Bab 6
“KAU nak ikut aku balik tak?” soal Thia yang sedang mengemas kain baju.
Matanya kembali menatap Lisa untuk menagih jawapan. Fitri yang sedang
berdengkur dijeling seketika.
“Aku tak sure lagi. Ada kerja sikit nak buat,”
balas Lisa. Suaranya dilontarkan seperti takut-takut saja. Macam ada sesuatu yang
disembunyikan.
“Biar betul kau ni? Kan kita tengah cuti. Apa yang kau
sibukkan sangat ni? Ke… kau ada date?” duga Thia spontan. Sengaja mahu
melihat reaksi Lisa seterusnya. Dia mengesyaki Lisa mahu menemui seseorang.
Jumpa mata air barangkali.
“Eh, tak ada maknanya. Aku serius ada benda nak buat.
Mungkin aku balik Rawang sekejap lepas tu balik sini dalam dua hari lepas tu. Sorry,
aku betul-betul tak dapat ikut kau balik,” tegas Lisa lagi ingin meyakinkan Thia
namun Thia sekadar menganggukkan kepalanya.
“Kau ajak Yani dengan Fitri tak? Mesti kau tak sabar
nak balik rumah jumpa ibu kau, kan?” tanya
Lisa lebih ceria. Menguntum senyuman bagi membolosi diri dari perasaan gementar
dek pertanyaan Thia yang sengaja ingin menduganya. Serentak itu, dia turut
membantu Thia melipat kain baju.
“Aku dah ajak dah tapi Yani balik kampung dia. Jadi
dia memang tak dapat datang. Fitri balik rumah dia dulu lepas tu baru dia
datang rumah aku bawa family dia sekali. Kau aje yang tak sudi datang
rumah aku, kan?” serkap Thia separuh sedih dan mukanya sengaja dikeruhkan.
Thia masih mengesyaki yang temannya itu menyembunyikan
sesuatu di luar pengetahuannya. Dia tidak kisah seandainya Lisa ingin berjumpa
kekasih hati waima sesiapa pun. Itu hak peribadi masing-masing dan Lisa bebas
melakukan apa saja tetapi dia lebih risau sekiranya Lisa melakukan sesuatu yang
tidak elok.
“Janganlah touching dengan aku, Thia.
Aku betul-betul minta maaf. Lain kali aku janji… aku mesti pergi rumah kau,
ya?” Lisa memujuk lembut sambil memegang bahu Thia.
Thia hanya menjongketkan bahunya. Dia tahu Lisa tidak
akan mengubah keputusannya. Melihat Thia yang tidak memberi respons yang
positif, dia tangkas menukar topik perbualan.
“Thia, tadi kan ada orang tegur cara aku berpakaian.
Tersentap aku! Malu pun ada. Rasa nak ketuk-ketuk aje kepala budak tu. Suka
hati aje nak komen dressing anak orang. Macam dia tu bagus sangat,” ujar
Lisa dengan suara jelik tetapi lebih kepada rasa terhina. Dia memuncungkan
bibirnya.
“Ada orang tegur cara kau dressing? Siapa?
Lelaki ke perempuan?” soal Thia teruja. Dia terus saja mencampakkan baju yang
sedang dilipat itu ke tepi.
“Lelaki. Macam nerd aje budak tu. Pakai speck
tebal gila. Seluar slackdia pakai sampai naik atas pusat, kau tahu!
Baju pulak masuk dalam seluar dan yang penting, rambut belah tengah tu memang
aku tak boleh tahan nak gelak. Dia pun pakai tak semenggah, ada hati nak komen
cara aku berpakaian. Hei! Dia tahu tak aku ni siapa? Berani dia nak tegur aku!”
Lisa bercerita dengan muka yang bengis. Thia pula sudah ketawa pecah perut.
Dapat dibayangkan perawakan lelaki tersebut.
“Yalah. Kau kan ‘akak kawasan’. Habis tu takkan kau
senyap aje? Tak balas balik?” tanya Thia sambil ketawa.
Membuntang besar mata Lisa mendengar pertanyaan Thia
yang kurang bijak itu.
“Aku? Nak Senyap? Sorry sikit! Aku ‘basuh’ dia dekat
situ jugak. Nasib baik masa tu tak ramai orang. Aku tengah syok duduk dalam library
baca buku, tiba-tiba dia datang duduk depan aku. Dia tanya macam-macam.
Lepas tu…” Sejenak, Lisa menghela nafasnya sedikit keras. Mencari sedikit ruang
pernafasan sebelum bercerita dengan lebih lanjut.
“Then, apa lagi budak tu cakap?” soal Thia
separuh memaksa sambil menggoncangkan bahu Lisa. Tidak sabar mendengar cerita yang
selanjutnya.
“Dia cakap aku ni macam nak jadi orang lain. Dia suruh
aku pakai macam perempuan normal. Memang teruklah dia komen sampai nak menitik
jugaklah air mata aku. Ah, malas nak cerita. Serabut!”
“Ala… kau relaks sajalah. Mungkin dia betul-betul
ikhlas nak tegur kau. Tak pun dia ada hati dengan kau agaknya. Jadi dia tegur
kau sebab dia nak kau berubah suatu hari nanti dan mula berpakaian seperti
perempuan, bukan macam lelaki.
Think positive.Kalau ada seribu orang
pun tegur kau, just let it be as if you could stop them from saying anything
about you.Apa yang penting, yang elok kau ambil dan yang tidak elok kau
buang, tuli kan saja telinga tu. Janganlah cepat sangat melatah. Ada sebab dia
tegur kau,” Thia memberi nasihat. Selebihnya dia berpuas hati kerana di dunia
ini masih ada insan yang prihatin terhadap orang lain. Bertegur mana yang
salah.
“Thia, aku ni teruk sangat ke? Aku cuma pakai aje
macam lelaki tapi hati aku lembut. Lagi lembut dari kapas tau. Kenapa
kadang-kadang ada orang pandang aku macam aku ni penjenayah? Sedihlah macam
ni.” Ada sedikit kehambaran di suaranya. Wajahnya tercalit seribu kehampaan
seolah-olah memikul beban yang tiada penghujungnya.
Thia ketawa kecil. Sejurus itu, suasana berubah hening
di antara mereka. Namun dengkuran halus masih kedengaran. Lantas Thia berdehem.
“Personally, bagi aku… kau ni okey saja. Tapi
aku lebih setuju sekiranya kau tukar cara kau berpakaian sekarang kepada yang
lebih elok dipandang. Sekali-sekala keluarlah pakai baju blouse dengan
kasut tumit tinggi. Baru terserlah kewanitaan kau tu.” Thia memberi cadangan.
“Okay, fine! Lepas ni aku curi kasut tinggi kaulah.
Boleh?” Lisa melontarkan sengih.
“Eh, kau ni. Ada ke nak mencuri beritahu pada orang.
Tak profesional langsung. Curilah yang mana kau rasa nak curi. Aku memang beli
kasut untuk bagi orang curi,” Thia berlelucon pula.
“Aku gurau aje. Oh, ya! Kau jangan lupa study dekat
rumah nanti. Habis saja cuti kita ada examtau.” Sempat juga Lisa
mengingatkan Thia.
“Nasib baik kau ingatkan aku. Terpaksalah aku bawa
balik buku. Menelaah di rumah. Itu pun kalau ada masa. Ibu aku tu kadang-kadang
bukan boleh tengok aku duduk diam, ada saja kerja nak suruh aku buat,” rungut Thia
lalu dia bangun untuk mengambil beberapa buah buku dan disumbatkan ke dalam
begnya.
“Biasalah tu tapi kalau nak study pun takkanlah
ibu kau nak kacau jugak. Kau balik ni nanti naik apa?”
“Pak cik aku datang jemput,” jawab Thia ringkas.
Beberapa saat kemudian telefon bimbit Lisa berbunyi lantang memecahkan keheningan
di dalam bilik mereka.
Thia pantas menoleh ke arah Lisa. Rakannya itu
bagaikan kelam kabut dan wajahnya menunjukkan serba salah untuk menyahut
panggilan si pemanggil. Dia berasa pelik dengan reaksi yang ditonjolkan oleh
Lisa itu. Akhirnya Lisa mengabaikan panggilan tersebut.
“Boyfriend called?” Thia serkap jarang
namun Lisa hanya mendiamkan diri seolah-olah tekaan Thia tadi benar. Dia berpura-pura
kemas katil. Thia semakin bingung melihat Lisa bagaikan cacing kepanasan.
“Kenapa kau tak angkat?” Terpacul soalan itu dari
mulut Thia dengan dahi yang berkerut seribu.
“Err… tak… tak penting pun. Buang masa aje angkat,” jawab
Lisa tersekat-sekat. Perasaan gementar tidak dapat dikawal tetapi Thia bukanlah
budak tiga tahun enam bulan yang tidak memahami tindak-tanduk temannya itu. Sah!
Lisa pasti ada menyembunyikan sesuatu.
“Eh, kenapa kau ni menggelabah semacam aje? Macam ada
buat salah pulak.” Thia sengaja menekankan suaranya. Ingin melihat apa tindakan
Lisa yang selanjutnya. Dia lihat Lisa mencampakkan telefon bimbit di dada
katil. Ada titik-titik keringat membasahi muka temannya itu.
“Tak adalah. Aku…” belum sempat Lisa menghabiskan
ayatnya, telefon bimbitnya sekali lagi menjerit lantang. Dia memandang Thia sekilas
namun Thia hanya berlagak tidak kisah dengan apa yang berlaku. Dia meneruskan
kerjanya tanpa mengambil peduli tentang telefon yang sedang berbunyi nyaring.
Tiba-tiba Lisa keluar dari bilik. Thia hanya menjeling
melalui lewat ekor matanya.
BUNYI kicauan burung menyambut kedatangan Raihan. Dia selamat sampai di
banglo mewah keluarganya pada pukul dua petang dan pada malam itu, mereka
sekeluarga pergi makan malam di rumah TengkuSafura dan Tengku Razif.
Abangnya, Rizqi turut sama hadir ke rumah bakal keluarga mertuanya itu. Mungkin
nak berbincang mengenai majlis pertunangan yang bakal berlangsung.
Di meja makan, Raihan hanya mendengar perbualan orang
tua tanpa mencelah. Dia melihat abangnya seakan dingin melayan keluarga bakal
mertuanya. Sepatah disoal, sepatah juga dijawab. Dia pula yang segan melihat Tengku
Safura terkial-kial menanya itu dan ini namun tiada respons yang membanggakan
daripada Rizqi. Apakah abangnya sedang berduka cita?
Adreena seolah-olah memahami keadaan Rizqi yang tidak
bersemangat pada malam itu. Apa saja keputusan, diserahkan kepada Rizqi. Baik dari
segi persiapan, tarikh pertunangan, hantaran dan apa jua yang berkisar tentang
halnya dan Rizqi, diserahkan bulat-bulat dalam tangan lelaki itu.
“Mana anak dara Saf yang lagi sorang tu? Tak turun
makan sekali?” tanya Puan Kamelia kepada bakal besannya dengan ramah. Malam itu
masing-masing makan dengan penuh selera.
“Dayana tu baru aje sampai rumah dah nak keluar dengan
kawan. Panas punggung duduk dekat rumah ni agaknya,” balas Tengku Safura sambil
ketawa kecil.
“Biasalah, Saf. Anak muda sekarang ni memang begitu,”
ujar Puan Kamelia bagai memahami sikap remaja masa kini.
“Rizqi pula… kerja macam mana? Semuanya okey? Dengar
cerita orang Ireland kita ni bos besar di pejabat,” Tengku Razif memulakan
bicara. Hendak bermesra dengan bakal menantunya. Sungguh, dia berkenan dengan Rizqi
yang sangat berkerjaya dan serius dalam menjana masa depan. Yakin dengan
kemampuan Rizqi menyebabkan dia bersetuju untuk menyatukan Adreena dengan anak
sulung Tuan Razak dan Puan Kamelia.
“Alhamdulillah, uncle. Semuanya berjalan lancar.
Staf semua tak banyak kerenah pun. Cuma kerja macam ni letih sikitlah. Ke sana
ke mari. Tapi dah minat jadi lawyer, terpaksalah telan,” jelas Rizqi
tenang diiringi dengan senyuman yang tersungging di bibir.
“Itulah papa suruh Rizqi ambil jurusan perubatan, tak
nak. Kalau tidak, boleh bekerja dengan papa di klinik,” Tuan Razak mencelah.
Dia merupakan seorang doktor dan mempunyai klinik persendirian dan beberapa
buah cawangan lain yang dibuka di serata negeri selain membuka perniagaan butik-butik
isterinya di beberapa tempat di semenanjung Malaysia.
Rizqi hanya tersenyum apabila mendengar komen bapanya.
Dia tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Cukuplah bapanya saja menggalas
gelaran doktor.
Melihat sengihan anak terunanya itu, Tuan Razak
menjadi sedikit bengang. “Tengok tu. Orang cakap, dia senyum. Adreena, nanti
kamu dah kahwin dengan Rizqi ni, uncle harap kamu banyak-banyaklah
bersabar. Dia ni degil sikit tapi tak tahulah dengan kamu nanti dia lembut
hati. Yalah, sayang bini,” usik si ayah. Tengku Razif dan isterinya turut
menghambur ketawa.
Rizqi menundukkan sedikit wajahnya dan tersenyum kecil
menampakkan lesung pipitnya yang dalam. Adreena yang mendengarnya turut tersipu-sipu
lantas berpura-pura menuang air ke dalam cawan.
Usai makan malam, Tuan Razak sekeluarga mahu beransur
pulang. Belum sempat mereka masuk ke dalam perut kereta, kelihatan ada sebuah
kereta Audi A7 berwarna putih masuk ke pekarangan rumah.
Seorang gadis berpakaian baju-T sendat berwarna biru
gelap dengan seluar legging berwarna hitam dan berkasut tumit tinggi tiga
inci keluar dari pintu kereta. Gadis itu mengenakan cermin mata hitam
menampakkan lagi stailnya yang mengancamdengan caranya berjalan ala-ala
catwalkmenuju ke arah muka pintu.
Raihan tengadah. Dia terpegun seketika. Bukan kerana
terpukau dengan gaya wanita yang berjalan menuju ke arahnya tetapi terpukau
dengan kereta milik wanita itu. Ia juga pernah menjadi kereta idamannya.
Namun
tidak kurang hebat dengan apa yang baru dimiliki. Papanya memberi sebuah kereta
Volkswagen CC sempena hari jadinya yang ke-18.
Tatkala melihat Raihan seakan-akan melongo melihat
dirinya, Dayana melontarkan senyuman dari jauh menampakkan barisan giginya yang
putih. Bangga apabila Raihan, lelaki yang dipujanya dalam diam sudah melopong mengamatinya.
Raihan amat kacak di matanya ketika itu dengan t-shirt
berkolar berwarna putih berjalur merah dan rambutnya yang disikat rapi serta
bibirnya yang merah tanda tidak merokok menambahkan keseksian yang asli.
Apatah
lagi dengan bau wangian yang dipakai oleh Raihan terus menusuk ke lubang
hidungnya. Serasa ingin dipeluk tubuh jejaka yang menanti di hadapannya.
Mata Raihan masih lagi tidak lekang memandang kereta
berwarna putih kristal yang diparkir sebentar tadi. Dayana pula yang perasan
menganggap Raihan memerhatikannya terus saja menerpa ke arah lelaki itu.
“Hai, Raihan! Baru sampai ke? Janganlah tenung I
macam tu. Malu tau tak.” Dayana berkata lalu menepuk bahu Raihan. Aksinya
kelihatan gedik di mata Raihan.
“Siapa tengok you? I tengok kereta you
lah. Cantik. Bila beli?” Raihan selamba menghumbankan kata-kata pedas. Dia
memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluar. Matanya tidak lepas
memandang kereta gadis itu.
Serta-merta wajah Dayana bertukar tegang. Cermin mata
hitamnya masih tidak ditanggalkan. Dengan sengaja, dia menolak tubuh Raihan dan
berlalu pergi mendapatkan Puan Kamelia.
Tubuh Raihan terundur ke belakang setapak. Dia ketawa
kecil seolah-olah bangga dapat mengenakan Yaya yang dirasakan manja tidak
bertempat. Serentak itu dia terus beredar dari situ dan duduk di kerusi yang
terletak bersebelahan dengan kolam renang. Rizqi pula sedang berbual-bual
dengan Adreena.
Dayana menghulurkan tangan ingin bersalaman dengan
Puan Kamelia.
“Sorry, AuntyLia. Tak perasan pula Aunty
Lia dengan Uncle Raz ada sekali tadi. Aunty Lia sihat? Ni… aunty
dah nak balik ke?” soal Dayana berpura-pura ramah. Diciumnya tangan ibu Raihan.
Sempat juga dia mengenakan selendang bagi menutupi dadanya yang sedikit terdedah.
“Alhamdulillah. AuntyLia sihat aje. Ya, aunty
dah nak balik dah baru dapat jumpa Yaya. Ni… Yaya baru balik dari mana?” Puan
Kamelia senyum biarpun tidak terasa mahu tersenyum.
“Yaya baru aje balik dari rumah kawan. Study
sikit. Yalah… habis saja cuti nanti Yaya ada exam. Itulah susahnya study
dekat universiti tempatan ni. Fixed time ikut jadual. Yaya suruh
mama hantar Yaya belajar luar negara, mama yang beria tak bagi. Tak tahulah
kenapa dengan mama tu. Kak Adreena boleh pulak.” Panjang lebar komen daripada Dayana
atau lebih mesra dipanggil Yaya. Bibirnya muncung ke depan.
Puan Kamelia hanya menganggukkan kepalanya. “Tak
apalah, Yaya. Lagipun Yaya belajar kat luar negara jauh dari rumah. Kalau kat
sini, apa-apa hal berlaku senang nak balik. Dekat dengan mama dengan papa,” jawab
Puan Kamelia membela Tengku Safura.
“Mama dengan papa tu berat sebelah, aunty. Kak
Adreena boleh pulak mereka lepaskan. Pada Yaya, mereka langsung tak offer
nak study di mana. Bukan apa, kawan-kawan Yaya di sekolah dulu semua
belajar dekat luar negara. Yaya rasa macam low class sangat belajar
dekat-dekat sini aje. Tak mencabar langsung,” rungut Yaya main lepas saja.
Puan Kamelia yang mendengar terasa berdesing
telinganya. Kepalanya berat bagai dihempap batu yang besar. Ah! Yaya memang
sudah melampau.
“Kenapa Yaya cakap macam tu? Anak Aunty Lia pun
belajar di universiti tempatan aje tau. Tak adanya semua orang yang belajar di luar
negara tu high classsangat. Semua sama. Yang penting niat tu ikhlas nak
belajar. Bukan ikut tempat!” Agak keras suara Tengku Safura mencelah.
Yaya terasa seperti badannya kena gilis. ‘Oh! Raihan
belajar kat Malaysia aje? Bukan dia nak pergi UK ke hari tu?’ soal hati Yaya.
Dia menggigit bibirnya lantas menekur ke lantai. Tidak sangka Raihan
melanjutkan pelajaran di universiti tempatan juga. Dia sangka selama ini,
Raihan ikut jejak langkah abangnya, Rizqi yang belajar di Ireland. Aduh!
Malunya!
“Err… sorry, aunty. Maksud Yaya bukan
macam tu sebenarnya. Yaya… Yaya…” Cukuplah ayatnya berhenti di situ. Tengku
Safura hanya menggelengkan kepalanya melihat gelagat anak daranya yang seorang
lagi. Jauh berbeza dengan kakaknya yang sulung.
“Tak apalah, Saf. Biasalah budak-budak. Kadang-kadang
nak ikut kawan juga. Okeylah… auntynak balik dulu. Nanti kalau senang
jemputlah datang ke rumah,” pelawa Puan Kamelia mesra. Setelah itu mereka
sekeluarga beredar dari pekarangan rumah Tengku Razif.
Sebelum pulang, sempat Raihan mengenyitkan matanya ke
arah Yaya yang mencuka. Dia sengaja melambai tangan kerana dia memang suka menaikkan
darah tinggi Yaya.
Raihan dan Rizqi menaiki kereta bersama kerana mereka cadang
mahu mencuci mata melihat geng-geng Raihan beraksi dengan skateboard.
Jadi, mereka dan kedua-dua ibu bapanya berpisah di situ.
Di dalam kereta, Puan Kamelia menyambung bicara
mengenai sikap Yaya pada suaminya. Apa yang dia tidak puas hati, perlu diluahkan.
“Saya tak berkenan sangatlah dengan anak dara Saf yang
lagi sorang tu, bang. Seksi semacam. Gedik pulak tu. Isy! Janganlah Raihan
berkenan dengan budak tu. Berbeza dengan kakaknya yang pendiam, sopan aje.
Sebab tu agaknya Saf dan Razif tak berani nak hantar anak dia tu ke luar
negara. Takut perangainya makin menjadi-jadi pula,” ulas Puan Kamelia berkisar
tentang Yaya. Mukanya berkerut semasa bercerita.
“Biarkan ajelah budak tu. Masih berdarah muda…
mestilah fikir nak enjoysaja. Awak yang mengumpat ni tak pasal-pasal
saya dapat dosa kering jugak. Apa kata awak terus aje nasihatkan dia,” luah
Tuan Razak tenang sambil memandu.
“Saya bukan mengumpat, bang. Saya cuma meluahkan
pendapat saja. Tak salah, kan? Memang saya tak berkenan dengan budak tu. Macam
tak cukup sifat pun ada. Yalah, pakaian dia pun macam tak cukup kain. Sendat
sana sini. Entah betul entah tidak pergi studydekat rumah kawan. Gaya
macam pergi disko saja saya tengok. Itulah anak muda sekarang. Umur baru
setahun jagung dah pandai melaram. Pakai baju yang tak cukup kain. Bukan lawa
pun.
Adreena tak pun macam tu. Walaupun bertahun di luar negara, still
pandai pakai yang sopan-sopan. Kalau saya ada anak perempuan macam tu, dah lama
saya titik punggungnya. Biar sedar diri sikit. Pakai macam tu tak ke diumpat
oleh jiran tetangga,” berjela kritikan Puan Kamelia. Sekali pakej dengan gaya
tangan. Boleh berkawan dengan Karam Singh Walia rasanya.
“Mengucap banyak-banyak, Lia. Cuba beristighfar
sekejap. Awak ni dah jauh sangat perginya. Awak membebel panjang pun bukan
budak tu dengar. Telinga saya ni yang bernanah dengar awak membebel,” marah
Tuan Razak. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila isterinya
memalingkan wajah. Kadangkala bebelan isterinya bagaikan tiada penghujung.
Kalau boleh sampai raya tahun depan pun tidak habis lagi bercakap mengenai
Yaya.