Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 7

Bab 7

“IBU!” teriak Thia lantang apabila kakinya mencecah ke tanah. Mukanya jelas menunjukkan dia tidak sabar mahu menemui ibunya. Dia menutup pintu kereta dengan kuat bagaikan hendak pecah pintu itu. Pak Lang pula yang membawa keluar segala beg yang ada dari bonet kereta.

Puan Seha yang berada di dapur tidak dengar Thia memanggilnya. Nasib baik Thia ada menyimpan kunci pendua rumahnya.

“Pak Lang letak aje beg tu. Nanti Thia angkat. Thia nak buka pintu rumah sekejap,” arah Thia sambil mengeluarkan kunci dari beg silangnya.

“Ibu ni tak dengar ke? Ni mesti pasang lagu Hindustan kuat sangatlah ni. Bukan nak tunggu Thia balik. Letaklah karpet merah ke… sewa Symphony Band ke, apa ke… meriahlah sikit,” Thia mengomel.

Selepas menyuruh Pak Lang masuk ke rumah, dia terus meluru ke arah dapur. Pasti ibunya di dapur sedang memasak. Ketika sampai di pintu masuk dapur, dia lihat Puan Seha sedang menyanyi dan kepalanya terhuyung-hayang ke kanan dan ke kiri mengikut rentak lagu. Sekonyong-konyong itu, tercetus di benaknya untuk mengacau kesejahteraan ibunya.

“Ibu!!!” jerit Thia nyaring lantas memeluk ibunya dari belakang. Puan Seha yang terkejut terus saja bersilat gayung dengan senduk yang masih lagi di tangan lantaran disergah oleh anak daranya.

Thia yang melihat terus pecah ketawa. Lucu sungguh cara ibunya melatah. “Apa ibu buat ni? Ibu nak silat siapa? Thia?”

“Astaghfirullah al-azim! Eh, anak ibu dah balik.” Puan Seha pantas membawa kepala anaknya ke dada rapat-rapat. Dicium ubun-ubun anaknya bagi melepaskan rindu yang sarat di dada. Dia langsung tidak marah pada Thia kerana menyergahnya tadi.

“Thia rindu sangat pada ibu,” ucap Thia yang masih berada dalam pelukan ibunya. Reda sudah ketawanya. Kini, dia mahu bermanja-manja dengan ibunya pula.

“Ibu pun rindu sangat pada Thia. Kenapa Thia tak panggil ibu? Terkejut ibu tadi tau,” kata ibunya lantas melepaskan rangkulan. Dia menatap wajah anaknya.

“Thia dah menjerit sampai terkeluar anak tekak dah tadi tapi ibu tu pasang lagu kuat sangat. Mana nak dengar Thia panggil. Nak jerit banyak kali nanti jiran baling batu pulak kat Thia. Eh, ibu masak apa ni?” soal Thia sambil menjengah mata ke dalam periuk di atas dapur masak.

“Ibu goreng ikan tadi. Lepas tu ada udang masak lemak cili api kesukaan Thia. Pak Lang mana?”

“Wow! Seronoknya,” jerit Thia gembira. “Pak Lang ada di ruang tamu. Thia dah suruh masuk tadi. Ibu, Thia pergi ambil beg dekat depan kejap. Ibu masaklah dulu. Nanti dah siap kemas, kita makan sama-sama,” ujar Thia selepas itu. Kemudian dia meneguk sedikit air sirap di dalam cawan atas meja makan.

Siap memasak, Puan Seha menjenguk abangnya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Air sirap dihidangkan bersama kuih-muih.

“Alang, kau dah beritahu imam masjid suruh datang rumah aku esok lepas Maghrib?” Puan Seha bertanya. Dia mengambil alat kawalan jauhtelevisyen di atas meja lalu di perlahankan sedikit kelantangan.

Latif meneguk air sirap membasahi tekaknya yang kering. “Aku dah jemput dari minggu lepas lagi. Tapi nanti petang aku ke masjid semula nak confirmkan balik dengan Tok Imam. Takut last minute nanti dia terlupa pulak. Maklumlah orang tua-tua,” kata Latif sebab dia pun sedar dirinya sudah tua dan selalu terlupa.

Puan Seha menganggukkan kepalanya. Puas hati. “Eloklah tu. Kejap lagi datanglah jiran-jiran nak merewang. Esok lepas Asar jangan lupa hantar dua ratus bungkus nasi lemak dekat masjid. Nanti aku suruh Salmah hantar terus bungkusan di rumah kau,” pesan Puan Seha lagi.

Pada malam itu, rumah Puan Seha didatangi ramai orang. Maklumlah apabila esok ada kenduri, ramai orang datang merewang. Thia cuma menolong sikit-sikit saja. Selebihnya saudara mara dan jiran tetangga ikhlas menghulur bantuan.

Bukan tak nak menolong tetapi sejurus saja kelibat Raja Zafran muncul, dia terus mengurung dirinya di dalam bilik. Takut betul dia tengok muka lelaki itu. Bosan memerap, akhirnya dia sempat membuat beberapa nota ringkas. Risau juga dengan ujian yang bakal dihadapinya nanti.


THIA sedang terkial-kial memakai tudung tatkala telefon bimbit ibunya berbunyi. Budak perempuan jarang pakai tudung, macam itulah gayanya.

“Ouch!” Thia menggelabah seketika sehingga jarinya tercucuk jarum. “Hee! Sengal punya jarum. Tercucuk pula dia,” marahnya lalu dia mencampak pin itu dan mengambil pin yang baru seolah-olah pin yang lama itu memberi kecelakaan kepadanya.

Telefon masih lagi berdering. Hendak dipanggil ibunya, pasti ibunya sedang sibuk. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengangkat telefon bimbit milik ibunya. Dia melihat nama Encik Rizqi tertera di LCD telefon. ‘Nak angkat ke tidak ni?’ Thia masih berfikir padahal tangannya sudah menekan butang hijau di luar kesedaran akalnya.

“Eh, dah putus dah? Nasib baik. Tak payah susah-susah aku nak angkat. Nak pakai tudung pun tak senang.” Dia menggumam sendirian. Belum sempat dia letak semula telefon bimbit ibunya di atas meja, dia mendengar ada suara halus di hujung telefon. Ditatap kembali LCD telefon itu.

On call!

Thia terpana dengan kebodohan sendiri. ‘Alamak! Mesti dia dengar aku mumbling tadi. Aduh! Bodoh betul aku hari ni!’ Terkumat-kamit mulutnya membebel. Namun ditekapkan juga telefon itu ke telinga. Perlahan dia menuturkan ayat.

“Hmm… hello?” Thia bersuara keras seperti mak cik tua. Diterkup mulutnya seketika bagi menahan rasa geli hati yang menggeletek isi perutnya.

“Hello. Puan Seha ke tu?” Suara garau kedengaran.

“Tak. Ni mak cik dia. Ada apa, ya?” bohongnya tanpa rasa berdosa.

“Oh, saya Rizqi bos pada Puan Seha. Sekarang ni saya on the way ke rumah Puan Seha tapi saya tak sure yang mana satu rumahnya. Boleh mak cik bagi detailsikit tak?” ramah suara si jejaka bertanya.

‘Macam best aje suara dia ni,’ komen Thia dalam hati. “Hmm… sekarang anaknya di mana?” soal Thia sambil ditekankan sedikit suaranya. Hampir tergelak Thia mendengar suaranya sendiri. Berpura-pura mahu bersuara seperti mak cik tua namun suara bibik Nepal pula yang terkeluar.

“Err… sekarang saya ada di Petronas,” jawab Rizqi pendek.

“Okey, dari Petronas tu anak ke kiri. Lepas tu ada traffic light, belok ke kiri lagi. Rumah belah kanan warna kelabu, ya,” arah Thia.

“Baiklah, terima kasih. Nanti apa-apa hal saya call mak cik semula. Assalamualaikum.” Talian segera di putuskan.

Thia tertawa sendiri dengan gelagatnya sebentar tadi. Tanpa membuang masa dia terus ke ruang dapur untuk membantu ibunya. Dia melihat ibunya sedang menyusun makanan ke dalam dulang. Lantas dia duduk bersimpuh di sisi ibunya.

“Ibu, nah handphone ibu. Tadi bos ibu called. Katanya dia on the way ke rumah kita,” beritahu Thia. Dia menyerahkan telefon bimbit ibunya. Telefon sudah beralih tangan.

“Datang jugak bos ibu tu. Ingatkan tak sudi nak datang rumah kita. Thia tolong ibu letak dulang ni dekat depan,” usul Puan Seha. Dia menutup lauk-pauk dengan kertas surat khabar.

Thia ke ruang tamu untuk menghidangkan makanan. Ramai sudah tetamu yang hadir. Kelihatan beberapa orang Tok Imam dan para ustaz berdiri di halaman rumah. Jiran-jiran juga ramai yang datang bagi memeriahkan majlis bacaan tahlil. Kawan-kawan sekolahnya turut sama hadir.

Dalam kesibukan Thia menyusun dulang, tiba-tiba Puan Seha melaungkan namanya. Segera dia mendapatkan ibunya di sudut dapur.

“Thia, bos ibu tu tak dapat lagi cari rumah kita. Thia pergi tolong jemput dia naik motor. Cepat sikit. Ketua Imam dah datang tu.” Terkocoh-kocoh saja suara ibunya. Barangkali risau sekiranya Rizqi tidak berpeluang untuk turut serta dalam bacaan Yassin nanti.

“Tapi ibu, Thia tak ada lesen motor. Nanti ada polis, macam mana? Ibu teman Thia ajelah,” Thia berdalih. Dia menggigit jarinya. Dia takut menunggang motor dalam waktu gelap sebegini. Matanya terkelip-kelip memandang ibunya mohon simpati.

“Ibu banyak kerja ni Rana Fathiah. Takkan tuan rumah nak keluar aje tiba-tiba. Lagipun malam-malam mana ada polis. Polis semua dah tidur. Dah, dah. Ambil ni kunci motor. Kesian bos ibu tu tunggu lama-lama,” tegas ibunya lantas menghulurkan kunci motor.

Thia hanya menunduk layu. Dia tahu sekiranya Puan Seha sudah menyebut nama penuhnya, dia tidak mampu hendak berdalih memberi pelbagai alasan lagi. Lemah segala pergerakannya. Otot kakinya seolah-olah menjadi longgar untuk berjalan.

Beberapa minit kemudian, motor scooter milik ibunya bergegas ke Pasaraya 99 Speedmart di corner depan taman perumahannya. Mata Thia melilau mencari kereta Toyota Harrier berwarna putih.

Akhirnya dia ternampak sebuah kereta yang disasarkan tersadai di hadapan Pasaraya 99 Speedmart. Dia tersenyum lega. Thia betul-betul memberhentikan motornya bersebelahan dengan tingkap pemandu. Apabila tingkap tidak diturunkan, dia segera mengetuk perlahan tingkap tersebut.

Tok! Tok! Tok! Namun tidak juga tingkap diturunkan oleh si pemandu. Ketuk lagi sekali. Keadaan masih lagi sama. Tiada sahutan. Thia menjadi kurang sabar. Dia turun dari motor dan mengetuk tingkap dengan sekuat hati menggunakan kedua-dua belah tangan.

“Hoi! Buat apa tu?” Tiba-tiba ada suara lelaki menyergahnya dari arah belakang. Thia yang memakai topi keledar terus saja memusingkan badannya. Seorang lelaki lengkap berpakaian baju Melayu berwarna ungu gelap sudah menantinya dengan muka sebal.

“Kenapa kau ketuk tingkap kereta aku?” Kasar sungguh bunyinya. Thia yang mendengar terus kecut perut. Dia menelan air liurnya satu per satu apabila melihat muka Rizqi macam singa bertanduk rusa. Serta-merta rasa kesal menyelubungi diri.

“Aku Thia. Aaa… saya Thia. Anak Puan Seha.” Sejak kenal dengan bos ibunya, gelaran budak gagap layak diberi kepadanya. Nasib baik dia memakai topi keledar. Sekurang-kurangnya rasa malu tidak terlalu ketara terpalit di mukanya.

“Oh, sorry. Tadi saya pergi beli air kejap. Dah lama sampai ke?” Rizqi sudah menukar nada suaranya apabila melihat Thia seakan gementar untuk bercakap dengannya.

“Taklah, baru aje. Jomlah gerak sekarang. Lambat pula nanti.” Cepat-cepat Thia menaiki motosikal manakala Rizqi hanya mengikut rentak Thia. Dia segera mendapatkan keretanya.

Entah mana silap, tiba-tiba motosikal Thia tak nak hidup. Dia cuba berkali-kali menekan starter tetapi tidak berguna. Motosikalnya tetap degil tak nak hidup.

‘Hoi, motor! Kau jangan bagi malu aku dekat sini boleh tak? Kenapa kau tak boleh start pulak ni?!’ Thia asyik melepaskan geram di dalam hati. Dia jadi baran. Ditunjal-tunjal starter motosikal itu. Selepas beberapa minit, akhirnya Rizqi menurunkan tingkap kereta. Sekadar menjenguk tetapi tidak menolong pun.

“Ada problem ke?” soal Rizqi sambil mata melihat motosikal Thia.

“Nampaknya macam tu lah. Tiba-tiba aje tak boleh start,” jawab Thia acuh tak acuh tanpa menoleh Rizqi. Sempat dia melilau ke kiri dan ke kanan jika ada sesiapa yang boleh membantunya ketika itu. Namun dia hampa. Seorang kenalannya pun tak wujud.

“Cuba baca Bismillah masa nak start tu,” arah Rizqi selamba. Perli ke?

Thia terasa seperti tulang belakangnya renyuk tatkala telinga mendengar Rizqi cakap macam itu. Dia rasa tersindir sangat-sangat. Terhina sungguh rasanya.

Thia baca juga Bismillah. Siap dengan doa makan sekali dia baca namun disebabkan hatinya tak ikhlas agaknya sebab itu motosikalnya tetap tak nak hidup juga.

‘Ya ALLAH! Apa dosaku sehingga jadi begini?’ rintih hatinya. Dia menyesal kerana tidak ikhlas pada awalnya.

“Saya rasa kita dah lama sangat ni. Apa kata awak naik aje kereta saya. Nanti kita suruhlah sesiapa ambil motor ni bila dah sampai rumah awak. Is that okay with you?”

Tanpa menjawab soalan Rizqi, Thia terus saja mengambil kunci motosikal. Ketika berada di dalam kereta Rizqi, Thia tenang saja menunjuk arah ke rumahnya.

Rizqi berdehem seketika. “Err… yang awak ni sampai bila nak pakai helmet?” Rizqi senyum. Geli hatinya melihat Thia memakai topi keledar di dalam kereta.

Thia yang mendengar sindiran itu terasa berasap gegendang telinganya sekejap. Malu pun ada. Dia sendiri tidak sedar yang topi keledar masih tersarung elok di kepalanya. Dia pamer senyum walaupun Rizqi tidak nampak senyuman manisnya itu.

“Saya memang suka pakai helmet dalam kereta. Rasa selamat sikit kepala ni. Okey, kita dah sampai,” balas Thia dengan intonasi yang mendatar. Setelah itu, suasana sepi menyelubungi di segenap ruang. 

Apabila Rizqi sudah memberhentikan kereta, dengan pantas Thia membuka pintu kereta dan terus melulu masuk ke dalam rumah. Rizqi sekadar tersenyum melihat telatah Thia yang selamba itu.

Thia segera menuju ke dapur. Majlis akan bermula sebentar lagi. Dia melihat ramai orang mengerumuni ruang tamu rumahnya. Dia terus duduk di lantai dapur.

“Thia, kenapa lambat sangat? Tok Imam dah nak mula dah,” soal ibunya menunjukkan riak khuatir.

Scooter ibu tu yang buat hal. Tak boleh nak start.” Thia buat mimik muka yang kurang menyenangkan. Membulat mata ibunya mendengar alasannya tadi.

“Kenapa tiba-tiba tak boleh start pulak? Habis tu macam mana Thia balik?”

“Thia naik kereta bos ibu,” jawabnya ringkas. Hilang fokus buat seketika kerana masih malu dengan Rizqi. Ah! Malu… sungguh malu!

Puan Seha tak sempat nak mengajukan soalan lagi apabila bacaan doa telah bermula. Usai bacaan Yassin dan doa oleh Tok Imam serta jemaah masjid, makanan segera dihidangkan. Rizqi makan dengan penuh selera. Sengaja dikosongkan perutnya sebelum datang ke rumah Puan Seha.

Tepat pukul 11.00 malam hampir semua tetamu beransur pulang. Puan Seha bergerak ke arah Rizqi. Bosnya masih lagi berbual dengan beberapa tetamu lain yang juga merupakan rakan sekerja dan stafnya.

“Bos, terima kasih sebab bos sudi luangkan masa datang ke rumah saya. Saya mati-mati ingat bos tak datang sebab bos tak ada contact saya pun pagi tadi,” ujar Puan Seha mesra. Dia seronok bosnya sudi bertandang ke rumahnya.

It’s okay. I pun tak planmulanya. Itu pun last minute I decide nak pergi juga rumah you.Lagipun event macam ni memang elok kita pergi. Bukan selalu. I pun tak pernah lagi singgah rumah you. That’s why I datang juga walaupun penat.” Rizqi ketawa kecil.

“Alhamdulillah,” ucap Puan Seha sambil melemparkan senyuman. Bersyukur segala-galanya berjalan dengan lancar. Tidak sangka lauk-pauk, nasi dan semua makanan habis. Ada juga yang mahu buat bekal.

Apabila semua tetamu sudah pulang, Rizqi turut minta diri. Sebelum dia membuka pintu keretanya, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Lantas dia bergegas kembali ke pekarangan rumah Puan Seha.

Tatkala namanya dilaungkan, Puan Seha segera berpaling mengadap Rizqi semula. “Kenapa bos? Ada barang tertinggal ke?” tanya Puan Seha cemas.

“Tak adalah. Ilupa nak beritahu something. Tadi scooter you…” Rizqi gagal meneruskan ayatnya.

“Ibu!” Tiba-tiba Thia menjerit memanggil Puan Seha. Menyibuk.

Puan Seha buat muka geram. “Apa kena dengan Thia ni? Ya! Ibu dekat depan ni, ha!” sahut ibunya lantang. Tidak suka apabila dicelah sebegitu. Sesaat kemudian Thia segera bergerak ke halaman rumah. Selepas keluarga Fitri balik, dia hanya memerap saja di dapur.

“Semua dah balik ke ibu?” Thia bertanya kepada Puan Seha yang membelakangkannya. Dia tidak nampak tubuh Rizqi yang dihalang oleh sebatang pokok renek di sisi lelaki itu.

Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, Rizqi buat pertama kalinya melihat wajah Thia. Tepat dan tidak berganjak. Dia kaku di kedudukannya melihat Thia yang sangat ayu mengenakan tudung walaupun ketika itu tudung Thia senget sebelah.

Dia terus memandang tanpa reaksi. Wajah Thia seolah-olah bercahaya. Alis matanya yang melentik dapat dilihat dengan jelas dari sudut tepi.

Tiba-tiba pandangan mereka saling bertaup. Rizqi tetap tidak mengalihkan pandangannya walau seinci. Dia cuba melarikan matanya tetapi ada sesuatu yang menarik dirinya untuk terus memerhatikan Thia. Kecantikan asli yang ditonjolkan oleh Thia benar-benar memerangkapnya kini.

“Bos!” desah Puan Seha sambil melambaikan tangannya di hadapan Rizqi. Serta-merta wajah Rizqi berubah. Dia tersedar dari lamunannya yang sudah jauh dari kedudukan sebenar.

“Bos berangan dah sampai mana?” usik Puan Seha nakal. Dia maklum akan perubahan drastik bosnya itu tadi disebabkan kehadiran Thia.

Thia seperti biasa buat mimik muka menyampah apabila ada lelaki asing muncul. Padahal dialah yang baru muncul sedangkan Rizqi sudah lama terpacak di situ.

Rizqi tersipu malu apabila ditegur sebegitu. Sempat juga dia mengelamun tengah-tengah malam macam ini.

“Bos nak cakap apa tadi?” tanya Puan Seha ingin mengetahui dan Rizqi pantas memanggungkan kepalanya. Bibir tersenyum nipis.

“Oh, yang tadi tu. Hmm… I cuma nak beritahu yang scooter you ada di kedai depan sana. Err… anak you tak beritahu ke?” Matanya menjeling Thia.

“Thia dah beritahu pada saya. Tak apalah. Esok saya suruh abang saya pergi ambil. Nak ambil sekarang pun, hari dah lewat malam. Kedai motor mesti dah tutup.”

Sepi seketika. Hanya bunyi cengkerik yang kedengaran. Tiba-tiba Rizqi menjadi kelu lidah untuk melontarkan kata-kata.

“Kalau macam tu, baiklah. Ibalik dulu. Assalamualaikum,” ucap Rizqi sambil menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat. Matanya masih lagi meronta-ronta ingin melihat Thia walaupun Thia sedikit pun tidak peduli dengan dirinya ketika itu.

“Err… Encik Rizqi.” Suara emas Thia akhirnya kedengaran memanggil Rizqi.

Rizqi mengalihkan pandangan untuk menentang anak mata Thia. Bibir mungil Thia jelas mengukirkan senyuman buatnya. Ah! Dia bagaikan terleka!

Thanks sebab bagi saya tumpang kereta encik tadi,” Thia berkata sambil senyum. Rizqi pula tergamam melihat senyuman Thia yang dilemparkan kepadanya. Namun dia membalas, lembut menampakkan lesung pipitnya.

Most welcome. Lain kali Thia bolehlah tumpang kereta saya lagi. Hmm… saya minta diri dulu,” ujar Rizqi tenang dan terus berlalu pergi tanpa menunggu reaksi daripada Thia. Hatinya mengalunkan lagu romantis ketika ini. Kenapa ya?

Puan Seha tersenyum memandang telatah bosnya seakan-akan malu dengan anak gadisnya itu. Ada hatikah dia pada Thia? Fikir Puan Seha yang masih mengamati sekujur tubuh tegap yang makin menjauh sehinggalah Thia mengajaknya masuk ke dalam rumah.


SAMPAI saja dibiliknya, Rizqi terus merebahkan badan di atas katil. Kedua-dua tapak tangannya diletakkan di bawah kepala. Matanya terkebil-kebil memandang siling yang berwarna putih. Sepantas kilat, wajah Thia berlegar-legar di ruang mindanya.

Apa yang boleh dia analisa mengenai Thia adalah, Thia bukan seorang gadis yang mudah untuk didekati. Bukan calang-calang orang dapat menarik perhatian Thia. Gadis itu juga bukan seorang yang soft spoken malah seorang gadis yang sangat bersahaja.

Tidak sangka gadis bertopi keledar pada mulanya itu mempunyai seraut wajah yang sungguh menyenangkan dan memiliki sepasang mata yang memukau. Panahan mata Thia yang bersinar benar-benar menikam pandangannya.

Ah! Kini bergolak hatinya. Dia melepaskan keluhan panjang. Tidak sepatutnya dia memikirkan tentang gadis lain di saat dirinya bakal ditunangkan. Wajah Adreena datang bersilih ganti dengan wajah Thia. Dia tahu hatinya kini sudah berbolak-balik. Memang tidak diduga, pertemuannya dengan Thia telah membibitkan rasa cinta pandang pertama. Ada sesuatu dalam diri Thia yang mampu menggoyahkan naluri lelakinya.

Berbeza apabila dia bersama Adreena walaupun diakui Adreena merupakan seorang gadis yang cantik dan lemah lembut. Cukup menepati cita rasa seorang lelaki namun ia masih tidak cukup buat dirinya. Hatinya tidak bergetar saat dia merenung sepasang mata milik Adreena. 

Dia tidak pernah meluahkan rasa rindu sekiranya Adreena berjauhan daripadanya jauh sekali mengucapkan kata sayang.

Dia membelek pula jam tangan Rolex pemberian Adreena di pergelangan tangannya. Walaupun agak besar sedikit berbanding ukur lilit tangannya namun dia tetap memakai pemberian ikhlas daripada Adreena sempena hadiah hari jadinya dua tahun yang lepas. 

Dalam diam dia terus mengamati jam itu. Sekali lagi dia melepaskan keluhan berat. Hatinya tiba-tiba diterjah rasa bersalah. Perasaannya seolah-olah sedang bermain teka-teki antara simpati atau kehendak hati.

Dari dulu lagi Rizqi tidak pernah menyimpan rasa cinta pada Adreena. Dia tidaklah bodoh dalam mengukur rasa sayang Adreena yang dicurahkan terhadap dirinya. Dia juga tidak buta untuk melihat cinta yang dipamerkan oleh Adreena dalam diam.Hanya dia saja yang mengelak untuk mengetahui hakikat sebenar malah dia tidak pernah cuba untuk menanam rasa cinta buat Adreena.

Rizqi memejamkan mata buat beberapa saat. Mula memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya dia melepaskan Adreena. Adakah kedua ibu bapanya akan mengamuk? Akan kecewakah Adreena? Yang paling penting, mampukah dia menakluki hati Thia? Atau melupakan saja Thia seolah-olah dia tidak pernah mengenali Thia yang baru saja muncul dalam hidupnya dan mengahwini Adreena yang mencintai dirinya?

Fikiran Rizqi kini benar-benar sedang berselirat!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin