Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 6

Bab 6

“KAU nak ikut aku balik tak?” soal Thia yang sedang mengemas kain baju. Matanya kembali menatap Lisa untuk menagih jawapan. Fitri yang sedang berdengkur dijeling seketika.

“Aku tak sure lagi. Ada kerja sikit nak buat,” balas Lisa. Suaranya dilontarkan seperti takut-takut saja. Macam ada sesuatu yang disembunyikan.

“Biar betul kau ni? Kan kita tengah cuti. Apa yang kau sibukkan sangat ni? Ke… kau ada date?” duga Thia spontan. Sengaja mahu melihat reaksi Lisa seterusnya. Dia mengesyaki Lisa mahu menemui seseorang. Jumpa mata air barangkali.

“Eh, tak ada maknanya. Aku serius ada benda nak buat. Mungkin aku balik Rawang sekejap lepas tu balik sini dalam dua hari lepas tu. Sorry, aku betul-betul tak dapat ikut kau balik,” tegas Lisa lagi ingin meyakinkan Thia namun Thia sekadar menganggukkan kepalanya.

“Kau ajak Yani dengan Fitri tak? Mesti kau tak sabar nak balik rumah jumpa ibu kau, kan?” tanya Lisa lebih ceria. Menguntum senyuman bagi membolosi diri dari perasaan gementar dek pertanyaan Thia yang sengaja ingin menduganya. Serentak itu, dia turut membantu Thia melipat kain baju.

“Aku dah ajak dah tapi Yani balik kampung dia. Jadi dia memang tak dapat datang. Fitri balik rumah dia dulu lepas tu baru dia datang rumah aku bawa family dia sekali. Kau aje yang tak sudi datang rumah aku, kan?” serkap Thia separuh sedih dan mukanya sengaja dikeruhkan.

Thia masih mengesyaki yang temannya itu menyembunyikan sesuatu di luar pengetahuannya. Dia tidak kisah seandainya Lisa ingin berjumpa kekasih hati waima sesiapa pun. Itu hak peribadi masing-masing dan Lisa bebas melakukan apa saja tetapi dia lebih risau sekiranya Lisa melakukan sesuatu yang tidak elok.

“Janganlah touching dengan aku, Thia. Aku betul-betul minta maaf. Lain kali aku janji… aku mesti pergi rumah kau, ya?” Lisa memujuk lembut sambil memegang bahu Thia.

Thia hanya menjongketkan bahunya. Dia tahu Lisa tidak akan mengubah keputusannya. Melihat Thia yang tidak memberi respons yang positif, dia tangkas menukar topik perbualan.

“Thia, tadi kan ada orang tegur cara aku berpakaian. Tersentap aku! Malu pun ada. Rasa nak ketuk-ketuk aje kepala budak tu. Suka hati aje nak komen dressing anak orang. Macam dia tu bagus sangat,” ujar Lisa dengan suara jelik tetapi lebih kepada rasa terhina. Dia memuncungkan bibirnya.

“Ada orang tegur cara kau dressing? Siapa? Lelaki ke perempuan?” soal Thia teruja. Dia terus saja mencampakkan baju yang sedang dilipat itu ke tepi.

“Lelaki. Macam nerd aje budak tu. Pakai speck tebal gila. Seluar slackdia pakai sampai naik atas pusat, kau tahu! Baju pulak masuk dalam seluar dan yang penting, rambut belah tengah tu memang aku tak boleh tahan nak gelak. Dia pun pakai tak semenggah, ada hati nak komen cara aku berpakaian. Hei! Dia tahu tak aku ni siapa? Berani dia nak tegur aku!” Lisa bercerita dengan muka yang bengis. Thia pula sudah ketawa pecah perut. Dapat dibayangkan perawakan lelaki tersebut.

“Yalah. Kau kan ‘akak kawasan’. Habis tu takkan kau senyap aje? Tak balas balik?” tanya Thia sambil ketawa.

Membuntang besar mata Lisa mendengar pertanyaan Thia yang kurang bijak itu.

“Aku? Nak Senyap? Sorry sikit! Aku ‘basuh’ dia dekat situ jugak. Nasib baik masa tu tak ramai orang. Aku tengah syok duduk dalam library baca buku, tiba-tiba dia datang duduk depan aku. Dia tanya macam-macam. Lepas tu…” Sejenak, Lisa menghela nafasnya sedikit keras. Mencari sedikit ruang pernafasan sebelum bercerita dengan lebih lanjut.

Then, apa lagi budak tu cakap?” soal Thia separuh memaksa sambil menggoncangkan bahu Lisa. Tidak sabar mendengar cerita yang selanjutnya.

“Dia cakap aku ni macam nak jadi orang lain. Dia suruh aku pakai macam perempuan normal. Memang teruklah dia komen sampai nak menitik jugaklah air mata aku. Ah, malas nak cerita. Serabut!”

“Ala… kau relaks sajalah. Mungkin dia betul-betul ikhlas nak tegur kau. Tak pun dia ada hati dengan kau agaknya. Jadi dia tegur kau sebab dia nak kau berubah suatu hari nanti dan mula berpakaian seperti perempuan, bukan macam lelaki

Think positive.Kalau ada seribu orang pun tegur kau, just let it be as if you could stop them from saying anything about you.Apa yang penting, yang elok kau ambil dan yang tidak elok kau buang, tuli kan saja telinga tu. Janganlah cepat sangat melatah. Ada sebab dia tegur kau,” Thia memberi nasihat. Selebihnya dia berpuas hati kerana di dunia ini masih ada insan yang prihatin terhadap orang lain. Bertegur mana yang salah.

“Thia, aku ni teruk sangat ke? Aku cuma pakai aje macam lelaki tapi hati aku lembut. Lagi lembut dari kapas tau. Kenapa kadang-kadang ada orang pandang aku macam aku ni penjenayah? Sedihlah macam ni.” Ada sedikit kehambaran di suaranya. Wajahnya tercalit seribu kehampaan seolah-olah memikul beban yang tiada penghujungnya.

Thia ketawa kecil. Sejurus itu, suasana berubah hening di antara mereka. Namun dengkuran halus masih kedengaran. Lantas Thia berdehem.

Personally, bagi aku… kau ni okey saja. Tapi aku lebih setuju sekiranya kau tukar cara kau berpakaian sekarang kepada yang lebih elok dipandang. Sekali-sekala keluarlah pakai baju blouse dengan kasut tumit tinggi. Baru terserlah kewanitaan kau tu.” Thia memberi cadangan.

Okay, fine! Lepas ni aku curi kasut tinggi kaulah. Boleh?” Lisa melontarkan sengih.

“Eh, kau ni. Ada ke nak mencuri beritahu pada orang. Tak profesional langsung. Curilah yang mana kau rasa nak curi. Aku memang beli kasut untuk bagi orang curi,” Thia berlelucon pula.

“Aku gurau aje. Oh, ya! Kau jangan lupa study dekat rumah nanti. Habis saja cuti kita ada examtau.” Sempat juga Lisa mengingatkan Thia.

“Nasib baik kau ingatkan aku. Terpaksalah aku bawa balik buku. Menelaah di rumah. Itu pun kalau ada masa. Ibu aku tu kadang-kadang bukan boleh tengok aku duduk diam, ada saja kerja nak suruh aku buat,” rungut Thia lalu dia bangun untuk mengambil beberapa buah buku dan disumbatkan ke dalam begnya.

“Biasalah tu tapi kalau nak study pun takkanlah ibu kau nak kacau jugak. Kau balik ni nanti naik apa?”

“Pak cik aku datang jemput,” jawab Thia ringkas. Beberapa saat kemudian telefon bimbit Lisa berbunyi lantang memecahkan keheningan di dalam bilik mereka.

Thia pantas menoleh ke arah Lisa. Rakannya itu bagaikan kelam kabut dan wajahnya menunjukkan serba salah untuk menyahut panggilan si pemanggil. Dia berasa pelik dengan reaksi yang ditonjolkan oleh Lisa itu. Akhirnya Lisa mengabaikan panggilan tersebut.

Boyfriend called?” Thia serkap jarang namun Lisa hanya mendiamkan diri seolah-olah tekaan Thia tadi benar. Dia berpura-pura kemas katil. Thia semakin bingung melihat Lisa bagaikan cacing kepanasan.

“Kenapa kau tak angkat?” Terpacul soalan itu dari mulut Thia dengan dahi yang berkerut seribu.

“Err… tak… tak penting pun. Buang masa aje angkat,” jawab Lisa tersekat-sekat. Perasaan gementar tidak dapat dikawal tetapi Thia bukanlah budak tiga tahun enam bulan yang tidak memahami tindak-tanduk temannya itu. Sah! Lisa pasti ada menyembunyikan sesuatu.

“Eh, kenapa kau ni menggelabah semacam aje? Macam ada buat salah pulak.” Thia sengaja menekankan suaranya. Ingin melihat apa tindakan Lisa yang selanjutnya. Dia lihat Lisa mencampakkan telefon bimbit di dada katil. Ada titik-titik keringat membasahi muka temannya itu.

“Tak adalah. Aku…” belum sempat Lisa menghabiskan ayatnya, telefon bimbitnya sekali lagi menjerit lantang. Dia memandang Thia sekilas namun Thia hanya berlagak tidak kisah dengan apa yang berlaku. Dia meneruskan kerjanya tanpa mengambil peduli tentang telefon yang sedang berbunyi nyaring.

Tiba-tiba Lisa keluar dari bilik. Thia hanya menjeling melalui lewat ekor matanya.


BUNYI kicauan burung menyambut kedatangan Raihan. Dia selamat sampai di banglo mewah keluarganya pada pukul dua petang dan pada malam itu, mereka sekeluarga pergi makan malam di rumah TengkuSafura dan Tengku Razif. Abangnya, Rizqi turut sama hadir ke rumah bakal keluarga mertuanya itu. Mungkin nak berbincang mengenai majlis pertunangan yang bakal berlangsung.

Di meja makan, Raihan hanya mendengar perbualan orang tua tanpa mencelah. Dia melihat abangnya seakan dingin melayan keluarga bakal mertuanya. Sepatah disoal, sepatah juga dijawab. Dia pula yang segan melihat Tengku Safura terkial-kial menanya itu dan ini namun tiada respons yang membanggakan daripada Rizqi. Apakah abangnya sedang berduka cita?

Adreena seolah-olah memahami keadaan Rizqi yang tidak bersemangat pada malam itu. Apa saja keputusan, diserahkan kepada Rizqi. Baik dari segi persiapan, tarikh pertunangan, hantaran dan apa jua yang berkisar tentang halnya dan Rizqi, diserahkan bulat-bulat dalam tangan lelaki itu.

“Mana anak dara Saf yang lagi sorang tu? Tak turun makan sekali?” tanya Puan Kamelia kepada bakal besannya dengan ramah. Malam itu masing-masing makan dengan penuh selera.

“Dayana tu baru aje sampai rumah dah nak keluar dengan kawan. Panas punggung duduk dekat rumah ni agaknya,” balas Tengku Safura sambil ketawa kecil.

“Biasalah, Saf. Anak muda sekarang ni memang begitu,” ujar Puan Kamelia bagai memahami sikap remaja masa kini.

“Rizqi pula… kerja macam mana? Semuanya okey? Dengar cerita orang Ireland kita ni bos besar di pejabat,” Tengku Razif memulakan bicara. Hendak bermesra dengan bakal menantunya. Sungguh, dia berkenan dengan Rizqi yang sangat berkerjaya dan serius dalam menjana masa depan. Yakin dengan kemampuan Rizqi menyebabkan dia bersetuju untuk menyatukan Adreena dengan anak sulung Tuan Razak dan Puan Kamelia.

“Alhamdulillah, uncle. Semuanya berjalan lancar. Staf semua tak banyak kerenah pun. Cuma kerja macam ni letih sikitlah. Ke sana ke mari. Tapi dah minat jadi lawyer, terpaksalah telan,” jelas Rizqi tenang diiringi dengan senyuman yang tersungging di bibir.

“Itulah papa suruh Rizqi ambil jurusan perubatan, tak nak. Kalau tidak, boleh bekerja dengan papa di klinik,” Tuan Razak mencelah. Dia merupakan seorang doktor dan mempunyai klinik persendirian dan beberapa buah cawangan lain yang dibuka di serata negeri selain membuka perniagaan butik-butik isterinya di beberapa tempat di semenanjung Malaysia.

Rizqi hanya tersenyum apabila mendengar komen bapanya. Dia tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Cukuplah bapanya saja menggalas gelaran doktor.

Melihat sengihan anak terunanya itu, Tuan Razak menjadi sedikit bengang. “Tengok tu. Orang cakap, dia senyum. Adreena, nanti kamu dah kahwin dengan Rizqi ni, uncle harap kamu banyak-banyaklah bersabar. Dia ni degil sikit tapi tak tahulah dengan kamu nanti dia lembut hati. Yalah, sayang bini,” usik si ayah. Tengku Razif dan isterinya turut menghambur ketawa.

Rizqi menundukkan sedikit wajahnya dan tersenyum kecil menampakkan lesung pipitnya yang dalam. Adreena yang mendengarnya turut tersipu-sipu lantas berpura-pura menuang air ke dalam cawan.

Usai makan malam, Tuan Razak sekeluarga mahu beransur pulang. Belum sempat mereka masuk ke dalam perut kereta, kelihatan ada sebuah kereta Audi A7 berwarna putih masuk ke pekarangan rumah.

