa panas saja telinganya.
“Kenal macam tu aje,” bicara Thia acuh tak acuh.
Dia mengutis kuku jarinya. Berpura-pura.
“Macam mana kau boleh kenal dia?” tanya Lisa
masih kabur.
“Aku pernah nampak dia sebelum ni.” Thia masih
lagi enggan memandang muka Lisa.
“Nampak dekat mana?” Rajin pula Lisa bertanya.
“Ala… dia tu student dekat sini jugaklah,”
balas Thia sedikit kasar. Dia bosan Lisa asyik menyoalnya bertubi-tubi menjadikan
dia sedikit kalut.
“Hai… betapa ramai student lelaki dekat U
ni tak pernah pun kau kisah. Kenapa dengan mamat tu kau boleh kenal pulak? Kau
pernah usha dia, eh?” tuduh Lisa pantas. Dia mengukir senyuman nakal.
Thia segera menoleh Lisa dengan muka yang bengis.
Mencerlang matanya.
“Woi! Ni Thia lah. Aku tak pernah usha
lelaki tau. Buang masa aje. Banyak lagi kerja aku nak buat daripada usha
budak entah apa-apa tu,” tempik Thia sedikit meninggi.
“Tapi kau kenal dia, mesti ada something
ni. Kau saja nak sorok dari aku, kan?” Lisa mahu mencungkil rahsia lagi. Dia
mula memahami sesuatu. Namun dia mendiamkannya dahulu.
“Something apa nya? Ala… biasalah tu. Aku
pernah ternampak dia dekat kafe sebelum ni. Itu aje. Bukan aku pergi mengurat
dia pun.” Enggan bercerita pada Lisa perihal dia keluar makan bersama Hafiz
sebelum ini. Panjang pula usikannya nanti.
“Oh, pernah ternampak dekat kafe. Maknanya kau
dalam diam perhatikan mamat tu lah?” teka Lisa lagi. Dia dapat mengagak Thia
seperti ada hati dengan teman lelaki Yaya. Kalau tidak, mana mungkin Thia cemas
semacam jika dia mengutarakan pelbagai soalan mengenai lelaki itu. Sengaja dia bertanya
banyak soalan.
Thia terdiam. Hilang kata-kata. Sejurus itu, dia
mengambil bantal dan mula menepuk tilam. Gerak-gerinya diperhatikan oleh Lisa. Thia
seperti tidak mahu meneruskan perbualan. Reaksinya menunjukkan yang dia mahu
tidur.
“Tengok tu, diam tanda betul. Kau jatuh hati pada
lelaki tu, eh? Aku dapat agaklah,” usik Lisa lagi dan dia yakin telahannya
benar. Sangat mudah untuknya meneka. Air muka Thia dapat dibaca. Apatah lagi
sikap Thia yang mula berubah tatkala pulang dari menonton wayang tengah hari
tadi.
Thia ketawa mendengar serkap jarang daripada Lisa.
Selebihnya dia mahu menutup kegugupan di hati yang kian bersarang. ‘Aduh… macam
mana kau tahu ni?’ getus hatinya.
“Lisa… Lisa. Aku nak jatuh hati pada lelaki? Eh,
jatuh hati pada lelaki yang belum sah menjadi suami tu seperti menempah bala,
kau tau? Daripada aku bercinta, lebih baik aku tolong Mak Cik Joyah jual
karipap pusing. Dapat juga pahala membantu warga tua,” Thia bercakap sambil
gelak. Dia mula merebahkan kepala ke atas bantal namun Lisa masih tidak
berganjak dari katilnya.
“Bala konon. Padahal daripada tadi asyik
terbayangkan muka lelaki tu aje sejak balik dari tengok wayang petang tadi,
kan?” senda Lisa. Thia menelan air liurnya bagi mengawal kegugupan. Bimbang
rahsia hatinya dapat dihidu oleh Lisa. Kemudian Lisa menyambung kata lagi.
“Thia, you’re putting aside the fact that
you’ve fall into someone which what I’m guessing is that’s just a normal thing.
Yeah… when a girl jatuh hati pada seorang lelaki. Lagipun aku tengok
lelaki tu kacak kut! Aku pun suka tengok dia,” komen Lisa berserta senyuman
meniti di bibirnya.
Sepi. Thia sekadar membisu. Dia turut memunggah kembali
wajah Raihan dari kotak memorinya. Memang tidak dinafikan Raihan mempunyai
pandangan mata yang cukup mengasyikkan.
Dia mengaku pertama kali menatap wajah
Raihan sewaktu di kafe beberapa bulan yang lalu, hatinya sudah tercuit.
Sepasang mata yang memukau itu telah menjerat perasaannya ketika ini. Tanpa
sedar, Thia mengukirkan senyuman.
“Hah! Tersenyum pulak kau. Thia, you are now
have falling in love with him. I can see it!”teriak Lisa dengan
suara lantang. Nak bagi satu rumah dengar agaknya!
Thia terperanjat dan terus matikan senyuman. Dia
mengambil bantal lalu memukul badan Lisa sehingga kawannya itu terjatuh dari
katil.
“Hee… kau ni gila lah! Aku tumbuk kau karang,
bertaburan gigi kau kat atas lantai ni. Dah! Aku nak tidur. Jangan ganggu aku.
Semak aje kat katil orang.” Thia terus mengusir Lisa yang masih terkekeh-kekeh
ketawakannya.
Dia terus berselubung dengan selimut. Kemudian dia terdengar lagi
mulut longkang itu berkata-kata membuatkan dia makin melebar senyum.
“Jangan nak sembunyikan lagi, Thia! You’ll be
exhausted!”