Bab 25
RIZQI mengemas kertas-kertas di atas mejanya lalu disumbat ke dalam briefcase.
Hari ini jadualnya agak padat. Lebih menambah bebannya, hari ini dia perlu memujuk
Thia untuk bertandang ke rumahnya sebaik saja Thia pulang dari ekspedisinya.
Mengenangkan sikap Thia yang masih tidak acuh dengannya, menjadikan dia tidak
yakin dapat memujuk Thia.
“You tolong hantar fail ni pada Encik Lee.
Suruh dia signsuratperjanjian dengan Syarikat RZ Corp. tu. I
nak petang ni jugak. Okey? I nak keluar sekejap,” arah Rizqi kepada Puan
Seha.
“Okey, bos. Er... bos! Kejap. Nak cakap sikit ni,” luah
Puan Seha tersipu-sipu. Rizqi yang memandang Puan Seha sekadar mengangkat
keningnya.
“Saya sebenarnya risaulah bos. Thia tak angkat call
dari malam tadi. Saya callbanyak kali tapi dia off kan. Hmm…
bos… bos ada call dia?” tanya Puan Seha malu-malu kucing. Segan
menanyakan hal berkenaan bos dan anak gadisnya.
Rizqi pun kelihatan tersipu-sipu
untuk menjawab.
“Ada petang semalam. Katanya tengah buat rakit sebab
dia kena denda bangun lambat. Malam tadi I tak try call sebab I
busy kan. Balik pun terus tidur. Maybe tak ada line kut.
Biasalah dalam hutan. Ada aktiviti agaknya,” sedikit bergetar suaranya. Masakan
tidak. Dia seolah-olah bercakap dengan bakal mak mertuanya sendiri. Itu pun
kalau Thia terbuka hati untuk menerimanya.
“Oh, tapi sebelum ni saya call dapat aje. Risau
saya…” Tiba-tiba telefon bimbit Puan Seha berdering mendendangkan lagu Unbreak
My Heart membantutkan kata-kata selanjutnya.
“Kejap ya, bos. Kalau bos nak pergi dulu… pergilah,” ujar
Puan Seha.
Rizqi hanya mengangguk dan melemparkan senyuman. Melihat wajah Puan
Seha itu, mengingatkannya pada Thia. Rindunya sudah membukit. Namun dia berasa
terkilan kerana hanya dirinya seorang sahaja yang merindu.
Puan Seha berasa pelik melihat nombor yang tidak
dikenali tertera di skrin telefonnya namun dia angkat juga tanpa memikirkan
apa-apa.
“Assalamualaikum. Ya, saya ibu kepada Rana Fathiah.
Aha… Bertenang? Kenapa ni?? Apa???!!” Rizqi mendengar sayup-sayup suara Puan
Seha menjerit lalu dia segera berpaling. Tiba-tiba dia melihat Puan Seha rebah
ke lantai.
“Ya ALLAH!” Rizqi meluru mendapatkan Puan Seha. Sejurus itu, dia segera melutut di atas
lantai. “Kak?” Rizqi menggoyangkan bahu Puan Seha. Cemas.
“Kenapa Puan Seha, Encik Rizqi?” Staf-stafnya yang
lain turut meluru datang.
“I tak tahu. Tolong call ambulance.
Cepat!” arah Rizqi kelam-kabut. Dia mengambil telefon bimbit dari genggaman
Puan Seha yang longgar. Dia melekapkan ke telinganya.
“Hello?” Talian masih bersambung.
“Hello. Ada orang lagi ke?” suara di talian
kedengaran.
“Ya, saya. Ada apa, ya?” Peluh sudah merintik-rintik
di dahi Rizqi. Dia mengagak, pasti ada berita buruk yang ingin dikhabarkan
sehingga menyebabkan Puan Seha jatuh pengsan.
“Saya nak beritahu tentang kehilangan anak kepada Puan
Seha, Rana Fathiah pada malam semalam. Kami dari pihak universiti minta maaf di
atas kelewatan untuk memaklumkan…”
“Thia hilang?? Macam mana boleh hilang?” potong Rizqi
laju. Tangannya sudah menggigil. Dia bagaikan terkena renjatan elektrik
mendengar berita tragis itu.
“Kami tak pasti tapi menurut rakannya, kali terakhir
mereka jumpa Rana Fathiah pada petang semalam sebelum jam 6.00. Sekarang kami
dan pihak bomba sedang mencari Rana Fathiah di dalam hutan. Boleh saya minta
keluarga Rana Fathiah datang ke sini untuk membantu siasatan?” soal pensyarah Thia
di hujung telefon.
Rizqi menutup matanya. Perit untuk menerima kenyataan
itu. “Astaghfirullahalazim. Baiklah, kami dalam perjalanan ke sana.” Rizqi
terus matikan talian.
TOYOTA Harrier yang dipandu Rizqi memecut laju menuju ke Hutan Lipur Chamang,
Pahang. Puan Seha yang sedang membaca ayat suci Al-Quran dijeling seketika.
Tertumpah rasa simpatinya.
Mujurlah Puan Seha sekadar pengsan biasa. Belum
sempat ambulans sampai, Puan Seha kembali menyedarkan diri apabila dia
merenjiskan air ke muka wanita itu. Dan sekarang, dia dan Puan Seha bergegas ke
Pahang untuk mencari Thia.
Dalam penuh perhatian dia memandu, tiba-tiba dia
teringatkan Raihan. Adiknya juga turut terlibat dalam ekspedisi ke hutan yang
sama. Tanpa lengah, dia segera memakai handsfree dan menggapai telefon
bimbitnya.
Setelah beberapa minit, dia berasa hampa kerana gagal berhubung
dengan Raihan juga. Dia bengang. ‘Takkan budak ni pun hilang?’ hatinya
mendongkol geram.
Sebaik sahaja 1 jam 45 minit perjalanan, Rizqi dan
Puan Seha selamat tiba di Hutan Lipur Chamang. Mereka dipandu oleh pekerja di
sekitar tempat perkelahan itu untuk membawa mereka ke tapak perkhemahan.
Seribu satu rasa yang memakan hati masing-masing
tatkala menjejakkan kaki di hutan itu. Puan Seha terkilan kerana pihak
universiti lewat memaklumkan berita kehilangan anaknya dengan lebih awal.
Ketika
itu semua pelajar sudah dibenarkan pulang. Hanya terdapat beberapa orang
pensyarah, polis dan anggota bomba sahaja. Dalam hanya sekelip mata, tercemar
ketenteraman hidupnya.
“Ya ALLAH! Anak ibu!” Puan Seha cuba meluru masuk ke
dalam hutan tapi segera ditahan oleh Rizqi dan beberapa orang yang berada di
situ.
“Sabar, puan. Kami sekarang dalam usaha untuk mencari
anak puan. Bawa mengucap banyak-banyak. Tempat ini sedang diawasi dan di bawah
kawalan pihak-pihak tertentu saja.” Salah seorang anggota polis menahan Puan
Seha yang berkeras hendak masuk ke dalam hutan yang sudah dikawal ketat oleh
beberapa anggota bomba. Rizqi turut memegang lengan Puan Seha.
“Sabar, kak. Kita berdoa supaya mereka dapat jumpa Thia,”
pujuk Rizqi.
“Bukan seorang saja pelajar yang hilang. Ada seorang
lagi pelajar lelaki yang turut hilang. Kami pun baru tahu pagi tadi. Kami dah
telefon ibu bapa pelajar tersebut. Mereka dalam perjalanan ke sini,” jelas
seorang lelaki bermisai tebal tanpa disoal.
Puan Seha makin tergamam. “Pelajar lelaki? Si… siapa
tu encik?” Dia segera bertanya. Risau anaknya hilang bersama seorang lelaki.
