Bab 16
ARIF leka merenungi Lisa yang sedang menumpu sepenuh perhatian pada buku-buku
di atas meja. Dia sebenarnya sudah lama perhatikan Lisa sebelum ini sehinggalah
gadis itu kini sudah mengubah imej dan penampilan seperti perempuan sejati.
Tidak lagi menyerupai lelaki.
Ternyata benar anggapannya selama ini bahawa Lisa
sememangnya seorang gadis yang cantik. Walaupun tidak secantik Lisa Surihani
namun tetap menarik untuk dipandang.
Arif akui niatnya benar-benar ikhlas menegur Lisa
supaya tidak lagi berpakaian seperti lelaki tetapi bila Lisa sudah pun berubah,
dia tetap ingin mendekati gadis itu. Bukankah tanggungjawabnya sebagai saudara
sesama Islam sudah dilaksanakan?
Untuk apa dia terus mendekati Lisa? Masih ada
sesuatu yang tidak terlunas oleh Arif berkisar tentang gadis itu.
Dalam keasyikan dia menelaah bukunya, tiba-tiba
Lisa dapat menangkap pandangan mata Arif yang leka memerhatikannya sejak tadi.
Bukan dia tidak perasan ada sepasang mata yang enak saja memandangnya dari
jauh.
Walaupun matanya tertumpu pada buku di hadapannya, tetapi dia tidak lupa
pada keadaan di sekelilingnya.
Lantas dia memeluk tubuh dan separuh berani
memandang tepat ke arah lelaki itu. Dia ingin membuat perhitungan dan meluahkan
ketidakpuasan hati. Apabila lelaki itu tidak mengalah dengan panahan matanya,
dia bingkas bangun.
“Aku ada benda nak bincang dengan mamat yang duduk
dekat hujung sana. Kau tunggu sini. Kalau dalam masa lima belas minit aku tak
masuk ke sini balik, kau buat reportpolis,” mendatar saja suara Lisa
menerangkan kepada Thia di sebelah.
Belum sempat Thia membuka mulut, Lisa sudah
bergerak menuju ke arah lelaki yang diusulkan sebentar tadi. Dia ingin bertanya
atas urusan apa Lisa ingin berjumpa dengan lelaki berkenaan tetapi Lisa sudah pun
menjauh.
‘Dia ni memang dilahirkan suka cari masalah ke? Belum settle
masalah yang lama, dah cari masalah yang baru,’ Thia mengomel dalam hati.
Arif terkedu melihat Lisa yang menghampiri namun
dia tidak melarikan pandangan. Dia tahu Lisa pasti ingin bersua muka dengannya.
Sejurus itu dia menutup bukunya dan duduk dengan tegak.
Tapak tangannya
digenggam antara satu sama lain. Dia menunggu dengan debaran di hati. Apabila
kelibat Lisa sudah menghampiri, dia memanggungkan kepala.
“Kau keluar kejap ikut aku,” ringkas dan padat
arahan yang diberi oleh Lisa. Selepas itu, dia terus melangkah pergi. Walaupun
suaranya tegas tetapi rasa takut menyelinap juga dalam hatinya.
Manalah tahu nanti
lelaki itu datang dengan geng sekali menyerangnya.
Lama Lisa menunggu Arif muncul namun sebatang gigi
lelaki itu pun dia tidak nampak. Apabila dia sudah menunggu lebih dua minit,
dia masuk kembali ke dalam perpustakaan dengan hati yang mendongkol marah. Dia mengendap
sedikit ke dalam perpustakaan, ingin mengintai. Harap tak juling mata.
Ah! Ternyata lelaki itu sedang rancak berborak
dengan rakannya sambil ketawa dan berbisik-bisik.
“Eh, aku tunggu dia lama di luar, dia sedap-sedap
aje berborak? Tadi aku sempat bercakap
dengan dia ke tak sebenarnya?” Lisa membebel seorang diri.
Dia masih lagi
berkira-kira sama ada mahu pergi ‘serang’ sekali lagi lelaki itu atau terus
masuk ke dalam dan sambung menelaah bersama Thia macam tiada apa-apa yang
berlaku sebenarnya.
Mata terpejam rapat. Dia cuba memikirkan tindakan
sewajarnya. Tidak lama kemudian dia pantas bergerak masuk ke dalam
perpustakaan. Tanpa menghubungkan sel-sel otak, dia terus menerpa ke arah
lelaki yang memakai baju t-shirt biru berkolar dan butangnya terkancing
penuh.
“Kau pekak ke… tak faham bahasa? Kau tak dengar
ke aku suruh kau ikut aku tadi? Sekarang kau nak atau tak nak, kau tetap kena
ikut aku sekarang jugak,” suara Lisa masih perlahan namun masih dapat didengar dengan
baik oleh Arif.
Sebaik sahaja dia menghabiskan ayatnya, Lisa menarik tangan Arif supaya mengikutnya.
Arif terkejut namun dia memaksa juga kakinya mengikut arah yang dipandu oleh
Lisa. Tajam dia memandang tangan yang sedang melingkari lengannya.
Seperti ada
satu aliran elektrik menjalar di urat sarafnya. Segera dia beristighfar dan
melarikan pandangannya. Tidak mahu memikir apa-apa yang tidak sepatutnya.
Akhirnya mereka berhenti di suatu sudut yang agak
tersembunyi namun masih ada beberapa hamba ALLAH yang melintasi tempat itu.
“Kenapa kita ke sini? Apa kata kita ke kafe saja?
Boleh berbincang dengan aman,” pelawa Arif dengan sopan. Bibir mula tersenyum.
“Tak payah!” tolak Lisa dengan kasar. Suasana kian
menjadi tegang. Masing-masing menunggu siapa yang mahu mulakan bicara. Lisa
makin hangat!
“Kita pernah kenal ke?” Lisa memulakan
pertanyaan. Dia mempamerkan wajah yang penuh tanda tanya. Dahinya berkerut
seribu. Dia melihat lelaki di hadapannya menundukkan wajah dan tersenyum.
“Eh, aku tanya aje… kenapa kau bagi senyum yang
tak berapa nak lawa tu?” Lisa memandang pelik. Arif masih lagi mengukir
senyuman. Dia suka melihat Lisa panasaran.
“Mungkin Cik Lisa kenal dan mungkin juga tidak.
Rasa-rasanya?” balas Arif seolah-olah ajak Lisa bermain teka-teki. Namun dia
pasti, Lisa masih mengecam mukanya. Mustahil Lisa lupa pada wajahnya kerana
dialah lelaki yang sangat berani menegur Lisa secara berhadapan sedangkan Lisa
langsung tidak mengenalinya.
“Aku tak suka main pop kuiz tengah-tengah panas
macam ni. Seriuslah! Aku ada kelas kejap lagi.” Lisa mula membentak.
Sesekali
jam tangannya dipandang. Buat-buat lewat hendak ke kelas padahal mana ada kelas
lagi.
“Sekali-sekala bergurau apa salahnya? Kita hidup
dalam dunia ni bukannya lama, Cik Lisa. Jadi kita jangan membazirkan masa yang
ada dengan perkara yang merunsingkan fikiran. Bergurau senda, menghiburkan
hati, bergelak ketawa… itulah pengubat untuk hati yang rosak,” Arif
bercerekarama di situ. Sengaja ingin melambatkan masa.
Dia melemparkan
pandangan ke arah pokok yang menghijau di sisinya. Udara di sini sedikit nyaman
kerana banyak rimbunan pokok yang sedia membekalkan oksigen yang segar.
“Pandai kau berfalsafah. Tapi maaf, aku tak nak
dengar. Tak payah nak putar belit dengan aku. Kalau kenal… cakap ajelah kenal.
Kenapa? Tak berani?” Kata-kata Lisa seperti mencabar. Dia ketawa kecil seakan
mempersendakan lelaki di hadapannya.
Arif ikut ketawa seiring dengan Lisa. Memang
diakui kata-kata itu ada benarnya. Berpeluh juga dahinya tatkala Lisa mengheret
dia keluar dari perpustakaan. Mana tahu silap hari bulan, Lisa membawanya terus
ke pejabat Hal Ehwal Pelajar untuk membuat aduan.
“Cik Lisa dah lupa pada saya?” soal Arif kembali
apabila ketawanya reda. Sedetik, dia berasa keliru pula melihat riak muka Lisa
bagaikan benar-benar tidak mengenalinya. Benarkah Lisa tidak cam mukanya? Rasa
curiga menyentak hatinya kini.
Lisa tersenyum seraya menggelengkan kepalanya.
Mana mungkin dia lupa pada lelaki yang begitu tegar menegurnya cara berpakaian
suatu ketika dahulu. Sengaja dia menunggu lelaki itu memulakan bicara mengenai
kisah itu.
“Tolonglah… aku, kalau boleh, tak nak ulang
soalan banyak kali. Bila aku tanya, maknanya kau kena jawab. Bukan soal aku
balik. Simple as that. Tu pun susah sangat ke nak faham?” Lisa mula
bengang apabila lelaki itu seperti mahu melengah-lengahkan masa. Lagi-lagi apabila
dia melihat cara lelaki itu memakai seluar yang dirasakan sangat ‘old
fashion’.
Masih adakah lagi lelaki zaman sekarang yang memakai
seluar sampai ke atas pusat, dan butang baju terkancing penuh sehingga mencekik
leher? Sungguh dia meluat melihat gaya lelaki itu yang tidak mengikuti stail
peredaran masa.
“Okay, straight to the point. Cik Lisa
ingat tak, ada seorang lelaki tiba-tiba datang dan dia menegur Cik Lisa
berpakaian yang tidak ubah seperti lelaki? Ketika tu Cik Lisa sedang studi di library.
Em… saya lah orangnya,” jelas Arif lembut dan Lisa berpura-pura terkejut. Dia
membesarkan keluasan rahangnya. Berdrama.
“Oh, jadi kaulah orangnya. Patutlah aku rasa
macam pernah tengok aje budak nerdmacam kau ni. Ingatkan gaya aje nerd
tapi boleh tahan juga kau condemned aku masa tu, kan? Okey, dah
alang-alang kau ada depan aku ni, aku nak tanyalah. Kenapa kau dengki sangat
dengan aku? Aku tak pernah kacau kau pun. Kenapa kau tiba-tiba sibuk kacau hidup
aku.”
“Saya tak ada niat pun nak kacau hidup Cik Lisa.
Maaf sekiranya Cik Lisa anggap saya ni pengacau saja. Saya cuma…”
“Cuma apa?” potong Lisa pantas. Matanya membulat
memandang anak mata Arif menjadikan Arif tersentak seketika dengan tengkingan
dia sebentar tadi.
“Saya cuma nak Cik Lisa berubah menjadi yang
lebih baik. Tak salah, kan?” Suara Arif menyapa lembut gegendang telinganya. Dia
terasa berat hati pula untuk terus meninggikan suaranya bilamana suara Arif
tetap tenang biarpun dia terus-terusan menghentam.
“Jadi, kau bangga dengan perubahan aku sekarang?”
soal Lisa sambil tersenyum sinis. Seketika, dia berasa culas sungguh untuk
memandang tepat ke arah lelaki itu.
“Sedikit,” jawab Arif singkat namun menimbulkan
rasa tidak puas hati kepada Lisa.
“Apa yang tak kena lagi ni? Apa sebenarnya yang
kau tak puas hati dengan aku?” Lisa meraup mukanya. Jelas dia sedang mengumpul
rasa marah.
“Kenapa Cik Lisa bertanya seperti itu? Adakah Cik
Lisa mengharapkan jawapan yang lebih bermakna?” Giliran Arif pula ingin
mengusik hati Lisa.
Keadaan semakin berbahang lantas Lisa terkedu.
Tidak menduga soalan itu yang meluncur keluar. Dia menoleh ke kiri dan ke
kanan. Dia seolah-olah sudah terperangkap.
“Bukan itu maksud aku. Kau nak aku berubah, kan? See,
I'm totally changed.Tapi bila aku dah berubah walaupun bukan sebab kau,
kenapa kau masih tak puas hati? Secara peribadi, kau ada masalah ke dengan
aku?” Lisa cuba merungkaikan kekeliruan yang bersarang di benaknya.
