Bab 21
MALAM menjelma. Usai makan,
mereka diarah berkumpul di ruang tengah tapak perkhemahan yang merupakan jurang
antara Zon A dan Zon B.
Thia mengenakan baju-T
berwarna hitam dan tubuhnya disarungkan baju sejuk yang tebal. Dingin malam
benar-benar menggigit tulangnya.
Taklimat selama lima
belas minit yang diketuai oleh pegawai keselamatan yang bertugas tekun didengar
oleh para pelajar dan pensyarah-pensyarah, kecuali seorang hamba ALLAH yang
diberi nama Bazila binti Abdul Kassim.
Thia mengerling seketika
ke arah Bazila yang tersengguk-sengguk sejak tadi.
“Baz, kau mengantuk
sangat ke? Bangunlah. Orang pandang… buat malu aje,” Thia menyiku kawannya
supaya sedar dari tidur yang lena. Masakan lena tidur begitu?
“Hah?” Bazila
terpinga-pinga. “Aku tertidur ke tadi? Lama tak?” soal Bazila sambil matanya
menoleh kiri dan kanan. Malu sekiranya dia diperhatikan orang.
“Lamalah jugak sampai aku
rasa boleh siap bakar cheesecake dekat belakang,” Thia cakap dengan
serius. Bazila bengang sungguh mendengarnya.
“Akak-akak, kita kena
cabut undi lah.” Tiba-tiba Iqa mencelah dalam perbualan mereka.
Thia mengerutkan dahinya.
“Cabut undi? Cabut undi buat apa? Ada pilihan raya ke dalam hutan ni?” soal Thia,
mula memikir yang bukan-bukan.
“Kita kena buat group.
Tak boleh pilih group sendiri. Nanti masing-masing memilih. Lambat pulak
nak bentuk group. Kau tak dengar ke tadi?” Dengan nada marah, Iqa
bertanya.
“Kalau aku dengar buat
apa aku buang air liur nak tanya kau saja-saja. Bila?”
“Hmm… kejap lagi kut.
Gabung sekali dengan pelajar lelaki.”
Thia terus menoleh Iqa. “What???”
pekiknya. Tidak puas hati barangkali. “Ala… serabut lah nanti kalau ada budak
lelaki dalam group aku. Buat semak aje.”
“Isy! Janganlah bising. Ala…
apa yang kau nak risaukan sangat. Pelajar lelaki bukannya ramai pun. Yang kau
nak kecoh sangat ni apa hal?”
Iqa tahu Thia pantang dikaitkan dengan lelaki. Anti sangat-sangat!
Thia sudah tak senang duduk. Badannya tidak ubah
seperti ulat beluncas. Punggungnya panas tiba-tiba. Dia memang tidak gemar
berkumpulan dengan lelaki.
Baginya, lelaki sungguh cerewet dan tidak pandai
bekerjasama, sama seperti dia juga. Kalau bergabung, kerja mesti tak siap!
Entah apa pula yang jadi nanti.
Thia turut berdiri apabila semua pelajar diarahkan
berdiri untuk cabut undi dari nombor 1 hingga nombor 8. Setelah itu, mereka
perlu menulis nombor masing-masing di atas kertas A4 yang disediakan.
“Pelajar-pelajar, kamu semua diarahkan bergerak
mencari kumpulan masing-masing. Mana-mana group yang lambat jumpa ahli
kumpulannya, akan didenda,” ujar pensyarah bersuara lantang.
Thia bergegas mencari ahli kumpulannya. Tidak sampai
seminit, Thia berjaya menemukan tiga orang pelajar perempuan yang sama memegang
nombor 4.
Tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki menuju ke arah
kumpulan Thia dengan memegang nombor yang sama. Rupanya seperti kacukan Cina
kerana memiliki sepasang mata yang sepet.
“Okey, dengar sini para pelajar. Group yang
sudah jumpa ahli kumpulan masing-masing, sila duduk mengikut kumpulan. Jangan
berpecah.” Mengarah lagi suara tua itu.
Thia pantas menyuruh semua ahli kumpulannya duduk
tetapi pelajar lelaki tadi memberitahu bahawa masih ada seorang pelajar lelaki
yang tiada.
“Siapa lagi yang tak ada? Bukan ada empat orang ke?” Thia
meluahkan ketidakpuasan hati.
“It should be 5 members because we have 10 boys and
30 girls here. Right?” Lelaki bermata sepet itu menyuarakan pendapat kepada
Thia.
Tak sampai hati Thia hendak menjawab soalan itu. Dia
hanya memandang tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Dia melilau pandangan.
Hampir kesemua kumpulan sudah duduk di dalam kumpulan masing-masing. Banyak
mata yang memandang ke arahnya.
‘Apa pasal aku rasa macam hina sangat sekarang ni?
Dalam hati mesti dia orang semua mengutuk group aku paling lembap!’
getus hatinya apabila ada yang memandangnya macam tak puas hati. Segera dia
berpaling.
“Betul ke ada lagi seorang pelajar? Macam tak ada aje.
Buat-buat macam dah cukup, tak boleh ke?” Thia menyoal pelajar perempuan yang
berdiri di sebelahnya. Perempuan itu menjongketkan bahu.
“Tak taulah. Kalau ada lagi sorang, mana dia? Takkan
tak kenal nombor sendiri? Buta nombor ke?” Mudah jawapan pelajar perempuan itu.
Kalau buta nombor, tak adanya masuk universiti budak tu.
Laju saja Thia menganggukkan kepala tanda setuju
dengan kata-kata temannya itu. Tiba-tiba dia ternampak Hafiz dari jauh. Lelaki
itu sedang memerhatikannya.
‘Itu Hafiz! Eh, kenapa dia mesti ada dekat sini? Ala…
dia mulalah nak menyusahkan hidup aku kejap lagi,’ rungut Thia. Dia berpura-pura
tenang seketika. Enggan menoleh Hafiz lagi.
“Nampaknya kita ada group yang lambat,” kata
Encik Mokhtar lantang apabila Thia serta ahli kumpulannya saja yang tidak
duduk.
Thia kian malu. Dia mengutuk pelajar lelaki yang masih
tidak menunjukkan diri. Macam menunggu artis pula. Dalam kepalanya sudah
merencana. Akan dikerat 12 lelaki yang datang lewat itu.
Encik Mokhtar segera menuju ke arah mereka. “Ada
masalah ke? Tak jumpa lagi semua ahli kumpulan?” Wajah Encik Mokhtar kelihatan
ceria. Mungkin seronok dapat mencari mangsa untuk diberi denda.
“Sir, kita orang dah lama jumpa tapi tak sure
empat orang atau lima orang. Tengok kumpulan lain semua ada lima orang,” jawab
pelajar lelaki itu bagi pihak kumpulannya. Encik Mokhtar turut menoleh ke kiri
dan ke kanan. Memang tiada seorang pun pelajar yang berdiri.
“Oh, kalau macam tu, ada yang salah kiralah ni. Tak
apa, you allboleh duduk.”
Thia menarik nafas lega. Dia baru saja ingin
memalingkan tubuhnya tiba-tiba terdengar suara lelaki yang amat dikenali.
“Sorry, sir. Saya ke toilet tadi. Er… ‘emergency
call,” suara garau yang tercungap-cungap itu kedengaran amat dekat di
cuping telinganya walaupun hampir semeter jauhnya. Thia teragak-agak untuk
memalingkan mukanya namun akal fikiran dan gerak tubuh menjadi tidak selari.
“Mana kumpulan awak?”
“Saya tak sempat nak cari tadi, sir. Baru nak
pergi cari, perut saya dah memulas pulak,” suara lanun Sulawesi itu kedengaran
lagi. Thia masih memasang telinga.
“Jadi inilah kumpulan awak. Dia orang masih tak cukup
seorang ahli. Oleh sebab seorang lambat, saya akan denda kumpulan you all.
Sila berdiri di depan dulu, nanti saya datang,” perintah Encik Mokhtar sambil
menuding jari ke arah hadapan.
Thia mula tidak sedap
hati. Perlahan-lahan dia memalingkan tubuhnya dan… dia mahu pengsan! Air
mukanya langsung berubah, pucat tidak berdarah.
***