Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 23 (P1)

Bab 23

“HUARGH…” mulut Raihan menguap besar seakan dua biji tembikai pun mampu disumbat. Hari masih lagi awal tapi dia mahu bersiap sedia. Tidak mahu terlambat lagi kali ini. 

Sedang dia mengangkat punggung, tiba-tiba dia teringatkan Hafiz dan cadangan lelaki itu yang mahu menukar kumpulan. Lantas dia terduduk semula dan merenung Hafiz yang sedang enak tidur.

‘Hafiz adalah sahabat aku yang paling rapat sejak kecil. Patutkah aku bagi peluang kepadanya untuk mendekati Thia? 

Ya, aku nampak dia ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk meraih cinta Thia. Tak salah aku beri dia kesempatan untuk berkenal rapat dengan Thia,’ desis hatinya lantas dia menghela nafas dan menutup matanya seketika.

Tidak lama, dia kembali mencelikkan mata perlahan-lahan dan menganggukkan kepala. Setuju dengan kata hatinya.

“Hafiz… bangun,” kejutnya seraya menggoncangkan bahu Hafiz namun Hafiz masih diam tidak berkutik. Lena sungguh bermalam di tengah-tengah hutan begini.

“Hafiz, bangunlah. Thia datang ni bawak bunga,” jeratnya pula, mengejut lagi. Masih sama seperti tadi malah makin kuat pula dengkuran Hafiz. Tubuhnya pula dipusingkan membelakangkannya.

Tiba-tiba Raihan mendapat idea. Tanpa menunggu sesaat, dia memagut telefon bimbitnya lalu dipasang lagu yang disasarkan. Lagu tamil! 

Dia menukar kelantangan kepada yang paling maksimum. Diletakkan telefon bimbitnya dekat dengan telinga Hafiz. 

Play!’

“Hoi!” menggelupur Hafiz bangun. Dia melilau pandang ke kiri dan ke kanan dan matanya menjamah Raihan yang sudah gelak berguling-guling lalu lagu segera dimatikan. 

Farris juga turut tersedar namun kembali memejamkan mata apabila lagu telah berhenti menjerit.

“Kenapa kau pasang lagu tu? Aku nak tidurlah!” herdik Hafiz apabila Raihan bersungguh-sungguh mentertawakannya.

“Aku kejut kau banyak kali kau tak nak bangun. Lena sangat tidur,” Raihan bercakap sambil gelak lagi. Tidak sangka, terlalu berkesan taktiknya sebentar tadi untuk mengejutkan Hafiz yang leka membuat air liur basi. Bijak sungguh otaknya memproses idea.

Hafiz menjeling tajam lalu meraih telefon bimbitnya di celah kelengkangnya. “Hah??? Belum pukul 6.00 lagi. Kenapa kau kejut aku?” tanya Hafiz kasar. Geram kerana tidurnya diganggu oleh Raihan.

“Kau kata nak tukar group dengan aku. Jadi kau kena bangun sebelum 6.00 pagi, Encik Mokhtar yang pesan semalam. Lainlah kalau kau nak tarik balik offer kau semalam nak tolong aku. Tidurlah balik. Biar aku aje pergi,” ugut Raihan seraya bangun dari duduk.

Membulat terus mata Hafiz lalu dia menahan Raihan bangun. Segar-bugar serta-merta. 

“Eh, eh… tak payah. Kau tidur, biar aku pergi mandi kejap. Anyway, thanks tau.” Hafiz yang tadinya mamai terus saja segar apabila Raihan setuju untuk menukar kumpulan dengannya. Peluang keemasan untuknya sudah terbentang luas.

“Suka kau, eh!” giat Raihan apabila Hafiz bersemangat mencari tuala mandi dan berus gigi di dalam beg.

“Mestilah.Aku nak mandi. Kau sambunglah tidur,” arahnya selamba. Lantas Hafiz bergegas keluar dari khemah. Raihan hanya tersenyum melihat gelagat Hafiz bagaikan kemaruk bercinta.


TERGESA-GESA Thia menyapu bedak asas pada mukanya. Rambutnya diikat kuda dan menyepit rambut depannya. Setelah itu, dia mengambil Lip Ice Sheer Color lalu dicalit ke bibirnya yang sedikit tebal. Dia sempat mengeluarkan sesuatu dari begnya dan lihat cermin.

Biasalah, budak perempuan. Terceruk mana pun, cermin mesti dibawa. Hari ini, dia lebih mengenakan mekap pada wajahnya walaupun sekadar bedak asas dan pelembap bibir. 

Untuk apa dia ingin kelihatan lebih berseri berbanding biasa? Dia sendiri tidak pasti.

Apabila sudah berpuas hati, dia melangkah keluar dari dalam khemah menuju ke ruang tengah tapak perkhemahan. Ayunan kakinya sedikit pantas tatkala pandangan matanya jatuh ke arah jam tangan yang jelas menunjukkan 6.10 pagi.

Dalam kesuraman cahaya lampu dan unggun api yang dinyalakan, Thia melihat Nabila, Lala, Syifa dan Encik Mokhtar sedang berdiri dan seperti membincangkan sesuatu. 

Namun anak matanya lebih fokus kepada susuk tubuh yang membelakangkannya. Pasti Raihan! Mana mungkin Mark Pheonin kerana susuk tubuh itu tinggi dan lebih sasa.

“Assalamualaikum. Sir, sorrysaya terlambat walaupun tak lambat sangat,” ujar Thia bersahaja. Dia melemparkan senyuman manis pada Encik Mokhtar.

“Saya yang dah tua pun boleh bangun awal dari awak. Em… semua dah sampai?” Encik Mokhtar bertanya seraya matanya memandang semua yang ada di situ.

“Lagi sorang belum sampai. Kejap lagi kut,” jawab Syifa bagi pihak kawan-kawannya. Thia sekadar menundukkan wajah. Dia resah apabila Raihan dirasakan begitu rapat dengannya ketika itu. 

‘Apa hal mamat ni dekat sangat dengan aku? Mengidam siku aku agaknya. Tadi bukan dia berdiri dekat hujung sana ke?’ Thia meneka dalam hati.

“Hah! Itu pun dia,” teriak Syifa.

Mark Pheonin kelihatan tergopoh-gopoh. Nafasnya menderu kuat ketika mendekati mereka semua yang menunggunya.

Sorry, sir. Tadi saya terlambat bangun. Lepas tu solat kejap. Tu yang ambil masa sikit,” terang Mark Pheonin walaupun tidak disoal.

“Okeylah. Kalau semua dah ada, saya bagi taskni sekarang. Saya tak nak awak semua pergi terlalu jauh dalam hutan. Apa-apa hal, saya bagi map ni pada awak semua and you all kena berhati-hati. Pelajar lelaki boleh ambil parang dan gergaji ni dan segala keperluan untuk buat rakit ada dalam beg plastik hitam ni,” jelas Encik Mokhtar sambil menyerahkan kepingan kertas kepada mereka yang ada.

Thia menyambutnya dengan lemah. Tak lama kertas itu dipegangnya pun. Dalam perjalanan, dia dengan selambanya buang kertas itu ke dalam semak.

Mereka memulakan langkah menuju ke dalam hutan untuk mencari buluh. Sepanjang perjalanan, Thia hanya berkepit dengan Syifa, Lala dan Nabila. 

Dalam dipeluk kedinginan pagi, mereka tetap tidak melepaskan peluang untuk menghayati alam semula jadi yang subur menghijau sambil menghirup udara yang segar. Nyaman sekali.

Mereka juga sempat menangkap gambar sebagai kenangan dan koleksi peribadi masing-masing. Biarpun keadaan masih nampak gelap, namun gambar yang ditangkap masih nampak cantik. Mungkin kamera yang digunakan adalah kamera yang mahal, berharga ratusan ribu agaknya.

Setelah hampir sepuluh minit berjalan, mereka akhirnya menemukan beberapa batang pokok buluh yang dicari berada di tebing sungai. Thia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk belajar membuat rakit. 

‘Untung-untung boleh buka kedai dan jual pada orang ramai!’ Dalam diam dia merencana.

“Woi! Marilah sini. Kita potong buluh ni!” jerit Lala kepada pelajar lelaki. Tahap kelantangan suaranya menjerit macamlah pelajar lelaki itu berdiri sepuluh batu darinya.

Mereka yang ada sama-sama berganding bahu bagi menyediakan unggun api terlebih dahulu untuk menerangkan keadaan yang gelap dan juga sebagai alat untuk menghalau nyamuk. 

Risau juga kalau ada pelajar yang kena demam denggi semata-mata untuk sebuah rakit. Tak berbaloi rasanya.

Thia hanya menuju ke arah rumpun-rumpun buluh yang bertenggek di tebing sungai untuk berehat selepas membantu Nabila memarang buluh-buluh yang dikehendaki dan mengemaskan potongan buluh pada hujung dan pangkalnya dengan gergaji.

Sambil peluh dikesat dengan tuala, Thia mengeluarkan kameranya dari beg sandang yang dipinjamkan oleh Bazila untuk merakam detik-detik di mana mereka bertungkus-lumus membina rakit buatan sendiri. 

Mereka menggunakan petunjuk yang diberi dalam gambar untuk menghasilkan asas rakit sahaja. Selebihnya, mereka boleh ubahsuai mengikut kreativiti masing-masing.

Dalam keasyikan Thia menangkap gambar, dia seperti melihat seraut wajah yang sering mengganggu tidur malamnya. Lelaki yang dibenci!

Hafiz! Serta-merta Thia menurunkan tangannya yang sedang memegang kamera. ‘Itu Hafiz! Apa dia buat kat sini? Dan di mana Raihan? Mereka dah bertukar rupa ke?’ Thia menyoal dirinya bertalu-talu. 

Hatinya berasa kurang enak dan dia dapat dirasakan sebentar nanti mesti ada perkara buruk yang berlaku.

Hafiz menoleh Thia yang sedang memerhatikannya. Dia melontarkan senyuman menggoda. Sangat menggoda sehingga Thia berasa sungguh meluat dan serasa mahu mencampak kamera yang dipegang tepat pada dahi Hafiz. Biar tumbuh telur pindang di kepalanya! Ah! Dia sungguh bengang ketika ini.

Thia mula memikir yang tidak-tidak. Dia menjadi kalut tiba-tiba. Apatah lagi kelibat Raihan langsung tiada di situ. Lalu dia mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Hafiz yang ketika ini sudah tersenyum lebar apabila dia makin mendekati.

“Hafiz, saya nak cakap dengan awak. Boleh awak sambung kerja kejap lagi?” pinta Thia dengan nada yang serius. Tangan Mark Pheonin yang sedang memotong buluh terhenti seketika. Dia memandang Thia.

“Kenapa? I nak suruh dia gergaji buluh ni. Kalau nak bercakap, lambatlah kerja nak siap,” sindir Mark Pheonin sambil menjeling ke arah Thia. Bukan marah sangat pun tapi dia sedang menahan lapar. 

Walaupun ada bekalan makanan yang dibawa, tapi dia tidak mahu kerjanya lambat siap. Dia ingin segera pulang ke tapak perkhemahan.

“Sabarlah, Mak Pening. Iada hal nak bincang dengan dia. Masalah ekonomi yang sedang melanda di negara kita ni. You mesti risaukan kalau harga susu naik. Nanti you tak dapat minum susu, tumbesaran you terbantut. Kejap aje I pinjam dia. Karang I pulangkan balik orang gaji you ni. Just a minute,” rayu Thia lagi sambil buat muka kesian. Barang siapa yang melihat wajahnya ketika ini, pasti mengalirkan air mata.

Mark Pheonin merengus kasar. “Yalah. Kejap aje tau,” Mark Pheonin mengizinkan. ‘Pandai dia buat muka kesian macam tu,’ desis hatinya. Lucu juga mimik muka Thia tadi.

“Ikut saya ke sana!” bisik Thia sedikit serak suaranya. Dia membiarkan Hafiz mengekorinya dari belakang. Tidak sampai sepuluh langkah, dia berhenti dan menoleh Hafiz. Tajam matanya mengamati Hafiz yang tersenyum saja sejak tadi.

“Macam mana awak boleh ada dekat sini?” tanya Thia dengan kerutan di dahi. Dia pelik melihat Hafiz asyik tersengih macam orang yang baru saja menang loteri.

“Kenapa Thia tanya macam tu? Tak suka saya ada kat sini? Atau Thia terkilan bukan Raihan yang ada kat sini?” terpacul soalan itu menghentam Thia pula.

Tersentap gadis itu mendengar serkap jarang daripada Hafiz. Serta-merta Thia kecut perut. ‘Macam mana dia boleh tahu? Dia dapat baca fikiran orang lain ke? Telepati?’

“Saya tanya awak, kenapa awak tanya saya balik? Just answer my question. How could you come here instead of him?” Thia menyuakan soalan sekali lagi. ‘Aku dah tanya dalam bahasa Melayu kau tak faham, bahasa Inggeris kalau kau tak faham jugak, memang lepas ni aku speaking Tamil dekat kau, macha!’ bentak hati Thia. Geram pada Hafiz yang sengaja memutar-belitkan soalannya tadi.

“Saja. Raihan tak nak kena denda. So, I took the fine on behalf of his. Why are you asking?” Gaya bertanya macam tak puas hati lagi.

Thia memberi senyuman mengejek. Dia memeluk tubuh.“Bersihnya hati awak. Tak sangka awak dengan dia saling menyayangi antara satu sama lain. Err… ada something yang saya tak tahu ke?” soal Thia sambil menunjukkan riak muka pelik.

Hafiz ketawa lepas tiba-tiba. “Hmm… actually, Raihan yang suruh saya ganti tempat dia. Dia kata dia tak selesa dengan awak. In other words, he doesn’t like you at all. So sorry. Tapi tak apa. Saya ikhlas nak tolong dia dan saya faham dia. Lagipun saya memang dah lama nak berkawan dengan Thia. Jadi saya gunakan peluang yang ada untuk berkenalan dengan Thia. Can we be friends, beautiful?” 

Hafiz menghulurkan tangan. Ingin bersalaman dan menyentuh tangan Thia. Direnung dalam-dalam wajah yang indah itu.

Berubah terus muka Thia. Tubuhnya kaku serta-merta. Ayat yang meluncur keluar bagaikan bisa yang menikam tangkai hatinya. Sungguh, dia kecewa mendengar kata-kata beracun dari mulut Hafiz. 

Jiwanya terusik dan pedih. Matanya memandang Hafiz tapi hatinya kelam. Dia buntu seketika. Bibirnya terketar-ketar. Hatinya hancur luluh bagai dipijak-pijak oleh Raihan.

Sesekali wajah Raihan singgah di tirai matanya. Dia cuba menepis rasa sakit yang menyentak kuat dadanya namun dia gagal. Hatinya benar-benar sakit. Nafasnya mula tersekat-sekat.

Perlahan-lahan air matanya mengalir. Dia lantas terduduk dan membongkok. Wajah ditundukkan menekur ke tanah. Hanya air mata yang mengalir jatuh menyimbah ke bumi namun tiada esakan yang kedengaran. ‘Ya ALLAH, kenapa begini?’ jiwanya merintih hiba.

“Thia? Are you all right?” tanya Hafiz khuatir dengan perubahan Thia yang mendadak namun Thia hanya mendiamkan diri. Air matanya yang mengalir diseka perlahan.

‘Ya ALLAH, kenapa aku menangis lagi? Tolonglah Thia, bukan dekat sini kau nak pecahkan rahsia hati kau. Tidak sesekali di hadapan Hafiz,’ hatinya merayu pedih dan tersayat sekali. Dia menarik nafas dan melepaskan perlahan-lahan. Setelah tiga kali dia menarik nafas, dia bingkas bangun mengadap Hafiz.

I’m okay. Jomlah sambung buat kerja. Mak Pening!!! Mari I tolong you gergaji buluh pulak!” teriak Thia lantang lantas dia berlari meluru ke arah kawan-kawannya meninggalkan Hafiz yang terkulat-kulat.

HAFIZ pelik melihat Thia yang kadangkala gembira dan kadangkala termenung. Bagai ada sesuatu yang membelenggu fikiran gadis itu.

Adakah benar apa yang dia sangka selama ini? Thia ada hati pada Raihan? Sejak dia membohongi Thia tentang perasaan Raihan terhadap gadis itu, dia melihat reaksi Thia berubah serta-merta.

‘Kau tetap jadi milik aku, Thia! Hanya aku! Dan aku takkan benarkan sesiapa pun rampas kau daripada aku! Walaupun Raihan…’ bisikan syaitan semakin galak menjadi lagu di telinga Hafiz.

***

Previous: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin