Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 17

Bab 17

WAJAH Tengku Safura pucat lesi. Dia saling berpandangan dengan Puan Kamelia yang jelas rasa bersalah. Dia menjeling semula ke arah Rizqi yang sedang terketar-ketar. Sesekali pandangannya melorot pada Adreena yang sedang menundukkan wajah, enggan bertatapan dengan sesiapa. Hatinya kian diserbu pilu.

Tengku Razif pula tidak mampu berbuat apa-apa. Keputusan Rizqi ingin membatalkan perkahwinan dengan anak gadisnya telah menimbulkan seribu macam persoalan dan kekecewaan.

“Saya dan isteri sebagai ibu bapa kepada Rizqi amat kesal dengan apa yang berlaku tapi kami pun tak mahu terus berdiam diri. Jika kami tak berterus terang, lagi kami rasa bersalah,” tutur Tuan Razak tenang. 

Dia mahu bersikap lebih terbuka supaya keluarga Tengku Razif dapat menerima keputusan Rizqi untuk membatalkan perkahwinan tanpa ada calar di hati.

“Ya Saf, Razif. Lia juga terkilan tak dapat nak berbesan dengan kamu berdua tapi apa yang kami boleh buat. Anak-anak kita dah tertulis tiada jodoh. Lia harap sangat-sangat pada Saf dan juga Razif, janganlah berkecil hati. Niat kami ikhlas datang ke sini untuk berterus terang sebelum kamu berdua menyiapkan sebarang persediaan untuk perkahwinan. Kami sekeluarga benar-benar minta maaf,” Puan Kamelia mencurahkan isi hati.

Tengku Razif berkali-kali melepaskan keluhan berat. Dia kecewa tidak dapat bermenantukan Rizqi.

“Saya hormat keputusan Rizqi untuk membatalkan perkahwinan cuma saya rasa sedikit terkilan sebab kami nak tau juga mengapa Rizqi membuat keputusan sebegitu? Adakah Adreenaa tidak layak untuk jadi isteri Rizqi?” serkap Tengku Razif. Jelas menyorot suaranya yang kecewa. Anak matanya menyambar reaksi Rizqi yang takut-takut saja.

Rizqi menelan air liurnya, pahit. Dia mengambil gelas berisi air jus di hadapannya lalu mengocak perlahan. Dia meneguk sedikit untuk menghilangkan rasa gugup.

“Hmm… sebelum Rizqi berkata apa-apa yang boleh buat aunty, uncle dan juga Adreena terasa hati, Rizqi mohon maaf terlebih dahulu,” ujar Rizqi setelah membisu selama beberapa minit sejak tiba di rumah mertua tak jadinya. Dia memandang sekilas ke arah Adreena yang hanya menundukkan wajah. Tertumpah rasa simpatinya pada gadis itu.

“Kenapa Rizqi bertindak untuk membatalkan perkahwinan, tiada kena-mengena dengan Adreena mahupun uncle dan aunty. Salah Rizqi sendiri kerana masih lagi tak bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat ni. Masih banyak lagi benda yang Rizqi kena uruskan sebelum Rizqi buat keputusan untuk berkahwin. 

Tapi ini tak bermakna Rizqi langsung tak nak berkahwin. Rizqi masih menunggu masa yang sesuai. Lagipun Rizqi tak nak Adreena terlalu lama menunggu Rizqi. Yalah, Adreena cukup cantik, muda, berkerjaya, mesti boleh dapat lelaki yang jauh lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suaminya. Sekali lagi Rizqi minta maaf sangat-sangat,” lembut saja suara Rizqi menerangkan.

Sudah lama dia menyusun ayat itu. Dia siap buat sembahyang hajat semoga keluarga Adreena dapat menerima keputusannya dengan hati yang terbuka. Biarpun lagaknya tampak tenang namun peluh tetap memercik di seluruh tubuhnya. Sesekali tangannya mengelap peluh di dahi.

Tubir mata Adreena sudah bergenang apabila mendengar kata-kata Rizqi sebentar tadi. Ternyata Rizqi langsung tidak mencintainya walaupun secebis. Dia ingin pergi dari situ. Bimbang sekiranya air mata akan deras mengalir bila-bila masa saja. Dia tidak mahu berkata apa-apa jauh sekali untuk memprotes. Hanya diam dan terus memendam rasa.

Rizqi sedar Adreena enggan bertentang mata dengannya. Namun dia tidak sampai hati untuk menipu gadis itu dengan mewujudkan suatu hubungan yang bakal mencipta kedukaan sekiranya dia gagal mencintai Adreena kelak sebagai isterinya.

Setelah selesai berbincang dan makan tengah hari, Rizqi berdua-duaan dengan Adreena di taman bersebelahan dengan kolam renang. Dia ingin berbincang dari hati ke hati pula tanpa gangguan sesiapa.

Adreena mengajak Rizqi duduk di kerusi buaian. Melihat panorama air terjun buatan manusia bersebelahan dengan kolam renang yang luas memberi sedikit ketenangan kepada dua jiwa yang bercelaru.

“Riz, cuba tengok air terjun tu. Deras, kan? Begitulah cinta Reena pada Riz. Ia tetap deras mengalir dan tak pernah surut.” Pertama kali Adreena mengungkapkan kata cinta tanpa disorok-sorok cukup buat Rizqi terpana. Rizqi menoleh dan mengamati raut wajah Adreena.

‘Jika sebelum ni aku malu untuk berterus-terang, biarlah kali ni aku menterjemahkan cinta buat kali pertama dan terakhir. Semoga ia terus kekal dalam ingatan kau, Riz,’ bisik hati Adreena penuh duka.

“Reena, Riz… Riz minta maaf. Riz tak sangka semua benda ni akan terjadi,” Rizqi menggeleng kepalanya lemah. Dia menghela nafasnya lama-lama dan melepaskan perlahan-lahan. Hatinya dipagut rasa bersalah yang teramat sangat.

“Riz tak perlu minta maaf pada Reena. Dah tersurat kita memang tak ada jodoh. Siapalah kita nak mencabar takdir ALLAH, kan?” jelas Adreena dengan nada yang sedikit bergetar menahan sebak. Dia mengusap lembut jari jemarinya. Cincin tanda merisik di jarinya masih tidak ditanggalkan.

Rizqi senyap. Suasana membungkam sepi antara mereka.

“Riz, boleh Reena tanya something?” Reena menoleh. Rizqi segera memanggung kepala seraya mencari anak mata Adreena di sisinya.

“Em… tanyalah.” Rizqi kembali menunduk.

Adreena mengetap bibirnya. Mengambil masa untuk meluahkan segala persoalan. Dia ingin bersikap lebih matang biarpun di hati sendiri bagaikan dicakar-cakar.

“Siapa perempuan bertuah yang bertakhta dalam hati Riz? Boleh Reena tahu?” soal Adreena tiba-tiba. Dia tahu Rizqi mencintai seseorang. Dia cukup dewasa untuk menilai semua itu. Tidak mungkin Rizqi membatalkan perkahwinan semata-mata tidak cukup bersedia. Sekalipun Rizqi belum bersedia, mungkin Rizqi hanya minta tarikh perkahwinan mereka ditangguhkan tetapi tidak membatalkannya terus.

Rizqi dengan mendadak menoleh Adreena semula. Soalan yang ditanya bagai tersembunyi suatu hakikat yang benar. Jelas sangatkah air mukanya?

“Riz tak perlulah pandang Reena macam tu. Reena bukan nak makan Riz pun kalau Riz cerita pada Reena pasal gadis tu. Reena ikhlas nak tahu,” teguran Adreena membuatkan Rizqi tergelak kecil. Tentu Adreena tahu dengan wajah kalutnya itu, benarlah telahan gadis itu tadi.

“Riz baru saja kenal dia dan Riz tak sangka boleh jatuh hati pada dia. Dia terlalu muda untuk Riz tapi entahlah… dia lain. Riz rasa dia… dia sangat istimewa buat Riz,” jelas Rizqi dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Wajah Thia melekat di seluruh ruangan matanya.

Adreena yang melihat senyuman Rizqi berasa cemburu dengan gadis itu secara tidak langsung namun cepat-cepat dia beristighfar. Rasa cemburu daripada syaitan akan membawa perbalahan sekiranya tidak dikawal.

“Berapa umur dia?” Adreena ramah bertanya.

“Err… 19. Masih menyambung pengajian,” jawab Rizqi mendatar.

Adreena agak terperanjat. Gadis itu memang terlalu muda untuk dibandingkan dengan Rizqi yang sudah pun menganjak 30-an.

“Oh, muda lagi. Mesti kalau Riz nak kahwin pun, tunggu dia habis study lah, kan? Sanggup ke pak cik tunggu?” gurau Adreena menceriakan suasana. Dia mula menerima hakikat sebenar walaupun hatinya masih berduka. Tiba-tiba hatinya jadi tidak keruan untuk bersemuka dengan gadis yang diidamkan oleh Rizqi itu.

“Janganlah panggil pak cik. Tua sangatlah, Reena. Em… Insya-ALLAH, ada jodoh… tahun depan pun menjadi, kan?” Rizqi mula selesa untuk berbual seperti biasa apabila Adreena sudah bergelak ketawa. Sesungguhnya hati Adreena terlalu suci. Tidak marah walau apa yang berlaku. Dalam diam dia bangga dengan sikap Adreena yang sangat tenang dan matang.

Adreena menganggukkan kepala. “Ya, kalau dah tertulis jodoh Riz dengan dia esok, esok jugalah Reena merasa nasi minyak Riz.” Adreena mengusik Rizqi.

“Nasi minyak? Tak naklah. Riz nanti kalau kahwin nak buat BBQ aje. Jimat kos. Jemput ahli keluarga dan saudara-mara terdekat aje. Reena mesti kena datang.”

“Hah? BBQ aje? Hee… kedekutlah Riz ni. Kesian bakal isteri Riz tu sebab dapat Riz yang kedekut tahi hidung masin ni. Fuh! Nasib baiklah Reena tak jadi kahwin dengan Riz. Kalau tak, makin keringlah badan Reena ni. Lemak tak sempat nak melekat,” Adreena berseloroh. Agak kasar gurauannya.

Rizqi sudah ketawa terkekeh-kekeh mendengar bebelan Adreena. “Yalah… Riz jimat pun untuk isteri Riz jugak. Mana tahu dia nak hantaran gelang emas berbakul-bakul. Kereta Ferrari ke… tak ke haru-biru jadinya.” Adreena tersengih saja mendengar ulasan Rizqi.

“Ala… kata sayang, mestilah kena ikut cakap. Baru isteri sayang,” ujar Adreena penuh semangat. Dia melihat Rizqi mengangguk saja dan menoleh ke arahnya.

“Yalah, Reena. Betul apa Reena cakapkan tu. Tak dapat disangkal lagi. Dah ada pengalaman, kan?” usik Rizqi sambil mencuit hidung Adreena. Serentak itu tangan Adreena mencubit paha pejal Rizqi.

“Malaslah Reena nak layan Riz lagi. Reena masuk dalam dululah,” ujar Adreena sambil mengangkat punggungnya dari buaian untuk beredar namun segera ditahan oleh Rizqi. Dia terduduk semula dan memandang Rizqi dengan serius.

“Reena, terima kasih kerana memahami Riz. Riz rasa bertuah dapat berkawan dengan Reena. Riz tak tahu nak cakap apa. Riz terharu sangat Reena masih sudi berkawan dan bergurau-senda dengan Riz. Sedangkan Riz… Riz dah…” Cukuplah sampai di situ apabila Adreena menggeleng perlahan dan jari telunjuknya di bibir Rizqi, enggan membenarkan lelaki itu melanjutkan kata-kata.

“Reena tak nak dengar apa-apa lagi. Reena sayang Riz sebab tu Reena tak nak putuskan persahabatan kita walaupun kita tak jadi kahwin. Menyayangi tak semestinya bersama, kan?” ujar Adreena lembut di telinga Rizqi. Dia kemudiannya langsung melangkah pergi.

Rizqi membiarkan lenggok tubuh Adreena hilang di pandangan. Dia masih berteleku di buaian. Akhirnya dia tersenyum lega kerana segala-galanya sudah selesai dengan cara baik. Terima kasih, Adreena, desis hatinya bahagia.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin