Bab 5
PUAN SEHA mengeluarkan fail-fail yang diminta oleh Encik Rizqi. Sebentar lagi ada
mesyuarat yang perlu dihadiri olehnya. Dia bertanggungjawab dalam menguruskan
hal pejabat dan mengatur kes-kes yang diterima oleh Encik Rizqi.
Dia juga
bertugas dalam mengatur jadual temu janji untuk bosnya dengan pelanggan dan
menyediakan dokumen, memberi nasihat dan peringatan dari semasa ke semasa bagi
memastikan segala pengurusan serta pentadbiran sesebuah syarikat dan organisasi
sentiasa berjalan dengan lancar.
Kerjanya tidaklah sukar mana. Oleh itu sehingga ke
hari ini, dia mampu bertahan untuk terus bekerja di situ biarpun agak jauh
untuk dia berulang-alik dari rumah ke pejabat setiap hari.
Puan Seha bergegas menuju ke bilik bosnya untuk
menyerahkan fail-fail yang berkenaan. Sejak dia kehilangan suami, dia begitu
tekun bekerja untuk menyara hidup sendiri dan anaknya apatah lagi Thia sekarang
sudah melanjutkan pelajaran yang sudah pasti memerlukan pembiayaan wang yang
agak banyak.
Dia memulas tombol pintu saat kakinya sudah menapak di
hadapan pintu bilik Encik Rizqi dan mulut memberi salam. Bibirnya melirik
senyuman.
Wajah wanita berumur 41 tahun yang putih melepak dan
berkaca mata itu dipandang sekilas oleh Rizqi. Sepanjang dia bekerja di situ, dia
cukup selesa bekerjasama dengan Puan Seha yang sangat komited terhadap
kerja-kerja yang diberi. Walaupun Puan Seha merupakan staf bawahannya namun dia
menghormati wanita itu yang jauh sebelas tahun tua daripadanya.
“Ni failnya, bos. Em… ada apa-apa benda yang bos
perlukan lagi?” soal Puan Seha dengan senang hati. Dia melihat bosnya itu tekun
menyemak dokumen yang perlu diperiksa dengan terperinci.
“Tak ada apa-apa. Cuma meeting kejap lagi dah confirm
pada Encik Kamil? Karang dia tak datang pulak. Dia tu kalau tak ada orang mengingatkan,
tak muncul sampai ke sudah. Bermacam-macam alasan diberi nanti,” pesan Rizqi
tanpa menoleh Puan Seha. Dia masih lagi sibuk memeriksa dokumen di atas mejanya
itu.
“Dah, bos. Lagipun Encik Kamil wajib ada dekat meeting
tu nanti sebab dia kena bincang dengan kita mengenai masalah dengan client
di bawah penyeliaannya,” terang Puan Seha tenang.
Rizqi memanggung kepala untuk melihat Puan Seha. “Masalah
apa tu?” soal Rizqi bernada gusar.
“Err… client Encik Kamil tiba-tiba tarik diri
sedangkan court dah bagi surat tentang hari perbicaraan yang tinggal
beberapa hari saja lagi. Encik Kamil kata dia dah called client
dia tu tapi masih lagi tak bagi kata putus sama ada nak teruskan perbicaraan
ataupun tidak.
Sepatutnya hal ni tak jadi masalah pun kalau client dia
tu terus terang aje. Lagipun mereka dah ada contract. Lagi satu, masalah
yang berkaitan dengan isu peneroka-peneroka Felda tu belum settle lagi.
Peneroka semua dah mengamuk tak nak bayar duit penanaman semula kelapa sawit,”
jelas Puan Seha lagi.
Kelihatan Rizqi menganggukkan kepalanya tanda faham
dengan penjelasan Puan Seha.
“Yes, it shouldn't be a problem. Okay,
thanks. You may go now,” luah Rizqi puas hati. Kembali menghadap kerja-kerjanya
semula.
“Bos, sebelum tu saya ada benda nak cakap dengan bos.”
Tiba-tiba meluncur keluar ayat itu dari mulut Puan Seha. Kelihatannya seperti
ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Berharap bosnya dalam mood yang
baik.
“Yeah, sure. What is it?” Rizqi kembali memanggung
kepalanya.
“Saya nak ajak bos datang ke rumah saya hujung bulan
ni. Saya ada buat majlis tahlil sempena pemergian arwah suami saya yang ke-8
tahun. Itu pun kalau bos sudilah.” Puan Seha menaruh harapan yang
tinggi agar bosnya sudi bertandang ke rumahnya.
Rizqi mengangkat kening lalu melemparkan senyuman
sebaik sahaja Puan Seha menyatakan hasratnya. Jelas, dia tampak tidak
keberatan.
“Insya-ALLAH. Kalau keadaan mengizinkan, I
datang. Rumah you dekat mana, ya? Tak silap I dekat-dekat dengan area
Klang, bukan?” tanya Rizqi, ramah. Sejak dia bekerja di situ setelah pulang
dari Ireland, dia tahu Puan Seha seorang balu beranak satu.
Sengaja dia mengambil Puan Seha menjadi setiausahanya
sedangkan sewaktu dia mula menjawat jawatan di situ, Puan Seha di bawah
penyeliaan Encik Kamil. Namun dia yang minta agar Puan Seha dialih tugas
menjadi setiausahanya dan kebetulan Encik Kamil memerlukan beberapa lagi staf
bawahan.
Oleh itu, Encik Kamil mengambil beberapa lagi pekerja
baru seramai dua orang sekali gus. Sememangnya Rizqi gemar bekerja dengan orang
yang banyak pengalaman seperti Puan Seha.
“Rumah saya kat Puncak Alam, bos. Tapi tak apa. Kalau
bos confirm nak datang rumah saya nanti, bos just inform saya
dulu. Okeylah bos, jumpa masa meeting nanti. Assalamualaikum,” ujar Puan
Seha sebelum menapak keluar dari bilik bosnya.
“Okay, then. Waalaikumussalam.” Sejurus itu Rizqi
meneruskan kerjanya semula.
RAIHAN sedang khusyuk di meja studi. Pada minggu hadapan jadualnya sungguh
padat dengan ujian dan ada beberapa laporan makmal yang perlu dihantar. Mamanya
pula mengajak dia pulang awal bulan depan untuk menyambut kepulangan Adreena
dari luar negara.
Adreena merupakan anak sulung kepada TengkuSafura
dan Tengku Razif merangkap bakal besan kepada ibu bapanya. Gadis berwajah
lembut itu diperkenalkan sebagai bakal isteri abangnya, Rizqi. Cantik, sopan
dan berpelajaran tinggi. Sesuai dengan abangnya yang tidak kurang hebat untuk
digandingkan bersamanya. Entah menjadi entah tidak impian ibu bapanya untuk
menyatukan Adreena dengan abangnya kerana dia tahu sikap Rizqi yang dingin itu.
Dalam kesamaran cahaya yang berasak keluar dari celah
jendela kamarnya, Raihan merungkap kembali peristiwa ganjil yang terjadi
beberapa minggu yang lalu seolah-olah menyentap tangkai hatinya. Apa yang
pasti, tingkah laku gadis itu berubah serta-merta saat memalingkan muka ke
arahnya. Seumpama daun semalu yang pantas menguncup apabila disentuh dengan
jari.
Adakah gadis itu mengenali dirinya? Ataupun wajahnya
mengingatkan gadis itu kepada seseorang? Pelbagai persoalan yang berlegar di
mindanya.
Raihan tersenyum lalu menggelengkan kepalanya. Tidak
sewajarnya dia terlalu memikirkan gadis yang tidak dikenali itu namun ditatap
kembali gelang tangan yang terletak di genggamannya.
Gelang tangan itu terjatuh ketika gadis itu menolak
badannya tanpa disedari. Belum sempat dia melakukan apa-apa, gadis itu pantas
melarikan diri seolah-olah dikejar pencuri gamaknya.
Hafiz memberitahu, Thia adalah rakan yang baru
dikenali malah merupakan bakal kekasihnya kerana Hafiz begitu menyukai gadis
yang bernama Rana Fathiah itu.
Pada pandangan mata kasarnya, Hafiz adalah seorang
lelaki yang agresif. Apa yang dihajati pasti akan dijadikan realiti. Pernah
suatu ketika dahulu sewaktu dia dan Hafiz berada di tingkatan empat, Hafiz
pernah menumbuknya gara-gara seorang gadis. Dia yang sedang menuju ke
perpustakaan tak pasal-pasal dihadiahkan penumbuk padu tepat di pipinya.
PUK!
Raihan tengadah. Tak semena-mena tubuhnya terdorong ke belakang semeter.
Pipinya terasa sengal dan berdenyut-denyut seolah-olah ada tekanan kuat menghentam
tulang pipinya. Segera dia menoleh ke arah tuan empunya badan yang menyerangnya
tadi sambil tangan menyentuh pipi.
‘Nak mati agaknya budak ni!’ Raihan mendongkol geram.
Wajah Hafiz yang menyinga sudah menanti di hadapan
Raihan. Anak matanya bersabung dengan anak mata Raihan. Dadanya yang sedang
berombak kencang jelas memancarkan api kemarahan yang maha hebat. Mukanya pula
sudah merah tidak ubah seperti Hell Boy.
Butang baju sekolahnya sudah
tidak terkancing. Semua sudah terbuka. Nasib baiklah dia memakai baju t-shirt
putih di dalam. Kalau tidak, pasti banyak mata yang memandang. Lebih-lebih lagi
anak dara pingitan yang lalu-lalang di situ.
“Kau apa hal ni, Hafiz? Tak pasal-pasal aku kena
tumbuk. Ada masalah dengan aku cakaplah!” Raihan sudah meninggikan suara
jantannya. Dia tidak dapat mengagak, apa motif dia diberi penumbuk sebentar
tadi.
“Aku nak tanya kau. Kau ada jumpa dengan Maira kan,
dua hari lepas?” Nyaring suara Hafiz menyoal Raihan. Dia bengang apabila dapat
tahu buah hatinya berjumpa dengan Raihan di perpustakaan tempoh hari.
“Maira? Budak specky tu? Ya, dia ada datang
jumpa aku. Kenapa?”
“Kau tahu dia tu awek aku?”
“Tahu,” jawab Raihan sepatah. Dia menunggu lagi soalan
daripada Hafiz.
“Kau tahu dia tu awek aku, apa hal kau pergi jumpa
dia?” lontar Hafiz lagi. Nada suaranya sudah bertukar rentak. Ingin memuntahkan
rasa marah yang bersarang di dadanya.
“Itu rupanya masalah kau dengan aku? Sebab itulah kau
bagi penumbuk dekat muka aku tadi?” tanya Raihan pula. Dia kini sudah menangkap
apa motif sebenar Hafiz menghadiahkan
penumbuk ke mukanya.
“Dia yang datang kat aku. So, kenapa kau nak
marah aku pulak? Aku tak ada pun jemput dia datang jumpa aku,” sambung Raihan
membela dirinya dengan berani sekali.
Puk! Puk! Hafiz ingin menyerangnya lagi tetapi kali
ini dia sempat mengelak malah buku limanya pula yang hinggap di pipi Hafiz.
Tidak mungkin dia hanya membiarkan Hafiz memperlakukan dia seperti itu.
Hafiz tersungkur jatuh. Bibirnya mengalir darah.
Matanya mencanak memandang Raihan dan mukanya membahang dan mengerikan.
Suasana kian tegang. Masing-masing yang berdiri di
situ tergamam. Tanpa lengah, Raihan berjalan menghampiri Hafiz namun tidak pula
dia menolong Hafiz untuk bangun dari tempatnya.
“Pasal seorang perempuan, kau nak bergaduh dengan aku.
Maira jumpa aku sebab dia tanya kenapa kau jarang jumpa dia lately ni.
Dia tahu kita berdua rapat. Kalau aku nak rembat perempuan pun, aku tak ambil
awek orang. Jangan disebabkan Maira, kau dengan aku nak bertumbuk dekat
sekolah,” ujar Raihan tenang namun menyentap hati Hafiz. Dia segera berlalu
pergi.
Hafiz diam di kedudukannya. Nampaknya dia sudah salah
menilai Raihan. Dia terlalu mengikut perasaan cemburunya yang membuak-buak. Dia
sedar, banyak kelebihan Raihan yang tidak ada padanya. Sebenarnya, dia tidaklah
cemburu mana pun sekiranya Maira berjumpa dengan lelaki lain. Malah dia sendiri
berjumpa dengan perempuan lain di belakang Maira.
Apa yang dia bengang ketika ini ialah Maira berjumpa dengan
Raihan secara senyap-senyap. Dia tidak dapat menerima kenyataan sekiranya teman
wanitanya beralih arah pada Raihan. Itulah punca hilangnya kewarasan Hafiz.
Beberapa hari selepas insiden itu, dia memohon maaf daripada Raihan di atas ketelanjurannya.
Mujur Raihan memahami sikap Hafiz yang panas baran itu.
Ikutkan hati, mahu dia minta Hafiz melutut di depannya sambil buat aksi singa
laut mengesot tetapi dia tak sampai hati kerana Hafiz adalah kawan baiknya
sejak kecil lagi.
RAIHAN tersedar daripada lamunan apabila Farris, teman serumahnya masuk ke bilik.
Dia kembali meramas gelang tangan di genggamannya.
“Hai! Beli gelang untuk awek ke?” soal Farris menegur
lantas menghenyakkan punggungnya di atas katil Raihan. Beg yang tersangkut di
bahunya tadi dilempar entah ke mana-mana.
Raihan tergelak kecil mendengar pertanyaan daripada
Farris itu. “Taklah. Gelang ni bukan aku yang beli. Orang punya, terjatuh tapi
aku tak sempat nak bagi. Kalau aku terjumpa dia nanti, aku pulangkan balik,” jelas
Raihan yang masih lagi membelek gelang tangan itu.
“Nampak macam kau berkenan dengan gelang tu ataupun
kau ni dah berkenan dengan tuan empunya gelang tu sebenarnya?” Farris giat mengusik
Raihan.
Kali ini Raihan ketawa besar mendengar butir bicara
Farris. Memang silap besarlah dia nak jatuh hati pada Thia. Gadis itu kepunyaan
Hafiz! Lagipun Thia bukanlah gadis yang menepati cita rasanya.
“Em… macam mana nak jawab soalan kau tu? Hmm… actually,
dia tu bakal awek kawan aku. Memang harapan aku nak rembat awek orang ni.
Kecuali awek kau, aku ada hati nak rembat.” Raihan ketawa di penghujung
kata-katanya. Giliran dia pula mengusik Farris.
Farris serta-merta mengambil bantal di birai katil
lalu dicampakkan ke muka Raihan.
“Kau, baik-baik sikit cakap. Karang esok ada pulak
berita keluar student mati tercekik sebab tertelan kasut saiz sepuluh,”
gurau Farris. Ketawanya pecah. “Eh, kau nak awek tak?” soal Farris tiba-tiba.
Raihan berkerut. “Kenapa kau tanya? Aku tak minatlah
nak ada awek.” Raihan sekadar buat tak endah.
“Ala… kau dengar dulu apa aku nak cakap ni.” Farris
berkata setelah dia melihat Raihan kembali menatap buku studi.
“Budak tu cun. Badan dia, perfect! Free hair
dan tinggi macam model. Aku jumpa dia masa nak ke taman sebelah blok akademik
tadi. Dia tengah lepak, berborak dengan kawan-kawan dia masa tu. Aku perhati
aje dari jauh. Memang cun!” puji Farris melambung.
Raihan ternganga dengan pujian yang dirasakan begitu melampau
sekali oleh Farris.
“Kalau dia tu cun, kenapa kau nak pass dekat
aku pulak?” Raihan angkat kening. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.
“Aku dah ada Husna. Kau kan, masih single. Tapi
kan, bro…” Farris ketawa sebelum menghabiskan ayat terakhirnya. Hatinya
bagaikan digeletek oleh seseorang. “Masa aku khusyuk perhatikan dia, tiba-tiba dia
tanggalkan cermin mata hitam. Mulanya aku tak faham juga kenapa dia pakai speck
hitam tengah hari buta macam ni. Bila dia buka speck dia tu… rupanya
juling.” Farris menyambung lagi ketawanya malah semakin menjadi-jadi.
Raihan sekadar tersengih namun sekejap cuma. Dia
seperti mengenali siapakah gadis yang menjadi topik perbualan mereka ketika
ini.
“Tak baik kau gelakkan orang. Jadi macam tu pada kau,
tahulah. Tak pun dapat bini juling baru padan muka. Selalunya orang yang
mengejek ni, kena dekat dia balik.” Raihan mengenakan Farris pula. Dalam
mengena, dia mengancam.
“Tak apa. Habis saja belajar nanti, aku terus kahwin
dengan Husna,” jawab Farris sambil mata tak
pandang muka Raihan sebab dah cuak kalau-kalau esok dia bangun tidur, tiba-tiba
matanya juling.
“Baguslah. Hah… kau nak join aku pergi main futsal
tak petang ni?” Raihan mengajak Farris. Dalam masa yang sama dia cuba menukar
topik perbualan.
“Malaslah. Aku letih. Esok aku join.” Farris
menolak. Dia ingin berehat sementelah dia baru saja keluar bersama kekasih
hati.
“Letih sebab dating bukan menyihatkan badan
pun. Orang petang-petang, pergi bersenam. Jadi, otak pun sihat. Baru boleh
belajar dengan tenang.” Raihan perli temannya itu.
Wajah Farris tidak lari dari
anak matanya. Harap-harap rakannya itu tidak bertindak melampaui batas
pergaulan antara lelaki dan perempuan. Perasaan risau tiba-tiba menjengah di
lubuk hatinya.
Matanya kembali melihat gelang tangan di atas meja.
Pelbagai persoalan masih berlegar-legar di mindanya mengenai gadis berlesung
pipit itu.
“Thia…” sedetik, nama itu meniti di bibirnya. Aku pasti
akan pulangkan gelang tangan ni! bisik Raihan. Tiba-tiba hatinya menjadi tidak
keruan.