Bab 23 (Part 2)
“THIA… saya nak cakap sikit dengan awak,” rayu Hafiz langsung menarik tangan Thia.
Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke khemah apabila sebuah rakit telah
berjaya disiapkan dengan hasil tangan yang cukup kemas walaupun mereka yang
menghasilkannya bukan daripada mereka yang berpengalaman. Tepat pukul 6.00
petang mereka mula bersurai.
Sebenarnya, kerja yang sepatutnya boleh siap lebih
awal menjadi lambat gara-gara Thia yang terkial-kial mengikat rakit. Dia memang
tidak boleh mendatangkan untung.
“Aduh! Nak apa lagi awak ni? Rimas tau tak… rimas!” jerkah
Thia kasar. Dia merentap tangannya dari pegangan Hafiz. Mukanya kelat dan
berbisa. Bosan barangkali dengan sikap Hafiz yang tidak pernah jemu
mengacaunya.
Suasana makin sunyi dan sepi di situ. Hafiz sempat
mengerling kawan-kawannya seketika yang makin menjauh. Misinya bakal terlaksana
apabila hanya ada dia dan Thia saja di situ.
“Thia sudi tak jadi girlfriendsaya? I’m in
love with you, Thia. No doubts!” sapanya tanpa rasa gentar. Dia
tidak mahu berkias-kias lagi. Dia letih mengejar Thia yang sentiasa berkeras
hati dengannya.
Thia melongo mendengar kata-kata Hafiz itu tadi. “What
the…? Eh, awak dah gila ke apa?” tengking Thia melulu. Dia mula memalingkan
tubuhnya ingin meninggalkan Hafiz.
Hanya beberapa langkah, dia terasa tangannya
direntap kembali.
“Thia, tolonglah. Saya betul-betul sukakan Thia.
Kenapa Thia susah sangat nak faham?” luahnya tanpa dipaksa-paksa. Tindakannya
sudah di luar kawalan.
“Kau ni gila! Kau lepaskan aku sekarang. Kalau tak aku
menjerit! Lepas!” Thia mula beraku kau. Dia meronta-ronta minta dilepaskan
namun pegangan Hafiz semakin kejap dan kukuh.
Sakit sudah pergelangan
tangannya. Sejurus itu, dia teringat pisau Rambo di dalam beg. Ahah! Keselamatan
diri makin terjamin.
“Saya takkan lepaskan Thia selagi Thia tak balas cinta
saya,” ujarnya berbaur ancaman. Dia menarik Thia lagi rapat. Thia pula semakin
resah. Panik! Lebih-lebih lagi sekarang dia berada di dalam hutan. Berdua-duaan
saja dengan Hafiz yang sudah pun berubah seperti singa kelaparan kasih sayang.
“Okey, relaks dulu. Tarik nafas, lepaskan tangan saya.
Saya tak boleh jawab kalau awak macam ni. Takut tau tak!” Thia berdalih. Dia
tidak mahu berkasar.
‘Karang dia heret aku ke dalam semak, lagi haru. Ya ALLAH…
lindungi hamba-Mu ini,’ mohon Thia bermunajat kepada Tuhan. Sungguh, dia mula
ketakutan.
Hafiz mula melonggarkan cengkaman pada tangan Thia. “Thia
terima saya tak sebagai kekasih Thia?” tekannya lagi. Dia mahu Thia menyatakan
‘ya’ saja. Sekalipun Thia tidak menerima, dia akan paksa Thia dengan kekerasan.
Biarlah apa pun yang terjadi.
Thia menelan air liurnya, pahit dan masam.
‘Dia ni
cakap senang aje. Kut ya pun nak ajak couple, bagilah teddy bear
ke, bunga tahi ayam dekat tepi-tepi ni pun aku bantai aje. Tak ada inisiatif
langsung nak mengurat cara mahal. Ni nak menggertak pulak. Apa muka aku ni ada
iras-iras penyangak antarabangsa ke?’ Thia merungut di dalam hati.
“Macam mana saya nak suka awak? Terima cinta awak?
Awak ni suka memaksa. Takut saya nak terima. Take it easy, okay?
Mengucap. Takkan lari gunung dikejar,” Thia masih bersikap tenang. Dia harus
tenang untuk menenangkan Hafiz yang sekarang tidak ubah seperti perogol bersiri
7. Lantas jarinya dipetik dan menyambung kata lagi.
“Ha… apa kata kita pergi makan dulu. Perut kenyang, hati
pun berbalas sayang,” ajak Thia pantas. Dia tergelak dalam hati. Peribahasa
mana yang dia kutip pun, dia tidak tahu.
“Thia ingat saya ni budak kecik?” Hafiz tenang
berkata. Dapat menangkap jerat Thia. Sesungguhnya dia bukan budak 5 tahun yang
berhenti menangis apabila disogok dengan gula-gula.
Thia gigit jari. Tak sangka Hafiz itu cerdik orangnya.
Ingatkan sama adik-beradik dengan MR. Bean. Oh, tersalah menduga rupanya.
“Awak, saya janji saya takkan lari. Lepaskan tangan
saya, boleh? Awak tak kesian pada saya ke? Darah saya tak mengalir dengan baik
kalau awak asyik genggam nadi saya. You’re hurting me. The circulation is
stuck in here. You know the biology rules,” Thia berpura-pura marah pula.
Matanya sengaja dibesarkan lagi.
Hafiz makin rakus merenung Thia dengan pandangan yang
sukar diertikan. Dia benar-benar terpikat dengan Thia. Bibir Thia yang
merah-merekah dijeling tajam. Thia nampak lebih menyerlah hari ini.
“Thia nampak cantik sangat. Kenapa?” Tiba-tiba Hafiz
bersuara romantis. Dia memandang tepat anak mata Thia. Tangan kanannya cuba menyelak
rambut Thia ke belakang, sedikit menggoda. Namun Thia cepat-cepat menjauhkan
kepalanya.
‘Aku tengah marah, dia masih lagi nak menggoda aku.
Sah, kau ni gila hukum masuk Hospital Tampoi! Tak pun kau tinggal terus dalam
hutan ni, kawan dengan beruk sebab perangai kau dengan beruk tak jauh beza
pun,’ Thia mendongkol geram dalam hati. Mahu dilepaskan kata-kata itu, bimbang
dia menjadi korban nafsu serakah Hafiz pula.
“I’m begging you now. Please let me go. I will not
trying to escape. Trust me,” pujuk Thia lembut. Dia menganggukkan kepalanya
apabila wajah Hafiz jelas menunjukkan bahawa lelaki itu masih tidak percaya.
“Okey, saya lepaskan.” Hafiz akhirnya melepaskan
cengkaman. Percaya pada Thia.
Selamat! Thia menghempas nafas lega. Dia mengurut
sedikit pergelangan tangannya bagi memastikan darah mengalir seperti biasa.
Hafiz pula masih setia menanti jawapan Thia.
Suasana menjadi hening. Diam Hafiz…
diam menanti, diam Thia… diam mengatur strategi.
“Kan lebih selesa berbual macam ni. Sekarang awak
tarik nafas panjang-panjang dulu supaya otak awak terima oksigen dengan baik.
Macam ni.” Thia menghela nafasnya lama dan melepaskannya dengan pantas. Mengajar
Hafiz supaya bertenang.
“Sekarang awak buat pulak,” arah Thia bersemangat
sedangkan hatinya bergolak hebat! Dia takut sekiranya taktiknya tidak menjadi.
“Okey, sayang,” jawab Hafiz mengikut kata. Bebola
matanya bersinar-sinar. Dia mula lakukan seperti apa yang dilakukan oleh Thia
sebentar tadi. Dalam pada masa yang sama, Thia mula mengira 1,2,3 di dalam
hati. Dia ingin melarikan diri ketika Hafiz sedang menghela nafas.
Apabila Hafiz mula menutup mata, Thia pun berpaling dan
berpusing melarikan diri sekuat hatinya. Apa pun yang terjadi, dia takkan biarkan
Hafiz berjaya mendapatkannya. Laju kakinya melangkah sehingga mengeluarkan
bunyi.
Hafiz tersedar apabila derap tapak kaki Thia
kedengaran menyapa di telinganya namun ketika itu Thia sudah lima belas meter
jauh darinya. Dadanya berombak kencang. Tidak sangka Thia sampai hati menipu
dirinya. Ah! Dia sekadar diperdayakan!
***