Sebaik saja Lisa melontarkan ayatnya, buat
seketika Arif memandang baju yang tersarung di tubuhnya. Lelaki itu diam dan
meneliti. Kelihatan gelang hitam yang sering dipakai oleh Lisa juga telah tiada.
Ya, Lisa sudah berubah. Seratus peratus berubah!
“Hmm… adakah Cik Lisa ikhlas berubah… kerana ALLAH
SWT?” soal Arif tersekat-sekat. Bimbang jika soalan cepumasnya itu mengundang
kemarahan Lisa.
Tiba-tiba saja Lisa terasa seperti badannya
dicampak ke dalam gaung berduri. Pucat wajahnya dek terlalu kaget. Arif terlalu
berterus terang sehingga dia hilang punca untuk mencari jawapan. Dia berpaling
ke arah lain. Entah kenapa dia berasa malu. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak
mahu menjawab.
“… atau Cik Lisa berubah hanya kerana seorang
lelaki?” soal Arif lagi apabila Lisa enggan membalas. Memang soalan-soalannya agak
pedas didengar oleh Lisa namun dia ikhlas membantu gadis itu.
Kali ini Lisa terasa badannya seperti dilenyek
dengan steamroll. “A… apa kau merepek ni? Kenapa kau kata aku berubah
kerana seorang lelaki?” Dia menjadi gagap dan dirinya berasa cuak.
Ketenangannya berkocak hebat. Sejauh manakah lelaki ini mengenalinya? Adakah
lelaki ini mengenali siapa kekasih hatinya?
“Tanyalah pada diri Cik Lisa sendiri. Saya ikhlas
menegur Cik Lisa sebelum ni. Lagipun itu adalah tanggungjawab kita sesama umat
Islam untuk saling menegur. Saya tidaklah terlalu mengenali Cik Lisa tapi saya
pernah terserempak Cik Lisa bersama dengan teman lelaki Cik Lisa di… di sebuah
kelab malam.
Don’t get me wrong. Saya tidak menuduh yang bukan-bukan.
Saya hanya lalu di situ dan ternampak Cik Lisa baru saja nak masuk. Yalah,
mungkin Cik Lisa ke sana sekadar mahu melepaskan tekanan belajar. Saya faham,”
Arif pantas meluah manakala peluh Lisa sudah merintik-rintik di dahi. Kepalanya
bagaikan berpusing tanpa henti.
Sejauh itu lelaki di hadapannya dapat menangkap
aktivitinya bersama kekasih hati. Apa lagi yang lelaki itu tahu??? Tubuhnya
serta-merta menggigil hebat. Namun dia cuba mengawalnya.
“Hmm… banyak sangat yang kau tahu pasal aku.
Kalau macam tu, aku rasa aku tak perlu nak jelaskan apa-apa lagi pada kau. Kau
boleh anggap apa saja mengenai diri aku sebab kau… bukan siapa-siapa bagi aku. Hairan,
kan? Orang macam kau ni ada hati nak menjaga tepi kain orang lain.
Aku nasihatkan
kau, tolong jangan menyibuk hal aku lagi. Kau jaga saja hal kau sendiri dan
tolong anggap kita tak pernah jumpa sebab aku tak nak orang tau yang kita
pernah kenal. Aku pergi dulu. Assalamualaikum,” terang Lisa lalu beredar dari
situ. Dia takut untuk mendengar apa lagi yang bakal dibongkar oleh Arif. Hanya
dua, tiga langkah diambil, dia kembali berpaling ke arah lelaki itu.
“Oh ya, aku terlupa nak cakap terima kasih pada
kau di atas keikhlasan kau untuk menegur aku. Thanks a lot. Tapi lepas
ni kau janganlah tunjukkan muka kau depan aku. Aku tak suka,” Lisa terus
berlalu pergi tanpa menoleh lagi ke belakang dengan hati yang sebal.
Arif termenung di kedudukannya. Rasa sebak
menjalar di dadanya. Keikhlasannya tidak dihargai.
HATI Thia tidak tenang sejak Lisa keluar bersama lelaki misteri yang tidak
dia ketahui namanya. Dia tidak boleh menumpukan perhatian tatkala hatinya
sedang runsing.
Sudah sepuluh minit Lisa pergi namun tiada
tanda-tanda bahawa Lisa akan muncul. Dia menongkat kepalanya dengan tangan.
“Lisa pesan tadi, kalau dia tak muncul dalam masa
lima belas minit, aku kena buat laporan polis tapi… bukan ke dalam masa 24 jam
baru boleh lapor kes penculikan?
Dia ni nyanyuk ke kurang tengok berita?
Itulah, orang suruh tengok berita, dia bantai tengok cerita Khurafat. Inilah makannya,”
Thia bercakap seorang diri. Keluhan berat segera dilepaskan.
“Hai, Thia. May I sit here?” Tiba-tiba ada
suara menegur dan Thia pantas mengangkat wajahnya dengan harapan, orang yang
menegurnya itu adalah Lisa yang bersuara garau. Logik tak?
Hafiz! Thia menelan air liurnya apabila matanya
menjamah wajah Hafiz. Lelaki itu terus melabuhkan punggung bertentangan
dengannya sebelum sempat dia berkata ‘tidak boleh’. Tegak terus tulang
belakangnya apabila Hafiz memandangnya tajam sehingga menikam pandangannya.
“Thia study apa tu? Boleh kita study
sama-sama?” ajak Hafiz mesra. Memang rezekinya untuk berjumpa dengan Thia hari
ini. Sudah lama dia mengejar Thia namun gadis itu sukar untuk menerima
kehadirannya. Namun dia tidak mudah berputus asa.
Panas! Thia pula naik rimas mendengar suara lunak
Hafiz. Dia menyelak sedikit rambutnya ke belakang. Tiba-tiba dia terasa membahang
di dalam bilik itu walhal penghawa dingin ada di merata.
Dia tak nampak ke muka aku ni tertulis ‘jangan ganggu’?
getus hati kecil Thia. Dia menyibukkan dirinya dengan menulis itu dan ini.
“Sorry, Hafiz. Saya kena fokus
lebih sikit. Do you mind if I ask you to leave or maybe you should keep
silent for a while? I've got so many things to do right now,”ujar
Thia lembut sedangkan hatinya rasa mahu menjerit di telinga Hafiz. Dan seperti
biasa senyuman manis tetap tersungging di bibirnya.
Hafiz menganggukkan kepalanya sambil mengetap
bibir. Dia terpukul dengan kata-kata Thia itu. Berubah terus wajahnya. Dia
geram dengan senyuman manis yang dilontar oleh Thia. Tulang pipinya jelas
menonjolkan diri. Dia benar-benar rasa terhina seolah-olah kedatangannya
langsung tidak diharapkan malah memberi‘bencana’ kepada Thia.
“Saya tak minta lebih pun
daripada Thia. Cuma nak duduk sini danstudy bersama Thia tapi nampak gayanya Thia tak sudi malah
menghalau saya pula. Tak apa. Apa saja yang Thia nak, saya turutkan tapi Thia
jangan menyesal layan saya macam ni,” balas Hafiz dan bingkas bangun menuju ke
pintu keluar. Dia sudah hilang mood untuk terus berada di situ.
Thia pula terkejut dengan
ujaran Hafiz yang berbaur ugutan. Serba salah mencengkam lubuk hatinya. Dia terasa
seperti ingin berlari mengejar Hafiz semula dan memujuk kembali lelaki itu supaya
duduk menemaninya.
Rasa cemas sudah merajai seluruh tubuhnya dengan ugutan
Hafiz sebentar tadi. Serta-merta dia melepaskan keluhan panjang. Tangannya
memicit dahinya, lembut.
Untuk yang keseratus
kali, Thia termenung buat seketika waktu. Dia memikirkan kata-kata yang baru
saja terhambur oleh Hafiz. Semakin lama… semakin terserlah sikap Hafiz yang
agresif.
“Hmm.. aku pasti Hafiz mesti
akan serang aku bila-bila masa. Takkan aku nak pasrah saja-saja? No! Aku
harus bersiap sedia. Aku kena bawa pisau Rambo aku setiap kali aku keluar. Hah!
Lagipun aku tahu sikit-sikit asas silat gayung yang ibu ajar. Inilah masa untuk
aku praktik benda tu,’ Thia mengatur strategi dalam diam.
Tiba-tiba dia kembali
teringatkan Lisa yang masih belum muncul sejak tadi. Dia melemparkan pandangan
ke arah jam di pergelangan tangannya. Sudah empat belas minit Lisa pergi. Masih
ada baki lagi seminit. Cepat-cepat dia menegakkan batang lehernya menoleh ke
pintu masuk namun muka ala-ala Lisa pun langsung tidak kelihatan.
Thia lantas mengemas
segala barangnya. Dia sudah bersedia untuk ke balai polis untuk melaporkan
tentang kehilangan Lisa. Bimbang sungguh dengan keselamatan kawannya itu.
Lebih-lebih lagi apabila Lisa keluar bersama seorang lelaki yang tidak
dikenali.
Baru saja dia mengangkat
punggung, wajah kusam Lisa sudah terjengul dengan bibir yang muncung. “Kau pergi
mana tadi? Saja buat aku risau, tahu tak?” bisik Thia sambil menekankan sedikit
suaranya. Bengang pastinya dengan kelewatan Lisa.
Lisa tidak berkata
apa-apa. Dia cuma memberi isyarat ‘diam’ dengan jari telunjuknya di bibir.
Sambil berdiri, dia mengemas segala buku miliknya di atas meja.
“Aku tanya yang kau suruh
aku diam, kenapa?!” Tanpa Thia sedar, dia telah meninggikan suara. Dia menarik
tangan Lisa sehingga Lisa terduduk di kerusi.
Sejurus itu dia menjeling
ke kiri dan ke kanan. Berpuluh pasang mata memandang dengan tajam ke arahnya
seolah-olah dia telah mencemarkan suasana sunyi di bilik itu. Lupa dirinya di
dalam perpustakaan.
Tiba-tiba ada orang
membaling papan plastik berwarna hitam berukuran dua puluh sentimeter lebar
yang tertera dengan tulisan ‘TOLONG SENYAP’ di atas meja. Thia terkejut dan
memandang lesu ke arah papan tanda itu. Lisa pula sudah menutup mukanya lantas
berdiri semula dan mengheret tangan Thia supaya mereka segera keluar dari situ.
“Buat malu aku aje!” Lisa
mendongkol geram. Dia masih lagi menutup sebahagian mukanya dengan tapak tangan
dan menundukkan wajah.
Thia pula terkedek-kedek mengekorinya dari belakang.
Wajah gadis itu selamba saja macam rasa tak bersalah langsung menjerit di dalam
perpustakaan tadi. Tangannya masih memegang kejap lengan Thia.
Tonggg!!
Lisa terlanggar
pintu kaca. Dia jatuh terduduk dan punggungnya melantun dan terhentak kuat di atas
lantai. Ah! Lisa terasa seperti punggungnya bagai nak tercabut dari badan. Panas
dan berdenyut-denyut sama seperti di dahinya. Dunia ketika itu dirasakan sedang
mentertawakannya.
Tiba-tiba Lisa cemas,
bimbang sekiranya wajahnya telah cacat dek kemalangan itu tadi. Spontan dia
meraba-raba dahinya. Okey masih elok. Tak jendul.
Thia pula terperanjat
dengan kemalangan itu segera membantu Lisa untuk bangun semula sambil gelak.
Memang jiwanya tiada rasa simpati melihat Lisa yang kesakitan.
Sempat juga dia
menjeling di sekitarnya. Ada beberapa orang pelajar yang sudah gelak sesama
sendiri.
“Lisa kau tak apa-apa?
Itulah kau gelojoh sangat nak balik, sampai pintu pun kau nampak macam langsir
kat rumah kau,” ejek Thia sedikit pesimis.
Lisa hanya mampu menahan geram dan
sakit.