Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 5

Bab 5

PUAN SEHA mengeluarkan fail-fail yang diminta oleh Encik Rizqi. Sebentar lagi ada mesyuarat yang perlu dihadiri olehnya. Dia bertanggungjawab dalam menguruskan hal pejabat dan mengatur kes-kes yang diterima oleh Encik Rizqi. 

Dia juga bertugas dalam mengatur jadual temu janji untuk bosnya dengan pelanggan dan menyediakan dokumen, memberi nasihat dan peringatan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala pengurusan serta pentadbiran sesebuah syarikat dan organisasi sentiasa berjalan dengan lancar.

Kerjanya tidaklah sukar mana. Oleh itu sehingga ke hari ini, dia mampu bertahan untuk terus bekerja di situ biarpun agak jauh untuk dia berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari.

Puan Seha bergegas menuju ke bilik bosnya untuk menyerahkan fail-fail yang berkenaan. Sejak dia kehilangan suami, dia begitu tekun bekerja untuk menyara hidup sendiri dan anaknya apatah lagi Thia sekarang sudah melanjutkan pelajaran yang sudah pasti memerlukan pembiayaan wang yang agak banyak.

Dia memulas tombol pintu saat kakinya sudah menapak di hadapan pintu bilik Encik Rizqi dan mulut memberi salam. Bibirnya melirik senyuman.

Wajah wanita berumur 41 tahun yang putih melepak dan berkaca mata itu dipandang sekilas oleh Rizqi. Sepanjang dia bekerja di situ, dia cukup selesa bekerjasama dengan Puan Seha yang sangat komited terhadap kerja-kerja yang diberi. Walaupun Puan Seha merupakan staf bawahannya namun dia menghormati wanita itu yang jauh sebelas tahun tua daripadanya.

“Ni failnya, bos. Em… ada apa-apa benda yang bos perlukan lagi?” soal Puan Seha dengan senang hati. Dia melihat bosnya itu tekun menyemak dokumen yang perlu diperiksa dengan terperinci.

“Tak ada apa-apa. Cuma meeting kejap lagi dah confirm pada Encik Kamil? Karang dia tak datang pulak. Dia tu kalau tak ada orang mengingatkan, tak muncul sampai ke sudah. Bermacam-macam alasan diberi nanti,” pesan Rizqi tanpa menoleh Puan Seha. Dia masih lagi sibuk memeriksa dokumen di atas mejanya itu.

“Dah, bos. Lagipun Encik Kamil wajib ada dekat meeting tu nanti sebab dia kena bincang dengan kita mengenai masalah dengan client di bawah penyeliaannya,” terang Puan Seha tenang.

Rizqi memanggung kepala untuk melihat Puan Seha. “Masalah apa tu?” soal Rizqi bernada gusar.

“Err… client Encik Kamil tiba-tiba tarik diri sedangkan court dah bagi surat tentang hari perbicaraan yang tinggal beberapa hari saja lagi. Encik Kamil kata dia dah called client dia tu tapi masih lagi tak bagi kata putus sama ada nak teruskan perbicaraan ataupun tidak. 

Sepatutnya hal ni tak jadi masalah pun kalau client dia tu terus terang aje. Lagipun mereka dah ada contract. Lagi satu, masalah yang berkaitan dengan isu peneroka-peneroka Felda tu belum settle lagi. Peneroka semua dah mengamuk tak nak bayar duit penanaman semula kelapa sawit,” jelas Puan Seha lagi.

Kelihatan Rizqi menganggukkan kepalanya tanda faham dengan penjelasan Puan Seha.

Yes, it shouldn't be a problem. Okay, thanks. You may go now,” luah Rizqi puas hati. Kembali menghadap kerja-kerjanya semula.

“Bos, sebelum tu saya ada benda nak cakap dengan bos.” Tiba-tiba meluncur keluar ayat itu dari mulut Puan Seha. Kelihatannya seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Berharap bosnya dalam mood yang baik.

Yeah, sure. What is it?” Rizqi kembali memanggung kepalanya.

“Saya nak ajak bos datang ke rumah saya hujung bulan ni. Saya ada buat majlis tahlil sempena pemergian arwah suami saya yang ke-8 tahun. Itu pun kalau bos sudilah.” Puan Seha menaruh harapan yang tinggi agar bosnya sudi bertandang ke rumahnya.

Rizqi mengangkat kening lalu melemparkan senyuman sebaik sahaja Puan Seha menyatakan hasratnya. Jelas, dia tampak tidak keberatan.