Adakah pelajar lelaki tersebut yang melarikan anaknya? Ataupun anaknya
melarikan diri bersama-sama pelajar lelaki tersebut?
‘Ya ALLAH, Ya Tuhanku. Apa yang aku fikirkan ni? Thia
tak mungkin berbuat begitu. Dia anak yang baik,’ hati Puan Seha menidakkan.
Tiba-tiba telefon bimbit Rizqi berbunyi lantang. Rizqi
segera menjawab. “Assalamualaikum, mama. Rizqi dekat luar ni. Kenapa, ma?
Apa??? Raihan hilang?! Macam mana boleh hilang? Ya ALLAH! Mama… Rizqi memang
ada dekat Hutan Lipur Chamang sekarang. Tak apa… nanti mama sampai dekat sini, Rizqi
ceritakan. Suruh papa berhati-hati. Waalaikumussalam.”
Sebaik sahaja panggilan tamat, Rizqi termenung
mengadap Puan Seha dan wanita itu membalas pandangannya. Raihan juga hilang.
Maknanya pelajar lelaki yang turut hilang bersama Thia adalah… Raihan, adiknya!
Apa yang berlaku kini benar-benar membuatkan Rizqi berasa aneh. Masakan Thia
dan adiknya boleh hilang bersama-sama?
“Bos, apa sebenarnya yang berlaku?” soal Puan Seha
bagai dapat mengagak sesuatu.
Rizqi melepaskan keluhan berat. Dia membuang pandang
ke kiri dan ke kanan dan menggeleng lemah. “Adik I, kak. Pelajar lelaki
yang turut hilang bersama Thia adalah adik I sendiri… Raihan.” Payah
sungguh Rizqi melontarkan kenyataan tersebut. Dia sedih kerana adiknya juga
hilang namun dalam pada masa yang sama dia berasa keliru.
Mengapa dalam ramai-ramai pelajar yang turut menyertai ekspedisi di hutan ini tetapi Thia
dan adiknya yang menjadi mangsa? Sesungguhnya Rizqi tidak mahu percaya dengan
apa yang dia hadapi ketika ini. Adakah ini dinamakan mainan takdir?
‘Ya ALLAH. Dugaan apa yang Kau berikan kepada aku
sekarang? Kembalikan mereka kepada kami, Ya ALLAH,’ hati Rizqi diserang
kepiluan.
Puan Seha tercengang. Kebetulan apakah ini? Anak
gadisnya hilang bersama adik bosnya sendiri? Serta-merta Puan Seha mengucap dan
beristighfar.
“Adik bos kenal ke dengan anak saya?”
Rizqi menggelengkan kepala. “Rasanya mereka tak kenal.
Thia pun tak pernah cerita pada Ipasal Raihan. Mungkin mereka hilang
pada waktu yang berbeza ataupun mereka tersesat?” Rizqi menduga. Dia sendiri
tidak pasti macam mana Thia dan Raihan boleh hilang bersama.
“Mengikut laporan kami, Raihan dan Rana Fathiah hilang
bukan pada waktu yang sama. Rana Fathiah hilang pada pukul 6 petang manakala
Raihan hilang dalam pukul 8.45 malam semalam. Jadi, kami memang tidak tahu
macam mana perkara ini boleh berlaku secara tiba-tiba,” pintas Encik Mokhtar
sekadar menjelaskan duduk perkara. Puan Seha menangis lagi.
“Encik, saya nak cari anak saya. Tolong benarkan saya
cari anak saya,” rayu Puan Seha lagi. Matanya sudah membengkak.
“Tak boleh, puan. Kami sudah serahkan tanggungjawab
pada pihak bomba dan polis untuk mencari anak puan. Kami tak mahu keadaan
menjadi lebih teruk sekiranya kami benarkan puan masuk ke dalam hutan. Minta
maaf, puan. Harap puan dapat banyak-banyak bersabar,” balas Encik Mokhtar. Rizqi
juga tidak mampu berbuat apa-apa.
“Anak ibu…” perih sungguh Puan Seha merintih lagi.
RAIHAN tersedar apabila matahari sudah menegak dan cahayanya menyiram di muka.
Dia tertidur di bawah pokok yang besar. Dia memandang sekeliling. Ya, dia masih
lagi berada di dalam hutan. Penuh dengan pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, nyamuk
dan serangga-serangga kecil.
Raihan cuba bangkit. Badannya terasa sengal-sengal.
Tengkuknya terasa lenguh apabila tidurnya hanya beralaskan baju dan bukan
bantal yang empuk. Lagi pula, badannya hanya terbaring di atas tanah yang kotor
dan berumput. Begnya juga ada di sisi, tidak terusik.
Enak mengelamun… tiba-tiba dia teringatkan Thia. Beg Thia
tiada! Apakah Thia…? Raihan mula cuak apabila kelibat Thia tidak kelihatan. Dia
bingkas bangun dan mundar-mandir di situ. Fikirannya ligat bertanya di manakah Thia
sekarang.
“Dia pergi mana ni??? Kena baham dengan harimau ke? Eh,
takkanlah harimau tu makan beg dia sekali. Aduh, mana pulak dia pergi ni?”
Raihan menggerutu. Matanya mencanak memandang setiap pelosok hutan namun
kelibat Thia langsung tiada. Lantas dia meraih begnya dan terus mencari Thia.
Raihan mengambil keputusan menuju ke anak sungai. Dia
fikir, mungkin Thia kehausan dan mencari air. Kakinya memanjat sedikit batu
yang bertindih di lereng sungai. Perlu berhati-hati kerana permukaannya licin. Leher
dipanjangkan untuk mencari kelibat Thia. Tiada! Dia mula risau dan panik.
“Thia!” jeritnya lepas. Air terjun yang menderu kuat
hampir menenggelamkan suaranya. Dia meletakkan begnya di atas batu.
“Thia! Thia! Thia!” pekiknya lagi bagaikan berlagu
pula. Kemudian dia berdehem beberapa kali. Sakit anak tekaknya melaungkan nama Thia
namun Thia tetap tidak menyahut. Dia syak, mesti Thia sedang menyorok dengannya
ketika ini. Sengaja ingin membuat hatinya risau. Benarkah?
“Hei, aku kat sinilah. Bising!” Selamba Thia menyahut
dan Raihan pantas menoleh dan mencari. Dia memanjat beberapa anak batu lagi. Terkumat-kamit
mulutnya membaca ayat suci. Gerun melihat anak-anak batu yang agak curam di
situ. Bahaya dan licin. Kalau terjatuh, paling koman pun… cacat seumur hidup.
Dari atas dia melihat Thia sedang duduk di atas batu
sambil mengunyah roti. Namun kerana batu-batu di situ agak tenggelam lalu Raihan
sukar untuk melihatnya.
Raihan menggelengkan kepalanya apabila melihat Thia tengah
sedap landing di atas batu walhal tadi dia terpekik terlolong menjerit
nama gadis itu. Bimbang jika Thia sudah dibaham binatang buas. Dia yakin gadis
itu tidak melarikan diri daripadanya.
“Aku penat cari kau, kau sedap-sedap berkelah dekat
sini ya,” jerkahnya. Dia turun berhati-hati dan melangkah satu per satu di atas
batu. Kemudian, dia terus duduk di sebelah Thia dan matanya tangkas memandang wajah
Thia yang segar. Matanya mengerling pula pada rambut Thia yang basah. Seksi!
“Aku panggil kau banyak kali kenapa kau tak sahut? Kau
mandi ke tadi? Lutut kau dah okey?” soal Raihan melarikan sedikit anak matanya.
Thia langsung tidak menolehnya. Enak mengunyah roti macam sepuluh hari tidak mendapat
bekalan makanan.
“Haah. Melekit-lekit badan aku. Busuk pulak tu. Aku
nak kejut kau tapi kau nyenyak sangat tidur. Kesian pulak aku nak kacau kau.
Lutut aku sakit lagi tapi aku kan dah besar, kuat. Boleh tahan lagi. Eh, kau
tak nak mandi ke?” Selamba saja dia bertutur.
“Kejap lagi. Eh… mana kau dapat roti tu?” Raihan pun
sudah nampak roti itu bertukar menjadi nasi kerabu. Perutnya berkeroncong juga
sedari tadi. Thia pun mengambil begnya.
“Dalam beg aku. Kejap, aku cari roti lagi. Ada ke tak,
eh? Oh, tak ada. Sorry. Ampunkan hamba…”
Tegang terus kulit muka Raihan mendengar jawapan Thia
tadi. Sungguh, perutnya berasa lapar. Dia memandang roti yang berada di tangan Thia
pula. Tinggal cebisan. Ah! Jadilah!
“Aku nak sikit roti kau tu. Laparlah,” Raihan pamer
muka kesian.
Thia mencerlang matanya. Marah pastinya. “Tak boleh.
Aku pun lapar jugak. Kau makanlah roti kau.” Bukan mahu kedekut tapi
sememangnya perutnya lapar sejak malam tadi lagi.
Raihan mencebik. Namun dia teringat yang dia ada bawa
sedikit bekalan makanan sebelum dia ke sini mencari Thia. Semua makanan yang
dibawa oleh Farris dan Hafiz habis dibedal. Dia tidak lupa menyerahkan not RM50
berserta nota kecil untuk kawannya. Segera tangannya menggapai beg.
Ada muffin, cupcakes, keropok, roti, tuna, air
Extra Power Root dan tiga botol kecil air mineral. Juga ada berus gigi dan
tuala mandi. Raihan tersenyum lebar. Bolehlah bertahan sampai ke esok. Fikirnya.
Dia selamba saja mengeluarkan makanan-makanannya dan diletak di atas batu. Satu
per satu dikeluarkan dari dalam begnya yang agak besar. Thia yang melihat hanya
mampu melopong. Terjojol biji matanya.
“Kau datang bawa semua makanan ni?” Thia meninggikan
sedikit suaranya. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang dilihat. Dia
memandang layu ke arah makanan-makanan yang terpampang dan bersedia mengibarkan
bendera putih.
Raihan hanya menganggukkan kepala, keningnya terangkat
sebelah sambil menjeling Thia. Berlagak.
“Kau memang datang sini nak berkelah dengan aku, ya? How
sweet. Nak sikit.” Thia sudah menghulurkan tangannya untuk mengambil muffin
namun tangannya segera diketuk oleh Raihan. Masam terus mukanya. Tangan
digosok perlahan.
“Tak payah! Tadi kau kedekut sangat dengan makanan
kau. Sekarang nak makan makanan aku pulak. Banyak cantik muka kau? Aku lapar.
Kau makanlah roti kau tu,” sindir Raihan. Sambil mata terpejam, dia mengunyah cupcake
moist perisa coklat. Ah! Enaknya…
“Tak apa. Ada ubi ada kentang, ada hari aku curi
makanan kau,” Thia menjual pantunnya. Raihan sudah ketawa besar seolah-olah
mempersendakan Thia.
“Lawaknya... lawak sangat sampai aku rasa nak kuak
lentang dalam sungai kejap lagi.” Raihan tambah gelak. Lama dia berkeadaan
seperti itu sehinggalah dia menoleh semula memandang Thia yang mencuka saja sejak
tadi. Entah kenapa dia berasa teruja melihat wajah itu cemberut.
Thia terus membisu sambil memeluk tubuh. Pandangannya
dilemparkan ke arah air terjun yang berpusu-pusu jatuh ke permukaan air. Dia
terbayangkan ibunya. Mesti ibu sudah tahu berita tentang kehilangannya. Lantas
dia teringat bahawa ibunya pernah menghalang supaya tidak pergi ke perkhemahan ini.
‘Aku yang degil! Aku yang nak sangat pergi! Mungkin
masa tu naluri seorang ibu begitu kuat bagaikan tahu apa yang bakal terjadi
pada aku. Inikah balasan untuk aku, Ya ALLAH? Aku terdampar di sini bersama
seorang lelaki yang kedekut!’ Air matanya menitis perlahan. Dengan pantas dia
menyapu lembut pipinya.
“Laa… menangis ke? Kenapa tak melalak sekali?” Raihan
gelak sekejap. “Dahlah aku gurau aje. Nah ambil ni,” Dia menghulurkan satu muffin
kepada Thia tetapi gadis itu tidak menyambutnya. Dia lihat Thia menggelengkan
kepala pula.
“Sudahlah. Aku tak nak. Dah kenyang,” balasnya pendek.
Tersentuh dengan layanan Raihan yang keji tadi.
“Okey,” balas Raihan tidak memaksa jauh sekali hendak
memujuk. Dia sambung mengunyah makanannya dengan hati yang lapang. Sengaja
bikin panas hati Thia.
Thia pula semakin terasa hati. Dia berasa geram apabila
Raihan tidak bersungguh-sungguh memujuk lalu dia pun bingkas bangun dan berdiri
di belakang Raihan. Dia menolak tubuh Raihan sekuat hatinya sehingga lelaki itu
terjatuh ke dalam air.
Gedebuk! Air berkocak hebat.
“Padan muka kau!” Thia ketawa terguling-guling melihat
Raihan terkapai-kapai di dalam air macam anak kambing. Reti berenang ke tak
budak tu? gumam Thia namun dia tak risau pun sekiranya Raihan betul-betul tidak
pandai berenang.
“Thia! Siap kau. Aku naik atas, aku tambat kau dekat
pokok,” Raihan mengancam. Dia masih lagi berada di permukaan air. Nasib baik dia
pandai berenang. Kalau tidak, mahu jadi arwah!
“Apa? Tak dengarlah. Kau nak aku habiskan makanan kau
semua ni? Okay. No problem. Bismillah…” Thia duduk dan mencapai cupcake
dan membuka tin air Extra Power Root. Dia mengunyah perlahan tanpa mengambil
peduli pasal Raihan yang memerhatikannya.
“Woi! Itu air untuk lelaki lah! Kau tu perempuan.
Karang tumbuh misai berjambang, aku gelakkan aje,” ugut Raihan apabila dia
memerhatikan Thia membuka penutup tin.
“No sweat! Kacak jugak aku kalau ada misai,
kan? Kita boleh jadi geng nanti.” Thia tetap berdegil. Langsung tidak masuk
akal!
‘Ada ke orang minum air terus tumbuh misai. Bukannya aku tabur baja ke
hormon lelaki. Ingat aku ni budak empat tahun agaknya nak percaya tahyul-tahyul
macam tu,’ getus hatinya.
“Minum tu… jangan habiskan. Tinggalkan untuk aku
sikit. Okeylah aku nak mandi. Jom teman aku! Kita main game renang
berirama, nak?” ajak Raihan sambil merenjiskan air kepada Thia.
Thia mengelak dan mengacu penumbuk pada Raihan. “Hee… siapa
nak mandi dengan kau. Tolonglah. Aku nak makan!” Thia mula pijak kepala semula.
Sudahlah dirembatnya makanan orang tu.
“Aku ajak-ajak ayam aje. Aku pun tak ingin nak mandi
dengan kau. Kau tu, bukan boleh dipercayai,” ujar Raihan seraya berenang menuju
ke air terjun. Penuh tersirat ayatnya.
Thia hanya memandang sambil tersenyum penuh makna. Kemudiannya,
dia mengeluarkan kamera di dalam begnya. Beberapa gambar Raihan berjaya
ditangkap. Dia tersenyum simpul.
‘Nak letak dalam frame cantik-cantik. Lepas tu,
letak dekat bawah bantal,’ hatinya berbisik lucu.
***