Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 4
BAB 4

“ASSALAMUALAIKUM Farah,” tegur Balkis sebaik Farah membuka pintu bilik.

“Waalaikummusalam.Eh, Balkis!” sahut Farah lalu terus meluru mendapatkan Balkis.

Dipeluknya erat-erat sebelum dicium pipi gadis itu beberapa kali.

“Apa ni Farah, bau macam kambing aje badan kau ni,” usik Balkis sambil pura-pura menutup hidung.

“Ala sorrylah Balkis, aku baru balik dari latihan bola tampar tadi. Dengar aje suara kau, terlupa terus aku keadaan badan aku ni. Maklumlah, dah lama aku tak jumpa kau. Rindu tau,” ujar Farah sambil tersenyum gembira.

“Bila kau sampai?” soal Farah sesudah itu.

“Baru aje. Tak sempat nak tukar baju lagi pun,” balas Balkis.

“Jadi, macam mana dengan cuti sekolah kau? Apa yang kau buat sepanjang sebulan kita bercuti hari tu?” tanya Farah.

Balkis menghela nafas.

“Hmm... biasalah Farah. Orang macam aku ni, manalah boleh keluar merayap macam kau. Selagi tak diizinkan keluar, selagi tulah terperap dalam rumah tu. Kalau keluar pun bukannya boleh lama-lama. Nanti tak pasal-pasal kena kuarantin pulak. Kau pulak macam mana?” ujar Balkis.

“Aku macam biasalah. Pergi ladang kacau abang-abang aku buat kerja, main dengan kawan-kawan, tolong nenek kemas rumah, masak. Tu ajelah pun yang aku buat sepanjang cuti.”

Farah kembali tersenyum sebelum tiba-tiba teringat sesuatu.

“Oh ya Balkis. Tiga minggu lagi ada pertandingan pidato antara sekolah kat Dewan Seri Negeri. Kita pergi sama-sama nak?” ajak Farah.

Perlahan-lahan senyuman Balkis hilang.

“Aku minta maaf Farah. Aku kena balik ke rumah nanti. Ada perkara yang perlu aku selesaikan,” ujar Balkis lambat-lambat.

Tidak mahu menyinggung perasaan sahabat yang telah hampir lima tahun menjadi teman sebiliknya di asrama sekolah itu.

“Nampaknya, tak dapatlah kau tengok aku bertanding nanti. Aku harap sangat kau dapat pergi. Bukannya apa, kau kan sahabat baik aku sejak kita di tingkatan satu lagi. Aku teringin nak keluar jalan-jalan dengan kau. Dari dulu jarang kita dapat keluar bersama. Tapi untuk kali ni, aku harap sangat kau pergi. Sekejap pun jadilah. Boleh ya Balkis?” rayu Farah sungguh-sungguh.

“Aku betul-betul minta maaf Farah. Aku pun sebenarnya teringin sangat nak keluar dengan kau dan kawan-kawan yang lain. Tapi kau sendiri pun tahu kan macam mana keadaan hidup aku selama ni. Tak macam orang lain,” ujar Balkis, sayu.

Rasa terkilan memanjat hati. Terkilan kerana tidak mampu menunaikan permintaan sahabat yang telah banyak berjasa padanya.

Timbul rasa bersalah dalam diri Farah yang kembali tersedar dengan keadaan hidup gadis itu selama ini. Segera tubuh Balkis dipeluk erat.

“Maafkan aku Balkis. Aku tak bermaksud nak lukakan hati kau. Aku terlalu nak keluar dengan kau sampai aku terlupa pada keadaan kau. Maafkan aku,” pohon Farah.

“Dahlah Farah, tak payahlah kau minta maaf. Bukan salah kau pun. Malah aku bersyukur sangat sebab aku mempunyai sahabat seperti kau. Terima kasih Farah kerana sudi maafkan aku,” ucap Balkis.

“Jadi, macam mana dengan persiapan kau untuk bertanding dalam pertandingan pidato tu nanti?” soal Balkis, menukar arah perbualan.

Lalu membuat Farah tersenyum lebar semula.

“Setakat ni aku dah bersedia dan Insya-ALLAH aku yakin aku mampu meraih gelaran pemidato terbaik tu lagi untuk tahun ni,” ucap Farah bersemangat.

“Aku pasti kau akan menang lagi. Aku berdoa kau akan dinobatkan sebagai pemidato terbaik untuk tahun terakhir kita di sekolah kesayangan kita ni,” ujar Balkis memberi perangsang sebelum mengeluh sayu.

“Alangkah baiknya kalau aku dapat pergi bersama. Ini tak, aku hanya mampu tengok semua tu dalam video yang kawan-kawan kita rakamkan aje tiap-tiap tahun.”

“Jangan kata macam tu Balkis. Bagi aku, sama ada kau pergi atau tak, aku tetap gembira sebab aku tahu doa kau sentiasa bersama aku. Tu pun dah cukup menggembirakan aku,” balas Farah.

Balkis menghela nafas lega.

“Entah bilalah agaknya aku mampu hidup bebas seperti orang lain. Tak lagi terkurung macam ni,” keluh Balkis lagi.

“Janganlah kau sedih Balkis. Aku yakin, suatu hari nanti kau pasti dapat merasai kebebasan hidup yang kau impikan tu. Cuma kita tak tahu bila masanya akan sampai,” pujuk Farah lembut.

Laungan azan yang mula berkumandang di seluruh pelosok bangunan asrama menyentak perbualan kedua-duanya.

“Ya ALLAH Balkis, dah masuk Maghrib pun! Aku belum mandi lagi. Dahlah malam ni aku bertugas kat surau kita. Matilah aku kena marah dengan Marina kejap lagi. Aku janji dengan dia nak pergi awal malam ni!”

Terkocoh-kocoh Farah mencapai tuala di ampaian sebelum pantas menerpa keluar. Berlari-lari anak menuju ke bilik air di penjuru bangunan asrama.

Balkis yang memandang gelagat gadis itu hanya menggeleng sambil tersenyum kecil. Dia sendiri turut bangun tidak lama kemudian. Mahu mengambil wuduk.

“AKU tengok kau makin rapat dengan Nisda sekarang.”

Terhenti gerakan Johan yang sedang menyelak buku di katilnya mendengar kata-kata itu.

“Apa maksud kau?” tanya Johan dengan dahi berkerut.

“Maksud aku, kau dengan Nisda ada apa-apa ke? Rapat semacam aje aku tengok kau orang berdua sekarang,” jelas Danial.

“Mana adalah Danny. Aku dengan Nisda kan dah kenal sejak kita di tingkatan satu lagi. Kawan-kawan macam tu ajelah,” sanggah Johan cepat-cepat.

“Iya ke? Aku tengok Nisda tak anggap macam tu pun,” sampuk Iskandar.

“Betul tu. Aku tengok Nisda macam sukakan kau aje. Kau tak nak kat dia ke Han?” soal Afiq juga.

Hilang tumpuan dia pada buku pelajaran seketika.

“Tak ada masanya aku nak fikir semua tu. Banyak lagi yang perlu aku beri perhatian terutamanya pada peperiksaan SPM kita,” sangkal Johan lagi.

“Ala, apa salahnya kalau kau buat dua perkara serentak dalam satu masa pun Han. Asalkan kau pandai uruskan, semuanya okey aje,” giat Nazrin pula.

“Ewah, ewah kau orang ni. Kalau bab nak mengenakan aku, ada aje ayat power yang kau orang keluarkan ya,” balas Johan sambil tersenyum lebar.

“Kau tu Naz, jangan tahu nak mengata aku aje. Kau tu pun apa kurang,” sambung Johan.

“Aku? Kenapa pulak dengan aku?” tanya Nazrin, terpinga-pinga.

“Ewah, buat-buat tanya pulak dia. Macamlah kita orang tak tahu pasal hubungan kau dengan Marya, ketua pengawas sekolah Seri Putri tu. Apa kau fikir kau boleh sorok pasal tu dari kita orang? Mimpilah kau,” ujar Johan.

“Wait, wait. Kalau pasal tu kau tak boleh nak kata apa-apa Han. Aku dengan Marya kan sepupu. Jadi memang tak salah pun kalau kami rapat,” sangkal Nazrin.

“Cewah, kau cakap macamlah kau seorang aje sepupu Marya. Habis aku ni, bukan sepupu dia jugak ke Naz?” sampuk Danial sambil tersenyum nakal.

“Kau jangan lupa Naz. Ayah kau tu abang kepada ayah aku. Mak Marya tu pulak adik perempuan tunggal ayah kau dan ayah aku. Senang cakap, kita bertiga berkongsi atuk dan nenek yang sama. Lagipun Islam sendiri menyatakan sesama sepupu boleh berkahwin cuma tak digalakkan. Jadi apa alasan kau sekarang?” sambung Danial.

“Mana adalah. Pandai-pandai ajelah kau orang nak padankan aku dengan Marya.”

Tergagap-gagap Nazrin menjawab sambil tersenyum kelat.

“Eleh, tak nak mengaku konon. Dahlah Naz, esok-esok kita orang tahu jugak kenyataannya,” ujar Iskandar pula.

“Tapikan Han, aku rasa betullah apa yang Afiq kata. Aku rasa Nisda memang suka kau. Cara dia tengok kau, berbual dengan kau, berbeza sangat. Tak macam perempuan-perempuan lain. Nampak sangat dia suka kau. Kau tak perasan ke semua tu Han?” ujar Iskandar, kembali ke topik utama bicara mereka.

“Nak perasan ke bendanya Is. Aku dengan dia hanya kawan biasa aje. Kau orang tu aje yang fikir bukan-bukan pasal aku dengan dia,” sanggah Johan semula.

“Hei kau orang, kenapa tak tidur lagi? Dah tengah malam ni. Esok kan ada kelas.”

Adib yang tiba-tiba muncul di muka pintu mencelah suara setelah memberi salam. Bulat matanya memandang teman-teman sebilik.

“Kau kata kat kita orang, yang kau dari mana pulak? Malam-malam buta macam ni baru reti nak balik ke bilik,” bebel Danial.

“Aku dari bilik bacaan. Ada meeting dengan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Kimia tadi,” jawab Adib sambil menarik nafas melepaskan lelah.

“Iya ke kau pergi meeting? Ke pergi dating dengan Anne, buah hati pengarang jantung kau tu?” sakat Iskandar sambil tersenyum nakal.

“Iya ke Adib? Kau pergi dating dengan bakal kakak ipar aku ya?” soal Afiq juga.

Dia turut mahu mengusik Adib yang lahir lima minit awal darinya. Walaupun dilahirkan kembar namun riak wajah dan perwatakan mereka amat berbeza. Kerana itu sukar untuk dipercayai kedua-duanya kembar lantaran mereka tidak serupa segala segi.

“Hisy, mana ada. Buat apa aku nak jumpa Anne malam-malam buta macam ni. Bukan ada kerja pun aku dengan dia. Lagipun pagar asrama mana buka waktu malam,” ujar Adib.

“Ooo... maknanya kalau pagar asrama kita buka sekarang, kau nak keluar jumpa dengan dialah ya Dib?” giat Iskandar sekaligus memecah tawa teman-temannya.

“Kurang ajar kau Is, saja nak kenakan aku,” balas Adib sambil tertawa juga.
Dicapai sebiji bantal sebelum dihayun ke arah Iskandar. Iskandar membalas segera. Menjadikan keadaan bilik asrama itu gamat dengan usikan sesama mereka buat seketika.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-4-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh