Bab 4
TELEFON bimbit Raihan berbunyi lantang ketika dia melangkah keluar dari makmal
fizik. Dia menyeluk tangannya ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon
bimbit yang berjenama Iphone. Tertera nama Hafiz yang sedang memanggilnya
ketika itu lantas dia menjawab panggilan tersebut.
“Hey, big fella! Kau dekat mana tu? Aku nak
jumpa kau sekarang. Kau free tak?” Telinga Raihan menelan suara garau
Hafiz yang ceria menyoalnya.
“Aku dekat depan lab ni. Apa hal kau nak jumpa
aku?” Raihan bertanya macam nak ajak bergaduh.
“Aku nak hantar laptop aku dekat kau. Ada problem
sikit. Kita jumpa di kafebawah. Kita makan-makan sekali,” jelas Hafiz
tenang.
“Okey. Dalam dua minit aku sampai. Kau tunggu aje dekat
situ sampai aku datang. Assalamualaikum.” Sejurus itu, dia menuju ke kafe untuk
bertemu dengan Hafiz yang merupakan teman baiknya dan mereka juga sudah berkawan
sejak kecil lagi. Nasib mereka baik kerana dapat melanjutkan pelajaran di satu
universiti yang sama walaupun berlainan kursus.
Secara tidak langsung hubungan dia dan Hafiz semakin
rapat. Ibu bapanya pernah menyarankan agar menyambung pelajaran di luar negara
namun ditolaknya bulat-bulat. Bagi dia, belajar di dalam atau di luar negara
sama sahaja. Yang penting adalah niat belajar itu sendiri.
Raihan sengaja memilih universiti ini kerana ramai di
antara rakan-rakannya di sekolah mengatakan universiti yang hanya menempatkan
pelajar berbangsa Melayu ini tidak sama taraf dengan universiti lain di
Malaysia ataupun di luar negara. Benarkah?
Oleh itu, dia ingin mencabar dirinya untuk menyambung
pelajarannya di sini. Bukan dia tidak menerima tawaran belajar di universiti
terkemuka di luar negara namun sengaja ditolak. Dia bernasib baik kerana ibu
bapanya langsung tidak memaksa. Lagipun Hafiz juga berjaya menyambung pelajaran
di universiti yang sama dengannya.
Dia sudah menganggap Hafiz persis adiknya sendiri
walaupun jarak yang membezakan umur mereka hanya tiga bulan. Ibu bapanya juga
sudah menganggap Hafiz sebagai anak angkat mereka sementelah Hafiz daripada
kecil memang rapat dengan keluarganya dan tambahan pula Hafiz sudah kehilangan
ibunya sejak dia berumur tiga belas tahun. Hidupnya sekadar bertemankan seorang
adik perempuannya, Hawa dan ayahnya Malik.
HAFIZ yang sedang mengendeng beg komputer riba berjalan menuju ke kafe dengan
tenang. Apabila dia ingin turun memijak tangga, dia memalingkan mukanya ke
kanan dan seraya itu dia ternampak seraut wajah yang sering mengganggu tidur
malamnya sejak beberapa minggu yang lalu.
‘Thia!’ jerit hatinya teruja. Tanpa menunggu walau
sesaat, pantas kakinya beralih menuju ke arah Thia pula. Ketika itu Thia baru
sahaja keluar dari kelas.
Hafiz betul-betul tidak sangka bahawa Thia sanggup
menukar ke kelas lain semata-mata ingin menjauhkan diri daripadanya. Sudah
empat minggu dia mencari Thia. Sehari selepas kali terakhir dia bersemuka
dengan Thia di taman beberapa minggu yang lalu, dia berasa teruja mahu ke kelas
keesokan harinya untuk bertemu dengan Thia namun semangatnya luntur apabila
kelibat Thia langsung tidak menjelma.
Oleh disebabkan hatinya meronta-ronta ingin tahu ke
mana perginya Thia, dia gegas bertanya kepada sahabat Thia, Lisa. Hampa sungguh
jawapan yang diterima. Begitu sekali Thia ingin melarikan diri daripada
bersemuka dengannya sehingga sanggup menukar ke kelas lain tetapi hatinya tidak
pernah berputus asa. Lagi jauh Thia melarikan diri, lagi pantas dia ingin mengejar.
“Thia!” teriak Hafiz lantang. Thia yang sedang berbual
dengan rakan sekelasnya terus mencari suara garau yang menjerit panggil
namanya.
‘Bapuk mana pulak yang panggil nama aku tiba-tiba ni?’
hati Thia menggerutu geram. Sejak di dalam kelas tadi, dia gigih menahan
perutnya yang menjerit-jerit kelaparan.
“Thia, tunggulah dulu. Thia!” Hafiz bersuara
termengah-mengah lantaran mengejar Thia yang semakin laju meninggalkannya di
belakang.
Tubuhnya berpaling. Thia kaget apabila melihat Hafiz
yang sedang terpekik-pekik memanggilnya. Dia malu dengan keadaan di sekeliling.
Semua mata tajam memandangnya seolah-olah dia sedang melakukan kesalahan termasuk
Iqa, rakan sekelasnya.
Mahu atau tidak, terpaksa juga dia mematikan langkah.
Mencerlang matanya memandang wajah Hafiz. Menyirap darahnya ketika itu. Dia
benar-benar rasa menyampah sekarang kerana disebabkan lelaki itu semua orang
memerhatikan tingkah lakunya.
“Awak nak apa ni? Saya ada banyak kerja nak buatlah,” tukas
Thia dengan nada yang agak keras. Dia cuba menahan suara daripada menengking
lelaki di hadapannya. Iqa pula hanya mengerutkan dahi memandang ke arah Thia
dan Hafiz bergilir-gilir.
“Saya nak ajak awak keluar makan dengan saya. Awak
sudi tak? Hmm… tapi sebelum awak kata tak sudi, saya janji pada awak yang ini
kali terakhir kita keluar bersama. No second time. Mark my words.” Hafiz
berkata dengan penuh semangat. Dia mengangkat tangannya seolah-olah sedang
berikrar. Berharap sangat agar jeratnya kali ini mengena.
‘Thia, kau tengok ajelah nanti. Sekali kau sudi keluar
dengan aku, perlahan-lahan aku akan buat kau tergila-gilakan aku,’ bisik akal
jahat Hafiz. Dia sudah berfikir di luar kesedaran minda. Otaknya kian
berselirat dengan benda-benda keji yang bakal dilakukan terhadap Thia.
Bosan. Thia mengeluh kasar seraya memalingkan
wajahnya. Dia menyampah sungguh melihat wajah kasanova yang semakin rakus
mengacau hidupnya. Sejenak, kata-kata Lisa beberapa minggu yang lepas bermain
di ruang minda. Dia melangut sebentar.
‘Thia, tak semua lelaki di dunia ni jahat tau. Kau tak
bolehlah set mind kau macam tu. Tak adil bagi lelaki-lelaki yang memang
ikhlas nak berkawan dengan kau. Kalau kau teruskan sikap kau macam ni, nanti
ramai lelaki yang berdendam dengan kau, kau nak?’ Thia memikirkan kata-kata itu.
Tiba-tiba bahunya digoncang oleh Iqa. Dia kembali memalingkan wajahnya ke arah
Hafiz yang menanti dengan penuh sabar.
“Saya hanya akan setuju keluar dengan awak kalau kawan
saya join kita sekali. Is that okay with you?” Setuju Thia
bersyarat. Manalah tahu Hafiz ada muslihat di sebalik wajahnya yang kacak itu. Resah
juga.
Hafiz segera mengukirkan senyuman tatkala mendengar
jawapan positif daripada Thia. Bercahaya matanya kerana taktiknya kali ini
berjaya. Ternyata Thia sudah termakan dengan janji yang ditaburkan sebentar
tadi. Mungkin tuah akan memihak kepadanya kali ini.
“Kalau itu syarat yang awak letak, saya setuju. Lagi
ramai lagi seronok kan, cik...” Hafiz sengaja mematikan ayatnya sambil tangannya
dihulurkan kepada Iqa.
“Syafiqah, panggil Iqa aje,” Iqa menyambungkan ayat Hafiz
tadi sambil menyambut huluran tangan lelaki itu. Dalam diam, dia memuji
kekacakan Hafiz yang memikat hatinya.
Thia memaksa bibirnya untuk tersenyum tatkala melihat
adegan mesra itu.
RAIHAN berang apabila orang yang dinanti-nantikan belum kunjung tiba. Ikutkan
hatinya yang panas mahu saja dia meninggalkan tempat ini. Sudah dua gelas air
oren diminumnya dan sepinggan nasi sudah ditelannya namun Hafiz tetap tidak
menjelma. Dia cuma bagi masa seminit saja lagi pada Hafiz. Jika Hafiz tetap
juga tidak muncul, dia angkat kaki.
Tiba di kafe, Hafiz ingin mencari tempat duduk namun
matanya menangkap wajah Raihan yang sedang melilau dan menoleh ke kiri dan ke kanan.
Dia hampir-hampir terlupa dengan temu janjinya bersama Raihan.
“Thia, mari kita duduk di meja hujung sana,” ajak
Hafiz. Thia hanya membuntuti dari belakang diikuti Iqa yang kemas berada di
sisinya.
“Raihan! Sorry aku terlambat sikit. Aku terlupa
tadi aku ada kerja nak buat kejap. Lupa pulak nak mesej kau,” bohong Hafiz tanpa
rasa berdosa seraya meletakkan beg komputer riba di sisi meja.
Thia yang berdiri hanya memandang kosong ke arah
pelajar-pelajar yang sibuk menjamu selera di situ. Dia tidak suka dengan
situasinya sekarang ini.
Hafiz segera menarik kerusi untuk Thia dan Iqa dengan
gaya yang paling memikat.
Pantas Thia mencebik bibir. ‘Aku ada tangan nak tarik
kerusi sendiri lah,’ marah Thia dalam hati. Dia cepat-cepat melabuhkan
punggungnya di sebelah Iqa dan dibiarkan saja Iqa duduk bersebelahan dengan
Hafiz. Konon ingin menyelamatkan diri sekiranya ada apa-apa berlaku.
“Lama aku tunggu. Naik kematu buntut aku ni tapi kau
tak muncul-muncul jugak. Sekali datang bawa awek,” sindir Raihan sambil matanya
menjeling pada dua orang gadis yang dibawa oleh Hafiz itu. Dia masih lagi terasa
bengang dengan Hafiz yang lewat.
“Aku pun baru terserempak dengan dia orang ni tadi. Bro,
aku nak kenalkan kau dengan kawan aku. Yang gorgeous duduk sebelah aku
ni Iqa dan yang comel berbaju kemeja kuning tu, Rana Fathiah. Iqa, Thia, ni
pula member saya, Raihan.”
“Hai!” Iqa menyapa Raihan ramah namun Raihan hanya
melemparkan senyuman kepada Iqa. Thia pula masih memalingkan muka tanpa
memandang ke arah rakan yang sedang diperkenalkan oleh Hafiz itu. Dia
benar-benar tidak selesa. Menyesal pula dia bersetuju untuk keluar makan
bersama Hafiz.
Sejurus itu, Hafiz mengambil pesanan untuk Thia dan
Iqa. Hanya suara Hafiz, Iqa, dan Raihan saja yang kedengaran semasa mereka
semua menjamu selera. Thia sekadar menadah telinga.
‘Biarlah dia orang berborak. Malas aku nak menyibuk.
Aku nak balik!’ hati Thia menjerit. Pinggan ditolak ke tepi tanda seleranya
sudah terbantut. Kuku jarinya diketuk kuat di permukaan meja tanda protes.
Jelas terpalit di wajahnya yang sedang menahan bosan. Boleh dikatakan sesiapa
yang memandang wajahnya ketika ini, rasa mahu lemparkan batu saja.
Dalam melayani perasaan bosannya sendiri, tiba-tiba
segelas air tertumpah lalu terkena pada bajunya. Melopong mulut Thia melihat
bajunya sudah basah kuyup dek air oren yang melaut menyirami bajunya.
“Sorry, sorry!Aku tak sengaja.”
Menggelabah Raihan mengelap air yang membasahi baju Thia namun Thia yang terkejut
terus saja menjerit.
“Hoi! Apa hal pegang-pegang ni?!” Thia meradang.
Nyaring suaranya dilontarkan lantas mengangkat mukanya memandang wajah Raihan.
Matanya yang mencerlang memandang Raihan tadi tiba-tiba bertukar menjadi redup.
Dia tersentak. Anak mata mereka saling bersabung.
Degupan jantungnya bergerak pantas seakan baru sahaja menyertai acara balapan.
Tubuhnya kaku di situ. Matanya tidak berkelip memandang Raihan yang sedang
tajam memandangnya. Aneh situasi yang berlaku kini.
‘Dah kenapa pulak ni?’ Raihan bermonolog. Pelik
pastinya melihat Thia seakan tertegun memandang ke arahnya.
Thia tetap tidak menganjakkan matanya daripada terus
menatap wajah Raihan. Dia bagaikan terpukau dengan kekacakan jejaka di
hadapannya. Tanpa dia sedar, mulutnya terbuka luas seakan dua biji bola
keranjang pun boleh muat masuk ke dalam mulutnya itu.
“Thia, apa pasal dengan kau ni? Marah lepas tu senyap
pulak. Gila ke?” tegur Iqa lantas menggoyang lembut bahu Thia.
Tersentak. Thia yang bagaikan tersedar daripada mimpi
nan indah terus memandang Iqa di sisinya. Dia cuba fahamkan kembali tentang apa
yang sedang berlaku ketika ini namun dia masih lagi kabur.
Iqa menolak sedikit dagu Thia ke atas kerana malu
melihat Thia yang melopong sejak tadi. Buruk benar rupanya.
Suasana sepi seketika. Thia yang telah sedar dari lamunan
yang panjang terus menoleh Raihan, lama. Matanya masih nakal melirik pada mata
Raihan, jatuh pada hidung dan berakhir di bibir lelaki itu namun bibir itu
sedang mengukir senyuman kepadanya. Sinis dan mengejek!
‘Ya ALLAH! Apa yang terjadi ni? Aku kat mana? Kenapa aku
berdebar tengok dia?’ soal Thia sambil tangan memegang pipinya yang makin
menghangat. Dia mengerling sedikit dari lewat ekor matanya untuk melihat
keadaan sekeliling. Semua orang sedang memerhatikannya.
Tanpa berfikir panjang, Thia terus berlari keluar dari
kafe tersebut. Dia mengayunkan langkah tanpa menoleh ke belakang langsung
meninggalkan Iqa yang termangu di situ.
Buat seketika, Iqa kaku dan terdiam. Otaknya membeku.
Tidak faham dengan tindakan Thia sebentar tadi. Apa yang cuba Thia lakukan???
“Err… sorry guys. I got to go now. See you later.
Thanks anyway… for the lunch,” ujar Iqa lalu dia juga melangkah
keluar dari kafe mengejar Thia.
Hafiz dan Raihan masing-masing sudah berkerut dahi. Insiden
pelik itu tadi berlaku dalam sekelip mata sahaja sehingga tiada seorang pun
mampu membuat sebarang kesimpulan tentang apa sebenarnya yang berlaku dan
kenapa Thia bertindak mendiamkan diri setelah menjerit lantang ke arah Raihan.
Adakah Thia mengenali Raihan? Persoalan itu muncul di
benak Hafiz sepintas lalu.
PADA malam itu, Yani mengajak Thia, Lisa dan Fitri makan di luar. Mulanya Thia
menolak tidak mahu menyertai namun Yani terus-terusan memaksanya.
“Thia, kau tak sihat ke hari ni? Aku tengok kau asyik
termenung saja. Tadi kita orang ajak kau keluar pun kau tak nak. Kau ada masalah
dengan budak kelas kau ke?” Lisa membuat serkap jarang. Ketika itu mereka baru
sahaja selesai menjamu selera.
Thia hanya memandang kosong ke arah kawannya itu. Segala
minatnya untuk berhibur sudah hilang sejak keluar makan bersama Hafiz pagi
tadi. Rasa debaran yang memukul jantungnya masih belum mahu berhenti setiap
kali wajah ‘lelaki itu’ berlayar di mindanya. Dia mengeluh panjang dan kembali
menyambung menung. Rasa kesal jelas terpancar.
“Dia ada hal dengan budak kelas dia lah tu. Itulah
siapa suruh tukar kelas,” komen Yani pula. Thia terus-terusan diam tidak
berkutik. Enggan menjawab soalan Lisa. Tangannya menguis kulit udang yang
berbaki di pinggan makannya dengan sudu.
Lisa yang memerhati menggigit bibirnya, geram.
“Kau tengok mata aku sekarang!” arah Lisa sambil
memegang kejap kedua-dua belah bahu Thia. Dia memandang anak mata Thia
dalam-dalam. Menyelami jauh ke dasar hati Thia. Cuba menganalisis apa masalah Thia
sebenarnya.
“Aku nampak cinta,” duganya persis ahli nujum yang
sedang menilik nasib seseorang. Yani dan Fitri cekap saja ketawa
terbahak-bahak. Lisa memang pandai buat lawak yang tak logik.
“Tok Wan kau yang bercinta! Celah mana pulak kau
nampak cinta dalam mata aku ni? Gila!” Mendadak Thia menguatkan suaranya lalu
ditolak kasar tangan Lisa yang memegang bahunya tadi. Dia baran mendengar
perkataan cinta dikaitkan dengan dirinya. Tak mungkin dia jatuh cinta. Betulkah?
“Aku gurau aje. Dah tu, aku tanya apa masalah kau, kau
tak nak jawab. Ingatkan dah bisu tadi.” Lisa memandang Thia yang sedang memeluk
tubuh. Muka temannya itu seperti menanggung masalah saja.
Akhirnya, Thia mengeluh kecil. Ingin meluahkan
perasaan yang semakin membelenggu fikirannya. “Aku tak ada masalah pun dengan
budak kelas aku,” jelasnya pendek.
“Habis tu?” tanya Lisa pantas.
“Hmm... aku asyik fikirkan seseorang aje daripada petang
tadi. Entahlah,” jawab Thia lambat-lambat. Dia sendiri bingung dengan perubahan
dalam dirinya. Mengapa dia jadi begini?
Lisa mula memahami maksud Thia.
“Kan aku dah cakap tadi. Aku nampak cinta dalam mata
kau tu. Ada hati nak nafikan benda yang sudah terang lagi bersuluh. Aku dah
tilik tadi, kan?” Lisa berkata bangga seolah-olah mengiakan kebolehannya
menilik nasib.
“Tapi aku tak rasa aku dah jatuh cinta. Cuma aku… aku…
rasa aku suka tengok dia aje,” luahnya tersekat-sekat. Sungguh gugup jiwanya
sekarang! Lantas dia menggigit bibirnya, malu. Tidak sangka sahabatnya itu
bijak membuatkan dirinya terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
“Kau serius? Kacak ke dia tu?” Yani mencelah masuk.
“Aku baru jumpa dia sekali. Itu pun sekejap aje. Aku tak
pernah ada perasaan macam ni. Ini kali pertama hati aku nervous sangat bila
tengok seorang lelaki. Aku tak fahamlah,” jelasnya dengan nada yang bergetar.
Cuba mengawal gelodak perasaannya.
“Ala, normal lah tu. Itu tandanya kau straight
dan bukan senget,” komen Fitri tanpa menoleh Thia di sisi. Dia menyeluk barli
di dalam cawan minumannya menggunakan sudu lalu disuakan ke dalam mulut.
“Thia, aku betul-betul tak sangka akhirnya kau boleh
suka pada seseorang. Aku ingat hati kau tu keras sangat tapi tidaklah sekebal
mana. Teringin pulak aku nak kenal siapa lelaki bertuah tu. First time
dapat cairkan hati seorang perempuan yang tak pernah dicairkan oleh mana-mana
lelaki dengan hanya sekali pandang aje. Fuh! Betul-betul hebat lelaki tu,” seloroh
Lisa pula. Dia tersengih penuh makna.
Thia hanya mencebik mendengar kata-kata Lisa tadi. “Tak
hebat mana pun. Ala… aku rasa benda ni sekejap saja. Aku bukan jenis orang yang
suka melayan perasaan. Tak reti nak jiwang-jiwang ni. Geli anak tekak aku,” komen
Thia separuh tegas. Yakin sungguh dengan kebenaran kata-katanya tadi.
“Okey, aku nak tengok anak tekak kau geli ke tidak
nanti. Jangan cakap besar, Thia. Belum kena batang hidung sendiri, bolehlah
cakap. Jangan suatu hari nanti kau menangis dekat aku sebab lelaki. Masa tu,
aku gelakkan aje.” Suara Lisa kedengaran seperti menakut-nakutkan Thia. Dia
ingin lihat sejauh mana Thia dapat mengelak daripada rasa cinta.
Thia tidak peduli langsung dengan ugutan Lisa itu. Dia
gelak saja. “Aku harap perasaan ni singgah sekejap saja dalam hati aku. Aku tak
nak terbeban dengan masalah-masalah remeh macam ni. Ibu aku pesan datang sini
dengan niat untuk belajar. Bukan menyemakkan otak fikir pasal cinta. Insya-ALLAH…
kalau niat aku betul, aku akan berjaya. Benda lain kena tolak ke tepi dulu,” katanya
bersemangat.
‘Ya, aku akan buang perasaan ini daripada terus
berleluasa di dalam hatiku. Aku akan sekat perasaan ini. Aku tidak mungkin
jatuh cinta. Harapan ibu tidak boleh disia-siakan,’ janji hati kecilnya.