RIZQI selamat tiba di depan
kampus tepat pada pukul 8.30 malam. Thia, Yani dan Fitri sudah bersiap sedia menunggu
di hadapan pondok pengawal.
Ketika di dalam kereta,
Yani dan Fitri sempat bergosip tentang Rizqi. “Amir tu comel, kan?” Yani
melemparkan kata-kata nan indah. Memang itu sifat mulia yang ada pada dirinya
di mana sering memuji keindahan ciptaan ALLAH SWT.
“Biasa aje aku tengok
dia. Handsome lagi Tok Nyang aku,” sangkal Fitri selamba. Bukan niat nak
berbohong tetapi Yani seorang yang sensitif. Pantang nampak jejaka kacak mesti
nak rembat.
“Memanglah Tok Nyang kau handsome
tapi 80 tahun yang lalu. Kalau aku hidup 80 tahun yang lalu, aku kebas dah Tok
Nyang kau tu. Mesti kau jadi lebih cantik dari sekarang. Yalah sebab Nek Nyang
kau ni cun,” bidas Yani perlahan. Dia tergelak kecil.
Fitri malas mahu melayan Yani
lantas dia hanya matikan diri. Setengah jam kemudian, mereka tiba di Adela’s
Restaurant.
Thia dan Yani memilih Spaghetti Bolognese sebagai juadah
makan malam mereka manakala Rizqi memilih untuk makan nasi paprik serta telur
bungkus sebagai juadah makan malamnya pula.
Fitri ketika itu masih teragak-agak
untuk memilih menu.
“Err… bagi saya roti
canai telur letak sardin. Lepas tu saya nak air jus tomato segar, ya?” Fitri
memberi pesanan. Rahang Thia jatuh hingga mencecah ke kaki tatkala mendengar
menu yang dipesan oleh Fitri.
“Err, sorry miss. We
don’t serve roti canai here. To make an order, just take a look at this menu,”
jawab pelayan lelaki tersebut dengan senyuman sambil membuka kembali buku menu
untuk Fitri yang sudah bermasam muka.
“Apa? Tak ada roti canai?
Kalau tak ada, baik tutup ajelah kedai ni. Pelanggan minta semuanya tak ada!” balas
Fitri sedikit kasar. Dia lupa kehadiran Rizqi seketika.
Pelayan itu hanya
tersenyum. Yalah, moto pelanggan adalah raja sangat dititik-beratkan.
“Hmm.. dahlah. Bagi aku, Spaghetti
Carboranaaje,” sedikit kendur suaranya. Masih bengang kerana makanan
kegemarannya tidak disajikan.
“Say the word properly,
Fitri. It’s Carbonara!” Yani mencelah perlahan. Mulut Yani nipis saja
dek geram pada Fitri yang menyebabkan dia terkena tempias malu bersama.
Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan Rizqi.
Setakat di depan pelayan
Benggali itu, dia tidaklah terasa malu sangat.
“Yes! Carbonara.
Cepat sikit, ya? Dah lapar ni,” perintah Fitri selamba. Rizqi yang mendengar hanya
tersengih. Lucu dia melihat gelagat Fitri.
Thia memandang tajam ke
arah Rizqi. Dia tahu Rizqi sedang ketawakan Fitri dalam hati. Melihat Thia yang
seakan memberi amaran kepadanya, Rizqi pantas matikan senyuman.
“Err… Fitri dan Yani tak join
Thia pergi campingsekali esok?” ramah Rizqi bertanya kepada dua orang
kawan baik Thia.
“Tak. Kita orang pemalas
sikit. Tak suka nak masuk-masuk hutan ni. Hutan depan rumah saya pun saya tak
berpeluang lagi nak redah,” jawab Fitri pantas belum sempat Yani mahu membuka
mulut.
Sekali lagi Yani terkedu
dengan sikap Fitri yang cukup buat dia rasa baran. Baru dia hendak membuka
mulut, Fitri sudah menjawab. Mahu dia stapler mulut Fitri ketika itu.
“Oh, habis tu siapa kawan
Thia yang ikut Thia sekali?” berlekuk dahi Rizqi menyoal.
“Ramai. Ada yang sama
kelas dan sama kelab sukan dengan saya. Janganlah risau. Dua hari aje saya
pergi,” terang Thia bagi membuang rasa khuatir di hati Rizqi.
“Dua hari tu macam-macam
boleh berlaku, Thia. Tentulah saya risau dengan keselamatan Thia. Nanti Thia call
saya bila dah sampai sana. Jangan lupa pulak.” Rizqi asyik mengingatkan Thia
supaya jangan lupa mengingatinya sepanjang berada di hutan nanti.
Thia sekadar tersenyum
saja. Rasa segan apabila kawan-kawannya turut memandang dan mendengar perbualan
mereka. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat riak muka Yani.
Kawannya itu macam
mahu duduk saja di tengah-tengah antara dia dan Rizqi.
“Abang Amir kerja apa?”
Yani meluru bertanya. Kesempatan yang ada perlu digunakan. Sengaja dia
menggunakan panggilan ‘abang’ untuk meraih perhatian Rizqi.
“Saya… peguam dan office
saya di Shah Alam,” balas Rizqi. Matanya menyambar gelagat Yani yang
tersengih-sengih daripada tadi.
“Oh, patutlah abang macam
loaded aje. Yani pun ada uncle yang kerja sebagai peguam. Abang
kenal tak, Encik Shariff Ismail?” ramah Yani menyoal. Thia geli hati melihat
Yani bersungguh-sungguh ingin bermesra dengan Rizqi.
“Err… sorry tak
kenal pulak nama tu. Sama kerja di Shah Alam ke?” soal Rizqi lembut. Sedikit
terangkat keningnya.
Yani menggeleng sambil
tersipu-sipu. “Tak… uncle Yani tu peguam di Kuantan sebab dia duduk di
Kuantan,” ujar Yani seraya ketawa halus. Rizqi terdiam terus. Perasaan bengang
sudah menyelubungi dirinya.
“Oh, patutlah saya tak
kenal,” keluh Rizqi perlahan.
“Yani, memanglah Encik
Amir kita ni tak kenal. Pak cik kau kat Kuantan. Dia kat Shah Alam. Melintang
jauh. Bila masa dia orang nak buat sesi perkenalan,” sungut Fitri kasar. Yani
menjeling Fitri dari lewat ekor matanya, tajam menikam.
Rizqi tersenyum. Dia
memandang Thia pula. “Thia, esok jangan
lupa call saya,” acap kali dia memberi peringatan kepada Thia.
Disebabkan banyak kali dipesan hal yang sama, Thia naik bosan pula.
“Ya, saya ingatlah. Tapi
kalau tak ada coverage, saya tak boleh buat apa-apa. Biasalah dalam
hutan ni kadang-kadang aje dapat coverage,” Thia mengulas. Rizqi
mengangguk lemah mengiakan kata-kata Thia. Sekonyong-konyong itu dia teringat
sesuatu.
“Oh, ya. Sebelum saya
terlupa, adik saya Rai…”
“Your order, sir.”
Seorang pelayan lelaki meletakkan pinggan di hadapan Rizqi. Terbantut cerita Rizqi
sebentar tadi. Selepas itu, pelayan turut menghidangkan makanan untuk yang lain.
Masing-masing menikmati juadah makan malam dengan penuh selera.
Usai makan malam, Thia minta
untuk pulang. Risau sekiranya lewat sampai di asrama.
“Thanks Amir… for
the dinner. I really enjoyed it,” ucap Thia setelah Yani dan Fitri meluru
masuk ke pekarangan kampus. Dia masih lagi bersama Rizqi di dalam kereta.
“Most welcome. Next
time boleh saya ajak Thia keluar lagi?” soal Rizqi sambil merenung tepat
anak mata Thia lantas gadis itu menghadiahkan sebuah senyuman.
“Mestilah boleh. Asalkan
awak yang bayar, saya okey aje,” senda Thia seraya ketawa namun ketawanya reda dalam
sekelip mata apabila Rizqi begitu asyik merenungnya sehingga dia berasa malu.
“Thia nampak comel sangat
malam ni,” puji Rizqi tiba-tiba. Seakan berbisik nadanya. Thia terus terkedu.
Mukanya berona merah. Entah kenapa dia jadi segan untuk bertentangan mata
dengan Rizqi yang sudah lain macam itu.
“Err… saya naik dululah. Esok
saya kena bangun awal pagi,” ujar Thia lembut mengawal rasa gelora hatinya. Tangannya
mula menyentuh pintu kereta namun serta-merta Rizqi menahan Thia.
“Thia, wait! Saya
nak cakap sesuatu pada Thia. Boleh Thia stay sini sekejap dalam beberapa
minit lagi?” soal Rizqi meminta izin daripada Thia.
Thia mendiamkan diri
seketika. Dia melemparkan pandangan ke arah pergelangan tangannya. Jam
menunjukkan 10.45 malam. Masih ada baki lagi lima belas minit.
“Awak nak cakap apa?” Dia
masih teragak-agak untuk melihat wajah Rizqi. Gentar dengan panahan mata Rizqi bagaikan
menikam jantungnya sehingga tembus ke belakang badan.
Rizqi mematikan radio.
Dia ingin Thia mendengar luahan hatinya tanpa ada gangguan. Suasana menjadi
begitu hening. Thia menunggu dengan debaran di hati.
“Saya sayangkan Thia
lebih daripada seorang kawan,” luah Rizqi dengan nada yang sarat dengan rasa
cinta pada gadis bernama Rana Fathiah.
Diam tanpa jawapan. Thia
di sisinya hanya membungkam sepi. Enggan percaya dengan apa yang baru saja dia
dengar pada saat ini. Ia seperti halilintar yang memanah hatinya. Mereka
bertatapan. Pelbagai perasaan bermain di hati Thia. ‘Apa yang patut aku katakan
padanya? Terlukakah hatinya nanti?’
Rizqi menunggu jawapan Thia.
“Kenapa Thia senyap? Jawablah apa saja. Saya tak paksa. Saya terima apa pun
balasan daripada Thia,” lembut Rizqi berkata.
Thia mengetap bibirnya.
Wajah Rizqi ditenung setajam yang mungkin.
“Amir, benda ni terlalu
mendadak bagi saya. Kita berjumpa, kenal dalam masa setahun aje. Saya nak awak
faham. Kita terlalu awal untuk semua ni. Saya masih belum cukup mengenali awak.
Biarpun awak satu-satunya lelaki yang sangat rapat dengan saya tapi saya anggap
awak tak lebih daripada seorang kawan. Saya tak boleh balas cinta awak, Amir.
Maafkan saya,” jelas Thia berterus terang. Dia tidak mahu beri harapan yang
tidak pasti kepada Rizqi kerana lelaki itu terlalu baik untuk dibohongi.
Bukan kata paksaan atau
cercaan yang Thia terima, sebaliknya senyuman yang mekar indah meniti di bibir Rizqi.
Thia sekadar memandang dengan rasa belas.
Rizqi menegakkan badannya
mengadap ke hadapan. Hatinya terluka dengan jawapan Thia namun dia masih tidak
berputus asa.
“Thia, saya tak paksa Thia
untuk terima saya sekarang. Cukuplah Thia tahu perasaan saya yang sebenar
terhadap diri Thia. Thia masih boleh anggap saya sebagai kawan. Tolong jangan
jauhkan diri daripada saya selepas ni. Manalah tahu Thia jadi takut pula dengan
saya.
Please, you don’t have to. I hope this won’t ruined our relationship,”
pujuk Rizqi sedikit serak suaranya. Hatinya terhiris kerana Thia tidak
mahukannya.
Thia menumpahkan rasa
simpatinya terhadap Rizqi yang tenang walaupun dia tahu hati lelaki itu sedang
berkocak. Mana mungkin Rizqi tidak sekelumit pun rasa kecewa.
“Amir, kita serahkan
semuanya pada Tuhan, ya? Secara jujurnya… saya suka awak, suka berkawan dengan
awak tapi saya tak mengharapkan lebih daripada itu. Mungkin saya ni terlalu
mentah untuk bercinta. Masa akan mematangkan saya suatu hari nanti dan pada
waktu itu, mungkin saya boleh balas cinta awak. Tapi saya tak mampu nak janji
apa-apa.”
Rizqi tersenyum. “Maknanya,
saya kena tunggu Thia berubah jadi matang barulah Thia terima cinta saya?”
Rizqi tenang semasa bertanya kepada Thia.
Thia tiada jawapan untuk
soalan itu. Dia ingin mendiamkan diri saja tapi memandangkan Rizqi
terus-terusan merenungnya, terpaksalah dia menjawab juga.
“Saya tak mampu nak
beritahu apa jawapannya. Cuma satu saya minta pada awak, jangan menaruh harapan
yang tinggi untuk jadikan saya sebagai kekasih awak. Kalau boleh, saya tak nak
ada hubungan dengan sesiapa. Saya nak belajar, bekerja dan capai cita-cita saya
terlebih dahulu.
Insya-ALLAH, jika niat saya betul, ALLAH akan bantu saya.
Ingat, jangan melebih-lebihkan cinta pada saya sedangkan cinta itu bukan milik
saya lagi. Ia milik di atas sana,” lahir Thia dengan senyuman manisnya.
Rizqi tidak sampai hati
ingin mematahkan kata-kata Thia. Dia sekadar membalas senyuman Thia seadanya
dan mengiakan segala yang diperkatakan oleh gadis itu sebentar tadi.
***