Bab 2
SUARAyang riuh-rendah menggamatkan suasana di dalam kelas. Thiabersama
Lisa dan Fitri menghadiri kuliah mereka yang pertama.
Sambil menongkat dagu di
atas meja, Thia mula membayangkan hari-harinya sepanjang dia berada di situ.
Tanpa ibu yang boleh memantau segala pergerakannya, mampukah dia menahan diri
daripada segala godaan yang mendatang? Spontan,
Thia mengeluh berat.
Tiba-tiba dia
berasa amat rindu pada ibunya di rumah. Masakan tidak? Inilah pertama kali dia
berpisah lama dengan ibunya. Lebih daripada itu, dia bimbang dengan keadaan
ibunya yang bersendirian di rumah.
Dunia sekarang
ini bukan seperti dunia yang hidup tiga puluh tahun yang lalu. Pantang jika
warga tua seorang diri di rumah, ada saja yang jahat ingin mengacau, merompak
dan membuat dajal. Nak merompak, merompak sajalah, janganlah sampai nak
membunuh. Harta dunia boleh dicari di mana-mana tetapi nyawa yang melayang,
bolehkah ia diganti?
“Thia, cuba kau tengok mamat yang
duduk kat meja sebelah kau tu. Handsome!” Tiba-tiba Lisa berbisik kepada
Thia namun Thia yang sedang leka mengelamun terasa bengang.
“Kau tau tak kau
mengganggu aku? Handsome… handsome. Aku tadi, baru aje nak berangan
main laga-laga pipi dengan Aaron Aziz, masa tulah kau nak menyibuk kacau aku!” Thia
bersuara sedikit lantang.
Seimbas, dia
mengerling Lisa dan meneruskan kembali agendanya tadi. Dia berasa bosan
menunggu pensyarahnya yang tidak kunjung tiba. Sudah setengah jam dia menunggu
pensyarahnya masuk ke dalam kelas namun tidak juga muncul membuatkan dia rasa mengantuk
dan mula mengelamun.
“Thia,
suara kau tak boleh kuat lagi ke?” tegur Fitri yang duduk di belakang Thia.
Malu apabila setiap patah kata daripada Thia tadi didengar olehnya.
Biasalah
budak perempuan, macam tiada topik lain hendak dibincangkan. Aaron Aziz yang tak
semena-mena sudah berkahwin dan beranak tiga itu juga yang mahu dijadikan topik
untuk bergosip. Menangis kalau isteri Aaron Aziz terdengar apa yang Thia
katakan tadi.
“Lisa... dia suruh aku tengok
mamat kat sebelah ni. Tak kuasa aku nak buat kerja gila macam tu. Oh, please…
not a word about the boys to me!” Sengaja Thia menguatkan lagi volumesuaranya
untuk mengusik Lisa.
Gelagat Lisa kadangkala mencuit hatinya. Tidak padan
dengan perwatakannya yang agak kejantanan itu. Ada hati juga hendak mengurat si
uda. Sepantas
mulut Thia bersuara, sepantas itu juga tangan Lisa mencubit pahanya.
“Auw! Sakitlah,” Thia mengadu
kesakitan.
“Memang aku
cubit nak bagi kau sakit. Aku suruh kau tengok aje. Bukan suruh buat pengumuman
satu kelas ni. Kau ingat aku ni ada masalah pendengaran macam kau ke?” Lisa
berhenti berkata-kata kerana ketawanya tidak dapat ditahan. Kemudian dia sambung dengan tawa yang
masih bersisa.
“Tapi kan, muka dia macam Asyraf Muslim. Tapi dia ni lagi tegap.
Kau rasa dia ada awektak?” soal Lisa sambil menyiku lengan Thia di
sebelahnya.
Thia tak
hairan pun dengan lelaki yang menjadi perhatian Lisa itu. Dengan kening
terangkat sebelah, dia menoleh Lisa tanpa secebis senyuman di bibir.
“Memang
aku ni adik dia nak tahu dia ada awek ke tak, kan? Malas aku nak buat prediction
gila macam tu. Dosa! Tuhan marah. Baik kau bukak buku… pergi belajar,” arah Thia
yang masih tersimpan rasa bengang. Jarinya menuding ke muka Lisa.
Padahal
kuliah baru bermula, mana ada buku yang nak dibaca! Itu memang sudah menjadi prinsip hidupnya yang
tidak sesekali berkawan dengan lelaki. Baginya, lelaki pada zaman era
globalisasi kini hanya mahu mempermainkan wanita sahaja. Tidak ikhlas dan hanya
pandai bermain kata.
Sudah muak dia membaca akhbar tentang kes pembuangan bayi,
kes rogol dan bermacam-macam berita yang tidak enak didengar. Oleh yang sedemikian, dia
mengambil tindakan yang bijak dengan menjauhkan diri daripada mana-mana lelaki
yang cuba berkawan rapat dengan dirinya.
Bukan tiada lelaki yang cuba untuk
mengetuk pintu hatinya dahulu. Razlan, Syafiq, Haqim, dan Faiz adalah antara
lelaki yang kena reject oleh Thia. Bukan
mereka tak kacak pun, cuma Thia merasakan masanya belum tiba untuk dia
berpasangan dengan mana-mana lelaki.
Dia masih belum percaya wujudnya lelaki
yang ikhlas menerima wanita. Gusar seandainya lelaki yang ingin berkenalan
dengannya hanya berlandaskan nafsu semata-mata.
“Aku tanya aje.
Yang kau nak sembur-sembur aku ni, kenapa? Apa kau ingat muka aku ni baldi?” protes
Lisa namun Thia sekadar mencemikkan mukanya. Tambah sakit jiwa apabila Lisa
melihat wajahnya yang tak cantik itu. Buruk! Usahlah diamalkan buat mimik muka
seperti itu. Ini, kalau ada lelaki yang ingin memikatnya, terus lari sebatu
agaknya.
Walaupun Lisa
baru saja mengenali Thia, dia tahu Thia bukan seorang yang cepat naik angin.
Tidak pernah lagi dia melihat Thia bermasam muka dengannya.Dia juga
maklum bahawa Thia seorang yang anti lelaki. Pelik benar dia dengan perangai Thia
yang satu itu. Hilang nafsu agaknya?
Sejurus tiga puluh lima minit,
muncul seorang wanita muda berjalan masuk ke dalam bilik kuliah dan
memperkenalkan diri sebagai pensyarah yang mengajar subjek Matematik.Beliau
juga tidak lupa memohon maaf atas kelewatannya pada pagi itu.
“Now,
I nak you all pula yang perkenalkan diri,” kata pensyarah mereka
yang bernama Cik Farah setelah beliau memperkenalkan diri kepada
pelajar-pelajarnya.
Dalam kesibukan Thia berbual
dengan Lisa, tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan berdiri lalu ke hadapan
untuk memperkenalkan diri. Wah! Sungguh berkeyakinan sekali dia berjalan. Gaya tak
nak kalah!
“Hai! My name is
Tengku Dayana binti Tengku Razif. Just call me, Yaya. I’m from
Kuala Lumpur and I’m so glad to befriend with anybody here.” Oh! Lemak
berkrim suaranya macam tengah buat konsert pula.
Thia dapat
rasakan lehernya seperti dicekik oleh seseorang. Apatah lagi setelah dia
melihat raut wajah pelajar perempuan itu, kini dia betul-betul terasa nak hantukkan
diri sendiri ke bucu meja.
‘Aku
kenal perempuan ni! Dia yang sesuka jiwa tengking aku kat depan lif minggu
lepas. Agak-agak kalau aku tengking dia balik sekarang, dia bunuh aku tak?’
bisik hati Thia menyoal dirinya.
Lisa
yang duduk di sebelah Thia sudah tersenyum jahat melihat pelajar perempuan yang
bernama Yaya itu. Melihat Lisa yang tersenyum menahan ketawa, Thia secara tidak
sengaja melepaskan ketawanya namun pantas dia mengunci mulutnya kembali.
Kejamnya Thia gelak!
Spontan, mata Yaya terarah
kepada Thia dan Thia juga dapat merasakan lelaki di sebelahnya turut merenung
tepat ke arahnya. Serentak itu semua mata memandangnya. Tentunya terkejut. Lalu
dia menundukkan sedikit wajahnya.
‘Oh, mama! She’s going to kill me.
Siaplah aku dekat parking lot nanti,’ omel Thia, cuak!
Sesi
perkenalkan diri masih diteruskan sehingga tiba pada giliran Thia pula. Sedang
dia berjalan ke hadapan, tiba-tiba Thia tersadung lantaran kakinya dibentes
oleh Yaya yang duduk di kerusi hadapannya.
“ALLAHUAKBAR!”
Thia menyeringai kesakitan. Serentak rasa sakit dan malu bercampur baur. Dia meniarap
di atas lantai dengan mulut ternganga. Aduh! Kesiannya…
‘Biawak
karung betul Si Yajul(Yaya Juling) ni! Berani dia bentes kaki aku. Ha… keluar
dah bahasa keji-kejian aku,’ maki Thia pada Yaya dalam hati. Bibir digigit
tanda geram. Rasa nak dicekik-cekik leher jinjang Yaya sekarang. Berdosakah dia
sekiranya dia pergi membunuh Yaya?
Apabila Thia ingin mengangkat
wajahnya, dia melihat ada sepasang mata sedang merenungnya dengan penuh minat. Ah!
Pemuda kacak yang duduk di sebelahnya tadi sedang leka menatapnya?
‘Alamak… aku
malu! Dia tengah syok pandang aku. Macam mana aku nak bangun ni? Boleh tak aku
buat-buat pengsan kat sini? Tak berdosa, kan?’ Tercetus idea kurang cerdik itu
di akalnya. Lalu direbahkan kembali kepalanya di lantai tanpa berfikir panjang.
Ha… ha… ha…
Ketika
dalam keadaan ‘pengsan,’ Thia terdengar bunyi kicauan suara yang riuh-rendah dan
sumbang yang mungkin terkejut dengan insiden yang sedang berlaku ketika ini.
Walaupun pura-pura pengsan saja tetapi dia masih mampu mendengar dengan teliti.
“Macam
mana Thia boleh terjatuh?” soal Fitri kepada Lisa seraya tangan menggoncangkan
kerusi Lisa. Sungguh dia terkejut melihat Thia jatuh tersungkur. Kalau tiada
aral, macam mana Thia boleh terjatuh? Fikirnya kalut. Kasihan tetapi tak
ditolong pun kawannya itu.
Lisa hanya mengangkat bahu. Dia
ingin menolong Thia tetapi kakinya seakan beku di tempat duduknya. Dirasakan Thia
tak apa-apa walaupun dia tengok Thia macam dah nazak sangat.
Setelah
beberapa minit, Thia terasa tubuh badannya dipusingkan ke hadapan dan pipinya
ditepuk perlahan oleh seseorang. Dia gementar dan tertanya-tanya. Siapakah yang
membantunya ketika ini?
Sejenak,
dia mencelikkan sedikit mata dan dia melihat wajah pemuda kacak tadi berada di
hadapannya. Seperti terkena kejutan elektrik, Thia terus membeliakkan mata dan
bangkit dari ‘pengsan’. Dia tidak suka disentuh oleh lelaki asing waima sekacak
mana pun lelaki itu.
“Err…
saya dekat mana ni?” Thia menyoal dirinya persis orang yang mengalami
kecelaruan identiti. Berdrama. Cik Farah pantas sahaja mendapatkan Thia
dan memeluk bahunya. Ternyata pensyarah muda itu risau dan cemas melihat
keadaannya.
“You tadi
terjatuh and then pengsan tiba-tiba. Are you okay, my dear?” tanya
Cik Farah cemas. Mungkin percaya dengan lakonannya sebentar tadi.
Syabas, Rana Fathiah! Syabas!
Pemuda
kacak tadi hanya tersenyum melihat Thia. Barangkali tidak percaya yang Thia
benar-benar pengsan. Mungkin sengaja mahu menutup malu kerana tersungkur di
khalayak ramai. Yaya yang berdiri di sebelah Cik
Farah hanya mencebik. Dia tahu Thia tadi berpura-pura saja. Tak logik gadis itu
terus pengsan.
Bukan teruk pun gaya gadis itu terjatuh. Rasa-rasanya masih
boleh selamat. Setiap sudut
ruang menjadi sepi menanti drama yang seterusnya.
“Saya
okey, miss. Don’t worry. Maybe kepala saya terhantuk dekat lantai
tadi. Miss, boleh tak saya minta diri dulu? Kepala saya macam sakit pulak.”
Thia memberi alasan pula.
Dia mencengkam kepalanya seolah-olah ada himpitan
kuat yang memukul laju tempurung kepalanya seperti memainkan muzik Hindi.
Sebuah lakonan yang berkesan.
Kalaulah pengarah filem berkesempatan menonton
dramanya tadi, pasti ditawar menjadi pelakon utama filem Tamil.
“Yalah,
miss. Muka dia nampak pucat sangat. Teruk sangat kut dia jatuh tadi
sampai pengsan,” sindir Yaya. Mulutnya menyenget macam pesakit strok kerana
berasa puas hati dapat mengenakan Thia.
Berbahang.
Thia mengetap bibir rapat-rapat. Terasa seperti ringan sungguh tangannya nak menumbuk
muka perempuan perasaan bagus itu. Biar sopak mukanya. Namun dia tidak mahu melakukan
kekecohan di situ apatah lagi hari ini adalah kuliahnya yang pertama.
Dia tidak
sanggup menempah populariti lantas memberi ‘kebanggaan’ kepada ibunya dengan
taktik kotor seperti itu. Terlalu murah!
“Kalau
macam tu you boleh balik but make sure if you feel something wrong
with your head, you must see a doctor… immediately.” Cik Farah
memberi izin kepada Thia untuk pulang. Kasihan pula dia melihat wajah Thia yang
pucat. Ah! Buat-buat pucat sebenarnya.
“Thank
you, miss,”balas Thia. Dia pun segera mengambil begnya dan ingin
berlalu keluar dari ruang kelas itu. Masing-masing ada yang berbisik sesama
sendiri. Mungkin sedang mengumpat. Ah! Ada mak kisah?
“Kau nak aku teman tak?” tanya Lisa.
“Kau okey,Thia?” soal
Fitri pula. Jelas mereka berdua khuatir dengan keadaan Thia yang parah tadi.
“Aku
okey.Tak payahlah kau orang teman. Nanti kita jumpa di bilik, ya?”
bisik Thia perlahan. Sempat dia menjeling tajam ke arah Yaya yang sedang tersenyum
sinis kepadanya. Kaki pun rasa-rasanya sudah
menggeletik nak terajang muka Yaya yang asyik tersengih-sengih. Sakit hatinya
dengan sakit di lutut sama seiringan.
Dengan pantas dia terus beredar dari
situ. Bimbang jika tahap kesabarannya sudah sampai di penghujung. Tanpa
Thia sedari, ada sepasang mata lagi sedang memandangnya dalam diam.
SEPANJANG perjalanan pulang ke biliknya, mulut Thia tak
henti-henti memaki-hamun Yaya. Tak pasal-pasal hari ini dia mendapat musuh
pula. Dia tahu tak sepatutnya dia mentertawakan Yaya tetapi memang sejak azali
sifatnya yang mudah ketawa.
Teringat
zamannya semasa kecil, dia
‘disekolahkan’ oleh ibunya gara-gara mengejek seorang budak sumbing kerana
budak itu sering mengejeknya ‘maggi kering’ disebabkan rambutnya yang agak
kerinting.
Mereka seperti anjing dan kucing kerana pantang bersemuka, pasti bergaduh.
Sejak dimarahi ibunya, dia mula mengubah sikapnya menjadi yang lebih baik
walaupun tidak seratus peratus. Thia
yang ingin meredakan perasaan marahnya, mengambil keputusan untuk berehat di
sebuah taman berdekatan dengan blok akademik.
Dia melabuhkan punggungnya di
atas bangku sambil mengeluarkan telefon bimbit. Tangannya segera mencari nama
ibunya di dalam senarai kenalannya. ‘Rindunya Thia pada
ibu,’ hatinya berdetik perlahan.
Sudah empat hari dia tidak mendengar suara
lunak ibunya. Sibuk menguruskan hal di kampus menjadikan dia terleka seketika.
“Hai!”
Tiba-tiba ada suara yang menegurnya. Tangannya pantas menekan butang‘cancel’
pada telefon bimbit. Mati terus niatnya untuk menelefon ibu di rumah.
Sekilas, dia memandang wajah yang sedang duduk di sisinya itu. Boleh tahan,
tetapi…
“Buat
apa dekat sini? Bukan ke dekat kelas tadi awak kata awak nak balik ke asrama?”
Lelaki tersebut menyuakan soalan kepada Thia namun Thia hanya memalingkan muka
dari pandangan lelaki kacak itu. Malas nak melayan sebab lelaki itu merenungnya
seperti sepanjang hayat tak pernah tengok perempuan.
‘Err… awak,
tolong jauh seribu batu dari saya sebab saya tak nak bagi awak cedera,’ namun
Thia tak sampai hati nak bercakap macam itu. Bimbang dia pula yang tercedera
mengenangkan badan lelaki itu lebih ‘semenggah’ berbanding dirinya.
Melihat Thia seakan tidak mahu
melayan, lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan si gadis. Bijak
dia meraih perhatian Thia namun, berjayakah?
“Nama
saya Hafiz Fikri. Tadi semasa di kelas awak tak sempat nak kenal dengan saya,
kan? Nama awak siapa?” soal Hafiz lagi. Cuba ingin berkenalan dan bermesra. Sejenak, Thia menoleh
Hafiz. Kemudian dia memandang huluran tangan jejaka itu. Lama.
“Rana Fathiah,”
jawab Thia ringkas. Huluran tangan dibiarkan sepi. Dialihkan pandangannya ke
sudut lain semula. Tidak selesa dengan pandangan Hafiz yang rakus menjamah
wajahnya.
“Rana Fathiah… panggil Thia,
boleh? Sebab tadi saya ada dengar kawan awak panggil awak, Thia. Cantik nama
awak. Macam orangnya juga. Tapi kalau awak senyum, kan lebih cantik dan manis.
Sebenarnya saya sengaja keluar kelas awal tadi untuk jumpa awak. Takut jugak kalau
awak tiba-tiba pengsan lagi,” ujar Hafiz mesra. Ingin membangkitkan suasana
yang romantis.
Meremang
bulu roma Thia mendengarnya. Tegak berdiri seumpama menyanyikan lagu Negaraku. Rasa
ingin ghaib saja. Menyampah betul dia tengok muka Hafiz ketika itu! Hafiz
pula terpegun melihat kecantikan Thia.
Pertama kali melihat wajah Thia sewaktu Thia
‘pengsan’ di kelas tadi membuatkan dirinya meronta-ronta ingin mendekati gadis
comel itu. Apatah lagi saat dia menyentuh pipi gebu gadis itu, rasa indah terus
menjalar di segenap ruang hatinya.
Thia sungguh cantik di matanya.
Rambutnya ikal, punya potongan badan yang agak menarik iaitu tidak terlalu
kurus dan tidak terlalu berisi. Thia juga tidak terlalu tinggi dan tidak
terlalu rendah, berkulit kuning langsat, alis matanya yang lentik dan berlesung
pipit menambahkan kemanisan pada wajah gadis itu.
“Maaflah Encik Haf…” Thia tidak sempat
menghabiskan kata-katanya.
“Eh,
tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil aje Hafiz. Bukan ke lebih
mesra,” pantas Hafiz memotong. Dia tersenyum lagi dan Thia tambah meluat lagi.
“Em…
maaflah, Hafiz. I just thought you should know that… I’m not too good
into boys. Dan saya tak suka berbual dengan orang yang tak dikenali. Saya minta
diri dulu. Assalamualaikum.” Thia berubah jadi perempuan alim pula. Dia
mengangkat kaki dari situ namun sepantas kilat tangan Hafiz memaut lengannya dan
Thia laju saja berpaling memandang lengannya, tajam.
“Apa pegang-pegang ni, bro?
Tak cantiklah orang tengok kita macam ni. Hormat sikit saya ni,” Thia bersuara
tegas. Lelaki itu berdehem lalu pautan dilepaskan. Hening
seketika. Hafiz menyusun ayat lalu dengan berhati-hati dia berkata.
“Sorry
but can I have your phone number, please? Actually, saya nak sangat
berkenalan dengan Thia. Bukan apa, kalau saya ada nombor telefon Thia senanglah
saya nak contact Thia nanti, kan? Ajak keluar makan ke, study sama-sama
ke…” terang Hafiz cuba meyakini Thia. Berharap sangat Thia sudi memberi nombor
telefonnya.
Thia sekadar menganggukkan
kepala tanda faham.
“So?”
soal Hafiz apabila melihat Thia hanya menganggukkan kepala sahaja. Sebenarnya
Thia sudah lali dengan taktik busuk seperti itu. Konon saja pada mulanya hendak
belajar bersama-sama. Selepas itu, entah ayat pengasih apa yang dicurahkan!
“Hmm… kita baru kenal, kan? So,
saya tak boleh percaya pada sembarangan orang. Apatah lagi ini pertemuan kita
yang pertama. Takkanlah awak tak ada kawan lain nak ajak study atau
keluar makan bersama. Sorry, Hafiz but I can’t give you my phone
number. I just don’t like it. Maybe you should ask another girl. Sorry once
again but I’m not interested. Hope you understand. Bye. Take care,”ulas
Thia bersahaja seraya menunjukkan baris giginya yang tersusun lalu meninggalkan
Hafiz terpinga-pinga.
“Kau ingat kau handsome,
kau boleh jual muka kau tu pada aku? Belum lagi jadi kawan dah berani nak
pegang-pegang anak dara orang. Kalau dah kawan lagi mengenyam agaknya. Entah
apa lagi yang dia nak pegang.” Thia mengutuk lagi.
Laju kakinya mengorak langkah tanpa menunggu sebarang
komen daripada Hafiz. Takut sekiranya Hafiz sedang mengejarnya dari belakang
sambil memegang kapak. Manalah tahu Hafiz bengang lalu mengambil keputusan
untuk membunuhnya. Bukankah lelaki zaman sekarang semakin mengganas? Pantang ditolak,
pasti ingin membalas dendam.
Hafiz pula benar-benar tidak
sangka dengan jawapan yang keluar dari mulut Thia. Matanya masih lagi
terkebil-kebil memandang lenggok Thia yang menonong ke hadapan. Telinganya juga
menelan apa yang Thia mengomel tadi.
“Berlagak
punya perempuan. Kau ingat kau cantik, kau nak berlagaklah dengan aku? Kau
tengoklah nanti. Mampus kau aku kerjakan. Kau tuduh aku gatal, kan?” Hafiz
berang dengan Thia yang jual mahal dengannya.
Langkah Thia yang semakin menjauh
hanya diikuti dengan jelingan matanya. Kembang kuncup hidungnya menahan api
kemarahan. Mukanya seperti dilumur dengan serbuk cili!
‘Lelaki kacak macam aku pun kau
tak nak layan? Tengoklah nanti apa aku nak buat,’ hatinya mendongkol geram.
Memang itu sikap Hafiz yang pantang menyerah kalah dengan perempuan. Ini adalah
pertama kali dia ditolak oleh seorang perempuan walaupun sekadar untuk
berkenalan.
Dia terasa seperti maruahnya dipijak-pijak lumat dan disepak jauh
oleh Thia. Biarpun dia baru saja mengenali Thia tetapi dia tekad dengan
keputusannya untuk membuat Thia jatuh dalam tangannya. Memerah anak matanya
memikirkan Thia yang menolak bulat-bulat niatnya untuk berkenalan.
‘Apa
nak jadi, jadilah!’ bisik hatinya keras. Dendamnya sungguh berkobar-kobar.