“Insya-ALLAH. Kalau keadaan mengizinkan, I datang. Rumah you dekat mana, ya? Tak silap I dekat-dekat dengan area Klang, bukan?” tanya Rizqi, ramah. Sejak dia bekerja di situ setelah pulang dari Ireland, dia tahu Puan Seha seorang balu beranak satu.

Sengaja dia mengambil Puan Seha menjadi setiausahanya sedangkan sewaktu dia mula menjawat jawatan di situ, Puan Seha di bawah penyeliaan Encik Kamil. Namun dia yang minta agar Puan Seha dialih tugas menjadi setiausahanya dan kebetulan Encik Kamil memerlukan beberapa lagi staf bawahan.

Oleh itu, Encik Kamil mengambil beberapa lagi pekerja baru seramai dua orang sekali gus. Sememangnya Rizqi gemar bekerja dengan orang yang banyak pengalaman seperti Puan Seha.

“Rumah saya kat Puncak Alam, bos. Tapi tak apa. Kalau bos confirm nak datang rumah saya nanti, bos just inform saya dulu. Okeylah bos, jumpa masa meeting nanti. Assalamualaikum,” ujar Puan Seha sebelum menapak keluar dari bilik bosnya.

Okay, then. Waalaikumussalam.” Sejurus itu Rizqi meneruskan kerjanya semula.


RAIHAN sedang khusyuk di meja studi. Pada minggu hadapan jadualnya sungguh padat dengan ujian dan ada beberapa laporan makmal yang perlu dihantar. Mamanya pula mengajak dia pulang awal bulan depan untuk menyambut kepulangan Adreena dari luar negara.

Adreena merupakan anak sulung kepada TengkuSafura dan Tengku Razif merangkap bakal besan kepada ibu bapanya. Gadis berwajah lembut itu diperkenalkan sebagai bakal isteri abangnya, Rizqi. Cantik, sopan dan berpelajaran tinggi. Sesuai dengan abangnya yang tidak kurang hebat untuk digandingkan bersamanya. Entah menjadi entah tidak impian ibu bapanya untuk menyatukan Adreena dengan abangnya kerana dia tahu sikap Rizqi yang dingin itu.

Dalam kesamaran cahaya yang berasak keluar dari celah jendela kamarnya, Raihan merungkap kembali peristiwa ganjil yang terjadi beberapa minggu yang lalu seolah-olah menyentap tangkai hatinya. Apa yang pasti, tingkah laku gadis itu berubah serta-merta saat memalingkan muka ke arahnya. Seumpama daun semalu yang pantas menguncup apabila disentuh dengan jari.

Adakah gadis itu mengenali dirinya? Ataupun wajahnya mengingatkan gadis itu kepada seseorang? Pelbagai persoalan yang berlegar di mindanya.

Raihan tersenyum lalu menggelengkan kepalanya. Tidak sewajarnya dia terlalu memikirkan gadis yang tidak dikenali itu namun ditatap kembali gelang tangan yang terletak di genggamannya.

Gelang tangan itu terjatuh ketika gadis itu menolak badannya tanpa disedari. Belum sempat dia melakukan apa-apa, gadis itu pantas melarikan diri seolah-olah dikejar pencuri gamaknya.

Hafiz memberitahu, Thia adalah rakan yang baru dikenali malah merupakan bakal kekasihnya kerana Hafiz begitu menyukai gadis yang bernama Rana Fathiah itu.

Pada pandangan mata kasarnya, Hafiz adalah seorang lelaki yang agresif. Apa yang dihajati pasti akan dijadikan realiti. Pernah suatu ketika dahulu sewaktu dia dan Hafiz berada di tingkatan empat, Hafiz pernah menumbuknya gara-gara seorang gadis. Dia yang sedang menuju ke perpustakaan tak pasal-pasal dihadiahkan penumbuk padu tepat di pipinya.


PUK! Raihan tengadah. Tak semena-mena tubuhnya terdorong ke belakang semeter. Pipinya terasa sengal dan berdenyut-denyut seolah-olah ada tekanan kuat menghentam tulang pipinya. Segera dia menoleh ke arah tuan empunya badan yang menyerangnya tadi sambil tangan menyentuh pipi.

‘Nak mati agaknya budak ni!’ Raihan mendongkol geram.

Wajah Hafiz yang menyinga sudah menanti di hadapan Raihan. Anak matanya bersabung dengan anak mata Raihan. Dadanya yang sedang berombak kencang jelas memancarkan api kemarahan yang maha hebat. Mukanya pula sudah merah tidak ubah seperti Hell Boy

Butang baju sekolahnya sudah tidak terkancing. Semua sudah terbuka. Nasib baiklah dia memakai baju t-shirt putih di dalam. Kalau tidak, pasti banyak mata yang memandang. Lebih-lebih lagi anak dara pingitan yang lalu-lalang di situ.

“Kau apa hal ni, Hafiz? Tak pasal-pasal aku kena tumbuk. Ada masalah dengan aku cakaplah!” Raihan sudah meninggikan suara jantannya. Dia tidak dapat mengagak, apa motif dia diberi penumbuk sebentar tadi.

“Aku nak tanya kau. Kau ada jumpa dengan Maira kan, dua hari lepas?” Nyaring suara Hafiz menyoal Raihan. Dia bengang apabila dapat tahu buah hatinya berjumpa dengan Raihan di perpustakaan tempoh hari.

“Maira? Budak specky tu? Ya, dia ada datang jumpa aku. Kenapa?”

“Kau tahu dia tu awek aku?”

“Tahu,” jawab Raihan sepatah. Dia menunggu lagi soalan daripada Hafiz.

“Kau tahu dia tu awek aku, apa hal kau pergi jumpa dia?” lontar Hafiz lagi. Nada suaranya sudah bertukar rentak. Ingin memuntahkan rasa marah yang bersarang di dadanya.

“Itu rupanya masalah kau dengan aku? Sebab itulah kau bagi penumbuk dekat muka aku tadi?” tanya Raihan pula. Dia kini sudah menangkap apa motif sebenar Hafiz menghadiahkan penumbuk ke mukanya.

“Dia yang datang kat aku. So, kenapa kau nak marah aku pulak? Aku tak ada pun jemput dia datang jumpa aku,” sambung Raihan membela dirinya dengan berani sekali.

Puk! Puk! Hafiz ingin menyerangnya lagi tetapi kali ini dia sempat mengelak malah buku limanya pula yang hinggap di pipi Hafiz. Tidak mungkin dia hanya membiarkan Hafiz memperlakukan dia seperti itu.

Hafiz tersungkur jatuh. Bibirnya mengalir darah. Matanya mencanak memandang Raihan dan mukanya membahang dan mengerikan.

Suasana kian tegang. Masing-masing yang berdiri di situ tergamam. Tanpa lengah, Raihan berjalan menghampiri Hafiz namun tidak pula dia menolong Hafiz untuk bangun dari tempatnya.

“Pasal seorang perempuan, kau nak bergaduh dengan aku. Maira jumpa aku sebab dia tanya kenapa kau jarang jumpa dia lately ni. Dia tahu kita berdua rapat. Kalau aku nak rembat perempuan pun, aku tak ambil awek orang. Jangan disebabkan Maira, kau dengan aku nak bertumbuk dekat sekolah,” ujar Raihan tenang namun menyentap hati Hafiz. Dia segera berlalu pergi.

Hafiz diam di kedudukannya. Nampaknya dia sudah salah menilai Raihan. Dia terlalu mengikut perasaan cemburunya yang membuak-buak. Dia sedar, banyak kelebihan Raihan yang tidak ada padanya. Sebenarnya, dia tidaklah cemburu mana pun sekiranya Maira berjumpa dengan lelaki lain. Malah dia sendiri berjumpa dengan perempuan lain di belakang Maira.

Apa yang dia bengang ketika ini ialah Maira berjumpa dengan Raihan secara senyap-senyap. Dia tidak dapat menerima kenyataan sekiranya teman wanitanya beralih arah pada Raihan. Itulah punca hilangnya kewarasan Hafiz. Beberapa hari selepas insiden itu, dia memohon maaf daripada Raihan di atas ketelanjurannya.

Mujur Raihan memahami sikap Hafiz yang panas baran itu. Ikutkan hati, mahu dia minta Hafiz melutut di depannya sambil buat aksi singa laut mengesot tetapi dia tak sampai hati kerana Hafiz adalah kawan baiknya sejak kecil lagi.


RAIHAN tersedar daripada lamunan apabila Farris, teman serumahnya masuk ke bilik. Dia kembali meramas gelang tangan di genggamannya.

“Hai! Beli gelang untuk awek ke?” soal Farris menegur lantas menghenyakkan punggungnya di atas katil Raihan. Beg yang tersangkut di bahunya tadi dilempar entah ke mana-mana.

Raihan tergelak kecil mendengar pertanyaan daripada Farris itu. “Taklah. Gelang ni bukan aku yang beli. Orang punya, terjatuh tapi aku tak sempat nak bagi. Kalau aku terjumpa dia nanti, aku pulangkan balik,” jelas Raihan yang masih lagi membelek gelang tangan itu.

“Nampak macam kau berkenan dengan gelang tu ataupun kau ni dah berkenan dengan tuan empunya gelang tu sebenarnya?” Farris giat mengusik Raihan.

Kali ini Raihan ketawa besar mendengar butir bicara Farris. Memang silap besarlah dia nak jatuh hati pada Thia. Gadis itu kepunyaan Hafiz! Lagipun Thia bukanlah gadis yang menepati cita rasanya.

“Em… macam mana nak jawab soalan kau tu? Hmm… actually, dia tu bakal awek kawan aku. Memang harapan aku nak rembat awek orang ni. Kecuali awek kau, aku ada hati nak rembat.” Raihan ketawa di penghujung kata-katanya. Giliran dia pula mengusik Farris.

Farris serta-merta mengambil bantal di birai katil lalu dicampakkan ke muka Raihan.

“Kau, baik-baik sikit cakap. Karang esok ada pulak berita keluar student mati tercekik sebab tertelan kasut saiz sepuluh,” gurau Farris. Ketawanya pecah. “Eh, kau nak awek tak?” soal Farris tiba-tiba.

Raihan berkerut. “Kenapa kau tanya? Aku tak minatlah nak ada awek.” Raihan sekadar buat tak endah.

“Ala… kau dengar dulu apa aku nak cakap ni.” Farris berkata setelah dia melihat Raihan kembali menatap buku studi.

“Budak tu cun. Badan dia, perfect! Free hair dan tinggi macam model. Aku jumpa dia masa nak ke taman sebelah blok akademik tadi. Dia tengah lepak, berborak dengan kawan-kawan dia masa tu. Aku perhati aje dari jauh. Memang cun!” puji Farris melambung.

Raihan ternganga dengan pujian yang dirasakan begitu melampau sekali oleh Farris.

“Kalau dia tu cun, kenapa kau nak pass dekat aku pulak?” Raihan angkat kening. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.

“Aku dah ada Husna. Kau kan, masih single. Tapi kan, bro…” Farris ketawa sebelum menghabiskan ayat terakhirnya. Hatinya bagaikan digeletek oleh seseorang. “Masa aku khusyuk perhatikan dia, tiba-tiba dia tanggalkan cermin mata hitam. Mulanya aku tak faham juga kenapa dia pakai speck hitam tengah hari buta macam ni. Bila dia buka speck dia tu… rupanya juling.” Farris menyambung lagi ketawanya malah semakin menjadi-jadi.

Raihan sekadar tersengih namun sekejap cuma. Dia seperti mengenali siapakah gadis yang menjadi topik perbualan mereka ketika ini.

“Tak baik kau gelakkan orang. Jadi macam tu pada kau, tahulah. Tak pun dapat bini juling baru padan muka. Selalunya orang yang mengejek ni, kena dekat dia balik.” Raihan mengenakan Farris pula. Dalam mengena, dia mengancam.

“Tak apa. Habis saja belajar nanti, aku terus kahwin dengan Husna,” jawab Farris sambil mata tak pandang muka Raihan sebab dah cuak kalau-kalau esok dia bangun tidur, tiba-tiba matanya juling.

“Baguslah. Hah… kau nak join aku pergi main futsal tak petang ni?” Raihan mengajak Farris. Dalam masa yang sama dia cuba menukar topik perbualan.

“Malaslah. Aku letih. Esok aku join.” Farris menolak. Dia ingin berehat sementelah dia baru saja keluar bersama kekasih hati.

“Letih sebab dating bukan menyihatkan badan pun. Orang petang-petang, pergi bersenam. Jadi, otak pun sihat. Baru boleh belajar dengan tenang.” Raihan perli temannya itu. 

Wajah Farris tidak lari dari anak matanya. Harap-harap rakannya itu tidak bertindak melampaui batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Perasaan risau tiba-tiba menjengah di lubuk hatinya.

Matanya kembali melihat gelang tangan di atas meja. Pelbagai persoalan masih berlegar-legar di mindanya mengenai gadis berlesung pipit itu.

“Thia…” sedetik, nama itu meniti di bibirnya. Aku pasti akan pulangkan gelang tangan ni! bisik Raihan. Tiba-tiba hatinya menjadi tidak keruan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin