Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 24

Bab 24

“UHUK… uhuk!” Raihan terbatuk campur tersedak. Mana tidaknya, ketika dia sedang minum air, tiba-tiba dia ternampak gerak tubuh Thia yang berlari macam puting beliung!

“Kenapa? Macam nampak jembalang tanah aje kau ni?” teka Farris apabila melihat Raihan tersedak dengan mata terbuntang besar memandang ke suatu sudut. Agak buruk mukanya ketika itu.

“Memang pun,” jawab Raihan selamba namun matanya masih tidak lepas memandang Thia. Mukanya sarat dengan tanda tanya.

“Kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi tangkap jembalang tanah tu.” Raihan terus meninggalkan Farris terpinga-pinga sebelum dia menyuakan soalan.


THIA sedang lari pecut ketika Raihan menunggunya di hadapan. Dia terkejut namun untuk berhenti, tidak sesekali. ‘Singa kelaparan’ ada di belakang!

Apabila makin menghampiri, Thia memperlahankan langkah kakinya. Yakin dengan keselamatan dirinya apabila berhadapan dengan Raihan. Ya, dia yakin sekali!

Akhirnya Thia berhenti betul-betul mengadap Raihan yang sedang bercekak pinggang ala-ala Sivaji The Boss! Dia termengah-mengah di hadapan Raihan. Tangannya mengurut dada yang berombak kencang.

“Aku… aku…” Thia tercungap-cungap tetapi masih ingin berkata-kata. Dia membongkok namun tiba-tiba dia mengangkat tangannya dan…

Pang!!! Thia melempang Raihan. Berpusing 360 darjah kepala Raihan tak semena-mena. Pedih juga tangannya kerana tamparan tadi. Ah! Puas hatinya sekarang.

Raihan memegang pipinya. Perit! Terasa seperti pipinya baru terkena seterika panas. Dia tidak bohong. Memang sakit sangat-sangat!

“Kau… kau apa hal lempang aku?!” herdik Raihan nyaring sekali. Dia masih memegang pipi kirinya. Mukanya macam mahu menangis pun ada.

“Sebab apa aku lempang kau? Sebab kau kurang ajar!” tempelak Thia kembali sambil menuding jari ke muka Raihan. Nasib baik ketika itu tapak perkhemahan jauh sikit dari mereka. Kalau tidak mahunya orang ramai letak kamera dekat kiri dan kanannya.

“Aku kurang ajar? Apa yang aku dah buat dekat kau sampai kau tak pasal-pasal nak lempang aku??” soalnya lantang seperti tadi. Mencerlang matanya memandang Thia.

Thia ketawa angkuh. “Sebab kawan kau yang kasanova tu! Kau memang buat silap besar, Raihan. Kau tahu tak apa kawan kau buat pada aku dalam hutan tadi? Dia ugut aku! Semua salah kau! Kalau kau tak bagi dia ambil alih tempat kau pagi tadi, dia takkan berani nak dekat dengan aku, nak ugut aku! Dan aku takkan tahu isi hati kau!” Thia meninggikan suara melepaskan segala amarah yang terbuku.

“Dia ugut kau? A… apa isi hati aku? Aku tak faham,” suara Raihan mula kendur. Dia sebenarnya terperanjat dengan apa yang dia dengar dari mulut Thia. ‘Hafiz mengugut Thia? Kenapa?’ Tiba-tiba dia berasa kasihan pada Thia. Secebis cuma kerana masih tidak tahu perkara sebenar yang berlaku. Dia masih kabur.

“Kau tak payah nak berdrama dekat sini. Ni bukan Slot Akasia ke... atau apa pun. Aku tak suka kau dan kawan kau yang kasanova tu. Aku meluat dengan kau orang berdua! Kau dengan dia sama aje. Aku bukan anak patung yang kau boleh sorong sana sini. Aku ada perasaan. Tapi buat apa aku nak cakap semua ni pada kau. Kau bukannya manusia yang ada perasaan pun, kan?” berani Thia berkata-kata.

“Kau cakap depan cermin ke? Aku tak rasa perempuan macam kau ni ada perasaan. Tengoklah cara kau bercakap dengan aku. Kasar! You are such a heartless woman that I have ever met. Entah apa ubat pengasih yang kau bagi dekat Hafiz sampai dia tergila-gi…”

Pang!!! Sekali lagi pipi Raihan menjadi mangsa tangan Thia biarpun belum sempat Raihan menghabiskan ayat. Mata Thia sudah berkaca-kaca.

Raihan dapat melihat mata Thia yang sudah bergenang. Dia terkedu campur rasa sakit di pipinya.

“Memang kau cipta perang dengan aku… Muhammad Akif Raihan,” perlahan Thia berkata. Dia menolak tubuh Raihan ke belakang. Dia segera berpaling dan berlari masuk ke hutan semula. Tangannya menyeka air mata yang semakin deras mengalir. Dia berlari dan terus berlari. Kakinya hanya melangkah walaupun tiada destinasi yang pasti ingin dituju.

Setelah penat berlari, Thia berteleku lama di suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dia terduduk lesu. Kedua-dua belah tapak tangannya menangkup di muka. Dia rasa seperti maruahnya di hujung kaki Raihan… yang bila-bila masa akan disepak dan diterajang.

‘Patut ke dia tuduh aku bagi ubat pengasih pada Hafiz? Bentuk ubat pengasih pun aku tak pernah tahu. Argh! Tergamak dia tuduh aku macam tu? Biarlah... aku tak nak tengok muka dia lagi. Dia boleh berambus dari hidup aku!’ nekad hati Thia terhadap perasaannya sekarang.


MALAM tiba. Raihan, Hafiz dan Farris keluar dari khemah apabila ada siren berbunyi. Pelik! Selama ini mana ada pakai siren. Fikir Farris. Sejurus itu dia mengusik bahu Raihan.

“Kenapa tiba-tiba pakai siren ni? Ada cabutan bertuah ke?”

Raihan menjeling tajam ke arah Farris yang sudah tersengih-sengih. “Taklah. Ada konsert Amy Search kejap lagi dekat sini,” balas Raihan selamba. Giliran Farris pula menjelingnya tajam.

“Mana Thia ni...” Suara halus menyapanya membuatkan Raihan menoleh. Telinganya menangkap nama Thia di bibir Hafiz sangat jelas.

Kelihatan Hafiz melilau pandangan seolah-olah mencari seseorang yang mungkin tidak menjelma sejak tadi. Kemudian dia bertanya.

“Cari Thia?”

Yes.” Hafiz masih meliarkan pandangan.

Raihan menarik nafas panjang dan menghembus pantas. “Kau ugut apa kat dia petang tadi?” soalnya pula. Dia marah pada Thia yang menampar pipinya sebanyak dua kali namun dia lebih marah pada Hafiz yang mengugut Thia di dalam hutan.

Hafiz berpaling memandang Raihan. Pelik kerana Raihan tahu apa yang dia telah lakukan kepada Thia. Namun air mukanya cuba mengawal rasa terkejut.

“Ugut apa pulak ni? Kau jangan nak merepeklah. Buat apa aku nak ugut bakal bini aku tu. Aku belai dia lagi adalah,” jawab Hafiz mudah. Sungguh tenang riak mukanya.

Raihan mengecilkan anak matanya seraya memandang Hafiz yang sudah berangan jauh.

“Assalamualaikum. Kami minta anda semua jangan panik dan berdiri di tempat masing-masing. Sekarang, kami telah menerima aduan tentang kehilangan seorang pelajar perempuan yang bernama Rana Fathiah binti Muhammad Adam. Sesiapa yang berjumpa dengan pelajar tersebut buat kali terakhir, sila tampil ke hadapan. Jangan bimbang, kami hanya mahu tahu dan menyiasat. Kerjasama anda amat diperlukan untuk menyelamatkan satu nyawa. Insya-ALLAH,” suara Encik Mokhtar lantang menggunakan siren.

Raihan sudah tergamam, Hafiz sudah kaku dan Farris pula… menguap besar!

Kemudiannya, Raihan dan Hafiz saling berpandangan. Mereka seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi lidah mereka kelu untuk berkata yang benar.

“Fiz, aku nak pergi cari Thia. Aku yang bersalah. Dia lari sebab aku.” Raihan berterus-terang. Tanpa menunggu sebarang komen daripada Hafiz, dia terus berlalu pergi dan masuk ke khemah untuk mengambil lampu suluh, begnya, telefon bimbit dan beberapa barang penting yang perlu dibawa. Ketika dia keluar dari khemah, Hafiz pantas menahannya.

“Kau nak buat apa cari dia? Biarkan aje pihak bomba yang cari,” ujar Hafiz tanpa rasa bersalah. Entah kenapa, Raihan terasa seperti mahu menumbuk muka Hafiz yang terpacak di depannya.

“Kau tak nak cari, itu kau punya pasal. Aku dah bersalah pada dia, jadi aku nak pergi cari dia sekarang.” Raihan terus melangkah namun Hafiz segera menahannya kembali.

“Kenapa kau pulak yang rasa bersalah?” tanya Hafiz. Sungguh dia pelik melihat Raihan beria-ia mahu mencari Thia. Farris pula terkejut melihat Raihan kelam-kabut dengan beg sebesar alam diangkutnya sekali.

“Kau nak pergi mana ni?” soal Farris dengan keningnya sedikit terangkat.

Raihan memandang Hafiz dan Farris.

“Nanti aku cerita. Aku pergi dulu. Assalamualaikum,” balas Raihan cepat-cepat. Farris dan Hafiz berpandangan sesama sendiri.

Raihan secara senyap-senyap menuju ke dalam hutan. Bukan tidak mahu memaklumkan kepada pensyarah-pensyarah yang ada tetapi dia amat pasti, jika dia memaklumkannya mustahil dia dibenarkan masuk ke dalam hutan. Silap-silap mereka yang ada akan disuruh pulang ke rumah masing-masing.

Ternyata Raihan rasa bersalah kerana disebabkan dialah Thia menangis dan masuk ke dalam hutan sebelum berita kehilangan gadis itu diterima.

‘Ya ALLAH… Kau selamatkan Thia walau di mana pun dia berada sekarang,’ bisik hatinya ikhlas.


THIA kalut. Sudah berbaldi-baldi air matanya mengalir namun dia masih lagi tidak menemukan jalan keluar. Hari sudah pun gelap. Rasa takut makin menyentap tangkai hatinya. Mulutnya terkumat-kamit membisikkan kalimah ALLAH dan surah-surah yang dihafal. Sungguh dia buntu! Telefon bimbitnya pula tiada liputan!

“Tolong!! Tolong!! Tolong!!!” jerit Thia buat sekian kalinya. Dia menangis lagi kerana selain menangis, berlari dan menjerit, dia sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi di situ.

‘Ya ALLAH…bantu aku. Aku takut… Ya ALLAH,’ bisiknya lemah. Dia meneruskan perjalanan walaupun tidak pasti dengan destinasi yang dituju. Hanya gelap sahaja matanya. Kiri dan kanan sudah tidak membezakannya lagi.

Thia tidak mahu berterusan di dalam hutan. Dia tidak mahu berputus asa lantas dia berlari dan terus berlari sehingga satu saat, dia terjatuh teruk kerana keadaan tanah yang sedikit curam ketika itu. Dia tergolek beberapa meter dan terhenti apabila lututnya terhentak kuat pada batu! Tersiat kulitnya.

“Ya ALLAH!” rintihnya kesakitan. Matanya terpejam seketika. Perit sungguh apa yang dirasa ketika itu. Dia mengerekot sambil memegang lututnya. Air matanya merembes keluar tanpa henti. Kesakitan yang dialami menyulitkan lagi keadaan.

“Ibu! Sakit!” Thia mengerang kesakitan. Dengan perlahan dia menarik kaki seluarnya. Dia dapat lihat cecair merah yang mengalir di lututnya dalam kesamaran cahaya malam. Serentak itu dia meraung sekuat hatinya. Sudahlah terperangkap di dalam hutan keseorangan, keadaan dirinya pula sudah tidak stabil. Lututnya terasa berdenyut pedih.

‘Ya ALLAH… Ya Tuhanku. Kau selamatkanlah aku, Ya ALLAH. Aku tahu ini semua balasan daripada Kau di atas dosa-dosaku selama ini. Tolonglah, Ya ALLAH. Aku mohon. Tunjukkan aku jalan keluar,’ doanya tidak putus dari tadi.

Serta-merta wajah ibunya hadir. Kenangan indah bersama ibunya menjelma. 

‘Ibu… Thia takut, ibu. Thia takut tak dapat jumpa ibu lagi. Dekat sini gelap sangat. Thia tak nampak apa-apa. Thia keseorangan sekarang… Thia rasa sejuk sangat. Ibu peluklah Thia… Thia perlukan ibu,’ rintihnya pilu. Matanya makin kuyu. Badannya makin lemah dan akhirnya dia rebah ke tanah. Dia ingin tidur.

“Thia!” Tiba-tiba ada suara memanggilnya. Thia membuka matanya pantas. Dia seperti mendengar seseorang melaungkan namanya. Dia duduk dan menoleh laju. Ingin mendengar sekali lagi. Betulkah ada seseorang yang memanggil namanya?

“Thia!!!” Sekali lagi Thia mendengar ada orang memanggilnya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia cuba bangun tapi lututnya terasa sangat pedih dan ngilu.

“Thia!!!” Kali ketiga namanya diseru.

“Tolong!!! Tolong!!!” balasnya dengan lantang sekali. Dia mahu orang itu segera mendapatkannya. Air mata semakin laju mengalir. Terharu kerana akhirnya ada seseorang yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya pada saat yang genting sebegini.

Perasaan takut bertukar menjadi teruja. Thia mendengar derap kaki seseorang makin dekat di telinga seakan menghampirinya. Dia makin tidak sabar. Cahaya lampu suluh yang digunakan makin terarah menuju ke tempat dia sedang duduk sekarang ini.

“Thia?” Lampu disuluh tepat ke arah mukanya. Dia memejamkan mata seketika. Silau. Orang itu datang melutut di depannya. Tepat bersemuka sehingga haruman wangian yang dipakai oleh orang itu menusuk ke deria baunya. Tanpa menunggu sesaat, Thia pantas memeluk tubuh di hadapannya sekuat hati.

“Thia takut,” adu Thia. Dia mengongoi dalam pelukan orang itu. Dia tenggelam bersama air mata yang semakin deras keluar dari tubir matanya. Kepalanya rebah di dada orang itu walaupun dia sendiri tidak tahu siapa yang membantunya kini. 

Yang pasti, dia rasa selamat sekarang. Yang lain tidak dipedulikan. Hangat sedikit tubuhnya berbanding tadi. Dia semakin mengukuhkan dakapan apabila orang itu turut membalas dakapannya. Ternyata dia rasa lebih selamat dan tidak takut lagi.

“Syukur alhamdulillah,” suara itu berkata.

Thia kaku seketika apabila suara garau seorang lelaki yang kedengaran. Perlahan-lahan dia melonggarkan pelukan. Takut sedikit kerana dia telah memeluk apa yang tidak patut dipeluk. Darurat? Dia mengangkat wajahnya untuk melihat siapakah hamba ALLAH yang berjaya menemuinya.

Raihan mengambil lampu suluh dan diletakkan ke sisinya menjadikan Thia dapat melihat wajahnya yang sebenar. Dia pamer senyum namun sedikit takut-takut. Mungkin dia membayangkan apa reaksi Thia setelah melihat dirinya yang berjaya mencari gadis itu.

Mulut Thia terketar-ketar untuk menyebut nama Raihan. Matanya bersabung dengan mata Raihan yang indah memukau. Dia tergamam. 

“K… kau? Ma… macam mana kau yang… kau boleh pulak ke sini?” Ayatnya sedikit tunggang-terbalik dek terkejut yang teramat sangat. Matanya tidak lepas memandang Raihan.

“Aku rasa bersalah pada kau. Sebab tu aku cari kau sampai ke sini. Syukurlah aku jumpa kau akhirnya,” luah Raihan. Dia melirik lagi senyuman manis kepada Thia dengan mata yang bercahaya.

Tersentap! Lalu Thia pantas mengalihkan pandangan. Dia meraup mukanya yang basah dengan air mata dan mula memalingkan tubuhnya kembali. Dia ingin bingkas bangun. Menggelabah.

“Auw!” Lututnya masih pedih dan sakit.

“Kenapa?” tegur Raihan. Dia segera bangun dan melutut di depan Thia pula.

Senyap. Thia mula resah berdua-duaan di situ. Langsung tidak menyangka bahawa Raihan yang berjaya mencarinya. Walaupun Raihan penyebab dia sampai ke sini namun dia langsung tiada rasa marah walau sebesar kuman pun terhadap Raihan. Dia sendiri tidak pasti mengapa.

“Lu… lutut aku sakit,” adu Thia tersekat-sekat. Dia malu sebenarnya kerana tidak sangka dalam ramai-ramai manusia, Raihan yang berjaya menemuinya. Adakah ini dinamakan jodoh? Kalau benar, Thia bersyukur sangat.

“Sakit? Kau terjatuh, ya?” soal Raihan. Lelaki itu terus memegang kakinya. Segera Thia melarikan kakinya sedikit. Tidak mahu bersentuhan dengan Raihan.

“Aku nak tengok luka kau aje. Teruk atau tak,” jelasnya apabila Thia seakan tidak membenarkan dia melihat luka tersebut. Akhirnya Thia mendiamkan diri dan matanya dipejamkan apabila Raihan membelek lukanya. Hatinya berdetak kencang seolah-olah dadanya diserang ribut taufan!

“Teruk ni luka kau. Sorry aku tak bawa first aid pula. Tapi tak apa. Aku ikat kaki kau ni, ya? Nanti taklah kaki kau keluar darah lagi,” ujar Raihan untuk menenangkan Thia.

Thia hanya membisu namun tidak menolak. Dia rela dilakukan apa saja asalkan tidak memudaratkan dirinya. Namun rasa debaran kencang itu masih belum reda. Melihat Raihan yang membantunya ketika ini, sangat mengganggu ketenteraman dirinya. Kenapa Raihan? Kenapa bukan orang lain yang menemuinya?

Prakkk! Raihan mengoyakkan bajunya yang dibawa di dalam beg galas. Selamba namun hatinya meraung juga kerana baju itu baju kegemarannya. Nipis dan sejuk. Tapi tak apalah. Dia terus membalut luka Thia dan ikat sedikit kuat bagi memberhentikan darah keluar.

“Aaa…” Thia menyeringai kesakitan.

“Tahan sikit,” pujuk Raihan lembut. Dia menjeling ke arah Thia sekali lalu.

Tersentap lagi. Thia terpana mendengar suara Raihan yang lembut memujuknya. Tidak pernah dia mendengar suara Raihan yang begitu lembut sebelum ini. Air liurnya ditelan berkali-kali bagi mengawal getaran yang semakin menyentak hati wanitanya. Dia menerawang seketika. Berkhayal.

“Thia, kau boleh bangun tak?” tanya Raihan apabila selesai membalut luka Thia namun Thia senyap sahaja. Lalu dia membawa anak matanya menentang wajah gadis itu.“Thia?” tegur Raihan apabila Thia hanya membisu dan tidak menjawab pertanyaannya tadi.

Gadis itu diam dan mematung. “Haa… ya, ya aku tak kisah pun,” jawab Thia tergagap-gagap. Gelabah tak tentu hala menjadikan Raihan mengerutkan dahinya serta-merta.

“Apa yang kau tak kisah? Aku tanya kau boleh bangun tak? Apa yang tak kisahnya?” soal Raihan sedikit aneh. Dia tahu Thia mengelamun tadi dan dia nampak mata Thia yang memandang tepat di satu sudut.

“Err… aku tak kisah nak bangun,” balas Thia kalut. Dia menggigit bibir bawahnya. Cuba mengurung rasa malu. ‘Kalaulah budak ni tahu aku berangan dia ajak couple dengan aku, mampus dia gelakkan aku tertonggeng-tonggeng kat sini,’ keluh hatinya.

“Okey… sekarang kau cuba bangun perlahan-lahan,” arah Raihan. Dia menggenggam tangan Thia dan sekali lagi Thia tergamam namun untuk melepaskan tangan Raihan, tidak sesekali. Dia malah tersenyum nipis pula. Nakal dan agak miang.

“Aaa… sakitlah. Lutut aku macam nak tercabut rasanya,” spontan Thia berkata.

“Cubalah. Habis tu takkan kau nak duduk sini sampai luka dekat lutut kau tu kering?” soal Raihan. Berlipat dahinya memandang Thia.

“Biarlah. Lutut aku memang sakit. Aku nak buat macam mana?” balas Thia dengan suara yang tinggi. Tidak pasal-pasal dia hendak marah pada Raihan pula. Lupa diri agaknya siapa yang membantunya sekarang.

Raihan menggaru pipinya. Dia seolah-olah memikirkan jalan keluar bagi segala kekusutan yang sedang bersimpul. Jari telunjuknya bermain-main di bibir pula. Berfikir dengan lebih serius mengenai masalah Thia kini. Kasihan otaknya terpaksa diperah semata-mata gadis yang sering ajak bertumbuk dengannya.

“Kalau kau dah berdiri, kau boleh jalan?”

Thia memuncungkan mulutnya. “Boleh kut,” balasnya pendek.

Raihan menganggukkan kepala, tanda berjaya memikirkan jalan penyelesaian. “So, aku kena angkat kaulah supaya kau dapat berdiri,” selamba saja Raihan melontarkan pendapatnya tanpa memikirkan apa-apa. Niatnya memang mahu membantu saja.

“Apa?!” Otak Thia bagaikan kena godam dengan Transformer. Dia tercengang dengan idea itu namun rasa teruja bukan kepalang. Benarkah apa yang dia dengar sebentar tadi?

“Aku angkat kau!” Sengaja Raihan menekan suaranya. Bimbang Thia tidak dengar sekali lagi. Dia melihat Thia tercengang sambil memandangnya seolah-olah dia tidak memakai seluar.

“Selamba kau aje nak angkat-angkat aku. Aku tak suka!” Lain pula mulut Thia berkata. Dia memalingkan mukanya ke arah lain kerana ingin membungkus rasa malu yang kian mencengkam.

“Ala… relaks ajelah. Aku nak tolong aje. Kalau kau dapat berjalan, bolehlah kita balik. Kau tak nak balik? Nak duduk sini sampai sebulan? Tak sampai sebulan pun aku rasa kau dah bertukar jadi orang utan dekat sini,” lahirnya berbaur ugutan. Sengaja ingin menakut-nakutkan Thia. 

Dia juga tidak sanggup lagi mahu duduk bertapa di sini. Kalau bertapa dapat menambah ilmu bolehlah dipertimbangkan lagi. Ini, mengadap perempuan yang dia sendiri tidak yakin sama ada Thia benar-benar seorang perempuan atau makhluk asing dari planet batu yang mana entah tempatnya.

Thia terdiam. Dia juga mahu balik. Badannya rasa tidak selesa. “Okeylah tapi jangan nak melebih-lebih, ya!” pesan Thia dengan penuh ketegasan.

Raihan ketawa lucu. “Apa yang melebih-lebihnya? Aku nak tolong kau. Tak ada niat lain pun. Jangan nak perasan heroin dekat sini, boleh tak?” sindir Raihan geli hati. Dia menggelengkan kepalanya.

“Dahlah. Cepat angkat!” bentaknya sambil tangan sudah mendepa luas. Mukanya berpaling ke tepi. Tergugat imannya kalau memandang ke dalam mata Raihan. Ha… ha…

Raihan akur dan mula berdiri di sisi Thia. Dia membongkokkan badannya dan meletakkan tangan kanannya di belakang Thia. Tangan kirinya pula di bawah kedua-dua lutut Thia. Dengan perlahan-lahan dia bangun bersama tubuh Thia. Mencempung. Matanya enggan memandang apa-apa kerana tubuh Thia begitu dekat dengan matanya.

Lemah nadi seketika. Thia menutup mata tatkala dia terasa badannya sudah terangkat dengan sendirinya tanpa kakinya memijak ke tanah. Dia tidak pernah serapat begini dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Bau minyak wangi yang digunakan oleh Raihan begitu harum sekali. Adakah dirinya sedang digoda? Atau dia saja yang tergoda?

‘Ya ALLAH… kuatkan benteng keimanan aku,’ mohon Thia sepenuh jiwa dan raga. Dia sendiri tidak yakin sampai bila dia mampu bertahan sebegini. Berada dekat dengan orang yang dicintai di dalam hutan dan jauh dari orang ramai, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dia yang imannya pun tidak menentu.

Tiba di atas tanah yang rata, Raihan menurunkan Thia berhati-hati. “Cuba tahan kaki kau. Tegakkan badan kau sikit.” Raihan mengajar Thia dan perlahan-lahan Thia memijakkan kakinya ke tanah. Matanya terpejam menahan sakit. Akhirnya dia dapat berdiri.

“Ha… boleh pun berdiri. Kau tunggu sini kejap. Aku nak ambil beg aku dengan beg kau dekat bawah,” ujar Raihan. Dia berpusing lalu meninggalkan Thia sebentar.

Tidak sampai seminit Raihan muncul dengan dua buah beg. “Biarlah aku bawak beg kau ni. Kau boleh berjalan?” tanya Raihan. Thia pula sudah tersenyum kerana dia seronok Raihan mahu bawakan begnya.

“Aku cuba. Yalah…. takkan aku nak berdiri dekat sini sampai sebulan,” Thia memulangkan paku buah keras. Raihan sekadar gelak saja.

“Jadi, sekarang kau cuba melangkah ke depan,” arah Raihan lagi. Thia terkial-kial menggerakkan kaki kirinya yang luka.

“ALLAHUAKBAR! Menggigil kepala lutut aku nak bergerak.” Thia marah dengan lututnya sendiri yang masih berdenyut-denyut pedih. Sekitar lututnya dirasakan sudah membengkak kerana hentakkan yang kuat tadi.

Raihan tiba-tiba memaut tubuh Thia. Sekali lagi Thia terkedu.

“Cuba bergerak sekarang.”

Thia cuba menggerakkan kaki kirinya semula mengikut apa yang Raihan ajar dan keajaiban berlaku apabila kakinya boleh melangkah. ‘Eh, laju pulak kaki aku ni ke depan? Tadi macam dah nazak sangat?’ desisnya.

“Boleh pun. Nak aku juga yang tolong,” ujar Raihan bernada bangga.

Thia mencemikkan mukanya yang sudah merah padam. Dalam diam, dia gembira kerana Raihan sudi membantunya yang ditimpa kecelakaan. Hatinya sudah berbunga-bunga.

Raihan ketawa melihat wajah Thia yang sudah berona merah.“Hmm… jom kita jalan sekarang. Nanti lambat pulak keluar dari sini,” kata Raihan sambil menyembunyikan senyum.


***

Previous: Bab 23 (P2)
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin