Bab 20
USAI subuh lagi,Thia
sudah bersiap-siap. Dia kelihatan ceria dan bertenaga dengan memakai baju-T
berwarna putih gading dan berseluar trek berwarna hitam.
Rambutnya pula diikat
kemas. Mukanya kosong tanpa secalit mekap pun yang dipakai. Setelah berpuas
hati, dia keluar dari bilik, ingin mengalas perut.
Thia dilayan bagaikan
permaisuri oleh Yani, Lisa dan Fitri. Mereka menyediakan sarapan dan secawan
air milo panas untuknya.
Tidak cukup dengan itu, mereka sempat menyumbatkan
beberapa paket biskut, roti dan air mineral ke dalam beg galasnya sebagai
bekalan untuknya di sana.
Ah! Syurganya... Thia
terasa seperti bermimpi di siang hari dan terawang-awang di udara. Kembang
bermangkuk-mangkuk hatinya kini.
‘Sayangnya kau orang pada aku. Aku janji, nanti
aku balik aku bawa batu sungai cantik-cantik untuk kau orang semua,’ desis
hatinya teruja.
“Dah siap semua barang?”
soal rakannya. Thia mengangguk. Kasut sukan jenama Adidas berwarna putih
berjalur kuning keemasan disarung ke kakinya. Beg galas disangkut pada
kedua-dua belah bahunya. Mereka menemaninya hingga ke muka lif.
“Take care. Jangan
main air sangat, bahaya,” pesan Yani.
“Haah. Jangan mandi bila
air deras tau. Kau tu kadang-kadang bukannya betul,” Thia sekadar mengangguk
mendengar leteran kawan-kawannya.
“Take care, Thia.
Jangan lupa mesej aku kalau ada apa-apa hal. Dah sampai nanti, mesej jugak
beritahu aku. Aku tak peduli kau ada kredit ke tak,” pesan Lisa sedikit tegas.
Thia tersenyum bangga. “Baru
terasa aku ni berguna untuk kau orang selama ni,” perli Thia seraya ketawa
mengekek. “Eh, kau orang nak balik rumah pukul berapa?” soal Thia setelah
ketawanya beransur reda.
“Semuanya balik tengah
hari. Saja aje tunggu kau pergi dulu. Nanti menangis pulak kalau tak ada orang
hantar kau pergi,” giat Yani. Dia mencuit pipi tembam Thia.
“Hai. Terasa diri ini
tambah-tambah disayangi… untuk barang seminit dua ni ajelah.” Thia ketawa lagi.
Mereka yang mendengar turut pecah gelak.
“Bukan main happy,
kau! Jangan suka-suka sangat duduk dalam hutan tu, Thia. Beringat-ingat selalu.
Jangan sampai tak balik-balik ke sini pulak,” celupar mulut Lisa bersuara.
“Mulut tu cuba cakap benda-benda
yang elok sikit. Relakslah. Ni… Rana Fathiah! Mana pun kau orang campak aku,
aku mesti hidup punya. Kecuali kalau kau orang campak aku dalam gaung berapi.
Rentunglah aku,” ujar Thia bergurau. Masing-masing terkekeh-kekeh.
“Yalah, Thia. Kau kan, Keluang
Girl,” perli Fitri apabila ketawanya reda.
Ting! Pintu lif terbuka. Thia
sempat berpelukan dengan teman-temannya sebelum menembusi perut lif. Dia berdoa
semoga perjalanannya selamat agar dia dapat melihat sekali lagi wajah
teman-temannya itu.
***
PLKN! Itu yang dapat Thia
samakan apabila begitu ramai sekali pelajar-pelajar yang turut serta dalam
perkhemahan ke Hutan Lipur Chamang.
Selepas berkumpul di
padang universiti dan membuat pemeriksaan terakhir peralatan dan keperluan yang
perlu dibawa untuk aktiviti berkhemah selama dua hari itu, mereka bergerak ke
Hutan Lipur Chamang menaiki bas yang berlainan mengikut kelab sukan
masing-masing yang digabungkan.
Mereka selamat tiba tepat
pada pukul 5.00 petang dan perjalanan yang mengambil masa selama 7 jam itu
benar-benar meletihkan.
Semua pelajar dibenarkan berehat sebentar sebelum
mereka diarahkan untuk bergerak ke tengah hutan mengikut kelab sukan
masing-masing. Semua peserta tiba di tapak perkhemahan 20 minit kemudian.
Sesetengah pelajar turut
dibantu oleh pensyarah mengeluarkan barangan dan peralatan lalu masing-masing
mula mendirikan khemah. Kawasan perkhemahandibahagikan kepada dua
zon iaitu Zon A untuk tapak perkhemahan pelajar lelaki dan Zon B bagi tapak
perkhemahan pelajar perempuan.
Pemilihan tapak
perkhemahan yang jauh daripada kawasan perkelahan adalah untuk mengelak
kehadiran orang ramai. Jadi, mereka memilih kawasan di hilir air terjun yang
berdekatan dengan kawasan alam semula jadi yang begitu cantik.
Beralaskan tikar
mengkuang, masing-masing memulakan aktiviti memasak menggunakan bekalan basah
yang dibawa sebagai juadah makan petang.
Keadaan sebegini lebih ‘semula jadi’ kerana dapat merasai udara hutan
yang dingin.
Kawasan denai di sekitar air terjun amat indah sekali panoramanya.
Bunyi deruan air jeram yang mengalir sangat memberi ketenangan kepada para
pengunjung di samping bunyi unggas-unggas di hutan bagaikan menyanyi-nyanyi
kecil.
Pelbagai menu makanan
segera masak tersedia seperti ayam goreng yang siap dibeli, sardin, roti dan
telur goreng. Ia mengikut bajet setiap kelab sukan yang terlibat.
Walaupun
makanan yang disediakan hanya biasa dan tidak terlalu mewah, ternyata selera
ketika berada di dalam hutan sangat berlainan. Apatah lagi mereka menikmati
juadah di tepi jeram yang mengalir sambil menghayati alam semula jadi yang
begitu menghijau.
Cuaca juga cukup baik, redup dan berangin.
Kawasan yang dipilih
memuatkan 15 khemah sekali gus. Mandi-manda di kawasan jeram berdekatan
merupakan aktiviti wajib selepas penat menyediakan tapak perkhemahan dan
aktiviti memasak.
Disebabkan kawasan yang
dipilih agak jauh daripada kawasan berkelah untuk orang ramai jadi kawasan ini
agak sunyi dan sedikit privasi walaupun hakikatnya kedudukannya tidaklah
terlalu jauh di tengah hutan kerana di situ masih terdapat kemudahan seperti
tandas awam dan beberapa pondok kecil.
Sebagai langkah
keselamatan, belerang ditabur di sekeliling kawasan khemah untuk mengelak
daripada serangan binatang berbisa.
Para peserta juga dinasihatkan agar tidak
memanjat batu-batu yang licin di situ. Persediaan yang cukup terperinci sangat
penting agar keselamatan para peserta yang terlibat tidak terancam.
“Thia, kau tak nak makan
ke? Muram aje muka kau. Kenapa? Menyesal ke datang sini?” tegur Iqa sambil
membawa pinggan makanan. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Thia.
Bazila turut
mengambil tempat di sebelah Thia yang duduk memeluk lutut di dalam khemah
mereka. Mukanya seperti menanggung kesedihan.
“Kenapa kau terceruk aje
dalam khemah ni? Tak lapar ke? Dari tadi kau tak makan apa-apa. Karang sakit
perut pulak,” tegur Bazila pula.
Thia hanya mendiamkan diri tanpa menjawab
sepatah ayat pun. Dia menarik nafas panjang.
“Aku pening kepala. Aku
ni ada masalah sikit kalau jalan jauh. Lagi-lagi naik bas. Berpusing-pusing
lagi kepala aku ni sampai tak lalu nak makan. Hutan ni pun nampak macam
bergerak sendiri aje,” jawabnya penuh lesu. Rasa mahu termuntah pun ada.
“La… kenapa tak cakap
awal-awal? Aku ada bawa Panadol satu papan. Kau nak tak?” Iqa menawarkan
bantuan. Thia pantas memanggung kepala.
“Em… bolehlah. Aku nak
dua biji,” jawab Thia. Dia mengambil beg galasnya untuk mengeluarkan botol air
mineral.
“Kau tak nak makan dulu
ke? Banyak makanan dekat luar tu. Dah makan baru boleh telan ubat. Jom. Aku
teman kau,” Iqa menarik tangan Thia supaya mengekorinya.
Thia tidak membantah.
Lemah saja kakinya melangkah keluar dari khemah. Kepalanya benar-benar pening
sejak di dalam bas lagi. Dia duduk bersimpuh di atas tikar sambil mencedok nasi
dan mengambil seketul ayam goreng. Beberapa pelajar perempuan turut duduk
bersila di situ sambil menikmati makanan yang tersedia.
“Thia, pucat saja muka
awak. Sakit ke?” Cik Ain bertanya. Thia menggeleng seraya melemparkan senyuman
untuk pensyarahnya itu.
“Taklah, miss.
Pening aje. Kejap lagi saya makanlah Panadol. Err… miss, malam ni apa
aktiviti kita orang?” soal Thia ramah. Cik Ain mengeluarkan kertas dari beg
sandangnya.
“Malam ni kalau ikut
jadual, kita kena dengar taklimat dari pegawai keselamatan. Lepas tu, kita akan
diberi tanda nama dan mula buat kumpulan masing-masing, sebab esok kita ada aktiviti
merentas desa dalam hutan. Haa… takut tak?” Cik Ain sengaja mengusik Thia.
Jatuh
sepuluh inci rahang Thia mendengar
kata-kata pensyarahnya itu. Gila!
“Merentas desa dalam
hutan??? Eh, ingat kita datang sini nak buat discovery channel kebuat
research pasal haiwan liar dengan tumbuh-tumbuhan? Takutlah saya, miss.
Nanti ada harimau ke, tak pun ular ke? Kan bahaya tu. Saya tak nak ikutlah, miss,”
protes Thia bersahaja.
Cik Ain tersenyum mendengar Thia berceloteh.
“Miss, saya pun
tak nak ikut. Saya nak teman Thia,” celah Iqa tiba-tiba.
“Mana boleh tak ikut. Ni
aktiviti wajib. Semua orang wajib pergi kecuali sesiapa yang disahkan sakit
macam lelah ke, tu baru boleh rehat tak payah join. Itengok you
all ni sihat walafiat aje,” ujar Cik Ain sambil mata memandang sinis ke
arah Thia dan Iqa.
“Eh, mana ada saya sihat,
miss.Tadi pun miss tegur muka saya pucat. Haa… saya tak berapa
sihatlah maknanya,” Thia memberi alasan. Dia memang bijak bab-bab kelentong
orang tetapi dia tidak sedar yang dia sedang kelentong itu merupakan seorang pensyarah.
“Tapi you pening aje.
Lagipun youkata kejap lagi you nak makan Panadol, kan? Sejam dua
okeylah tu peningnya,” provok Cik Ain lagi.
Thia terkesima sekejap. Tidak
sangka pensyarahnya begitu bijak berbanding dirinya. ‘Padanlah… dia tu
pensyarah, kau? Penyangak?’ gumam Thia mengutuk dirinya sendiri.
“Ala… macam tu ke? Hmm… kaulah
ni, Iqa. Siapa suruh kau bawa Panadol datang sini?” Thia menyalahkan Iqa pula.
Dia melemparkan jelingan maut kepada Iqa di sisinya.
Iqa sungguh bengang pada Thia.
‘Hantu punya kawan! Kau jangan macam-macam dengan aku, Thia. Aku tumbuk kau
nanti, terus hilang sakit pening kau. Tak payah telan ubat lagi,’ Iqa melepaskan
geram di dalam hati.
Dia menghormati pensyarahnya yang ada bersama mereka.
Kalau tidak, Thia pun dia tidak nampak macam budak perempuan lagi.
“Macam-macamlah awak ni,
Fathiah. Em… Fathiah, Syafiqah, you all tak nak mandi sungai ke? Segarkan
sikit badan tu,” cadang Cik Ain sambil matanya menoleh ke arah beberapa orang
pelajar perempuan yang sedang mandi di anak sungai.
Pelajar lelaki hanya
dibenarkan mandi jauh sedikit dari tapak perkhemahan bagi tujuan keselamatan.
Khemah-khemah di Zon B cukup menghalang pandangan pelajar lelaki di Zon A untuk
meliarkan mata.
“Kejap lagi sebelum Maghrib
kita orang mandilah. Boleh solat terus lepas tu. Misspulak tak nak
mandi ke? Join lah kita orang kejap lagi,” Thia mengajak. Cik Ain pantas
menganggukkan kepala.
“Ok juga tu. Mandi
beramai-ramai rasa selamat sikit. Yalah dalam hutan ni macam-macam benda boleh
berlaku. So, kita kenalah berhati-hati,” pesan Cik Ain.
“Betul tu, miss.
Tapi miss jangan risau. Saya ada bawa pelindung,” ujar Thia sambil
tersenyum penuh makna. Macam budak cerdik.
“Apa? Tangkal azimat?”
celah Iqa selamba dengan kening terjongket. Dia menyuap nasi ke dalam mulutnya
perlahan-lahan.
Thia pamer muka tidak
puas hati pada Iqa. “Walaupun aku ni tak berapa nak alim tapi aku taklah
khurafat sangat. Betulkan miss, ayat saya ni?” soal Thia lantas
memandang ke arah Cik Ain menagih jawapan. Cik Ain sekadar menggelengkan kepala
mendengar leteran kedua-dua pelajarnya.
“Hmm…you all makanlah
dulu. I nak ke Zon A kejap. Nak tanya Encik Mokhtar pasal aktiviti malam
ni,” ujar Cik Ain sambil mengangkat punggungnya.
“Kau bawa pelindung apa?”
soal Iqa setelah Cik Ain pergi.
Thia khusyuk meratah ayam
goreng. “Adalah. Nanti aku tunjuk pada kau. Sabar, eh? Bagi aku mencekik dengan
tenang kejap. Karang tak pasal-pasal tulang ayam ni aku sumbat sekali dalam
tekak aku. Kut tulang ni tersekat dalam tekak aku, terus jadi halkum… lagi
parah,” sungut Thia.
Iqa hanya mampu menjuihkan bibirnya. Memang ada saja
jawapan Thia yang menyakitkan hatinya.
Apabila jam tepat
menunjukkan pukul 6.30 petang, Iqa, Bazila dan Thia bersiap-sedia untuk
mandi-manda di sungai. Bazila kelihatan terkocoh-kocoh mengambil pakaian serta
beberapa peralatan mandi. Risau sekiranya hari semakin menginjak senja.
“Thia, cepatlah. Kau buat
apa lagi tu?” jerit Bazila di luar khemah. Iqa sudah menunggu di pinggir sungai
bersama Cik Ain dan beberapa lagi orang pensyarah dan pelajar perempuan yang
turut menemani mereka bersama-sama.
“Kejaplah. Aku cari
barang aku ni,” jerit Thia di dalam khemah. Tiba-tiba terjengul kepala Bazila
mengintai dari luar khemah.
“Thia, kau cari apa? Berlecak
ketiak aku tunggu kau ni. Masam dah bau badan aku,” rungut Bazila separuh
geram. Macamlah sekejap lagi dia tidak pergi mandi.
“Hah! Aku dah jumpa dah.
Jom kita gerak mandi,” Thia menyimpan pisau Rambo itu di dalam lipatan tuala
mandinya.
“Apa yang kau sorok tu?”
soal Bazila pelik. Keningnya hampir bercantum.
“Pisau,” ujar Thia seraya
tersengih bangga. Tegang terus kulit muka Bazila mendengar jawapan selamba daripadanya
tadi.
“Aku ingat kau cari sabun
ke, seluar dalam buruk kau tu ke. Rupanya pisau. Parang ke sabit, tak bawak sekali
ke?” Bazila menyindir.
Thia geleng kepala sahaja.
“Huh! Jomlah kita gerak
sekarang. Nanti dah senja.” Bazila masih terasa bengang. Setelah itu mereka
bergegas menuju ke anak sungai.
***