Bab 10
LISA tergopoh-gapah keluar dari kelas tanpa menunggu Fitri di belakangnya
namun Fitri tidak mengejar. Malas mahu mengusutkan fikiran dengan memikirkan
perubahan Lisa sejak kebelakangan ini.
Dia membuat keputusan untuk mengajak Thia dan Yani
keluar makan tengah hari. Ada perkara penting yang ingin dibincangkan dan perlu
dibuat perhitungan dengan segera.
Kedai makan Seoul Garden menjadi pilihan mereka untuk
makan tengah hari. Agak lengang juga suasana ketika itu. Barangkali hari ini, hari
biasa. Hujung minggu memang kena reserve awal-awal.
Restoran itu sengaja dipilih oleh Fitri kerana mudah
untuk dia berbincang bersama dua lagi temannya mengenai masalah yang sering
membelenggu otaknya sejak beberapa minggu ini.
“Benda apa kau nak bincang dengan kita orang ni? Tak
ajak Lisa pulak tu. Kau gaduh dengan dia ke?” Selamba Thia menuduh. Dia
mengambil Kimchi Chicken yang sudah masak lalu dipotong-potong kecil.
“Kau perasan something tak pada Lisa tu?
Perasan tak perubahan dia?” soal Fitri seolah-olah ingin berteka-teki.
Thia mengerutkan dahi memandang Fitri yang duduk di
hadapannya. Yani pula keras di sebelah Thia. Bukan tidak mengambil peduli
dengan gosip yang cuba dibincangkan tetapi sedang berselera menyental makanan.
“Apa maksud kau, Fit? Perubahan macam mana?” Thia tahu
sebenarnya perubahan Lisa seperti yang dimaksudkan oleh Fitri. Cuma dia mahu
mendengar pendapat Fitri terlebih dahulu. Ternyata bukan dia sahaja yang
menyedari perubahan Lisa.
“Takkan kau tak perasan. Dia sekarang macam dah
‘perempuan’ sikit. Lepas tu tadi, dia terkocoh-kocoh keluar kelas sampai tak
peduli aku kat belakang dia. Selalunya, dia tunggu aku tau. Ni yang aku touching
ni.” Sempat juga Fitri menyelitkan gurauannya. Dia berpura-pura sedih.
Thia pecah ketawa. “Buruklah muka kau touching.
Buat aku putus urat selera aje.” Thia mengusik temannya itu. Dia kembali
mengunyah daging ayam.
“Yalah. Aku pun perasan. Dia sekarang asyik bergayut
dengan telefon aje dekat balkoni luar. Bila aku datang, dia masuk bilik. Bila
aku masuk bilik, dia gayut, bercakap bawah bantal pulak. Macam tak bagi aku
dengar aje. Aduh! Macamlah aku nak dengar sangat tapi memang aku nak dengar
pun,” komen Yani jujur.
“See, Yani pun perasan. Takkan kau tak perasan,
Thia? Peliknya.”
“Aku perasan. Memang aku buta kalau aku tak perasan. Saja-saja
nak tengok kau orang komen dulu. Karang aku cakap terlebih, kau orang ingat aku
buat cerita pulak.”
Diam sejenak. Hanya kedengaran bunyi garpu dan sudu
berlaga.
“So, rasa-rasanya kenapa dengan Lisa tu?” tanya
Fitri pada Thia dan Yani. Dia menjeling ke arah kedua-dua hamba ALLAH di
hadapannya bersilih ganti.
“Dia dah ada boyfriend. Tapi dia nak sorok
daripada kita semua. Tu aje yang aku dapat simpulkan,” balas Thia ringkas dan
padat.
“Betul tu. Tapi yang aku musykilkan, kenapa dia nak
sorok daripada kita bertiga. Bukannya dia curi boyfriendkita pun. Yalah,
Yani janda, aku dan kau terang-terang solo. Apa yang dia nak sorok sangat?”
Fitri mengenakan Yani. Dia gemar mengusik Yani yang kaki gosip itu.
Serta-merta Yani berhenti mengunyah.
“Agak-agaklah aku ni janda. Karang aku sumbat garpu,
sudu ni dengan pinggan-pinggan sekali dalam mulut kau. Badan aku ni melentik, solid,
bergetah lagi. Apa maknanya kau tahu? Itu tandanya aku tak pernah disentuh oleh
mana-mana lelaki lagi tau,” Yani membela diri.
Thia ketawa berdekah-dekah. Sakit perutnya menahan
gelak apabila mendengar celoteh Yani tadi.
“Relakslah. Kau ni cepat melatah. Sebab tu aku suka
kacau kau. Jangan ambil serius pulak. Hmm… agaknya kenapa Lisa jadi macam tu?
Bukannya kita nak marah dia pun kalau betul dia ada boyfriend sekarang.
Itu kan, hak peribadi masing-masing,” Fitri meluahkan pendapatnya.
Thia menganggukkan kepalanya, setuju dengan apa yang
diperkatakan oleh Fitri. Tiba-tiba dia teringat insiden pada suatu petang
ketika dia ingin menjemur pakaian di balkoni. Dia terdengar butir bicara Lisa
dengan pemanggil misteri yang tidak diketahui siapa.
Menurut apa yang dia dengar, Lisa
tidak dibenarkan beritahu pada sesiapa mengenai hubungan mereka. Sungguh tidak
logik! Kenapa lelaki misteri itu mahu merahsiakan hubungan mereka berdua?
Fitri memetik jari. Thia cepat-cepat tersedar dari
mengelamun. Dia meneruskan makan tanpa mempedulikan rakannya. Sejak peristiwa
itulah, dia bertambah pelik dengan perangai Lisa.
“Kau dengar tak aku tanya apa tadi?” tukas Fitri
menguatkan lagi suaranya.
“Sorry aku tak dengar. Aku khayal tadi. Kau
ulang balik soalan kau.” Selamba jawapan daripada Thia. Yani pula ketawa kecil.
“Aku ingat aku seorang aje makhluk yang terlebih
jujur. Kau pun dua kali lima, sama. Ceh!” ulas Yani sambil menjuihkan bibirnya.
Thia hanya mencemikkan muka. Malas mahu bertelagah. Panjang pula perang
mulutnya nanti.
Tengah hari itu banyak juga mereka makan-makan. Semuanya
gara-gara overtime gossip. Makan lebih sikitlah. Tanpa sedar, makanan
sudah berpinggan-pinggan mereka balun.
“Alhamdulillah. Kenyangnya perut aku. Bergosip punya
pasal, sampai kembung perut aku yang ramping ni. Tak stabil dah badan aku,
membusung sungguh. Ni kalau ada orang tegur aku mengandung, mampus!” komen Yani
sambil bersandar di kerusi dengan tapak tangan di perut.
“Kau tu memang pelahap. Tengok aku ni, tak gelojoh pun.
Nak bergosip, gosip sajalah. Mulut tak payah nak menyumbat,” ejek Fitri. Yani
hanya mencebikkan bibir mendengar leteran itu.
Usai makan, mereka meluangkan masa berjalan-jalan
sebentar di pusat membeli-belah sebelum mereka pulang. Yani dan Fitri membeli
pelbagai barangan manakala Thia hanya membelikan ibunya sepasang brooch
yang cantik.
Thia duduk di bangku sementara Yani dan Fitri pergi ke
tandas. Dalam menunggu, mata Thia tertancap pada satu anak patung comel di
dalam sebuah kedai. Oleh sebab bosan menunggu lama, akhirnya Thia mengatur
langkahnya ke arah kedai patung tersebut.
Dia membelek satu per satu patung yang ada namun dia
tiada hati untuk membeli. Dia lebih menghargai sekiranya patung itu dimiliki
apabila ada seseorang yang istimewa menghadiahkan padanya. Tentu ada sentimental
value yang tersendiri.
Matanya berkenan dengan anak patung beruang yang bersaiz
sederhana kecil berwarna putih. Anak patung itu seolah-olah sedang memegang
bentuk love yang tertera tulisan, ‘I Need You’di tengah-tengahnya.
Tanpa berfikir panjang Thia
menuju ke arah patung tersebut. Tangannya segera menggapai namun dia terkesima
kerana ada tangan lain yang cuba merampas anak patung itu pada waktu yang sama.
Dia lekas mendongak ke atas.
Serta-merta matanya membuntang besar. Mulutnya bagai
digam seketika. Kedua-dua belah kakinya seakan dipaku pada lantai. Jantungnya
dipalu kuat. Serasa darah gemuruh semakin terasa. Yang menakjubkan, tangannya
tetap tidak melepaskan anak patung tersebut. Pegangannya kejap malah bertambah kuat
pula dia mencengkam.
“Cik, saya yang pegang dulu teddy bear ni.”
Suara Raihan membelah lamunan Thia. Mukanya serius.
Thia kembali ke alam nyata. Dia menjeling sekejap ke
arah patung yang erat dicengkam dan kembali memandang wajah Raihan. Kini baru
dia faham situasi sebenar. Dia pantas merencana. Kali ini dia tidak akan
‘tewas’ lagi bila berhadapan dengan Raihan. Tidak seperti kali pertama dia
bertatapan dengan Raihan.
“Hei! Aku yang pegang dulu patung ni!” Thia tidak semena-mena
menjerit sekuat hatinya tepat di depan muka Raihan sehingga lelaki itu terpaksa
menutup matanya. Berdengung telinga, ‘organ’ di dalam telinganya pasti sedang
‘cair’ mendengar jeritan maut Thia itu.
Raihan naik berang tiba-tiba. Telinganya terasa
berbahang. Dia menarik tangan patung itu dengan lebih kuat. Thia juga tidak
mahu kalah, dia menarik kembali tangan patung yang sama. Ya, sesi tarik-menarik
sedang berlaku antara Thia dan Raihan kini. Masing-masing menunjukkan kehebatan
sendiri. Kemenangan hampir berpihak kepada Raihan.
“Kau ni kenapa? Tak faham bahasa Melayu ke? Aku cakap
ni patung aku!” Thia menjerit lagi.
“Aku punya!” Raihan membalas. Dia menjegilkan matanya.
“Aku!!!!” Jeritan Thia sudah cecah di tahap yang
maksimum lalu membuatkan tauke kedai itu menyerbu datang kepada mereka berdua.
Thia dan Raihan menoleh ke arah tauke kedai tersebut
namun mereka tetap dengan kedegilan masing-masing. Kedua-dua tangan patung itu
hampir terkoyak.
“Hello… hello! Patung ni bu... bu… bukan you all
pu... pu… punya tapi I yang pu… pu... punya. Letak ba… ba… baliklah. Ma…
manyak menyu… nyusahkan olangini ma... macam,” marah tauke kedai
yang berbangsa Cina itu dengan gagap. Perit benar bunyinya.
Sekejap saja, Thia mencerlang kembali matanya ke arah
Raihan. Dia mengetap bibirnya, geram melihat Raihan yang tidak berputus asa
merebut patung itu daripadanya. Dari jauh dia ternampak Fitri dan Yani sedang
melilau pandangan. Barangkali sedang mencarinya yang sedang tersorok di dalam
kedai. Berombak dadanya menentang wajah Raihan.
“Kau nak sangat patung ni, kan? Nah!!! Dasar budak
hingusan!” Thia bersuara serentak itu dia menarik tangan patung itu dan
melepaskannya. Raihan tersungkur ke belakang dan jatuh terduduk. Nafas Thia
tercungap-cungap. Melihat keadaan Raihan sudah jatuh terjelepok, dia tersenyum
puas lantas dia melangkah keluar dari kedai itu tanpa menoleh ke belakang.
Yani dan Fitri segera mendapatkan Thia.
“Thia, kau okey? Siapa lelaki yang kau tolak tu? Handsome
lah!” Sempatjuga Yani melemparkan kata-kata pujian. Fitri pula meraba-raba
bahu Thia seolah-olah memeriksa jika terdapat luka pada tubuh Thia. Mukanya
lebih risau pada Thia berbanding Yani yang tampak lebih risau pada Raihan.
“Kenapa ni, Thia? Kau bergaduh dengan siapa tu?” soal
Fitri bernada gusar.
Thia menggelengkan kepala. “Aku tak apa-apa. Dahlah,
jom kita balik,” balas Thia. Suaranya bergetar menahan amukkan. Dia menarik
kedua-dua tangan rakannya supaya beredar dari situ.
RAIHAN menghentak stereng keretanya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Kuat
dan padu. Dia benar-benar meradang. Ikutkan hati, mahu dia mengejar Thia di pusat
membeli-belah tadi.
“Apa masalah dia dengan aku? Aku tak cari pasal pun
dengan dia, tiba-tiba aje dia nak jerit pada aku, apa hal?” Mulutnya masih lagi
terkumat-kamit membebel pasal Thia.
“Macam mana Hafiz boleh syok pada perempuan macam tu?
Dia tu rabun ke apa? Tak nampak ke perempuan tu kasar, garang macam singa
berkepala naga!” Tak pasal-pasal Hafiz turut diseret bersama dalam masalahnya
dengan Thia. Dia pantas menghalakan keretanya menuju ke pekarangan kampus. Dia
ingin bertemu dengan Hafiz.
Petang itu Raihan membawa Hafiz bermain boling. Pada
mulanya Hafiz menolak pelawaan Raihan itu namun akhirnya dia mengubah keputusan
setelah berjaya dipujuk oleh Raihan. Tidak sampai hati hendak membiarkan Raihan
bermain boling seorang diri. Macam ada yang tidak kena saja.
“Hafiz, aku nak tanya kau sikitlah. Kau serius ke
dengan… siapa nama budak perempuan yang kau bawa makan lunch hari tu?
Haa… Thia, kan? Dia dah jadi awek kau sekarang?” Raihan bertanya sambil meneguk
air tin coke. Dia yang sedang duduk di kerusi terpaksa mendongak untuk
melihat Hafiz yang berdiri.
Hafiz mempamerkan wajah tenang. Bila nama Thia meniti
di bibir Raihan, dia jadi seram sejuk tiba-tiba. Sebelum ini, Raihan jarang
bertanya tentang mana-mana gadis. Hatinya berbelah bagi sama ada mahu jujur
ataupun sebaliknya.
“Kenapa kau tiba-tiba tanya? Nak masuk line?” Serius
muka Hafiz menduga.
Raihan sudah tergelak. Rasa dungu sungguh soalan Hafiz
itu.
“Banyak-banyak benda dalam dunia ni kau boleh tanya,
soalan tu yang terpacul dari mulut kau? Hafiz… Hafiz. Kau macamlah tak kenal
aku. Aku tak main perempuanlah. Lagipun Thia tu, jauh panggang dari taste
aku, tau? She’s out of my list. Even dia perempuan terakhir dalam
dunia ni, I’ll never… ever choose her. Dia tu, kalau orang bagi free
pun, aku fikir dua tiga kali. Lagipun aku tengok dia tu macam perasan lawa
aje.” Begitu sekali perumpamaan Raihan terhadap Thia. Ternyata Raihan menolak Thia
mentah-mentah.
Hafiz tersenyum puas mendengar tanggapan Raihan
terhadap Thia. Kiranya dia tidak bersaing dengan siapa-siapa untuk merebut Thia.
Tuah mungkin berpihak padanya kali ini. Dia tidak nafikan, sebelum ini dia
menyangka Thia ada hati pada Raihan setelah kejadian di kafe beberapa bulan
lalu. Reaksi Thia yang melarikan diri selepas bersemuka dengan Raihan
seolah-olah menunjukkan bahawa Thia mungkin suka pada Raihan.
“Belum lagi. Aku baru nak tackle dia,” ujar
Hafiz mendatar. Dia tidak bersemangat langsung apabila memikirkan respons Thia
bagaikan acuh tak acuh saja. Dia sedar, Thia sering mengelak daripada bertembung
dengannya. Padahal dia tahu bukan Thia tidak nampak dia sedang memekik
terlolong memanggil nama gadis itu macam orang gila.
“Eloklah. Aku nasihatkan kau, baik kau lupakan aje
niat kau tu. Frankly speaking, Thia is not the right woman for you.Aku
percaya, kau baru aje couple dengan dia dalam masa sehari, kau dah cabut
lari. Seriously, man. I don’t like her.”
“Kau ada masalah ke dengan dia?” tanya Hafiz sedikit
aneh.
“Bukan aku yang ada masalah dengan dia, tapi dia yang
bermasalah,” jelas Raihan penuh emosi.
Kerutan pada dahi Hafiz pula kian terserlah. ‘Thia ada
masalah dengan Raihan? Thia mengenali Raihan?’ bertubi-tubi persoalan datang
menjengah.
“Thia kenal kau?” Hafiz bertanya.
“Dia tak kenal aku pun sebab tu aku kata dia tu
bermasalah. Kalau dia kenal aku then dia tak suka aku, aku boleh terima,
bro.Ni kenal pun tidak, tahu-tahu dia nak serang aku,” marah Raihan
dengan muka berapi.
Hafiz makin tidak faham dengan cerita yang dia dengar
dari mulut Raihan. Intonasi dan bahasa Raihan mengelirukan dia. Apa sebenarnya
yang berlaku antara Thia dan Raihan?
“Bro, kau cerita bagi terang sikit. Aku tak
fahamlah. Cuba kau cerita dari awal. Kepala aku dah berpusing ni nak faham
cerita kau.” Hafiz berkerut semasa bercakap.
Raihan mengambil masa lima minit untuk bercerita tentang
apa yang baru saja berlaku antara dia dan Thia. Hafiz terus ternganga
mendengarnya.
“Jadi, kau sebagai kawan aku, aku minta kau jauhkan
diri daripada singa laut tu. Dia boleh mendatangkan bahaya pada kau dan
keluarga kau jugak. Kau kan, masih muda. Lebih baik kau fokus pada study
daripada kau buang masa fikir pasal perempuan tak cukup zat tu,” ujar Raihan
sambil menepuk bahu Hafiz.
Dia benar-benar tidak setuju sekiranya Thia menjadi
pilihan terakhir buat Hafiz. Kelak, musnah hidup rakannya itu!
Hafiz sekadar mendiamkan diri. Jauh menungannya. Aku
tak mungkin jauhkan diri daripada Thia. Thia tetap jadi milik aku walau macam
mana cara sekalipun. Dia sepenuhnya, hak milik aku! Otaknya mula memikir yang
tidak-tidak.
Maka, atuk iblis pun mengajak nenek iblis beradu. Seorang lagi cucu
Adam secara rasmi sudah masuk ke kelab geng iblis sedunia.