Seorang gadis berpakaian baju-T sendat berwarna biru gelap dengan seluar legging berwarna hitam dan berkasut tumit tinggi tiga inci keluar dari pintu kereta. Gadis itu mengenakan cermin mata hitam menampakkan lagi stailnya yang mengancamdengan caranya berjalan ala-ala catwalkmenuju ke arah muka pintu.

Raihan tengadah. Dia terpegun seketika. Bukan kerana terpukau dengan gaya wanita yang berjalan menuju ke arahnya tetapi terpukau dengan kereta milik wanita itu. Ia juga pernah menjadi kereta idamannya. 

Namun tidak kurang hebat dengan apa yang baru dimiliki. Papanya memberi sebuah kereta Volkswagen CC sempena hari jadinya yang ke-18.

Tatkala melihat Raihan seakan-akan melongo melihat dirinya, Dayana melontarkan senyuman dari jauh menampakkan barisan giginya yang putih. Bangga apabila Raihan, lelaki yang dipujanya dalam diam sudah melopong mengamatinya.

Raihan amat kacak di matanya ketika itu dengan t-shirt berkolar berwarna putih berjalur merah dan rambutnya yang disikat rapi serta bibirnya yang merah tanda tidak merokok menambahkan keseksian yang asli. 

Apatah lagi dengan bau wangian yang dipakai oleh Raihan terus menusuk ke lubang hidungnya. Serasa ingin dipeluk tubuh jejaka yang menanti di hadapannya.

Mata Raihan masih lagi tidak lekang memandang kereta berwarna putih kristal yang diparkir sebentar tadi. Dayana pula yang perasan menganggap Raihan memerhatikannya terus saja menerpa ke arah lelaki itu.

“Hai, Raihan! Baru sampai ke? Janganlah tenung I macam tu. Malu tau tak.” Dayana berkata lalu menepuk bahu Raihan. Aksinya kelihatan gedik di mata Raihan.

“Siapa tengok you? I tengok kereta you lah. Cantik. Bila beli?” Raihan selamba menghumbankan kata-kata pedas. Dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluar. Matanya tidak lepas memandang kereta gadis itu.

Serta-merta wajah Dayana bertukar tegang. Cermin mata hitamnya masih tidak ditanggalkan. Dengan sengaja, dia menolak tubuh Raihan dan berlalu pergi mendapatkan Puan Kamelia.

Tubuh Raihan terundur ke belakang setapak. Dia ketawa kecil seolah-olah bangga dapat mengenakan Yaya yang dirasakan manja tidak bertempat. Serentak itu dia terus beredar dari situ dan duduk di kerusi yang terletak bersebelahan dengan kolam renang. Rizqi pula sedang berbual-bual dengan Adreena.

Dayana menghulurkan tangan ingin bersalaman dengan Puan Kamelia.

Sorry, AuntyLia. Tak perasan pula Aunty Lia dengan Uncle Raz ada sekali tadi. Aunty Lia sihat? Ni… aunty dah nak balik ke?” soal Dayana berpura-pura ramah. Diciumnya tangan ibu Raihan. Sempat juga dia mengenakan selendang bagi menutupi dadanya yang sedikit terdedah.

“Alhamdulillah. AuntyLia sihat aje. Ya, aunty dah nak balik dah baru dapat jumpa Yaya. Ni… Yaya baru balik dari mana?” Puan Kamelia senyum biarpun tidak terasa mahu tersenyum.

“Yaya baru aje balik dari rumah kawan. Study sikit. Yalah… habis saja cuti nanti Yaya ada exam. Itulah susahnya study dekat universiti tempatan ni. Fixed time ikut jadual. Yaya suruh mama hantar Yaya belajar luar negara, mama yang beria tak bagi. Tak tahulah kenapa dengan mama tu. Kak Adreena boleh pulak.” Panjang lebar komen daripada Dayana atau lebih mesra dipanggil Yaya. Bibirnya muncung ke depan.

Puan Kamelia hanya menganggukkan kepalanya. “Tak apalah, Yaya. Lagipun Yaya belajar kat luar negara jauh dari rumah. Kalau kat sini, apa-apa hal berlaku senang nak balik. Dekat dengan mama dengan papa,” jawab Puan Kamelia membela Tengku Safura.

“Mama dengan papa tu berat sebelah, aunty. Kak Adreena boleh pulak mereka lepaskan. Pada Yaya, mereka langsung tak offer nak study di mana. Bukan apa, kawan-kawan Yaya di sekolah dulu semua belajar dekat luar negara. Yaya rasa macam low class sangat belajar dekat-dekat sini aje. Tak mencabar langsung,” rungut Yaya main lepas saja.

Puan Kamelia yang mendengar terasa berdesing telinganya. Kepalanya berat bagai dihempap batu yang besar. Ah! Yaya memang sudah melampau.

“Kenapa Yaya cakap macam tu? Anak Aunty Lia pun belajar di universiti tempatan aje tau. Tak adanya semua orang yang belajar di luar negara tu high classsangat. Semua sama. Yang penting niat tu ikhlas nak belajar. Bukan ikut tempat!” Agak keras suara Tengku Safura mencelah.

Yaya terasa seperti badannya kena gilis. ‘Oh! Raihan belajar kat Malaysia aje? Bukan dia nak pergi UK ke hari tu?’ soal hati Yaya. Dia menggigit bibirnya lantas menekur ke lantai. Tidak sangka Raihan melanjutkan pelajaran di universiti tempatan juga. Dia sangka selama ini, Raihan ikut jejak langkah abangnya, Rizqi yang belajar di Ireland. Aduh! Malunya!

“Err… sorry, aunty. Maksud Yaya bukan macam tu sebenarnya. Yaya… Yaya…” Cukuplah ayatnya berhenti di situ. Tengku Safura hanya menggelengkan kepalanya melihat gelagat anak daranya yang seorang lagi. Jauh berbeza dengan kakaknya yang sulung.

“Tak apalah, Saf. Biasalah budak-budak. Kadang-kadang nak ikut kawan juga. Okeylah… auntynak balik dulu. Nanti kalau senang jemputlah datang ke rumah,” pelawa Puan Kamelia mesra. Setelah itu mereka sekeluarga beredar dari pekarangan rumah Tengku Razif.

Sebelum pulang, sempat Raihan mengenyitkan matanya ke arah Yaya yang mencuka. Dia sengaja melambai tangan kerana dia memang suka menaikkan darah tinggi Yaya.

Raihan dan Rizqi menaiki kereta bersama kerana mereka cadang mahu mencuci mata melihat geng-geng Raihan beraksi dengan skateboard. Jadi, mereka dan kedua-dua ibu bapanya berpisah di situ.

Di dalam kereta, Puan Kamelia menyambung bicara mengenai sikap Yaya pada suaminya. Apa yang dia tidak puas hati, perlu diluahkan.

“Saya tak berkenan sangatlah dengan anak dara Saf yang lagi sorang tu, bang. Seksi semacam. Gedik pulak tu. Isy! Janganlah Raihan berkenan dengan budak tu. Berbeza dengan kakaknya yang pendiam, sopan aje. Sebab tu agaknya Saf dan Razif tak berani nak hantar anak dia tu ke luar negara. Takut perangainya makin menjadi-jadi pula,” ulas Puan Kamelia berkisar tentang Yaya. Mukanya berkerut semasa bercerita.

“Biarkan ajelah budak tu. Masih berdarah muda… mestilah fikir nak enjoysaja. Awak yang mengumpat ni tak pasal-pasal saya dapat dosa kering jugak. Apa kata awak terus aje nasihatkan dia,” luah Tuan Razak tenang sambil memandu.

“Saya bukan mengumpat, bang. Saya cuma meluahkan pendapat saja. Tak salah, kan? Memang saya tak berkenan dengan budak tu. Macam tak cukup sifat pun ada. Yalah, pakaian dia pun macam tak cukup kain. Sendat sana sini. Entah betul entah tidak pergi studydekat rumah kawan. Gaya macam pergi disko saja saya tengok. Itulah anak muda sekarang. Umur baru setahun jagung dah pandai melaram. Pakai baju yang tak cukup kain. Bukan lawa pun. 

Adreena tak pun macam tu. Walaupun bertahun di luar negara, still pandai pakai yang sopan-sopan. Kalau saya ada anak perempuan macam tu, dah lama saya titik punggungnya. Biar sedar diri sikit. Pakai macam tu tak ke diumpat oleh jiran tetangga,” berjela kritikan Puan Kamelia. Sekali pakej dengan gaya tangan. Boleh berkawan dengan Karam Singh Walia rasanya.

“Mengucap banyak-banyak, Lia. Cuba beristighfar sekejap. Awak ni dah jauh sangat perginya. Awak membebel panjang pun bukan budak tu dengar. Telinga saya ni yang bernanah dengar awak membebel,” marah Tuan Razak. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila isterinya memalingkan wajah. Kadangkala bebelan isterinya bagaikan tiada penghujung. 

Kalau boleh sampai raya tahun depan pun tidak habis lagi bercakap mengenai Yaya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin