Bab 1
“INGAT semua pesan ibu. Jaga diri Thia tu, jangan lupa diri, jangan lupa ibu,
solat jangan tinggal, ya? Ibu jauh dah lepas ni. Tak dapat nak tengok-tengok Thia
selalu. Ibu harap Thia tak lupa semua pesan ibu. Ibu sayang Thia, ibu tak nak
anak ibu ni tersasar dan terpesong. Pasang niat nak belajar saja datang sini. Faham
tak?” Puan Seha berpesan kepada anaknya. Begitu panjang nasihat ibunya sehingga
boleh buat novel bersiri.
“Yes, mother. I know how to take care of
myself. You just need to care about your welfare, okay? Ibu tu dahlah
sakit. Thia datang sini semata-mata nak belajar aje. Bukan nak pergi berfoya-foya,”
jawab Thia dengan nada bergurau.
Ibunya hanya mampu menganggukkan kepala. Cuba menahan
sebak yang menghentam dadanya.
“Thia mesti rindu ibu nanti, kan? Tapi ibu janganlah
risau. Kalau Thia ada cuti nanti, Thia balik rumah kita,” jelas Thia lagi sambil
mengusap lembut bahu ibunya yang tercinta. Hari ini, hari pertama dia berjauhan
dengan ibunya dalam tempoh masa yang agak lama kerana melanjutkan pelajaran ke
universiti tempatan.
Thia, anak tunggal Puan Seha dan Tuan Adam malah
satu-satunya anak emas bagi pasangan itu. Tuan Adam telah meninggal dunia sejak
Thia berusia sepuluh tahun lagi akibat sakit jantung. Puan Seha yang bekerja
sebagai setiausaha di sebuah firma guaman di Shah Alam masih mampu untuk menyara
hidup mereka berdua walaupun pendapatannya tidaklah setinggi mana namun ia
mencukupi menampung segala perbelanjaan.
“Yalah, Thia. Tapi kalau Thia sibuk tak usahlah balik
selalu. Ibu bukan tak suka anak ibu balik. Cuma ibu nak Thia fokus pada study.
Lagi satu, ibu tak nak Thia keluar malam. Kalau kawan ajak pun ibu tak
benarkan. Faham tak ni, Rana Fathiah?” Puan Seha bersungguh-sungguh menasihati
anaknya.
Serta-merta Thia menarik muka masam. “Faham, ibu. Dah
sejuta kali ulang dah. Thia belum nyanyuk lagi. Thia ingat semua pesan ibu tu.
Thia sayang ibu, kan.” Thia mula terasa bengang. Asyik diulang benda yang sama.
Tapi tidak mengapa, anggap saja ini kali terakhir sebelum berbulan lagi dia
bertemu ibunya.
“Ya. Ibu pun sayang Thia. Ibu balik dulu.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” balas Thia sambil menghulur tangan
kepada ibunya. Setelah itu, ibunya pun berlalu pergi. Tangannya melambai ibunya
yang kian jauh dari pandangan mata. Sayu rasa hatinya. Setelah itu, dia pun
menuju ke pintu masuk asrama. Berat sungguh dia melangkah jalan. Terasa macam
ada Batu Caves dekat celah kakinya itu.
THIAyang mengheret dua bagasi besar secara tidak sengaja telah terlanggar
seorang wanita ketika menuju ke lif. Bahu mereka berlaga. Ah! Dia hampir
terpijak sesuatu.
“Hei! Buta ke?” tengking wanita itu dengan wajah
menyinga. Cermin mata hitam yang dipakai oleh wanita itu terjatuh lantaran
dilanggar oleh Thia.
Cemas. Thia segera menunduk untuk mengambil cermin
mata yang terjatuh di kakinya lalu diserahkan kepada wanita yang berani mengherdiknya
tadi.
“Sorry,cik. Sorrysangat-sangat. Saya
tak sengaja tadi.” Thia memanggung kepala dan menoleh tepat ke arah wanita itu
yang memandang tajam ke arahnya. Dia yang berwajah serius terus tergelak kecil
apabila melihat wanita yang baru saja dia langgar tadi begitu menawan tetapi
bermata juling.
Ya. Wanita itu pada pandangannya sungguh cantik,
tinggi, putih gebu, dan potongan badannya pula, persis kerengga. Namun yang
menghalang kesempurnaan wanita itu ialah bermata juling.
‘Astaghfirullahalazim.Teruknya aku menghina
ciptaan tuhan.’ Dalam kalut, sempat juga Thia beristighfar.
“Kurang ajar! Kau dah langgar aku lepas tu kau
gelakkan aku pulak? Apa yang kau gelakkan tadi?” terjah wanita itu lagi sambil
mencekak baju Thia pula. Mukanya sudah mengalahkan harimau jadian. Takut!
Thia yang terkejut dengan tindakan drastik wanita itu
terus saja mengecutkan diri. Ditelan air liurnya rakus. Sejurus kemudian, dengan
perlahan dia menolak tubuh wanita itu jauh-jauh agar tidak terus mencekak leher
bajunya. Maaf. Tidak semudah itu dia membenarkan dirinya dibuli.
“Err… cik,kan saya dah minta maaf tadi. Apa
masalah cik lagi ni? Saya gelak sebab tadi saya terkejut sangat. Terkejut dan
saya pun tergelaklah. Laughing is free, right? Untuk pengetahuan cik,
itu adalah salah satu cara bagi saya nak mengatasi rasa terkejut. Maaf jika ia buat
cik tersinggung pula,” Thia cuba berlembut. Dalam hati cuak juga. Mungkin dia
seram tengok mata wanita itu. Ha… ha… ha…
“Oh, macam tu ke? Memang patutlah. Muka kau tu pun dah
menggambarkan betapa ceteknya akal kau. Anyway,malas aku nak layan
orang terencat akal macam kau ni,” tempelak wanita itu lantas berlalu pergi
meninggalkan Thia. Sedikit saja lagi, Perang Dunia Ketiga bakal tercetus sekiranya
dia tidak beransur pergi.
Mulut Thia separuh melopong. Hatinya menggeletik panas
mendengar bahasa kasar daripada wanita itu.
“Eh, apa hal dia nak tengking-tengking aku? Woi! Kalau
kau ada masalah dengan sugar daddy kau pun, tak payahlah nak lepas kat
aku! Gila!” bentak Thia. Kakinya seperti mahu mengejar gadis bongkak itu namun
muka ibunya seakan terpampang di hadapan mata. Menghalang.
“Oh, God! Please! I need a shower here… like
seriously!” rengus Thia dengan penuh perasaan. Dadanya diurut perlahan bagi
meredakan api kemarahan. Dengan hati yang masih lagi belum turun suhu panasnya,
dia pun masuk ke dalam lif. Mukanya masam mencuka.
Sebaik sahaja menembusi perut lif, butang ke tingkat
sepuluh segera ditekan. Apabila kakinya menapak tiba di tingkat sepuluh, ternyata
matanya terpesona dengan kebersihan dan kemudahan yang tersedia. Dia berdiri
tegak sebentar sambil melihat sekelilingnya.
Jelas, Thia berasa sangat beruntung kerana asramanya boleh
dikatakan mewah dengan tersedianyatelefon awam,lif, laundry,
bilik televisyen dan setiap aras mempunyai empat buah rumah. Dengan adanya lif,
tidaklah dia bersusah payah untuk naik dan turun tangga jika ingin ke kelas.
Thia tersenyum puas. “Baguslah ada lif kat sini. Tak
adalah berlecak ketiak aku kalau hari-hari pergi ke kelas turun naik tangga.
Fuh!”
“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Thia. Dia membuka pintu rumah kediamannya yang
bakal dihuni selama tiga tahun. Saat dia
bergerak masuk ke dalam rumah itu, matanya menjamah wajah-wajah penghuni yang
bakal menjadi teman rapatnya sepanjang dia berada di situ.
“Waalaikumussalam,” jawab teman-teman serumahnya.
Tanpa membuang masa Thia pun menonong sahaja berlalu ke biliknya. Bukan ingin
menyombong tetapi dia berasa kekok dan segan apabila banyak mata yang
memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti.
‘Ala… kenapa dia orang semua pandang aku macam aku tak
pakai seluar ni?’ soal hatinya. Bingung seketika. Serta-merta dia membetulkan
rambut dan pakaiannya. Manalah tahu mukanya serabai sehingga seram orang
melihatnya. Ada yang menatap bagai nak juling biji mata dan ada yang memandang
sambil tersenyum manis.
‘Yang senyum tu mesti nak berkawan dengan aku. Kejap
lagi aku nak pergi kat dialah,’ bisiknya nakal. Dia tergelak kecil. Setelah
kakinya mencecah di depan pintu bilik, lantas dia menguak pintu tersebut.
Kelihatan dua buah katil double deckerdan sebuah bilik air yang
terletak di cornerbilik itu.
Thia mengambil masa untuk mengemas barang-barangnya
sebelum dia keluar untuk meneruskan sesi perkenalan antara dia dan
teman-temannya yang tergendala sebentar tadi. Dia berkenalan dengan teman
sebiliknya yang bernama Fitri, Lisa dan Yani.
Ketika dia berkenalan dengan Lisa, hatinya berasa
sedikit gelabah kerana perwatakan dan cara temannya itu berpakaian agak
kelakian. Dengan memakai baju-Thitamberkolar di mana bahagian dada
bajunya tertera dengan tulisan ‘my girl my passion,’sudah cukup
membuat lutut Thia bergoyang tanpa henti.Mukanya pula bereaksi pelik dan
pandangannya melekat ke muka Lisa seakan temannya itu buat aksi tak senonoh.
“Hai! Aku Lisa. Kau mesti tak selesa tengok aku, kan?
Relakslah. Tak payahlah nak buat muka macam aku ni makhluk asing yang mendatangkan
bahaya kepada orang ramai. Aku ni, perempuan sejati. Cuma aku tak reti nak
berpakaian macam perempuan-perempuan lain. Sorrykalau aku buat kau tak
selesa,” ujar Lisa berterus-terang sambil tersengih macam kerang busuk.
Thia berasa malu apabila ditegur sebegitu. Pasti ketara
sangat air mukanya yang sedang enak mengutuk Lisa. Biasalah, muka tak reti
menipu.
“Tak adalah. By the way, kau tinggal di mana?” Thia
menguntum senyum. Cuba mengurung rasa malu.
“Aku tinggal di Rawang, Selangor. Kau pulak?”
“Aku tinggal di Puncak Alam. Fitri pula tinggal di
mana?” soal Thia kepada seorang lagi teman sebiliknya. Cuba meringankan mulut
dan sedaya upaya memaniskan muka. Jelas dia bersusah-payah berlakon menjadi
budak baik. Skema sungguh cara dia bertanya. Biasalah di awal perkenalan, kan?
“Aku orang negeri. Kampung aku dekat Jelebu tapi aku
baru duduk sana dua tahun,” jawab Fitri ringkas tanpa menyoal kembali. Suasana berubah
hening seketika. Masing-masing membisu.
Dari pandangan mata kasar Thia, teman sebiliknya
baik-baik saja. Namun dia tidak boleh menilai benda baru dengan cepat.
Kadang-kadang apa yang kita lihat lain daripada apa yang sebenarnya.
Ibunya
sering berpesan, kita mesti pandai memilih kawan. Jika kawan baik yang kita
pilih kita juga menjadi manusia yang baik. Sebaliknya jika kita bergaul dengan
orang yang kurang baik sikapnya, lama-kelamaan kita juga akan terpengaruh sama.
Thia benar-benar berharap semoga teman-temannya itu ikhlas hendak berkawan
dengannya.